Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Generasi demi generasi hadapi realiti Palestin

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

KOLUM | Pertama kali saya sedar mengenai Palestin ialah pada 1973 ketika berusia 14 tahun. Pada tahun itu berlaku berlaku Perang Ramadan. Ada pihak yang menyebutnya sebagai Perang Oktober. Di pihak Israel dan dunia Barat, ia dinamakan Perang Yom Kippur, sempena dengan satu hari keagamaan Yahudi.

Dari 1973 hingga 2023, bermakna ia sudah 50 tahun berlalu. Maka tahun ini ia merupakan ulang tahun ke-50. Perang itu berlangsung dari 6 Oktober hingga 25 Oktober 1973.

Dengan keadaan Palestin pada hari ini, nasib malangnya masih belum selesai. Generasi rakyat Palestin seumur dengan saya yang berada di Gaza dan Tebing Barat telah menjalani keseluruhan hidup mereka di bawah pendudukan tentera Israel dengan segala kesusahannya.

Sementara saya sebagai wartawan yang mengikuti perkembangan di Palestin selama 50 tahun juga turut rasa kepedihan mereka. Pada umumnya isu Palestin ini menguasai emosi dan minda mereka yang menyokongnya terutama orang Islam dan Arab. Tetapi terdapat banyak kalangan bukan Islam dari golongan berfahaman kiri yang memihak pada Palestin demi keadilan dan kemanusiaan.

Perang Ramadan menyaksikan tentera Mesir menyeberangi Terusan Suez dan semenanjung Sinai hingga ke sempadan dengan Israel. Sebelum itu Israel menguasai semenanjung Sinai dan Terusan Suez ditutup. Perang itu turut membabitkan tentera Jordan dan Syria yang berusaha untuk membebaskan Palestin. Dunia Arab ketika itu bersatu. Libya dan Iraq juga menghantar tentera. Arab Saudi di bawah kepimpinan Al-Malik Faisal menggunakan minyak sebagai senjata menekan Amerika Syarikat dan Eropah Barat yang menyokong Israel. Sementara Soviet Union dan sekutu-sekutunya menyokong Palestin dan negara-negara Arab.

Pada masa itu saya bersekolah di sebelah petang dan pergi ke sekolah agama Johor pada sebelah pagi. Bukan saya saja yang sedar tentang Palestin akibat peperangan itu, tetapi juga ramai di kalangan kawan-kawan sekolah saya. Setiap hari kami berbincang dan berasa solidariti dengan orang Palestin, Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria yang mana wilayah mereka diduduki oleh Israel. Kami sebagai orang Melayu Islam Malaysia berasa menjadi sebahagian daripada Dunia Islam.

Malah ada kawan sekelas agama saya membawa radio ke sekolah untuk mendengar laporan terkini perang itu. Oleh kerana waktu itu bulan puasa, maka ketika rehat kami berkumpul di belakang bangunan sekolah untuk mendengar laporan terkini yang dibuat dari masa ke masa. Ada satu ketika, apabila dilaporkan Libya menghantar tenteranya untuk membantu Palestin, kami menyambut berita itu dengan laungan takbir.

Radio Malaysia menjadi sumber utama maklumat perang tersebut. Selain itu kami membaca berita-berita mengenai perang dari akhbar di perpustakaan sekolah. Tetapi berita-berita banyak datang dari agensi berita Barat seperti Reuters, AFP dan AP yang cenderung kepada Israel. Namun akhbar-akhbar itu ada juga menyiarkan berita dari agensi Soviet, Tass dan agensi berita Mesir, Mena. Akhbar-akhbar Malaysia itu tentunya mengulas perang dengan memihak pada Palestin dan negara-negara Arab.

Saya turut membaca majalah mingguan antarabangsa Amerika, Time dan Newsweek yang terdapat di perpustakaan sekolah. Majalah-majalah itu memaparkan secara terperinci perang dengan gambar, peta dan grafik. Tetapi mereka tentunya menyebelahi Israel.

Walaupun Perang Ramadan diakhiri dengan gencatan senjata dan perjanjian damai antara Mesir dan Israel tetapi perjuangan pembebasan Palestin tidak berakhir. Ini kerana Palestin masih diduduki oleh Israel. Perjuangan diteruskan oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasser Arafat yang menggabungkan pelbagai pertubuhan termasuk Al-Fatah yang menjadi ketuanya serta pertubuhan kiri, iaitu Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin (PFLP). Pada masa itu Hamas atau Harakah Muqawamah Islam, yang bermaksud Pergerakan Perlawanan Islamiah, belum wujud.

Palestin yang keluasannya lebih kecil daripada Semenanjung Malaysia terus berada dalam minda sebahagian besar manusia. Bukan saja orang Islam dan Arab yang memilih bersolidariti dengan Palestin. Kalangan golongan berhaluan kiri di seluruh dunia turut berada di pihak Palestin. Sememangnya sebahagian besar orang Islam memihak kepada Palestin kerana agama dan identiti tetapi tidak kurang pula yang memihak pada Palestin kerana ideologi atau prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Generasi 1970-an berlalu tanpa berjaya membebaskan Palestin. Maka generasi Presiden Mesir Anwar Sadat. Raja Hussein dari Jordan, Al-Malik Faisal dari Arab Saudi, Presiden Syria Hafez Assad, Presiden Libya Muammar Gaddafi, Presiden Iraq Saddam Hussein dan Presiden Palestin Yasser Arafat kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah dengan Israel bukan saja terus menduduki Palestin tetapi juga wilayah Mesir, Syria dan Lubnan.

Pada 1982, di usia 24 saya mula menjadi seorang pemberita. Pada tahun itu juga berlaku pembunuhan kira-kira 3,000 orang Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila di Beirut. Pihak yang melakukan pembunuhan itu adalah Angkatan Lubnan yang sedang terlibat dengan perang saudara di negara itu. Tetapi kem pelarian itu berada dalam kawalan tentera Israel. Mereka sengaja membenarkan pihak bersenjata Kristian Maronit Lubnan itu masuk ke kem dengan kesedaran bahawa pelarian-pelarian Palestin akan dibunuh.

Pembunuhan ramai itu mendatangkan gelombang simpati besar di seluruh dunia. Media massa negara menyiarkan pelbagai tulisan dan hebahan mengenainya. Acara-acara seperti membaca puisi dan seminar diadakan bagi meraih sokongan ramai kepada perjuangan Palestin. Lagu dicipta untuk memperingati peristiwa Shatila dan Sabra. Ia dibawa oleh kumpulan Harmoni dan Radio Malaysia seing menyiarkannya.

Untuk membantu pelarian Palestin, kutipan derma dilancarkan. Akhbar-akhbar termasuk Utusan melancarkan tabung Palestin. Orang ramai datang ke pejabat untuk menyampaikan derna. Pemberita mengambil maklumat para penderma dan gambar mereka disiarkan dalam akhbar. Derma itu diserahkan pada wakil PLO di Kuala Lumpur.

Pada satu hari Jumaat, Masjid Negara mengajak para jemaah menghulur derma untuk Palestin. Saya ditugaskan mengambil wang derma yang kebanyakannya berbentuk syiling untuk dibawa ke pejabat. Gambar Imam Masjid Negara menyerahkan wang itu diambil dan didiatkan.

Pada tahun berikutnya, iaitu 1984, saya hadir ke sidang akhbar oleh Menteti Luar Ghazali Shafie di Wisma Putra. Dia mengumumkan bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggerakkan inisiatif untuk menangani soal Palestin. Maka Malaysia mengadakan Persidangan Antarabangsa Mengenai Soal Palestin yang diadakan di Hotel Hilton. Banyak negara menyertainya dan usaha Malaysia itu mendapat sokongan.

Malaysia mengiktiraf Palestin sebagai negara dan kedutaannya dibuka di Kuala Lumpur. Yasser Arafat diundang ke sini dengan satu acara perhimpunan besar diadakan di Stadium Merdeka. Wisma Putra terbitkan sebuah buku kecil mengenai persoalan Palestin dan diedarkan ke seluruh dunia.

Namun begitu, realitinya Israel tidak berganjak. Negara berdaulat Palestin tetap tidak tertubuh. Maklumat mengenai Palesin bagaimanapun semakin banyak. Ada dua majalah bulanan antarabangsa yang memberi sudut pandangan umat Islam mengenai Palestin. Majalah yang diterbitkan di London itu bernama Arabia dan Afkar Inquiry. Satu lagi ialah akhbar dwimingguan, Crescent International yang diterbitkan di Toronto.

Pada 1988, saya menerbitkan sebuah majalah bulanan bernama Dunia Islam. Pada satu hari saya terbaca satu berita kecil mengenai demonstrasi di Gaza. Saya menyiarkannya di muka depan dengan menjangkakan peristiwa itu akan berpanjangan dan menjadi besar. Siri demonstrasi itu dikenali sebagai Intifadah. Tindakan ini sebenarnya bermula pada Disember 1987 dan ia berakhir pada September 1993.

Ekoran itu perkembangan di Palestin berubah pada tahun 1994. Negara Palestin diisytihar akan ditubuhkan di atas wilayah Tebing Barat dan Gaza. Tetapi keluasan Israel tidak terjejas. Ini kerana dulu Tebing Barat terletak di bawah Jordan dan Gaza di bawah Mesir sebelum ditakluk oleh Israel pada tahun 1967. Pilihan raya diadakan dengan PLO menguasai Tebing Barat dan Hamas di Gaza.

Namun negara Palestin tetap tidak ditubuhkan. Gaza menjadi kem tahanan besar dengan orang Palestin tidak boleh hidup seperti mana rakyat negara biasa. Sementara penempatan Yahudi terus ditambah di Tebing Barat.

Setelah serang menyerang antara Israel dan Gaza berlaku banyak kali, realitinya Palestin masih tidak diwujudkan. Israel terlalu kuat untuk dikalahkan oleh Hamas. Amerika dan Eropah terus membela Israel dan tidak mempedulikan hak dan nasib orang Pakedtin.

Kini, perjuangan untuk membebaskan Palestin sedang beralih ke tangan generasi baru. Selama 50 tahun soal Palestin berada dalam sebahagian besar hidup generasi saya. maka ia akan berterusan bagi generasi akan datang. Semua pihak sudah bergantian generasi: Palestin, Israel, Amerika dan dunia Islam. Maka diharapkan generasi baru akan dapat cari jalan penyelesaian isu Palestin. Berbanding 50 tahun lalu, maklumat lebih mudah diperoleh walaupun pembohongan juga bertambah luas.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.