Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Pasar Besar Siti Khadijah binasa perlahan-lahan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Pada hari yang sama Dr Mahathir Mohamad selaku penasihat ekonomi kepada ‘Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu’ iaitu yang berada di bawah Perikatan Nasional (PN) melawat negeri Kelantan, kebetulannya saya juga berada di negeri tersebut.

Lawatan kerja saya adalah untuk melihat-lihat Kota Bharu, sebuah tempat penuh nostalgia buat saya. Ia mengingatkan saya kepada zaman sebagai penuntut di Akademi Islam Universiti Malaya di Nilam Puri. Tahun-tahun saya di Kelantan adalah tahun-tahun almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat baru dilantik sebagai menteri besar.

Tentu, lawatan ke Kota Bharu tidak lengkap kalau tidak menyinggah di Pasar Besar Siti Khadijah, selaku mercu tanda bandaraya tersebut. Untuk memahami letak duduk Pasar Besar Siti Khadijah lebih elok kita memahami darihal ibu kota Kelantan ini terlebih dahulu.

Kota Bharu telah dimasyhurkan sebagai ibu negeri Kelantan pada tahun 1884 di saat terbinanya sebuah istana Sultan yang baru, ekoran istana lama yang terletak di kota Saba sering diancam oleh banjir.

Pada tahun 1927, Majlis Mesyuarat Bandaran Kota Bharu ditubuhkan. Tahun berikutnya, di bawah Enakmen Kesihatan dan Perbandaran tahun 1928, Kota Bharu menjadi salah satu kawasan Kerajaan tempatan. Meskipun sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu, pada tahun 1930, staf British G.S Rawlings telah dilantik menjadi Ketua Jabatan di pejabat Bandar Kota Bharu yang membantu pembangunan bandaraya ini ‘secara moden’.

Pembangunan yang sedikit teratur ini membantu penggubalan Enakmen Perbandaran Kelantan yang telah dikuatkuasakan di Bandar Kota Bharu pada tahun 1938. Setahun kemudian bandar Kota Bharu ini telah diwartakan sebagai sebuah bandar di bawah Seksyen 5 Kelantan Land Code 1938 dan pentadbiran yang baru telah diwujudkan di bawah tadbir Lembaga Bandaran Kota Bharu (LBKB).

Menerusi Ordinan Pilihan Kerajaan Tempatan 1950 Kota Bharu diangkat pula tarafnya sebagai Majlis Bandaran Kota Bharu (MPKB). Seterusnya pada tahun 1958, Enakmen Perbandaran Kelantan telah memberi taraf autonomi kewangan kepada MPKB ini.

Zaman keemasan

Selepas kemerdekaan tanah air, lebih tepat pada 1 Julai 1978 taraf LBKB telah dinaikkan menjadi Perbandaran Kota Bharu (MPKB). Ketika ini pentadbiran MPKB telah diperluaskan dan jumlah penduduk yang terlibat ialah kira-kira 186 ribu orang.

Pembesaran wilayah tadbir MPKB ini juga bermakna terdapatnya keperluan untuk Kota Bharu memiliki sebuah pasar yang senonoh. Maka Pasar Besar Siti Khadijah mula dibina pada tahun 1983. Ia siap dua tahun kemudian. Kos pembinaan Pasar Besar Siti Khadijah ini adalah kira-kira RM 1.5 juta. Perniagaan beroperasi secara keseluruhannya pada tahun 1986. Pasar besar ini berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) inilah.

Ketika ini nama Pasar Besar Siti Khadijah adalah Pasar Besar Kota Bharu dan sering dirujuk orang sebagai Pasar Pusat Buluh Kubu. Ia diberi nama Pasar Besar Siti Khadijah pada 10 September 1997 oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pasar Besar Siti Khadijah ini unik kerana ia berbentuk oktagon yang menyediakan perniagaan makanan dan barang basah di tingkat bawah, manakala di tingkat kedua dan ketiga pula menempatkan perniagaan tekstil dan pakaian, termasuk juga barangan perhiasan. Tatkala ia dibina ia boleh menampung kapasiti 954 buah gerai, yang mana di tingkat satu terdapat 802 buah gerai, sedang di aras dua juga mengandungi 802 buah gerai.

Di tengah kawasan bulatan terdapat sebanyak 163 gerai dan di luar bangunan pasar sebanyak 260, dan berikutnya di dalam ruangan jualan kampung mengandungi sebanyak 174 buah gerai. Maka jumlah keseluruhan gerai-gerai ini mencapai lebih 3,000 buah.

Sewaktu saya belajar di Nilam Puri itu, Pasar Besar Siti Khadijah belum dinamai sedemikian. Lebih dirujuk sebagai Pasar Pusat Buluh Kubu ia memberi kelainan besar kepada saya yang berasal dari Pantai Barat Semenanjung.

Pasar ini didominasi peniaga wanita yang membolehkan nama Siti Khadijah, isteri Nabi Muhammad saw yang juga seorang saudagar disandarkan. Boleh dikatakan dalam tahun 1990an pasar ini amat gemilang. Terdapat banyak rombongan dari luar Kelantan bertumpu ke Kota Bharu dengan Pasar Besar Siti Khadijah menjadi satu kemestian.

Barangan makanan, kain batik dan sarung serta pelbagai juadah kering dan basah menjadi tumpuan pelancong lokal. Ia adalah zaman keemasan pasar ini. Saya mempunyai seorang ibu angkat yang menjadi peniaga di pasar ini dan memang beliau beroleh laba besar dari kegiatan niaganya.

Salah satu penyumbang kepada kehebatan Pasar Besar Siti Khadijah ini adalah kerana sisi delapan atau oktagon itu yang mana pelanggan yang masuk dari mana-mana pintu pun tidak mesti menempuh laluan yang sama kembali. Ia membolehkan pelanggan melalui pengalaman membeli belah yang tidak berulangan. Maka setiap peniaga mempunyai peluang tersendiri untuk meraih pembeli.

Kerosakan struktur yang serius

Tahun demi tahun, di bawah pemerintahan PAS, Pasar Besar Siti Khadijah mulai mengalami kemalapan dan hilang kemurupan. Tanpa perancangan perbandaran dan tata kelola yang yang senonoh, pembinaan Bazar Tok Guru dan Bazar Tengku Anis melarikan pelanggan dari Pasar Besar Siti Khadijah. Peniaga mulai merungut kehilangan pelanggan.

Dalam kunjungan saya baru-baru ini, Bazar Tok Guru dan Bazar Tengku Anis terasa kosong dan kehilangan semangat. Lawatan saya ke Pasar Besar Siti Khadijah malah lebih menggamamkan. Potensi pasar yang pernah terbilang ini sangat terancam. Pihak berwajib nampaknya tiada tiwikrama dan kreativiti.

Pasar Besar Siti Khadijah di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ternyata amat tidak bersih. Longgokan sampah sarap di pintu, longkang di pasar jualan basah harian tidak diuruskan dengan cekap, selain kawasan awam yang sepatutnya menjadi bebas ditampal dengan poster dan bendera PAS yang menggambarkan tiadanya profesionalisme dan pengalaman ‘conditioning’ untuk pembeli. Lebih dahsyat ialah Pasar Besar Siti Khadijah ini terancam runtuh atau roboh memandangkan terdapat kerosakan struktur yang serius dan nampaknya kurang diberi perhatian.

Maka tidaklah menghairankan, Tun Mahathir Mohamad penasihat ekonomi Kelantan tidak dibawa ke sini kerana bau, dan juga keadaan dhaif Pasar Besar Siti Khadijah tentu sahaja memberi pengalaman lain buat beliau. Saya tidak dapat dapat membayangkan bagaimana Mahathir akan meletak air muka beliau kalau dapat membawa pelabur dari negara Korea atau Jepun ke pasar ini.

Hanya minggu lalu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkejar untuk meninjau kejadian dua konkrit yang jatuh di bahagian peniaga runcit tingkat satu pasar itu. Konkrit tersebut selebar 30 sentimeter dipercayai jatuh akibat aliran air yang bocor pada bahagian atas menyebabkan besi menampung konkrit reput.

Atas sebab itu YB Hafidzah Mustakim menyatakan penyelenggaraan Pasar Siti Khadijah tidak lagi boleh dilakukan secara picisan dan menuntut perancangan yang lebih bersepadu dalam tempoh jangka panjang.

Akan tetapi banyak mana pun yang boleh dilakukan oleh ADUN Kota Lama dari pembangkang itu? Tambahan pula Menteri Besar Kelantan yang baharu, Mohd Nassuruddin Daud ada mendakwa Hafidzah dan Adun Galas dari Barisan Nasional iaitu Syahbuddin Hashim sebagai “menentang perjuangan Islam”.

Selain itu juga, pasar ini bukanlah sangat di bawah kuasa Adun Kota Lama, lantaran kerana pasar ini di bawah MPKB justeru Kerajaan Negeri. Makanya pembetulan dan pembaikan mercu tanda Kota Bharu ini memerlukan peruntukan besar yang tidak mungkin mampu ditampung oleh kepimpinan ulama meskipun dengan nasihat Mahathir.

Kata nasihat negarawan

Sudahnya tidak dapat tidak, naik taraf dan baik pulih ini perlu dirujuk kepada rakan baik Dr Hafidzah iaitu Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. Ini kerana di bawah beliaulah urusan pembangunan pasar ini dapat diberi perhatian lebih. Tambahan pula Kerajaan Perpaduan di bawah Anwar Ibrahim komited untuk melaksanakan pembangunan semula ke atas pasar awam berusia lebih 50 tahun.

Memang Pasar Besar Siti Khadijah tidak lagi mencapai usia 50 tahun itu, tetapi keadaan keselamatan dan bahaya untuk pelanggan dan peniaga perlu diberi keutamaan. Moga-moga Nga Kor Ming akan rahmah.

Nampaknya, suka tidak suka Anwar Ibrahim dan pasukannya jugalah yang terpaksa campur tangan melakukan sesuatu yang bermakna untuk Kota Bharu, dan lebih khusus Pasar Besar Siti Khadijah. Jika PMX yang tidak memperuntukkan pengubahsuaian Seri Perdana dan lebih memberi perhatian kepada tandas sekolah boleh melihat Pasar Besar Siti Khadijah alangkah baiknya.

Hanya kuasa madani dapat memberikan kepulihan buat Pasar Besar Siti Khadijah.

Sebenarnya untuk memberi nilai kepada keusahawanan wanita tidak memadai sekadar melekatkan nama isteri Nabi. Jika kita ingin membuat persembahan nama di sesebuah tempat dengan sandaran wanita pertama yang beriman memeluk Islam ini, kita seharusnya memberikan nilai-nilai Islami yang utuh kepada tempat tersebut.

Kebersihan dan kecantikan itukan pra-syarat keimanan. Tolonglah Tun nasihatkan. Kata-kata Tun Mahathir selaku penasihat besar tentu lebih laku, berbanding kata-kata saya seorang sasterawan yang kecil, saya percaya negarawan itu boleh menasihatkan.

Adalah amat memilukan melihat kebinasaan Pasar Besar Siti Khadijah secara perlahan-lahan dan ia dibiarkan binasa di hadapan mata kita. Lebih perit apabila sesuatu yang molek dan berpotensi akhirnya menjadi punah oleh ketidakcekapan, dan sikap acuh tidak acuh atas nama Islam.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.