Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Di daerah perselisihan Lipis

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

KOLUM | Kerana sakit gigi yang teramat, dua minggu kami menderita. Dan kerana takut ke klinik maka kami mengambil keputusan untuk menjelajah beberapa daerah di Pahang.

Pengkhususan diberikan kepada daerah yang ada menjalankan sedikit kegiatan seni. Kami dekat dengan seni catan justeru kami pun memilih daerah yang rajin dalam pekerjaan berkenaan.

Hentian pertama kami adalah di Janda Baik, satu kawasan yang - jika kamu lupa - akan mengingatkan kita kepada kawasan-kawasan kampung di Indonesia.

Janda Baik masih mengekalkan pembangunan yang selerak. Sama seperti mana-mana tempat pelancongan di negara kita.

Yang punya wang akan membina rumah tumpangan agam manakala yang punya tanah warisan dan sedikit wang akan membina resort ala rumah haram.

Di Janda Baik kami singgah di Galeri Karya yakni sebuah galeri lukisan yang baru bertapak. Kami menyantuni rakan-rakan yang sedang mengadakan pameran yang mereka gelar Bergulat.

Menurut apa yang kami dengar ‘bergulat’ bermaksud bergomol atau berjuang. Boleh juga perkataan itu disimpulkan sebagai bertungkus-lumus.

Selamanyalah artis kita dengan bergulat tidak dapat dipisahkan.

Kurang pandai dalam pemasaran

Galeri Karya yang diusahakan oleh pelakon Liza Othman itu sedang giat mengadakan pameran. Mereka mengadakan sekurang-kurangnya dua pameran setiap bulan.

Usaha memeriahkan dunia catan dan melakukannya pula dengan ikhlas memang biasanya dimulakan oleh orang yang terlibat secara langsung dengan seni tersebut.

Mereka melakukannya kerana cinta dan pada masa yang sama juga kerana menjadi sumber pendapatan.

Bukan mudah untuk dilakukan namun Galeri Karya perlu tabah mengharungi jalan yang kebanyakannya dilalui oleh pihak yang hanya mementingkan keuntungan wang ringgit semata-mata.

Karya-karya yang dipersembahkan adalah apa yang kamu harap daripada pelukisnya. Mereka mengekalkan kekuatan masing-masing dengan bergaya.

Pameran Bergulat dirasmikan oleh bekas ketua pengarah Balai Seni Negara, Mohd Najib Dawa. Dia kini turut mengusahakan galeri dan  studio kerajinan tangan di Karak, Bentong, dikenali sebagai Sari Cempaka Art Village (Sari Cempaka).

Melalui pengalaman, masa Najib kini lebih tertumpu kepada kegiatan memberikan ilmu perniagaan kepada para seniman. Hal itu kerana, menurut dia, seniman kita kurang pandai dalam aspek pemasaran.

Sari Cempaka telah membuka beberapa studio untuk dihuni oleh seniman yang mahu menjadikan kerja seni sebagai perusahaan. Studio berkenaan membuktikan kejayaannya apabila salah seorang seniman tembikar yang berkarya di sana kini berjaya memasarkan produknya hingga ke luar negara.

Jatuh dalam dunia hipster

Secara peribadi kami gemar berbual dengan Najib mengenai jatuh bangun dunia seni tempatan.

Kamu mungkin dijegilnya atau dihamun, namun sebagai seorang yang berwarna-warni, Najib mempunyai misi dan visi yang tetap. Dia mahu seniman memiliki jati diri dan tidak jatuh merintih apabila karya tidak terjual.

Selesai di Janda Baik kami bergerak ke Raub. Ke Ulu Dong sebenarnya. Kami ke sana untuk bertemu Ismadi Salehuddin, seorang seniman yang melalui pelbagai rintangan dalam dunia seni catan.

Kami akan menceritakan perihal Art Garden Madi milik Ismadi di hujung tulisan ini, kerana setelah sampai ke Ulu Dong, ternyata dia berada di Kuala Lumpur.

Kami berjanji untuk datang lagi keesokan harinya.

Kami terasa agak pelik apabila tiba di Kuala Lipis. Di bandar lama pekan tersebut kami dapati ada dua pengedar arak beroperasi.

"Kuat beno mabuknya," getus hati kecil kami. Mujur ada Sidang Kopi.

Sidang Kopi ialah sebuah kafe hipster yang dimiliki oleh sekumpulan anak muda yang rock n roll. Memang terdapat sedikit perselisihan di situ.

Mana mungkin anak muda - tidak muda sangat, sebenarnya - yang Search dan Scoin boleh jatuh ke dalam dunia hipster yang dipenuhi oleh mereka yang menderita sejuta penyakit jiwa itu!

Budak-budak hipster biasanya akan sugul, depresi, bipolar dan pelbagai lagi penyakit pentingkan diri yang didiagnosis oleh pakar segala hal iaitu Dr Google MD.

Kami membuat konklusi bahawa budak-budak rock n roll itu tahu bahawa "orang Lepeh bukan tau beza pun hipster dengan rock n roll".

Sokong benda baik

Selain itu kami menghormati mereka kerana pandai mengambil peluang perniagaan apabila ia terbuka.

Sidang Kopi mungkin masih belum menandingi Tjantek Cafe atau Notis Kafe di Kuantan, namun kepada mereka kami tetap berikan markah kerana berani mencuba.

Pipiyapong - orang kuat Sidang Kopi - tidak ada di kedai ketika kami sampai. Dia sedang berlumba basikal di Kelantan. Memang kebiasaannya apabila seseorang itu telah hilang tujuan hidup, mereka akan main basikal.

Ataupun memelihara kucing. Atau kedua-duanya sekali.

Kami gembira bertemu Mail Othman, seorang lagi watak penting Sidang Kopi, selain dua orang rakan mereka yang belum kami kenali. Mail adalah seorang daripada dua jurugambar yang perlu kamu rujuk jika kamu bercakap mengenai fotografi di Kuala Lipis.

Seorang lagi ialah Benludin Azhar yang mengusahakan Kuala Lipis Daily Photo di media sosial.

Di Kuala Lipis juga kami pergi ke Kayu Kayan Cafe milik Adi, si rastaman yang berjuang politik sebelah kiri namun bertegas mahu memajukan dunia seni dengan bantuan kerajaan. 

Seperti yang kami katakan sebelum ini, Lipis adalah daerah perselisihan.

Kontradiksinya sangat mengujakan dan pada masa sama mendatangkan kebimbangan. Mana mungkin kita yang mahu memajukan apa saja ini duduk di sebelah kiri sedang yang kanan pun bergelut mencari untung peribadi.

Kayu Kayan Cafe adalah sebuah warung sederhana. Ia menawarkan apa yang biasanya ditawarkan di mana-mana kafe yang sedemikian dengan tambahan pengalaman.

Sesuai dengan namanya, kafe itu dibina dengan kayu-kayu terbuang dan  di bahagian  belakangnya sedang dibangukan sebuah taman kegiatan kesenian.

Sugar Dinda, sebuah lagi kafe yang bekerjasama dengan Kayu Kayan Cafe pula menawarkan hidangan manisan beserta laksa. Mereka berada sebelah-menyebelah dan saling membantu dalam perniagaan. Sesuatu yang sebaik itu seharusnya diberikan sokongan.

Sahabat Alam dan Warisan Kuala Lipis atau ringkasnya Sawali adalah sebuah persatuan yang gigih menjalankan aktiviti kesenian di daerah ini. Ubi Marchino yang menjadi jurucakap Sawali memberitahu, mereka sedang beransur-ansur membangunkan bandar Kuala Lipis sebagai satu macam hab seni.

Tunggu buah tak gugur

Selain menjemput para seniman dari seluruh negara untuk berkumpul dan menghasilkan karya saban tahun, acara-acara sampingan juga diadakan hampir setiap minggu.

Terbaru, mereka mengadakan acara Art Jamming yang disertai pelukis terkenal Shukri Elias dan Zainal Abidin Musa. Program tersebut juga disertai oleh pelajar-pelajar dari kolej komuniti berhampiran.

Selain itu sebuah bazar yang mengumpulkan para seniman dan juga artisan, Pasar Stesen, juga giat dijalankan berhampiran dengan stesen kereta api. Bazar itu diserikan dengan kehadiran pelukis, busker dan juga penjual barangan terpakai.

Kami menganggap Pasar Stesen sebagai destinasi yang perlu dilawati jika kamu ke bandar Kuala Lipis. Ia mungkin belum berjaya seperti mana-mana pasar malam di tempat lain namun di Kuala Lipis hanya pasar tersebut boleh menceriakan malam minggu kamu.

Semasa kami di sana terdapat pelbagai gerai dibuka, seperti jualan barangan lusuh, makanan dan kami juga dihiburkan oleh kumpulan busker yang menurut kami tidak akan kalah jika mereka bernyanyi di Kuala Lumpur.

Di celah-celah orang ramai yang datang dan berniaga, kami terpandang wajah seorang calon pilihan raya yang lepas. Dia turut berniaga di situ. Dan kerana dia kalah dan hilang wang pertaruhan dalam PRU, kami tidak akan menyebut namanya di sini.

Kami juga terpandang salah seorang budak rock n roll Sidang Kopi membantu isterinya berniaga roti artisan di pasar tersebut. Sungguh romantik mereka berdua.

Jelas kelihatan yang mereka sedang menikmati kasih dan sayang. Kami cemburu.

Pasar Stesen seharusnya diberikan sokongan bukan saja oleh penduduk setempat malah semua kita. Mengharapkan sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan untuk memajukan acara seni di mana-mana samalah seperti kita menunggu buah yang tidak akan gugur.

Namun pada masa sama tidaklah salah untuk terus berusaha dengan bersungguh-sungguh. Mana tahu, mungkin masih ada sedikit bersisa rasa tanggungjawab dalam jiwa.

Yang terlebih penting adalah apabila kita bersama-sama membantu antara satu sama lain tanpa mengharapkan pulangan yang segera.

Di Kuala Lipis kami diperkenalkan kepada satu klinik gigi yang menurut ramai pelanggannya adalah terbaik. Kami akan datang lagi untuk mencuba klinik berkenaan.

Dan selepas itu nanti kamu akan dapati kami ini akan lebih banyak tersenyum.

Cerita mengenai Art Garden Madi akan kami sambung dalam tulisan yang akan datang, insya-Allah.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.