Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | 'Tempias' Palestin di Bukit Kepong

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

KOLUM | Pada 2011 saya membuat kajian mengenai Mat Indera dan hasilnya terbitlah buku bertajuk Mat Indera: Petualang atau Pejuang? setahun kemudian.

Buku itu kini dalam proses cetakan semula sebagai edisi tambahan.

Mat Indera dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim Buhagiar kerana didapati memiliki senjata. Hukuman itu dijalankan di Penjara Taiping pada 30 Jan 1953.

Selain Mat Indera, ada seorang lagi watak yang didakwa. Dia bernama Abdul Kadir Murei’ih namun terselamat daripada hukuman gantung selepas diberi pengampunan.

Abdul Kadir pernah menulis karangan bertajuk Perjuangan Syria dan Lubnan dan Pesaka Terpendam. Malangnya salinan kedua-dua karangan itu tidak dapat dikesan.

Abdul Kadir bertugas di bahagian propaganda melalui penerbitan Suara Raa’yat iaitu akhbar cetakan berstensil. Kemudian akhbar itu ditukar nama kepada Perjuangan atas arahan jawatankuasa negeri.

Mat Indera pernah membantu kerja-kerja Abdul Kadir menerbitkan akhbar tersebut.

Nama Abdul Kadir tidak begitu dikenali berbanding Mat Indera walaupun dia juga terlibat dalam penyerangan Balai Polis Bukit Kepong. Peristiwa itu menjadi tamparan hebat kepada British semasa darurat.

Seramai 25 anggota polis dan keluarga mereka terkorban dalam tragedi tersebut.

Mengajar bahasa Arab

Jins Shamsudin menerbitkan filem bertajuk Bukit Kepong yang diadaptasi dari novel bertajuk sama karangan Ismail Johari. Pengarang novel itu juga menggunakan laporan polis British sebagai sumber rujukannya.

Saya pernah menemu bual Ismail sewaktu proses penyelidikan Mat Indera. Episod perbualan kami ada saya tuliskan dalam buku berkenaan.

Dalam novel Bukit Kepong, watak Mat Indera dikenali dengan nama Mandera, manakala Abdul Kadir digambarkan sebagai Kandar. Watak mereka juga terdapat dalam filem Bukit Kepong.

Abdul Kadir lebih berisi berbanding susuk tubuh Mat Indera yang agak kurus. Abdul Kadir berkulit gelap dan wajahnya bergerutu. Menurut kajian Ayub Kasim, Abdul Kadir berasal dari Perak dan pernah mendapat pendidikan langsung daripada Burhanuddin al-Helmy.

Abdul Kadir juga pernah mengajar di Singapura dan Muar.

Abdul Kadir dilahirkan dalam keluarga peranakan Arab dan belajar di Madrasah al-Mashoor Pulau Pinang bersama Musa Ahmad yang pernah mengetuai Rejimen Ke-10 PKM.

Dia juga antara orang yang bertanggungjawab menubuhkan Barisan Tani Semalaya (Batas) di Muar.

Sebelum itu dia aktif sebagai anggota Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bahagian Muar dan menjadi rakan rapat kepada Mat Indera. Salah seorang sumber kajian Ayub ialah kenalan Abdul Kadir bernama Ibrahim Mastan.

Watak Mat Indera dalam filem Bukit Kepong

Menurut Ibrahim, Abdul Kadir mengajar bahasa Arab. Sewaktu dalam gerila, dia mengajar tentang ilmu politik, pengurusan, dan ekonomi bagi melengkapkan diri pemuda dengan pengetahuan asas dalam perjuangan parti politik.

Pada 1948, Abdul Kadir diajak oleh Mat Indera masuk hutan bergerila menentang penjajah Bristish. Turut serta dalam rombongan itu ialah Hashim Kaimi, Yatim, Sanip Jasmani dan Rosman Munaji.

Ketika itu Balai Polis Bukit Kepong diketuai lelaki berbangsa Inggeris, Raymond Dancey ataupun Ray Dancey. Dia merupakan bekas anggota tentera British yang bertugas di Palestin.

Henry Gurney yang menjadi pesuruhjaya tinggi British di Tanah Melayu semasa darurat pula merupakan bekas setiausaha British di Palestin sejak 1946.

Aktif menentang Israel

Dia adalah antara orang yang bertanggungjawab mewujudkan negara Israel dan menghalau orang Palestin dari bumi mereka sendiri melalui projek penempatan Yahudi di Palestin.

Terdapat beberapa penulisan yang mengaitkan serangan ke atas Bukit Kepong dengan rangkaian gerakan anti-Israel. Kemudian dinyatakan bahawa Mat Indera - sewaktu menyerang balai polis itu - mengambil tindakan balas dendam terhadap British yang mengkhianati Palestin.

Namun Mat Indera tidak mengetahui bahawa Dancey sudah berpindah.

Hal ini memang boleh dikaitkan pada sebuah tulisan Abdul Kadir, Perjuangan Syria dan Lubnan yang hilang itu. Tiada maklumat tepat mengenai kandungan tulisan berkenaan tetapi ada kemungkinan ia menyentuh peperangan di antara Israel dengan dunia Arab termasuk Syria, Lubnan, Jordan dan Mesir mengenai Palestin pada 1948.

Perang itu meletus dari Mei 1948 hingga Mac 1949 ekoran perebutan mendapatkan tanah Palestin oleh negara-negara Arab. Selepas gagal kali pertama konflik tersebut berlanjutan pula pada 1956, 1969, dan 1973.

Yom Kippur War atau Ramadan War merupakan konflik bersenjata terakhir membabitkan negara Arab ke atas Israel.

Selepas itu, serangan terhadap Israel banyak dilakukan oleh penduduk Palestin sendiri sama ada melalui kumpulan Hamas, Jihad Islam dan Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan.

Mereka adalah kumpulan yang tidak bersetuju dengan Perjanjian Camp David kerana memberi kesan besar kepada perjuangan Palestin mendapatkan hak mereka kembali.

Salinan laporan polis Mat Inder

Pada tahun-tahun 50-an hingga 70-an, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan kumpulan kiri termasuk Marxis, sosialis, dan nasionalis turut aktif menentang Israel.

Ketika itu, nama-nama seperti Yassir Arafat, George Habash, Ahmed Jibril, Leila Khalid dan sebagainya menggerunkan Israel serta kuasa-kuasa besar dunia.

Apakah perang yang kini meletus di Gaza memungkinkan negara-negara Arab dan Islam lain bangkit mencabar Israel sekali lagi?

Suasana geopolitik semasa memperlihatkan hubungan negara-negara Arab, Teluk dan negara Islam memberi isyarat positif kepada masa hadapan Palestin.

Kesanggupan AS meminta China menggunakan pengaruhnya untuk memujuk Hamas menghentikan serangan adalah suatu yang agak luar biasa.

Jika kita imbas kembali sejarah silam, selepas Perang Dunia Kedua keadaan Tanah Melayu masih dijajah dan teknologi komunikasi ketika itu sangat terhad.

Namun isu Palestin tetap mendapat perhatian daripada penduduk serta pejuang kemerdekaan ketika itu, termasuk kumpulan komunis.

Percayalah bahawa doa dan sokongan warga dunia terhadap perjuangan Palestin akan berterusan sehinggalah bumi suci itu dibebaskan daripada cengkaman Zionis.

Selain daripada memberi sumbangan wang ringgit kepada badan yang sah, karya seperti lagu, puisi, tulisan dan sebagainya juga boleh menyemarakkan perjuangan Palestin.


MUHAIMIN SULAM ialah ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.