Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Dipandang sebelah mata

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

KOLUM | "Pergi haji dah tujuh kali, tapi dia pakai baju kelambu!” kata Pak Akob. Dia menceritakan pengalaman pertama kali bertemu dengan wanita yang dituduh - dan kemudiannya didapati bersalah - membunuh seorang ahli politik suatu ketika dulu.

Menurut Pak Akob, dia mendengar cerita akan kehebatan wanita tersebut daripada rakan sekampung. Setelah hampir semua rakannya itu sudah pergi bertemu dengan wanita terbabit, Pak Akob akhirnya akur untuk ikut serta.

Sebelum itu dia diberitahu bahawa wanita berkenaan agak sakti orangnya, selain berpengetahuan agama. Sementelah pula katanya dia sudah tujuh kali mengerjakan haji.

“Nampak semua!” kata Pak Akob mengenai pertemuan pertama dan terakhir dia dengan wanita itu.

Kami mula pergi ke Ulu Dong, Raub sekitar 2008-2009. Sebelum itu kami cuma pernah dengar perihal daerah tersebut dalam dua keadaan.

Pertama daripada seorang sahabat yang cuma kami kenal sebagai Bob. Dia berasal dari Ulu Dong. Lama benar kami terputus hubungan dengan dia. Entah di mana dia sekarang ini.

Kedua tentu saja setelah daerah tersebut menjadi sangat terkenal dek kerana kes pembunuhan yang tragis itu.

Biasanya jika ke sana, kami akan bermalam di bilik tumpangan milik Pak Akob. Lubuk Semak jika tidak silap kami nama kawasan yang diusahakannya.

Pertama kali kami ke sana adalah untuk mengikuti kem jurufoto. Sudah tentu kami teruja dengan keindahan alam yang dipersembahkan terutama di Lubuk Semak.

Cerita Pak Akob yadi harus diambil dengan sedikit garam. Sebenarnya semua cerita yang disampaikan oleh orang Ulu Dong harus diambil dengan berhati-hati.

Semua orang mahukan perhatian lalu menambah 'masin dalam masakan' adalah cara paling mudah untuk mendapatkannya.

Loghat Pahang

Setiap kali kami mahu ke Lubuk Semak, Pak Akob akan berjanji untuk menjamu kami dengan pelbagai hidangan eksotik.

"Aok kabo bila nok datang, kawas cari. Aok hendak landok, rusa, kijang... aok kabo je, kawas cari," begitulah lebih kurang janji manis Pak Akob kepada kami.

Dan setiap kali kami bermalam di sana, kami akan dijamu dengan gulai labu dan ikan masin. Kalau sebulan kami di sana, maka penuh 30 hari kami akan dijamu dengan makanan eksotik yang itu.

Jangankan landak atau rusa, ikan selar kuning pun tak nampak muka.

Namun padanlah, ketika itu Pak Akob hanya mengenakan bayaran sebanyak RM30 setiap orang dengan tiga kali makan.

Di Ulu Dong juga kami mendengar loghat Pahang yang sedikit berlainan. Kami yang sudah terbiasa dengan loghat Pekan dan Temerloh ini kadang-kadang memerlukan sedikit bantuan apabila bercakap dengan mereka.

"Kawas" ialah "kawan" seperti mana yang selalu digunakan oleh orang Pekan. Ia adalah ganti nama untuk diri sendiri.

Kemudian dari itu Ulu Dong menjadi tempat permainan kami. Dan juga tempat kami dipermainkan.

Kami sering ke sana untuk bertemu dengan Ismadi Salehuddin. Ismadi - yang setelah jenuh berjalan dan berjawatan di merata tempat - memilih untuk pulang ke kampung. Di sana dia mendirikan sebuah studio lukisan di samping kawasan penginapan yang sangat sederhana.

Harapannya adalah untuk membawa balik belia-belia yang berhijrah keluar dan berusaha kembali membangunkan kawasan sendiri.

Pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh Art Garden Madi. Semuanya dilakukan dengan harapan ia akan disambut dengan baik oleh masyarakat tempatan.

Namun ada sedikit kekecewaan di pihak Ismadi apabila penduduk yang menurut Ismadi "dah letih, banyak sangat aktiviti lain" itu kurang memberikan galakan dalam apa juga aktiviti yang dilakukannya.

Bukan tidak ada, namun setelah lebih 10 tahun berlalu keadaan setempat masih tidak banyak berubah dan ia sedikit sebanyak mengganggu ketabahan Ismadi.

Hal itu sebetulnya bukan saja berlaku di Ulu Dong. Di mana-mana pun aktiviti seni diadakan, yang berhempas-pulas menjayakan dan kemudian meraikannya adalah orang yang sama.

Orang kita masih menganggap seni adalah sesuatu yang elit. Dan mungkin mereka benar di situ. Orang seni mahu dan suka dilihat 'asing'. Lalu jadilah mereka seperti yang mereka mahukan.

Sedikit selingan untuk memuji diri sendiri. Semasa bersama dengan Rajawali Art Groupe Internationale, apa saja aktiviti yang kami adakan memang selalu dihadiri masyarakat setempat.

Ada masanya ia dihadiri oleh hampir seribu orang. Mungkin waktu itu masih belum terdapat banyak kolektif seni, atau mungkin juga memang kerana mereka yang ada di Rajawali waktu itu handal-handal orangnya.

Berpameran di luar negara

Cuma seperti Art Garden Madi, Rajawali juga dipandang sebelah mata oleh mereka yang bertanggungjawab untuk memberi dorongan demi kelangsungan kolektif yang menggunakan dana sendiri.

Birokrasi dan kepentingan berpartai (politik) membunuh sekian banyak usaha yang murni.

Ismadi juga sering menjadi hos kepada beberapa seniman dari luar negara. Tidak kurang dari lima orang peserta dari seluruh dunia akan berada di Art Garden Madi pada satu-satu masa.

Mereka yang hadir itu bukan saja melakukan aktiviti seni malah turut menyumbangkan tenaga dalam hal-hal kebajikan penduduk setempat.

Namun begitu menurut Ismadi, kualiti seniman yang datang selepas dari pendemik adalah sangat mengecewakan. Mereka yang datang setelah itu merupakan pelancong yang mahukan percutian murah malah ada yang tergamak mahukan percutian percuma.

Hal itu menambah lagi kekecewaan. Kerana itu Ismadi bertekad untuk membina semua namanya yang sedikit tercalar di persada seni negara.

Beberapa tahun lalu dek kerana kurang faham mengenai pemasaran dan termakan pujukan, dia menghasilkan terlalu banyak karya. Kerana itu berlaku sedikit lambakan karya Ismadi di pasaran.

Mulai tahun hadapan Ismadi akan mula berpameran di luar negara. Dimulai dengan beberapa tempat di Jerman, Ismadi kemudian akan ke Perancis untuk tujuan yang sama.

Harapannya adalah dengan mengadakan pameran tersebut dia sedikit sebanyak berjaya memulihkan namanya di dalam negara. Pada masa sama tentu saja dia mahu membina nama besar di luar negara.

Jemputan pameran itu disebabkan usaha dia memajukan kampungnya dilihat sebagai sesuatu yang perlu dihargai oleh pihak luar negara yang datang melawat Art Garden Madi beberapa tahun yang lalu.

Selamanya kita melupakan apa yang ada di tangan kerana sibuk dengan apa yang dimahukan oleh hati. Dan hati kita selamanya mahukan pengiktirafan dari orang luar sedang kita anak tirikan seniman sendiri.

Memuja seniman luar negara? Kitalah hero yang paling terpuji.


ABDULLAHJONES ialah penulis dan pelukis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.