Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Pertembungan Geng Ustaz, PasMa

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

KOLUM | Suatu gerakan perubahan memerlukan kenderaan bagi memacu agenda dan membentuk gelombang.

Antara aktor penting sebelum kemunculan Amanah lapan tahun lalu ialah Geng Ustaz (GU) dan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa). Kedua-dua kumpulan terbabit saling bertentangan lalu membentuk riak-riak perpecahan dalaman PAS.

GU adalah kumpulan yang menjadi tembok mempertahankan pendirian Presiden PAS Abdul Hadi Awang, sekali gus senjata melawan pemimpin yang tidak sehaluan dengannya.

PasMa pula adalah kumpulan yang menentang Abdul Hadi.

Pada peringkat awal kedua-dua kumpulan terbabit berada dalam PAS sehinggalah Amanah ditubuhkan.

GU muncul ketika krisis jawatan Menteri Besar Selangor memuncak. Mereka menganjurkan solat hajat bagi menyokong Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Ketika PKR merancang menggantikan Abdul Khalid melalui ‘Langkah Kajang’ bekas tokoh korporat itu enggan meletakkan jawatan. Pertaruhan PKR ialah untuk jawatan itu ialah Wan Azizah Wan Ismail tetapi langkah tersebut gagal dilaksanakan.

Ketika itu, sebahagian pimpinan PAS Pusat mempunyai pendirian berbeza menyebabkan keretakan dalam Pakatan Rakyat.

Cari jalan penyelesaian

Sebahagian pimpinan PAS Pusat menolak Wan Azizah atas hujah bahawa wanita tidak boleh dijadikan pemimpin berdasarkan sebuah hadis.

Ulama PAS melalui GU memberi sokongan padu kepada Abdul Khalid.

GU mula bergerak pada Mac 2012 dengan matlamat mengembleng tenaga “melahirkan kecintaan bersama ulama” sebagai badan keagamaan. Ia didaftarkan di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 18 Sept 2012 atas nama Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama.

Selain itu, didaftarkan juga Geng Ustaz Enterprise yang ditubuhkan setahun selepas itu sebagai syarikat perniagaan persendirian yang beralamat di Rawang.

GU diketuai Norazli Musa yang merupakan ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat.

Ia bergerak aktif dalam kegiatan kebajikan dan mewujudkan rangkaian dengan pimpinan serta pengikut PAS di peringkat akar umbi.

Pendirian dan aktiviti GU menyanggah pendekatan beberapa pemimpin PAS lain mendapat tentangan daripada PasMa.

PasMa diketuai Phahrolrazi Mohd Zawawi yang pernah menjadi exco Kedah semasa Allahyarham Azizan Abdul Razak berkhidmat sebagai menteri besar.

Semasa PAS memerintah Kedah, hubungan kedua-dua pemimpin tegang sehingga PAS Pusat terpaksa menghantar Salahuddin Ayub untuk mencari jalan penyelesaian.

Kemelut dalaman PAS Kedah tidak berpenghujung. PRU 2013 menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat gagal dipertahankan di Kedah.

Phahrolrazi agak terkehadapan mengkritik kepimpinan Abdul Hadi. Melalui PasMa, dia menggerakkan siri kempen antikepimpinan Abdul Hadi. Bagaimanapun penubuhan PasMa tiada kena mengena dengan krisis PAS di Kedah.

Atur program di serata tempat

Apabila tiba pada pemilihan PAS pada 2015, PasMa membuat usaha untuk mencabar kepimpinan Abdul Hadi buat pertama kali sejak 2002. Dalam parti yang mementingkan ketaatan kepada ketua, langkah tersebut adalah mengundang risiko.

Meskipun dibenarkan dalam perlembagaan parti dan sesuai mengikut semangat demokrasi, ia tetap memberi ruang perpecahan dalam organisasi.

Sebelum itu, PasMa dipanggil ke Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bagi memberi penjelasan pendirian mereka yang berpotensi mencetus kegusaran dalam kalangan ahli.

Sekali lagi, Salahuddin menjadi pemimpin PAS Pusat yang berhadapan dengan PasMa.

PasMa didaftarkan di Jitra, Kedah pada Ogos 2014 tetapi idea penubuhannya dicetuskan di Dar Zahra, Salor di Kelantan atas insiaitif beberapa lulusan Universiti Malaya yang menerima tarbiyah PAS sejak di kampus.

Tindakan awal PasMa ialah mencadangkan nama bekas Pesuruhjaya PAS Perak dan bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Ahmad Awang, sebagai pencabar Abdul Hadi.

Setelah Ahmad bersetuju PasMa mengatur program di serata tempat.

Ahmad menghantar borang pencalonan bagi jawatan presiden dan diiringi bekas exco Perak, Zainuddin Mohd Yusuf, ketika negeri itu diketuai Nizar Jamaluddin.

Menyedari bahawa peluang kemenangan Ahmad sangat tipis, gerakan tersebut lebih kepada simbol mencabar kepimpinan Abdul Hadi.

Menjelang beberapa bulan sebelum muktamar PAS, pemimpin parti dilihat stabil dan tenang biarpun di peringkat akar umbi sudah bergolak. Caci-maki dan fitnah menjadi peluru tidak bermata sewaktu kempen pemilihan.

Kelompok progresif dalam PAS Pusat mengandaikan bahawa para perwakilan boleh membuat keputusan secara matang.

Ahli bawahan pula 'bertempur' bermati-matian hingga membawa kepada kecederaan parah dalam parti.

Dalam pemilihan di Kuala Selangor, Abdul Hadi mengatasi Ahmad apabila mendapat 928 undi berbanding pencabarnya itu yang memperoleh 233 undi. Pada masa yang sama, 18 anggota Jawatankuasa PAS Pusat yang tidak sehaluan dengan Abdul Hadi diketepikan secara en bloc.

Seminggu selepas muktamar itu - pada 12 Jun 2015 - satu sidang media diadakan di Restoran Nasi Kandar Musa di Jalan Glenmarie, Shah Alam, bagi mengumumkan niat PasMa menubuhkan parti politik.

PasMa menubuhkan cawangannya hampir di semua negeri.

Di peringkat negeri, mereka mempunyai ketuanya seperti Mohamad Husin (Kelantan), Mohd Taib Ahmad (Kedah), Abdul Aziz Abas (Terengganu), Tengku Puji Tengku Abdul Hamid (Pahang), Mohd Iqbal Sharif (Perlis), Zulkifli Mat Lazim (Pulau Pinang), Mohd Hisomudin Bakar (Perak), Mohd Nazir Zakaria (Wilayah Persekutuan), Mohd Faizal (Selangor), Mohd Fuad Othman (Negeri Sembilan) dan Sheikh Umar Bagharib Ali (Johor).

Awalnya PasMa menjadi takungan sementara kepada ahli PAS yang ingin keluar parti namun enggan menyertai parti lain.

Selepas muktamar di Kuala Selangor, PasMa antara kumpulan terawal yang menyertai Amanah sejurus parti itu dilancarkan.


MUHAIMIN SULAM ialah bekas Setiausaha PAS Perak dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Kini dia ialah ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.