Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Isu Palestin bukan diperjuang orang Islam saja

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOLUM | Konflik Palestin-Israel baru-baru ini, yang dilaporkan telah memamah lebih 5,000 nyawa manusia, nampaknya telah memaksa kem-kem politik yang berbeza aliran di tanah air untuk bertaut buat sementara.

Mungkin kerana di Malaysia, mana-mana ahli politik Malaysia yang memburukkan Palestin atau memihak pada Israel, dia sedang menggali kuburnya sendiri. Pemihakan pada Palestin lebih ketara menunjukkan Malaysia tidak sepenuhnya di bawah hegemoni Amerika Syarikat.

Walaupun kuasa ekonomi hari ini masih dipegang oleh Amerika dan syarikat-syarikat multinasional banyak menyumbangkan saham untuk Israel, di Malaysia, memihak pada Israel bererti sedang mencari nahas.

Tirai antarabangsa yang kini begitu mudah disingkap dengan internet telah menunjukkan Palestin bukan sahaja diperjuangkan oleh golongan yang beragama Islam sahaja. Di Palestin bukan sahaja ada Hamas, tetapi pelbagai lagi kumpulan Islam. Dan bukan kumpulan Islam sahaja yang berada dan bertahan di Palestin, bahkan juga kumpulan sekular.

Dan sebelum kewujudan Hamas yang berorientasi Islam, yang diasaskan oleh Ahmad Yassin, yang berakar dari Ikhwanul Muslimin, wujud terlebih dahulu Palestinian Liberation Organization (PLO) yang dipimpin oleh Yasser Arafat. Dan PLO ini sekular. Ini menunjukkan sekular bukan semestinya anti-Islam mahupun anti-Palestin.

Dan pastinya, hal ini tidak diajar dan diwar-warkan dalam mana-mana pengajian Islam, mungkin dibimbangi orang Melayu-Islam pun tahu bahawa sekular ini tidak seburuk yang mereka fikirkan.

Apatah lagi jika carian Google selebriti mahupun seniman yang pro-Palestin, juga bukan sedikit. Antaranya seperti Roger Waters, pengasas bersama kumpulan muzik Pink Floyd. Ini menunjukkan bahawa selain bukan Islam, kumpulan muzik juga bukanlah seteruk atau sesesat yang dikhutbahkan kebanyakan agamawan.

Malahan mereka menggunakan pengaruh dan populariti yang ada, untuk melawan naratif neo-kon dan para penyokong zionis.

Kembali ke Palestin

Umumnya pandangan masyarakat Melayu-Islam di Malaysia terhadap komunis agak jijik. Komunis yang dalam spektrum politik akan berada di garis kiri selalunya akan dipermasalahkan. Sedangkan bukan sedikit mereka yang berhaluan kiri dan juga komunis yang pro-Palestin.

Roger Garaudy, seorang ahli falsafah Perancis, mempunyai dua PhD -salah satu PhDnya adalah perihal Marxisme - bekas ahli Parti Komunis Perancis ini seorang yang anti-Zionis dan pro-Palestin. Bukunya pernah diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Noam Chomsky, bukan sahaja seorang yang berhaluan kiri - lebih kepada anarkisme - yang pro-Palestin dan anti-Israel, bahkan juga ahli akademik MIT dan pengkritik tegar Amerika ini juga ialah seorang Yahudi.

Di sini sahaja menunjukkan, Yahudi juga anti-Zionis dan Israel. Dan ini bukan kes terpencil pada Noam Chomsky sahaja, bahkan ramai lagi seperti Ilan Pappe seorang sejarawan Israel yang juga berhaluan kiri. Beliau pernah bertanding untuk Knesset di bawah Parti Komunis Israel, HaMiflega HaKomunistit HaYisra’elit.

Bagi Ilan Pappe, pada tahun 1948 yang berlaku bukanlah Nakba seperti anggapan orang Palestin atau perjuangan kemerdekaan seperti anggapan orang Israel, tetapi ialah pembersihan etnik yang dirancang rapi. Seramai 700,000 penduduk Palestin dihalau keluar, menurutnya.

Antara nama besar lain Yahudi yang anti-Israel seperti Norman Finkelstein. Persoalannya, adakah ini diberitahu oleh para agamawan kita, atau adakah mereka pernah cuba membezakan antara Yahudi dan Zionis dalam ceramah-ceramah mereka? Atau mereka membakulsampahkan semua Yahudi sama sahaja?

Bukan sahaja Yahudi, bahkan Kristian!

Edward Said, seorang sarjana terkemuka dengan kitab agungnya, Orientalisme ialah seorang sarjana beragama Kristian. Beliau beragama Kristian, tetapi berbangsa Arab. Lihat sahaja nama Saidnya itu. Itu ialah nama orang Arab. Pastinya kita tercengang bila melihat, eh, ada ye Arab Kristian? Boleh pula Arab Kristian ya? Dan pro-Palestin pula tu!

Politik antarabangsa harus membuka mata kita seluas-luasnya dari menjadi keldai-keldai atau kuda-kuda tunggangan para agamawan sektarian di tanah air.

Fenomena Arab-Kristian ini bukan khas kepada Edward Said sahaja, tetapi juga kepada George Habash, seorang Arab-Kristian. Beliau seorang doktor. Tetapi beliau lebih dari berjuang dengan mata pena seperti Edward Said. Beliau mengangkat senjata dan mengasaskan Popular Front for the Liberation Palestine atau singkatannya, PFLP.

Pada mulanya PFLP dipanggil Harakat al-Qawmiyyin al-Arab atau Gerakan Nasionalis Arab (ANM) yang diasaskan pada tahun 1953 oleh George Habash. Pada tahun 1967, iaitu 20 tahun sebelumnya wujudnya HAMAS (diwujudkan pada 1987) telah berdiri kumpulan militan berfahaman Marxist-Leninist yang diasaskan oleh George Habash.

Keradikalan PFLP ini sampai tahap pernah membunuh menteri Israel, Rehavam Zeevi. Yang paling terkenal pastilah imej Leila Khaled yang menjadi ‘poster girl’ untuk PFLP kerana merampas kapal terbang TWA Flight 840 pada tahun 1969, dan sekali lagi pada tahun 1970, merampas kapal terbang El Al Flight 219.

Menarik ditinjau dalam hal ini, PFLP tidak bersetuju dengan kaedah pengeboman berani mati yang dilakukan banyak kumpulan militan Islam.

Selain di Palestin, dan gerakan kiri seperti PFLP, sokongan terhadap Palestin juga datang dari negara-negara sosialis seperti Cuba dan Venezuela. Bahkan negara-negara Amerika Latin membantu membiayai sebuah hospital di bandar Ramallah bernama Hospital Hugo Chavez. Dan semasa pandemik Covid-19 melanda, Cuba turut memberikan bantuan kepada Palestin.

Di dunia Barat, tokoh besar politik kiri UK seperti Jeremy Corbyn, pemimpin Parti Buruh (Labour Party) antara penyokong kuat Palestin. George Galloway yang pernah mengasaskan Respect Party juga antara tokoh kiri yang pro pada Palestin.

Perkara ini pasti membuka pekung atau pasung di kepala kita terutamanya Melayu-Islam yang bermentaliti Kanan yang seakan sukar menerima bahawa rupanya dunia ini tidak semiskin isi kepalanya. Bahawa rupanya, komunis dan Kiri itu tidaklah seperti yang didakyahkan kepadanya selama ini.

Kembali ke Malaysia

Kalau kita berkunjung ke markas politik PSM di Brickfields, kerana ini satu-satunya parti politik kiri yang berdaftar di Malaysia, kita akan dapati begitu banyak gambar tokoh-tokoh kiri yang diletakkan di markas mereka. Tidak ada walau sekeping pun gambar tokoh Zionis.

Jika kita belum cukup puas hati lagi, kita pergi pula ke Gerak Budaya, antara markas buku-buku progresif dan berhaluan kiri yang ada di Malaysia, di Petaling Jaya. Kita baca bismillah dulu sebelum masuk. Takut-takut iblis menipu mata kita. Kita minta Allah lindungkan kita dari pengaruh syaitanir rajim yang banyak tipu muslihat. Kita tengok kiri kanan depan belakang. Kita naik tingkat atas markas mereka. Sampai ke dinding ke tepi tangga kita periksa satu demi satu, gambar tokoh-tokoh yang mereka gantungkan di situ.

Pasti kita akan dapati tidak ada satu pun tokoh Zionis yang ada di situ. Ini menunjukkan ideologi dan tokoh kiri begitu keras dan tegas terhadap Zionis sehingga tidak ada seorang pun tokoh mereka digantung. Hampir kebanyakan mereka yang mendakwa diri mereka kiri menganggap Zionis dan Israel ialah satu lagi projek imperialis.

Politik antarabangsa harus membuka mata kita, membuatkan kita lebih terbuka dan merdeka dalam menilai sesuatu perkara.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.