Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | PAS dan orang kafir

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

KOLUM | Baru-baru ini, dalam Muktamar PAS yang ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, presidennya telah menyatakan supaya parti itu melakukan gerak kerja lebih kuat untuk mendekatkan pengundi kafir dengan parti PAS.

Ini dengan harapan, apabila lebih ramai pengundi kafir memberi sokongan dan undi kepada PAS, maka nanti menanglah PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekaligus bolehlah PAS memerintah negara ini selaras dengan cita-cita parti itu untuk menegakkan negara Islam.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengakui yang dapatan bedah siasat PRU ke-15 (PRU15) lalu mendapati antara kelemahan PAS adalah masih gagal menarik sokongan pengundi kafir ini. Menurut laporan, beliau disebut berkata, “Kita sudah buat banyak sesi dialog dengan pihak bukan Islam, namun kesannya tidak sampai pada majoriti mereka. Selepas ini, kita perlu lebih banyak buat kerja lapangan, dekatkan mereka dengan PAS”.

Seperti yang telah diketahui, dalam PRU15 dan pilihan raya negeri (PRN) 2023 yang lalu, PAS menerima sokongan mendadak sehingga merekodkan peningkatan sebanyak 140 peratus iaitu daripada 18 kerusi pada PRU14 kepada 43 kerusi ketika PRU15.

Dalam PRN di enam buah negeri pula, PAS mencapai tahap kemenangan 83 peratus dengan mendapat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tertinggi sebanyak 105 kerusi berbanding parti-parti lain. Ia adalah kejayaan untuk PAS sepanjang sejarah 71 tahun penubuhan parti itu menerusi kerjasama dalam gabungan PN atau Perikatan Nasional.

Sekarang kita kembali kepada hasrat dan cita-cita PAS untuk menarik sokongan golongan kafir demi membolehkan mereka berkuasa kelak. Sebelum itu dilakukan ada baiknya saya menjelaskan terma kafir yang digunakan dalam tulisan ini adalah kerana mengambil semangat sisi pandang kaum konservatif Melayu-Islam di negara ini yang rata-rata menganggap penggunaan kata kafir itu sebagai satu kata dari bahasa Arab yang sungguh neutral, semacam positif, bersih malah barangkali indah untuk diguna pakai.

Memenangi hati

Antara yang memandang positif penggunaan kata ‘kafir’ untuk golongan bukan Islam ini adalah Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Zamri Hashim yang mana mengatakan kafir adalah “orang yang masih belum membuka hatinya dan masih kekal menutupi sanubarinya untuk menerima Islam sebagai agama, mengesakan ALLAH SWT, mengimani Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir itu dinamakan kafir”.

Manakala Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Zuraida Kamaruddin menggesa supaya kata kafir boleh digunakan di dalam Dewan Rakyat memandangkan “…perkataan kafir yang berasal daripada bahasa Arab” itu adalah “merujuk kepada orang-orang yang tidak mempercayai atau lebih tepat lagi mereka yang bukan beragama Islam dan tidak mempercayai apa yang diimani oleh seorang Muslim.”

Lebih dari itu juga Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengalu-alukan penggunaan kata ‘kafir’ kerana menurut beliau “konsep kafir ini, saya nampak ada silap faham, bila sebut istilah kafir itu macam benda yang jijik, kotor, jahat, bukan…”

Beliau ikut menambah yang “bahawa ada orang kafir baik dengan Islam, tapi dia tetap kafir”. Tuan Ibrahim membuat kenyataan demikian sebagai mengulas gesaan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang meminta pimpinan PAS berhenti memanggil bukan Muslim sebagai ‘kafir’ kerana perkataan itu memberi persepsi buruk kepada kaum lain, selain mendatangkan kesan buruk dan mengganggu keharmonian masyarakat majmuk.

Sekiranya PAS satu hari kelak memerintah negara iaitu selepas memenangi hati kaum kafir dan serentak itu cukup jumlah untuk membentuk kerajaan persekutuan, bagaimanakah model negara Islam yang PAS akan dirikan?

Soalan klise ini membawa kita kepada tesis sarjana Abu Bakar Abdullah di Universiti Kebangsaan Malaysia, yang kemudian diterbitkan dengan judul Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya (1986).

Siapakah Abu Bakar Abdullah?

Arwah adalah adalah sahabat baik Abdul Hadi Awang, yang mana merupakan seorang lejen di dalam parti PAS. Pada tahun 1977, Abu Bakar Abdullah bersama-sama Abu Bakar Chik menubuhkan Institut Berakan. Beliau pernah menjadi Setiausaha PAS Kawasan Kuala Nerus dan juga Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Tepoh.

Antara tahun-tahun 1986 sehingga 1991, beliau terpilih sebagai AJK Dewan Pemuda PAS Pusat dan menjadi Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pusat. Ketika era beliau memimpin PASTI, rangkaian pra sekolah PAS itu memiliki buku teksnya sendiri. Pada 2 Disember 1999, Abu Bakar Abdullah turut dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang berperanan dalam Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan.

Buku Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya karya Abu Bakar Abdullah adalah satu panduan bagaimana atau apa caranya PAS akan memerintah negara ini kelak apabila meraih kuasa. Oleh sebab fokus tulisan ini adalah mengenai orang kafir dan bukan lainnya, maka saya akan menurunkan pandangan Abu Bakar Abdullah tentang orang kafir sahaja.

Pertamanya, apakah maksud dan kedudukan orang kafir menurut Abu Bakar Abdullah? Tulis beliau begini: “Orang-orang bukan Islam yang tinggal di Malaysia kebanyakannya jenis musyirikin; menyembah berhala, seperti beragama Buddha, Hindu dan Anamisma. Sebahagian mereka beragama Kristian. Tidak dapat ditentukan status mereka dengan tepat, sama ada dhimmi, musta'min atau harbi. Mufti Terengganu pernah mengeluarkan fatwa mengatakan mereka adalah kafir dhimmi, manakala mufti Kelantan mengatakan mereka bukan kafir harbi. Tetapi fatwa tersebut mungkin tidak tepat, kerana untuk menentukan orang-orang bukan Islam sebagai kafir dhimmi, musta'min atau harbi hanya boleh dibuat sekiranya Malaysia menjadi sebuah negara Islam.”

Untuk kelompok yang menolak pendirian negara Islam dengan alasan Malaysia adalah negara majmuk, Abu Bakar Abdullah memetik kata-kata seorang ulama jalur keras dan menukilkan begini; “Mengikut Afif Abd al-Fatah Tabärah, masyarakat bukan Islam adalah bersikap negatif terhadap undang-undang Islam dan mereka tidak mahu dilaksanakan undang-undang tersebut, kerana bimbang akan mengembalikan kegemilangan umat Islam dan menyekat kebebasan beragama di kalangan mereka.”

Keduanya, apakah status orang kafir dalam politik negara kita sekiranya cita-cita Abu Bakar Abdullah menjadi kenyataan? Menurutnya untuk jawatan-jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam, “Perlembagaan Persekutuan hendaklah memperuntukkan bahawa jawatan-jawatan penting seperti Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Setiausaha Negara, Ketua Hakim Negara serta lain-lain jawatan penting yang berhubung dengan urusan agama Islam dan polisi negara hendaklah dilantik daripada orang yang beragama Islam.”

Tambah beliau; “Orang bukan Islam (baca: kafir) tidak boleh dilantik memegang jawatan-jawatan tersebut. Mereka hanya boleh dilantik memegang jawatan-jawatan yang setaraf dengan ‘Wazir al-Tanfiz’ dalam sistem pemerintahan Islam, iaitu jawatan-jawatan untuk melaksanakan dasar yang telah ditetapkan.”

Ketiganya, Abu Bakar Abdullah menyarankan apabila negara Islam Malaysia tertegak, kelayakan wakil rakyat perlu disemak kembali. Menurut beliau, “Perkara 47 Perlembagaan yang menetapkan kelayakan seseorang itu untuk dipilih dan dilantik menjadi wakil rakyat hendaklah warganegara Malaysia, bermastautin di dalam Persekutuan, berumur tidak kurang daripada dua puluh satu tahun dan tidak hilang apa-apa kelayakan sebagaimana yang diperuntukkan dalam perkara 48 perlembagaan tersebut, hendaklah dipinda dan digantikan dengan suatu peruntukan yang menetapkan seseorang itu layak dipilih dan dilantik menjadi wakil rakyat hendaklah beragama Islam, adil, mempunyai ilmu pengetahuan dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negara, mempunyai keupayaan dan amanah.”

Keempatnya adakah orang kafir akan mempunyai wakil di Dewan Rakyat jika gagasan di atas terlaksana? Kajian Abu Bakar Abdullah memutuskan yang, “orang bukan Islam hanya boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai mewakili orang-orang bukan Islam di Parlimen dan dilantik oleh Sultan bagi Dewan Undangan Negeri. Perlembagaan Persekutuan juga hendaklah memperuntukkan bahawa orang bukan Islam tidak boleh dipilih oleh orang Islam sebagai wakil mereka. Dan menetapkan bahawa orang bukan Islam boleh dipilih oleh orang bukan Islam sahaja sebagai wakil mereka.”

Kedudukan orang kafir

Dalam erti kata lain orang kafir tidak banyak pilihan, demikian juga orang Islam. Jika seseorang pemimpin itu rajin dan kreatif tetapi tidak beragama Islam maka kita perlu melupakannya lantas memilih pemimpin yang malas dan kuat berkhayal tetapi beragama Islam.

Adakah tetangga, kawan sepejabat dan kekasih kita yang kafir akan layak mengundi dalam negara Islam bayangan Abu Bakar Abdullah ini? Buku ini menyatakan yang dalam hal ‘Kelayakan Pengundi’, “Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kelayakan seseorang untuk menjadi pengundi hendaklah warganegara Malaysia, berumur dua puluh satu tahun dan bermastautin di kawasan pilihan raya hendaklah dan digantikan dengan memperuntukkan bahawa setiap orang warganegara Malaysia yang beragama Islam hanya layak menjadi pengundi apabila cukup umur lapan belas tahun dan berhak memilih atau mengundi orang-orang Islam sahaja sebagai wakil mereka. Bagi warganegara bukan Islam, maka hendaklah berumur cukup lapan belas tahun dan hanya layak mengundi orang-orang bukan Islam sahaja sebagai wakil mereka.”

Poin-poin diatas menunjukkan kedudukan orang kafir dalam sebuah negara Islam. Kelihatannya tidak banyak hak berpolitik diberikan buat mereka. Saya kurang pasti apakah parti Gerakan mengetahui kewujudan buku atau pelan yang sudah diterbitkan sejak tahun 1986 ini?

Untuk berlaku adil, sukar untuk ditentukan berapa banyakkah pandangan Abu Bakar Abdullah dalam bukunya Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya ini telah tertanam dalam generasi PASTI sejak tahun 1986 sehingga PRU15 lalu. Juga, untuk berlaku adil oleh sebab PAS belum memerintah maka sukar untuk disukat apakah PAS akan menunaikan pandangan atau saranan Abu Bakar Abdullah ini.

Mungkin juga tidak dilaksanakan sama sekali. Pun, barangkali juga dilaksanakan. Namun, dengan memadai mengambil kira apa yang PAS lakukan di Trengganu hari ini dapat dijadikan petunjuk apakah bentuk layanan dan sikap PAS terhadap orang bukan Islam, atau dengan kata yang lebih indah dan tepat menurut kaum konservatif sebagai, kafir.

Ketika Abu Bakar menggarap idea negara Islam PAS ini, Mahathir Mohamad masih lagi kuasa taghut buat PAS. Amanat Haji Hadi baru berusia lima tahun. Dan tragedi Memali terjadi setahun sebelumnya. PAS masih belum berkawan dengan DAP di dalam Pakatan Rakyat.

Dalam prakata di buku Abu Bakar Abdullah ini, Hadi Awang menulis kata-kata serba muluk. Hadi yang kini Presiden PAS menganggap kajian sahabatnya itu “lampu yang menyinari umat Islam”. Dan untuk mereka yang kafir, Hadi mengharapkan buku ini dapat, “menjadi kajian di kalangan orang-orang yang belum Islam yang sedang mencari-cari suatu penyelesaian muktamad terhadap masalah dalam segala aspeknya.”


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.