Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Peranan Ikram dalam Amanah

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

KOLUM | Antara ciri utama masyarakat madani (civil society) ialah penyertaan gerakan sivil ke dalam organ politik, atau memiliki suara dan mata politik yang tajam.

Ia menjadikan kuasa politik tidak hanya dikuasai parti politik atau ahli politik yang lebih memberi tumpuan kepada isu kuasa ketimbang idealisme bermasyarakat.

Penubuhan Amanah lapan tahun lalu bukan saja dicetuskan oleh bekas ahli PAS yang hilang kepercayaan terhadap parti itu, sebaliknya turut membabitkan banyak pihak sama ada secara langsung atau tidak.

Satu daripadanya ialah Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang merupakan sebuah organisasi tersusun dalam bidang dakwah.

Ikram ditubuhkan secara rasmi pada 22 Okt 2009 dan dilancarkan pada 20 Jun 2010. Sebelum ditubuhkan, gerakan itu lebih dikenali sebagai Jamaah Islah Malaysia (JIM) sejak ia ditubuhkan pada 27 Julai 1990.

JIM dibubarkan dan digantikan dengan Ikram dengan tujuan menyepadukan sumber-sumber yang mereka ada di bawah organisasi baru. Namun penubuhan Ikram juga akibat perpecahan yang berlaku dalam JIM sehingga membawa kepada munculnya dua aliran pemikiran.

Satu lagi kelompok yang lahir dari rahim JIM adalah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang sifatnya nasionalis Islam kanan.

Gerakan Islam di Malaysia banyak dipelopori oleh kalangan pelajar atau mahasiswa universiti sama ada di dalam atau luar negara. Pada 1980-an ia dipelopori oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Majlis Perwakilan Islam (IRC) dan PAS.

Al-Arqam juga pernah menyumbang pada peringkat awal sebelum ia diharamkan oleh kerajaan.

Berperanan secara signifikan

Mereka mendapat pendedahan dakwah dan tarbiah semasa belajar di luar negara terutama di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Usaha tersebut dilanjutkan apabila mereka kembali ke Malaysia.

Seiring dengan perubahan masa, medan tersebut berkembang luas dan mencakupi pelbagai bidang baru. Hasil penglibatan mereka, lahirlah beberapa agensi dan organisasi yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti dengan lebih dinamik serta tersusun.  

Dengan lahirnya pertubuhan dan pendekatan yang pelbagai menyebabkan gerakan Islam di tanah air berkembang pesat termasuk dalam bidang politik.

Beberapa pimpinan dan aktivis Ikram kemudian terlibat dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) atas kapasiti peribadi dan berbincang bagi membentuk sebuah parti baru sesudah muktamar PAS di Kuala Selangor pada 2015.

Sebagai golongan Islamis, mereka berpendirian mahu meletakkan kumpulan progresif berperanan secara signifikan untuk menentukan hala tuju politik negara sebelum bersama Pakatan Rakyat (PR).

Maszlee Malik misalnya, adalah bekas ahli syura Ikram yang menegaskan keperluan sebuah parti baru yang segar ditubuhkan bagi menjadi wadah gerakan Islam progresif dalam PAS selepas mereka diketepikan parti.

Dia menyatakan cadangan tersebut dalam forum yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) pada 11 Jun 2015.

Kenyataan ini memperkukuhkan lagi peranan Ikram dalam membantu membidani Amanah dalam politik Malaysia. Walaupun Maszlee bercakap atas kapasiti peribadi namun kenyataan itu secara politik mewakili Ikram.

Ironinya, setelah Amanah tertubuh, Maszlee menyertai Bersatu.

Hubungan pemimpin GHB dengan Ikram bersifat peribadi. Dalam konteks di Perak, GHB mengadakan perjumpaan dengan Ikram namun ia turut membuka ruang kepada pertubuhan Islam setempat yang lain.

Setelah GHB nasional membuat keputusan untuk bekerjasama dengan beberapa NGO yang berminat menubuhkan parti baru Islam, GHB Perak membuat langkah susulan dengan mengadakan perbincangan secara serius.

Asmuni Awi

Pertemuan berlangsung melalui sesi minum petang di kafe Hotel Casuarina Meru, Ipoh. GHB Perak diketuai Asmuni Awi dan turut disertai Nizar Jamaluddin, Khairuddin Malek dan Salman Salleh.

Hasil daripada perbincangan tersebut, Ikram Perak menghantar beberapa orang termasuk bekas naib pengerusinya Fakhruldin Hashim menyertai GHB - diikuti Amanah - selepas selesai proses penajaannya.

Sebahagian daripada mereka adalah bekas penyokong PAS di peringkat cawangan manakala yang lain tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.

Mereka yang bersama dengan Amanah melepaskan jawatan dalam Ikram bagi memastikan pertubuhan tersebut kekal bersifat non partisan.

Semasa awal pembentukan Amanah Perak, Fakhruldin dipilih menjadi naib pengerusi. Kebanyakan aktivis Amanah terdiri daripada pensyarah Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar.

Kemasukan pimpinan Ikram turut membabitkan sayap pemuda dan wanita sama ada di peringkat negeri atau kawasan. Namun Ikram lebih memfokuskan kawasan-kawasan tertentu seperti Tambun, Batu Gajah, Gopeng, Teluk Intan dan Parit Buntar.

Antaranya aktivis Ikram yang menyertai Amanah ialah Zaiton Abdul Latif yang diangkat sebagai Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Perak. Semasa PRU ke-14 lalu dia bertanding di DUN Kampung Gajah.

Di peringkat nasional, beberapa pemimpin Ikram turut mendapat tempat dalam pemilihan lalu ahli Jawatankuasa Amanah Nasional seperti Ahmad Termizi Ramli. Hasanuddin Mohd Yunus pula dilantik sebagai salah seorang naib presiden dan dia pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen Hulu Langat.


MUHAIMIN SULAM ialah bekas Setiausaha PAS Perak dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Kini dia ialah ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.