Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Garis keras dalam PAS

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

KOLUM | Politik jarang berada dalam keadaan stabil dan lama statik. Sifatnya bergolak terutama apabila wujud pertembungan idea. Namun daripada pergolakan dan persaingan begitulah lahir idea besar yang mencabar zaman.

Justeru Amanah lahir daripada pengembangan dan pertembungan idea politik Islam dalam masyarakat.

Dalam konteks organisasi, musim pemilihan pemimpin sering dijadikan titik tolak perubahan. Banyak hujah yang boleh disandarkan atas proses demokrasi itu untuk membenarkan segalanya.

Hanya kemudiannya, penganalisis dan ahli politik gemar bermain istilah bagi menghias naratif dalam menjustifikasikan matlamat. Ada yang menggunakan istilah seperti kebangkitan, tsunami, reformasi, gelombang dan sebagainya.

Pada teorinya, itu adalah proses keseimbangan dalam masyarakat yang berlaku secara alamiah.

PAS bawah Allahyarham Asri Muda telah bersama dengan Umno dan tertubuhlah kerajaan BN pada 1971 sehinggalah 1977 apabila ia kembali menjadi parti pembangkang.

Asri kemudian tersingkir daripada barisan pimpinan PAS. Dia dan para pengikutnya juga tersisih akibat gelombang slogan ‘kepimpinan ulama’. Itu berlaku semasa musim pemilihan parti pada 1983 iaitu setahun selepas PRU keenam.

‘Kepimpinan ulama’ adalah nyawa baru untuk PAS bangkit sebagai sebuah parti lebih segar. Melalui kepimpinan Yusuf Abdullah ar-Rawa dan Fadzil Noor, PAS mengalami transformasi daripada sebuah parti fundamentalis dan konservatif kepada lebih progresif, liberal dan pragmatik.

Selepas Fadzil meninggal dunia, kepimpinan PAS bawah Abdul Hadi Awang sedikit demi sedikit mula menjadikan parti itu berwajah nasionalis kanan sehingga mewujudkan pertentangan idea sekali lagi.

Kemunculan golongan yang tidak sealiran dengan Abdul Hadi mula ketara sejak PRU13. Namun gerakan tersebut ibarat kocakan dalam cawan.

Ia membawa Abdul Hadi berhadapan dengan sebahagian besar pimpinan PAS Pusat yang berpandangan mereka perlu bekerjasama dengan pakatan pembangkang meski terdapat masalah antara mereka.

Pada masa sama terdapat pandangan bahawa kerjasama dengan Pakatan Rakyat menghakis perjuangan PAS. Abdul Hadi sendiri mula berpendirian begitu terutama selepas pilihan raya kecil diadakan di Teluk Intan pada 2014.

Pendiriannya tidak disokong sebahagian besar pimpinan PAS Pusat tetapi mendapat dukungan akar umbi parti.

Parti itu terpaksa banyak bertolak ansur dengan kehendak parti-parti komponen Pakatan Rakyat terutamanya DAP.

Pergolakan dalaman PKR juga mempengaruhi kerjasama tersebut.

Akhirnya kelompok-kelompok dalam kedua-dua parti itu bekerjasama untuk saling memperkukuhkan antara satu sama lain.

Golongan yang tidak berpuas hati menggunakan saluran dalaman PAS untuk menyebarkan idea menolak sebahagian pimpinan mereka. Saluran paling ampuh adalah melalui lajnah tarbiyah di semua peringkat.

Hal itu kerana lajnah tersebut dikuasai sepenuhnya oleh golongan garis keras yang berfikiran bahawa sebahagian pimpinan PAS Pusat sudah memesongkan perjuangan mereka.

Pengisian semua program liqa’ fiqr secara terbuka mengajak para pimpinan peringkat kawasan menolak beberapa pimpinan PAS Pusat.

Contohnya di Perak, kritikan terbuka terhadap pimpinan dibawa kepada mesyuarat perhubungan negeri dan pihak pengurusan program (Dewan Ulama PAS Perak) diminta mengambil perhatian.

Namun hal tersebut tidak dapat dikuatkuasakan kerana pengurusan program liqa' fiqr dikuasai oleh kelompok garis keras.

Antara tokoh yang memberi pengisian program PAS Perak ketika itu ialah Mokhtar Senik, Zaharuddin Muhammad, Muhammad Atiullah Othman dan Mohd Zuhdi Marsuki.

Mereka adalah sebahagian daripada kelompok yang kritis terhadap kepimpinan PAS Pusat khususnya terhadap Mohamad Sabu, Dzulkefly Ahmad, Khalid Samad, Hanipa Maidin dan beberapa nama lain.

Di Perak, antara program utama ialah liqa’ fikr yang diadakan di Markas Tarbiyah PAS Perak di Air Kuning, Taiping setiap bulan. Setiap ahli jawatankuasa harian setiap kawasan diwajibkan hadir.

Bagaimanapun ketika itu program tersebut sedikit demi sedikit dibuka kepada ahli biasa.

Ia memberi peluang kepada golongan yang tidak bersetuju dengan pimpinan pusat menyebarkan mesej mereka. Ia merupakan ruang terbaik untuk pihak garis keras memulakan proses perubahan sewaktu pemilihan nanti.

Contohnya di Tanjung Malim, penyandang jawatan Yang Dipertua PAS Aminuddin Zulkifli tewas kepada Tarmizi Abdul Rahman. Tarmizi adalah bekas Yang Dipertua PAS Tanjung Malim yang tidak lagi aktif sejak ditewaskan Aminuddin sebelumnya.

Di belakang Tarmizi ialah sokongan penuh daripada kedua-dua dewan kawasan dan juga sebahagian cawangan.

Sebelum mesyuarat agung kawasan berlangsung, wujud beberapa bantahan dalam proses pengundian namun mesyuarat berlangsung terus dengan sebahagian pimpinan dan perwakilan membuat keputusan untuk tidak turut serta sebagai protes.

Pada ketika itu jugalah peguam jadi-jadian tumbuh bagai cendawan selepas hujan bagi menghuraikan makna setiap bait-bait perlembagaan parti.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Kampar Nizar Jamaluddin yang menyandang jawatan tersebut selama 14 tahun tewas teruk kepada pendatang baru Sofian Rejab.

Khairuddin Abdul Malek yang merupakan Setiausaha Pakatan Rakyat Perak juga tewas kepada Ketua Dewan Ulama PAS Tambun Salleh Said untuk jawatan Yang Dipertua PAS Tambun.

Kekalahan teruk Nizar dan Khairuddin di peringkat kawasan adalah petanda kebangkitan golongan garis keras yang menguasai sebahagian besar Perak. Kedua-dua tokoh tersebut dianggap sebagai pemimpin PAS yang rapat dengan Pakatan Rakyat.

Gelombang garis keras itu juga berlaku di negeri-negeri lain.

Mereka memberikan naratif bahawa langkah tersebut perlu dibuat bagi "membela ulama" dan daripada dihancurkan oleh golongan sekular dan liberal PAS.

Ia juga dianggap sebagai membersihkan parti dan mengembalikan ia kepada landasan al-Quran dan Sunnah.


MUHAIMIN SULAM ialah bekas Setiausaha PAS Perak dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Kini dia ialah ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.