Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Pendidikan percuma: Utopia dan retorika?

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

KOLUM | Taring Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim nampaknya sudah makin tumpul. Dan dia sudah lagi tidak berbisa seperti suatu masa dahulu ketika dia berarak di jalanan, berkampung di Dataran Merdeka dan dilempar dari universiti.

Bisanya suatu masa dahulu tentang PTPTN barangkali hari ini dianggap bisul kerana PTPTN dan dirinya selalu disiul-siulkan ramai orang di media sosial. Dia kini hanyalah menjadi sekadar tukang perasmi majlis yang jauh sekali dari imaginasi rakyat Malaysia 5-10 tahun dahulu tentang Adam Adli. PTPTN yang menjadi antara bahan utama Adam Adli dalam kegiatan agitasinya, akhirnya sudah hilang dari gusinya.

Dia sudah tidak lagi berkokok tentang PTPTN, yang menaikkan namanya sampai ke persada timbalan menteri yang dijawatnya hari ini. Benar, Adam boleh sahaja melupakan perjuangannya tentang PTPTN tetapi masyarakat dan rakyat yang melihat tidak sekali-kali melupakan hal ini.

Adam telah menjadi tua sebelum masanya. Ada satu kata-kata Arab yang sangat kena dalam hal ini, yang bermaksud: “Kamu telah menjadi kismis sebelum menjadi anggur.

Adam Adli

Kerana akhirnya, sebelum tiba waktunya, Adam telah kehilangan semangat kepemudaannya terlalu awal. Kita boleh faham jika Mat Sabu yang suatu waktu dulu ketika muda ceramahnya begitu berapi-api, sehingga api pun boleh terpadam, hujan pun boleh berhenti mendengar ceramahnya. Namun sekarang, kita faham bila ceramahnya atau apa sahaja yang keluar dari mulut Mat Sabu sudah tidak menyengat dan kedengaran membosankan.

Jika sewaktu Adam berumur 40-an atau 50-an ke atas, kita boleh faham jika dia sudah lesu atau hilang semangat hendak memberontak. Tetapi apabila diberikan jawatan dan kedudukan terlalu awal, maka sudah tiada lagi kobaran api dan pekikan perlawanan dari anak muda ini.

Nampaknya Adam dalam hal janji tidak ditepati ini makin memiripi Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Anwar ketika di era mahasiswa dahulu memimpin pelajar untuk memansuhkan Auku. Tetapi apabila dia masuk ke dalam kerajaan dan seterusnya menjadi menteri pendidikan, Auku masih tetap dikekalkan.

Sekali lagi apabila dilempar keluar dari keranjang kekuasaan, Anwar berkokok lagi sekali tentang mansuhkan Auku. Dia naik semula menjadi kerajaan, dia mengatakan tidak sesuai mansuhkan Auku. Adam pula persis mentornya, dalam hal PTPTN dia menentang keras hingga dia memacak khemah di Dataran Merdeka. Khemah dicabut pihak berkuasa, dipacak lagi, menunjukkan mereka anak muda pemberani. Tetapi sebaik sahaja memegang jawatan, mulutnya terus terkunci. Tidak berbunyi barang sepatah dua kata apa pun tentang PTPTN.

 Hutang mesti dibayar, pendidikan percuma bagaimana?

Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu mengatakan hutang mesti dibayar. Itu benar. Tetapi seperti kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Anwar ini asal buka mulut sahaja, bohong. Asal buka mulut sahaja, bohong.

Kita tidak menafikan tentang hutang mesti dibayar. Tetapi bagaimana pula dengan janji-janji manifesto? Adakah ini semua hanyalah dusta dan satu lagi pembohongan dari senarai daftar pembohongan-pembohongan yang lain?

Jika Anwar dan antek-anteknya seperti Adam Adli dan Rafizi Ramli tidak pernah bercakap tentang hal ini, tidak ada seorang manusia di bumi pun akan menyalahkan mereka. Sebaliknya selepas mendapat kuasa, mereka berpura-pura seolah tidak mengenali mereka yang dulu pernah menjanjikan pendidikan percuma? Tidak malukah mereka dengan diri mereka yang dulu?

PH khianat perjuangan pendidikan percuma

Mahathir suatu masa dahulu ketika tahun kedua menjadi perdana menteri buat sesi pertamanya, iaitu pada tahun 1982, dilaporkan mengatakan pelajaran percuma menjelang tahun tersebut. Tulisan di akhbar itu dalam tulisan jawi. Ia menunjukkan pelajaran percuma adalah antara retorik Mahathir yang sehingga dia menjadi perdana menteri sesi kedua pun tetap tidak dilaksanakan. Tidakkah sama seperti Anwar?

Adakah Anwar dan antek-antek PH-nya hanya sekadar menunggang isu dan menjadikan mahasiswa-mahasiswi seluruh Malaysia selama ini sebagai keldai-keldai tunggangan semata-mata? Tempelakan yang sama harus ditalakan pada Adam Adli yang kini menjadi timbalan menteri. Adakah perjuangan menuntut pendidikan percuma hanyalah batu loncatan untuk dia mendapat kedudukan?

Bukanlah semua yang keluar dari mulut Anwar itu buruk dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini dalam hal membabitkan PTPTN. Akibat tekanan orang ramai terutama bekas graduan yang masih terkial-kial untuk hidup, akhirnya diskaun yang pada mulanya hendak dihentikan, telah ditarik balik.

Tetapi ketika berdialog dengan mahasiswa pada 13 Jun 2023, dia masih bercakap tentang pendidikan percuma. Dia percaya pendidikan harus diberikan percuma kepada rakyat dari sekolah rendah sehingga ke universiti, kecuali melibatkan golongan kaya. Dan menurutnya ia perlukan masa.

Jika tak mampu, tak perlu janji itu ini

Anwar bila berhujah selepas menjadi pemerintah, nadanya sudah berubah. Tidak lagi kedengaran saya ulang, hari ini saya menang, esok….

Selain hal ini yang selalu dimain-mainkan oleh musuh politiknya, dia juga sedar setakat mana kemampuan yang dia boleh lakukan. Yang celik dan cerdik akan tertanya, adakah itu hari ini saya menang, esok itu, esok ini, atau semua masalah selesai itu hanyalah figure of speech?

Maka usahlah lagi berjanji itu dan berjanji ini kerana ia hanya membuatkan rakyat makin jelik. Jika kerajaan ini tidak mampu, berdepan dengan kekangan kewangan dan sebagainya, maka buat satu pengumuman, minta maaf kepada rakyat kerana tidak mampu menunaikan janji-janji yang dibuat selama ini. Dan kerajaan kini berdepan dengan masalah kewangan. Kita akan menuju ke pendidikan percuma, tapi bukan sekarang, bukan esok, bukan lusa. Tunjukkan kepada rakyat yang dia bukanlah pembohong.

Adalah lebih baik kita diberikan jawapan yang tuntas dan jelas, yang tidak berdolak-dalik dan berpusing-pusing. Sekiranya kerajaan dan mana-mana ahli/parti politik yang pernah menjadi kerajaan (termasuk PAS) sudah menyedari beban atau kekangan kerajaan, maka tidak perlu lagi dan hentikan serta merta janji-janji manis yang hanya sedap ditanam di bibir, tetapi perit bila hendak ditunaikan.

Jika tidak ada janji-janji manis itu, maka rakyat pun faham bahawa universiti itu memang satu sistem pendidikan untuk mereka yang berduit. Pada yang tak mampu, selepas SPM bawa sahaja Grab atau terjun ke seluruh arena ekonomi gig. Ini kerana kerajaan neo-liberal pimpinan Anwar tidak berhasrat untuk mengubah ideologi ini. Itu lebih jelas berbanding mengatakan hendak mewujudkan pendidikan percuma disalut dengan retorik-retorik bernada sosialis yang pada akhirnya hanyalah sekadar populis untuk menang hati rakyat, tetapi bila berkuasa haram tidak buat.

Kita tidak dapat marah Najib atau Umno-BN dalam hal ini, kerana mereka tidak pernah menjanjikan pendidikan percuma. Tetapi sekurang-kurangnya Najib yang memulakan diskaun PTPTN pada eranya (2012). Sosok yang diturunkan benderanya oleh Adam Adli.

Buat Adam Adli yang tidak berani bercakap isu rampasan buku (bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984), isu Akta Hasutan yang memenjarakan Wan Ji Wan Hussin selama sembilan bulan, sekurang-kurangnya bercakaplah tentang isu yang pernah disepandukkannya sebelum ini, iaitu PTPTN.

Jika tidak mampu, elok undur sahaja kerana anda telah menipu rakyat selama ini. Itupun jika anda masih ada maruah.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.