Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Apa masalahnya boikot kita?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Selain isu PKR dikatakan ahli Liberal International, juga tentang Anwar Ibrahim yang diejek kerana takut dengan Amerika, yang paling hangat dalam isu Palestin sebulan dua ini ialah isu boikot.

Adakah boikot adalah jawapan pada penyelesaian masalah Palestin?

Boikot pastilah bukan jawapan yang tuntas untuk menyelesaikan masalah Palestin. Tetapi boikot pastinya melumpuhkan atau mencederakan sedikit sebanyak Israel dalam penentangan masyarakat dunia terhadap Israel.

Sementara rejim-rejim pemerintahan dunia banyak yang masih pro Israel, mengharapkan bantuan persenjataan atau ketenteraan bukanlah sesuatu yang mudah. Maka kerana itu rakyat seluruh dunia bangkit menentang genosid yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin. Antaranya selain berdemonstrasi setiap minggu, mereka juga berkempen untuk memboikot barangan-barangan yang menurut mereka disumbangkan atau mempunyai saham kepada Israel.

Tetapi bukan sedikit barangan atau produk dari Israel atau yang menyumbangkan kepada Israel. Kita selalu mengambil sasaran yang paling mudah. Tetapi yang dikatakan mudah itu kerana ia tidak berkaitan dengan kita. Selalunya sasaran yang paling disasarkan ialah jenama McD. Kerana kita tidak bekerja di situ atau mencari sesuap rezeki di situ.

Bagaimana pula dengan rokok di bibirmu itu? Jenama apakah rokokmu itu? Adakah ia memberi saham kepada Israel? Sudahkah ianya benar-benar disemak dan dipastikan tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada Israel, sepertimana kamu bersungguh-sungguh membuktikan bahawa McD Malaysia memberi sumbangan kepada Israel?

Perkara yang kita tidak lakukan atau tidak gunakan lebih mudah diboikot, berbanding jika ia adalah mata pencarian kita. Jika ia sumber rezeki kita, atau jika kita bernafas dengannya - seperti rokok- pastilah kita akan berhempas pulas mencari dalil dan dalih untuk menafikannya, meskipun Qardhawi ada mengeluarkan fatwa tentangnya.

Dalam hal ini, kita melantik diri kita sendiri sebagai mufti, dan mempunyai fatwa kita sendiri. Dalam hal ini, kita sekali-kali tidak akan memakai Qardhawi. Dalam hal ini, Qardhawi dan Majlis Fatwa Kebangsaan kita buat tak nampak sahaja. Ternyata kita selektif dan mengikut selera kita.

Jadi bagaimana pula dengan nasib mereka yang bekerja di McD? Ternyata itu bukan pertimbangan kita langsung. Kita menjawab dengan, bumi Allah itu luas, rezeki ada di mana- mana. Ini adalah jawapan yang paling tidak menggunakan akal sama sekali.

Perut orang yang mengatakan sebegini, seperti tidak mempunyai hati. Kita kasihkan saudara kita nun jauh beribu batu dari kita, tetapi kita biarkan saudara kita yang tidak Palestin ini, teraba-raba memikirkan apa rezeki untuk diletakkan di atas meja makan mereka. Sekurang-kurangnya, jika hendak boikot sekalipun, pastikan peluang pekerjaan untuk para pekerja McD itu ada.

Jadi OKU yang bekerja di sana tidak gundah, malahan akan bersemangat untuk memboikot McD juga jika nasibnya tidak terjejas dan difikirkan sama. Ada satu biro atau badan untuk memikirkan nasib para pekerja yang tempat kerja mereka diboikot. Itu lebih baik.

Bagaimana pula dengan Facebook?

Mark Zuckerberg terang-terangan membulldozerkan dan memfosforuskan setiap tulisan yang mengkritik Zionis dan memuji Palestin, Hamas dll. Sehingga kita terpaksa mengubah nama Israel menjadi Is.ra.el, Israhell, Isr, Zio dan sebagainya lagi dalam tulisan atau mengeja Palestin dengan Falestin dll supaya tidak dikesan algojo-algojo algorithm Zuckerberg. Ternyata Zuckerberg juga tidaklah begitu berpegang kepada kebebasan bersuara. Penindasan terhadap mereka yang berbeza dilakukan sewenang-wenangnya.

PBB dan segala jenis Ngo Hak Asasi berdiam diri, tidak berbunyi. Habis semua yang pro-Palestin ditembaknya satu persatu. Tentera-tentera Hamas tidak bergaji di sosial media terpaksa bergerila di Facebook dengan memakai pelbagai helah atau masuk ke dataran X milik Elon Musk atau ke Telegram untuk melancarkan jihad menentang kebiadaban zionis di Facebook.

Tetapi mengapa tidak diboikot sahaja Facebookmu itu? Dan juga Whatsapp? Bukankah pemiliknya terang-terang melakukan genosid terhadap mereka yang tidak menurut titah perintah Zuckerberg, hingga membuatkan apa sahaja berita tentang Palestin, disoroknya?

Di sini membuktikan, kita hanya melawan atau menentang yang mudah untuk kita. Yang kita rasa payah dan sukar, kita tulikan telinga atau tutup kedua belah mata kita.

Pembangunan produk tempatan bagaimana?

Selain usaha memboikot produk luar, bagaimana pula dengan usaha memperkasakan produk-produk tempatan?

Bila kita suruh pekerja McD berhenti kerja, atau cari kerja lain, atau kita tak kata begitu, tetapi berkempen boikot sehingga melumpuhkan McD, dan McD memberhentikan pekerja atau mengurangkan pekerja mereka, kenapa tidak disediakan restoran yang lain yang lebih okey?

Adakah restoran tempatan tidak memadai untuk bersaing dengan jenama global? Ini perlu difikirkan.

Kebergantungan kita kepada negara luar dan produk-produk luar sangat tinggi. Sepatutnya alternatif itu ada. Jika McD diboikot, ada restoran makanan segera lain yang lebih bagus untuk pekerja bekerja di sana. Kita suruh orang lompat keluar dari kapal McD, tetapi kita yang sama, yang menyuruh itu bukan sahaja tidak sediakan kapal baru, malahan pelampung pun tidak diberikan! Maka mereka pun mati lemas ketika kita sedang menuju ke Palestin dengan semangat berkobar-kobar. Pepatah Melayu ada menyebutkan, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Pejuang-pejuang Palestin di Malaysia seharusnya menggiatkan kempen berterusan memakai atau menggunakan produk buatan tempatan. Bukan baru bermula hari ini, tetapi dari dulu lagi. Bukan bila berlaku konflik Israel-Palestin, baru hendak mulakan boikot. Itu jadi-jadian. Itu musim-musiman. Itu sama sekali tidak membantu baik Palestin mahupun produk tempatan.

Segala kekurangan produk tempatan harus dikaji di mana kurang dan di mana silapnya. Dana untuk RND harus dicurahkan sebanyaknya supaya produk tempatan boleh bersaing, jika tidak di luar negeri, sekurang-kurangnya orang Malaysia merasa bangga menggunakan produk tempatan yang dikeluarkan dalam negaranya sendiri. Di China, negara komunis itu menggunakan barang-barang buatan mereka sendiri. Di Indonesia, dikatakan Seven Eleven tidak mampu menandingi kedai runcit tempatan. Dikatakan Vietnam juga begitu. Kenapa hal ini tidak boleh berlaku di Malaysia?

Pembangunan produk tempatan, RND dan seumpamanya pastilah bukan kerja kita, tetapi kerja pihak berwajib seperti kerajaan, parti politik yang memerintah juga agensi-agensi berwajib. Di sini kita boleh lihat adakah pemerintah kita serius atau sekadar menggunakan darah dan air mata orang Palestin untuk political mileage sahaja -kerana isu Palestin ialah isu sebelum mak ayah kita lahir lagi- jika produk tempatan dibangunkan, pastilah kita kurang menggunakan barangan buatan syarikat yang pro Israel.

Sementara itu kerja kita pastilah memenuhkan barang-barang buatan tempatan di rumah kita, rumah adik beradik kita, rumah sanak-saudara kita dan seluruh rumah kaum kerabat kita. Bukan sahaja di rumah bahkan di luar rumah semuanya dari bangun pagi sampai hendak tidur semula, pastikan barang- barang yang digunakan, dimakan, diminum, dipakai itu bukan sahaja halalan thoiyyiban, bahkan juga keluaran tempatan.

Isu Palestin termasuk boikot seharusnya merapatkan lagi barisan perlawanan terhadap zionis Israel, bukan membuatkan kita semakin berjarak atau terpaling Palestin dengan memusuhi yang lain-lain.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.