Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Dulu, kini, Israel tetap 'rejim Tel Aviv'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pada tahun-tahun 1970-an,ketika saya remaja,  media massa perdana tempatan tidak menggunakan istilah Israel untuk merujuk pada kerajaan dan negara Zionis itu. Mereka menggunakan istilah “rejim Tel Aviv”.

Bukan saja media massa perdana Malaysia yang menggunakan istilah itu tetapi juga negara-negara lain yang tidak mengiktiraf Israel. Kebanyakan negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktirafnya. Negara-negara Arab yang kesemuanya berada dalam Liga Arab tidak mengiktiraf Israel. Maghribi, Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada masa itu tidak mengiktiraf Israel. Begitu juga dengan hampir semua anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang kini dinamakan Pertubuhan Kerjasama Islam. Turki saja, selaku sekutu Amerika Syarikat dan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengiktiraf Israel. Kebanyakan anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) juga tidak mengiktiraf Israel. Mereka yang kebanyakannya berhaluan kiri melihat Israel adalah kolonialis yang menjajah Palestin dan merupakan sebahagian daripada empayar neo-imperialis Amerika.

Pada tahun 1980-an, ketika pemberita akhbar bahasa Melayu menterjemah berita-berita dari agensi Barat seperti Reuters, AP dan AFP, kami akan menggantikan nama Israel dengan “rejim Tel Aviv”. Ia selaras dengan dasar luar Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel.

Pada masa itu, Gaza dan Tebing Barat sudah berada dalam taklukan Israel. Wilayah-wilayah itu ditakluk pada perang Arab-Israel tahun 1967. Secara rasmi Gaza adalah wilayah Mesir dan Tebing Barat wilayah Jordan. Selain dua wilayah itu. Israel juga menakluk Sinai milik Mesir dan Bukit Golan milik Syria. Sinai telah dikembalikan pada Mesir apabila negara itu mengiktiraf Israel. Tetapi Israel tidak kembalikan Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan. Pada tahun 1970-an, Hamas juga belum ditubuhkan dan Israel belum mengebom Gaza. Pentas penentangan Israel terletak pada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Rejim dalam politik bermaksud pihak yang menguasai pentadbiran sebuah wilayah. Ia merupakan sebuah kerajaan tetapi tidak diiktiraf oleh rakyat sendiri dan negara-negara lain  Maknanya rejim itu tidak memperoleh mandat daripada rakyatnya baik melalui pilihan raya atau konsensus revolusi nasional.

Pada tahun 1970-an, dunia masih dalam Perang Dingin antara dua blok, Barat pimpinan Amerika dan Timur pimpinan Soviet Union. Seringkali berlaku rampasan kuasa di merata-rata tempat di dunia, seringkali ia dilakukan oldh pihak tentera negara berkenaan dengan disokong, didalangi dan ditaja sama ada oleh Amerika atau Soviet. Kerajaan hasil daripada rampasan kuasa ini disebut rejim. Jika ia dipimpin oleh junta tentera, ia dipanggil rejim tentera. Maka namanya adalah tempat ia beroperasi, selalunya di ibu kota negara berkenaan. Pada prinsipnya negara

 di dunia tidak mengiktiraf rejim hasil daripada rampasan kuasa. Untuk itu, rejim berkenaan selalunya mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin untuk mengesahkan pemerintahan mereka. Tetapi bagi membolehkan perampas kuasa itu terus memerintah maka ditubuhkan parti politik yang menyokong mereka. Pilihan raya pula dikawal supaya pembangkang pasti tidak boleh menang. Jika sebahagian besar dunia termasuk Amerika mengiktiraf pilihan raya itu, maka perampas kuasa itu tidak dipanggil rejim tetapi dianggap sebagai kerajaan sah. 

Sebaik saja pihak Zionis mengisytiharkan penubuhan negara Israel pada tahun 1948, Kesatuan Soviet adalah negara pertama yang mengiktirafnya dengan kepercayaan bahawa Yahudi yang menjadi mangsa Perang Dunia Kedua perlu negara sendiri. Tetapi faktor utama ialah banyak kalangan pimpinan Soviet adalah orang Yahudi. Maka banyak orang Yahudi dari Rusia berhijrah ke Israel. Amerika mengiktiraf Israel hanya pada tahun 1951 selepas pilihan raya pertama diadakan. Bagaimanapun apabila Soviet Union melihat Israel menjadi sekutu kuat Amerika, ia berubah haluan menyokong pihak Arab dan Palestin pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Selepas Perang Dunia Kedua, negara-negara Barat umumnya mengiktiraf ideologi Zionisme bahawa bangsa Yahudi mempunyai hak untuk memiliki sebuah negara. Pada mulanya satu kawasan besar di Afrika iaitu di sekitar Kenya dan Tanganyika (kini ia bergabung dengan Zanzibar untuk menjadi Tanzania) hendak diberikan kepada Zionis oleh British. Kedua-dua Kenya dan Tanganyika adalah di bawah penjajahan British. Cumanya Tanganyika adalah bekas tanah jajahan Jerman yang diperoleh British selepas Perang Dunia Pertama. Sewajarnya selepas Perang Dunia Kedua, Israel patut didirikan di Jerman atau tanah jajahan Jerman kerana negara itu telah membunuh banyak orang Yahudi dalam perang itu. Tetapi selepas Perang Dunia Pertama, Jerman kehilangan tanah jajahan seberang lautnya. Kesemua tanah-tanah itu jatuh ke tangan Britain, Perancis dan Amerika yang memenangi Perang Dunia Pertama. Tanah-tanah jajahan itu ialah Togo, Cameroon, Afrika Barat Daya Jerman, (Namibia), Afrika Timur Jetman (kini sebahagian daripada Tanzania), tiga wilayah yang kini dalam Papua New Guinea dan beberapa pulau Pasifik. 

Pada mulanya gerakan Zionis hanya menyebut negara untuk orang Yahudi. Ia tidak secara khusus mahu mendirikan Israel di bumi Palestin. Zionisme adalah fahaman sekular yang mahukan tanah air nasional bagi orang Yahudi setelah memikirkan bahawa bangsa itu ditindas oleh orang Eropah. Ia tidak berkait dengan agama Yahudi. Selain itu, Zionis juga cenderong pada fahaman kiri atau sosialis dari segi kesaksamaan politik dan ekonomi di kalangan orang Yahudi. Maka atas pengaruh komunis Zionis, Soviet Union mewujudkan sebuah daerah khusus untuk orang Yahudi pada tahun 1920-an. Kini daerah itu ada dalam Persekutuan Rusia 

Pada tahun 1920, Palestin adalah sebahagian daripada empayar Uthmaniah. Ia didiami oleh warga Uthmaniah yang terdiri daripada bangsa Arab dan Yahudi. Mereka menganut pelbagai agama dan mazhab dari agama Islam, Kristian, Yahudi dan kumpulan-kumpulan agama seperti Druze, sebuah kepercayaan yang asalnya dari agama Islam Syiah.

Dalam Perang Dunia Pertama, Uthmaniah bersekutu dengan Jerman dan Austria-Hungary. Jadi apabila Jerman kalah, wilayah Palestin jatuh ke tangan British yang memegangnya sebagai nandat. Ia bermakna British kena mentadbir Palestin dalam proses untuk menjadikannya negara merdeka. Britain tidak boleh menjadikan Palestin sebagai wilayah hak miliknya 

Dalam pada itu, pemikiran tradisi dan warisan agama mula memasuki gerakan Zionis yang asalnya adalah sekular, nasionalis dan sosialis. Mereka mahukan Israrl didirikan di atas bumi Palestin walaupun ia sudah lama didiami oleh penduduk dari zaman berzaman.

Apabila Zionis ini ditawarkan wilayah Afrika oleh British, mereja membawa perkara ini ke dalam Persidangan Zionis untuk dibahaskan dan diputuskan. Majoriti ahli persidangan menolaknya dan mereja mahukan Palestin.

Semasa di bawah mandat, British sudah membahagikan Palestin kepada Tebing Barat dan Tebing Timur Sungai Jordan. Tebing Timur itu bernama Transjordan dan Tebing Barat kekal Palestin.

Pada tahun 1947, PBB mencadangkan supaya Palestin yang tinggal itu dibahagikan lagi pada dua, iaitu Israel dengan ibu negara di Tel Aviv dan negara Palestin di Tebing Barat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya 

Menjelang tahun 1948, pelarian-pelarian Yahudi dari Eropah datang mencurah dan menambah bilangan penduduk Yahudi. Kumpulan-kumpulan Zionis yang terdiri daripada pendatang Yahudi pula menubuhkan pasukan-pasukan militan yang menyerang orang Palestin supaya mereka meninggalkan tanah dan rumah mereka. Ramai daripada mereka menjadi pelarian dan memasuki Gaza serta Tebing Barat. Tentera British yang sepatutnya bertanggungjawab untuk mengawal orang Palestin huruf diserang oleh Yahudi ini.  Mereka sana ada tidak berupaya atau tidak mahu melindungi orang Palestin.

Dalam pada itu, British menghadapi cabaran yang lebih besar pada tahun 1948 di sebuah tanah jajahannya yang kecil tetapi mempunyai kesan ekonomi yang besar berbanding Palestin. Tanah jajahan itu adalah Malaya. Palestin hanyalah mandat dan dari segi persetujuan antarabangsa ketika itu, ia tidaklah boleh dijadikan tanah jajahan. Tetapi Malaya adalah tanah jajahan sejak sebelum Perang Dunia Kedua, tanah jajahan berbentuk kolonial hanyalah Singapura, Melaka, Dinding dan Pulau Pinang beserta Seberang Perai. Negeri-negeri lain itu adalah naungan. Namun selepas Perang Dunia Kedua, British menjadikan Malaya sebagai tanah jajahan penuh bernama Malayan Union pada tahun 1946. Malaya adalah lebih penting daripada Palestin bagi British kerana Malaya menyumbang suku daripada pendapatan British melalui perniagaan getah dan timah 

Kesatuan Soviet yang mula berkonflik dengan Barat melihat bahawa ekonomi Barat perlu dilemahkan. Caranya ialah memerdekakan tanah-tanah jajahan mereka. Pada tahun 1948 Moscow mengarahkan semua parti komunis di tanah-tanah jajahan mengangkat senjata untuk memperjuangkan kemerdekaan. Parti Komunis Malaya (PKM) turut akur dengan arahan Moscow walaupun mereka belum bersedia. Dari segi taktik, mengangkat senjata pada waktu itu hanya membuat rakyat Malaya menolak PKM.

Pada tahun 1948, British memansuhkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu serta merancang untuk menyerahkan kemerdekaan supaya Malaya yang merdeka akan tetap dalam lingkungan ekonomi British.

Tetapi pada tahun 1948, PKM mengangkat senjata yang dipanggilnya perang kemerdekaan  untuk menjadikan Malaya sebuah negara yang berada dalam lingkungan pengaruh politik Timur iaitu Soviet Union dan China. British isytihar Darurat yang sebenarnya merupakan perang melawan komunis. Untuk itu mereka perlukan lebih banyak anggota tentera. Maka tentera-tentera British di Palestin diundurkan dan dibawa ke Malaya untuk melawan komunis.

Di Palestin; negara-negara Arab, iaitu Mesir, Jordan, Syria dan Iraq yang sebenarnya belum cukup bersedia melancarkan serangan untuk membebaskan Palestin. Tetapi  negara-negara Arab kalah pada Israel. Masa itu Amerika belum menghantar bantuan. Israel belum lagi disifatkan sebagai medan depan demokratik Barat dan rakan geopolitik serta geostrategik penting. Negara yang menghantar bantuan ialah Czechoslovakia, sebuah negara komunis. Iaitu ketika blok Soviet belum menyedari bahawa Israel akan menjadi sekutu Barat. Israel bukan saja dapat patahkan serangan negara-negara Arab tetapi menakluki Baitulmaqdis. Pada tahun 1949, Israel memindahkan ibu negaranya ke kota suci itu. Kebanyakan negara dunia tidak mengiktiraf perpindahan ibu kota itu.

Maka pada waktu sekarang pun, kerajaan Israel tetap merupakan rejim Tel Aviv, lebih-lebih lagi kini terbukti rejim ini menduduki tanah yang bukan miliknya, membunuh kaum lain secara beramai-ramai, iaitu genosid. Ternyata  Israel mendatangkan pelbagai masalah, kesengsaraan dan kesakitan selama 75 tahun di Timur Tengah Israel tidak boleh diiktiraf sebagai negara, ia hanyalah sebuah rejim.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.