Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Tiga pesanan Siddiq Fadzil

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

KOLUM | Dr Siddiq Fadzil meninggal dunia beberapa bulan sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan yang diterajui sahabatnya, Anwar Ibrahim.

Bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu juga merupakan antara sosok penting dalam proses pembentukan Parti Keadilan Nasional pada 1999.

Kira-kira 16 tahun kemudian dia turut memainkan peranan penting dalam proses penubuhan Amanah. Bahkan tidaklah keterlaluan jika dikatakan Siddiq adalah ideolog kepada Amanah.

Fikrah dan wawasannya disampaikan atas pentas Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (Nunji) yang menjadi medan percambahan pemikiran dalam kalangan sarjana dan ulama, sama ada dari kelompok tradisional ataupun kontemporari di dalam mahupun luar negara.

Dalam konteks organisasi Amanah, pihak yang bertanggungjawab membangunkan modal insan dalaman ialah biro pembangunan sumber manusia yang diketuai Mujahid Yusof dan dibantu Suhaizan Kaiat.

Nunji lahir hasil pertemuan antara pimpinan Gerakan Harapan Baru (GHB) dengan sarjana serta ulama. Ia muncul pada fasa awal penubuhan Amanah.

Kekuatan parti memang sangat bergantung kepada kualiti ahli yang menjadi penggerak, pemimpin dan pengubah zaman yang berasosiasi dengan tradisi ilmu.

Individu yang mempunyai daya tahan kesan menanggung penderitaan sewaktu susah akan mampu juga mengelak diri daripada terjerumus ke lembah hina sewaktu berkuasa.

Siddiq membawa gagasan Islam dalam persekitaran Nusantara yang lebih sesuai dan hampir dengan sosiobudaya tempatan. Bukan bermakna dia menolak budaya Arab atau Timur Tengah dalam konteks kebudayaan dan kecenderungan semasa.

Ia lebih kepada penekanan terhadap persoalan identiti tempatan yang disesuaikan dengan agama menjadikan Islam berkembang cepat di dunia timur khususnya di Nusantara.

Delegasi Amanah ketika itu diketuai Mohamad Sabu dan disertai Salahuddin Ayub, Mujahid, Anuar Tahir dan Dzulkefly Ahmad. Mereka bertamu di Balai Rakyat yang merupakan tempat perbincangan peribadi Siddiq di pekarangan rumahnya di Bandar Baru Bangi.

Agar dipegang kuat

Abim pula diwakili tokoh kanan pertubuhan itu seperti Prof Dr Mohammad Redzuan Othman, Ahmad Azam Ab Rahman, Amidi Abdul Manan dan Prof Dr Shaharuddin Baharuddin.

Balai itu juga pernah menjadi tempat Lim Kit Siang, Ong Kian Ming dan Syahredzan Johan bertamu. Di situ jugalah para tetamu menerima pandangan Siddiq tentang persoalan pembangunan bangsa dan negara, selain usrah.

Memang dia mempunyai hasrat memberi kefahaman Islam kepada ahli-ahli politik terutama yang bukan Islam dalam memahami tasawur agama dalam konteks Malaysia.

Dalam pertemuan itu Siddiq menitipkan tiga pesanan yang harus dipegang kuat oleh pemimpin Amanah. Mendengar butir kata dari mulut sang pujangga bangsa itu, memang diri terasa bagai sirna dalam kabut politik.

Tentu saja pesanan itu bukan atas sifat dirinya sebagai ‘orang tua’ yang pernah bersahabat akrab dengan Almarhum Fadzil Noor. Ia adalah pesanan sebagai rasa tanggungjawab besar berdakwah di tanah air.

Pesanan pertama Siddiq, Amanah mestilah menjadi sebuah parti Islam yang progresif. Ia mesti melaksanakan pembaharuan (tajdid) yang membawa Islam lebih berkembang dan maju.

Islam bukan lagi dilihat sebagai penghukum sebaliknya berperanan sebagai penyelesai masalah.

Mohamad Sabu

Progresif juga membawa maksud lebih maju. Tentu sekali indikator bagi mengukur kemajuan bukan hanya pada angka yang bersifat objektif tetapi kepada hal-hal yang abstrak.

Lawan kepada progresif adalah jumud dan kolot. Progresif tidak bermakna melarutkan prinsip perjuangan Islam semata-mata untuk mendapatkan undi atau sokongan politik lalu menjadi sesumpah politik (political chameleon).

Parti politik Islam yang progresif merujuk kepada organisasi yang secara bijaksana menterjemah dan mengolah Islam dalam kerangka masyarakat yang berada dalam sistem moden, dan menggariskan keutamaan semasa.

Semua itu berasaskan kepada syariah dan realiti semasa.

Oleh itu, parti - dan lebih utama, kepimpinan - mesti mampu mengambil manfaat daripada perkembangan pemikiran dan persekitaran semasa tanpa menggadai prinsip dan dasar perjuangan parti.

Amanah juga perlu berani meneroka segmen yang kurang diberi tumpuan sebagai medan dakwah atau politik mereka. Jalan paling ampuh adalah memperbanyakkan hubungan pelbagai hala dengan pihak-pihak yang mampu berganding tangan mendaulatkan Islam.

Pesanan kedua Siddiq ialah Amanah perlu menjadi sebuah parti yang inklusif. Istilah inklusif memang dijadikan moto Amanah selain peduli dan progresif.

Persoalan inklusif di sini perlu difahami dalam erti kata yang lebih membumi. Fitrah kehidupan di dunia ini, manusia mempunyai pelbagai warna kulit, keturunan, budaya, harta benda dan sebagainya.

Bukan lagi falsafah

Inklusif bermakna kita menolak aliran asabiah yang sempit atau konsep ketuanan bangsa. Kedua-dua aliran itu digunakan oleh golongan ultranasionalis dan agamawan jumud.

Rasulullah SAW menggagaskan masyarakat Madinah al-Munawarah yang majmuk dari segi agama dan keturunan sebagai satu ummah. Piagam Madinah membuktikan bahawa dalam membangunkan negara dan peradaban manusia, agama dan iman seseorang bukanlah penghalang pembinaan persaudaraan kemanusiaan (ukhwah insaniah) apatah lagi untuk mengangkat martabat insan.

Amanah perlu membuka ruang penyertaan yang seimbang dari segmen yang pelbagai terutama apabila melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan semasa proses awal penubuhannya.

Menyedari majoriti keahlian Amanah berasal dari PAS, Amanah perlu meraikan penglibatan kelompok-kelompok lain agar ia menjadi wadah yang seimbang dan sederhana.

Pesanan ketiga Siddiq ialah Amanah mestilah berusaha untuk tidak dilihat menjadi ‘kuda tunggangan DAP'. Pesanan terakhir dititipkan Siddiq itu tidak lagi bersifat falsafah tetapi sesuatu yang memerlukan kebijaksanaan taktikal politik. 

Siddiq menyedari stigma ‘kuda tunggangan DAP' bukanlah mudah untuk dileraikan dari dalam melainkan Amanah sendiri bersikap lebih tegas dalam soal-soal melibatkan Islam dan Melayu yang menjadi asas identiti parti.

Tentu sekali Siddiq tidak bermaksud untuk Amanah menjarakkan diri dari DAP dan terus terperangkap dalam mainan politik musuh.

DAP adalah rakan dalam pakatan politik. DAP bukanlah pesaing atau ‘big brother’ kepada parti lain. DAP yang membawa ideologi sosial demokrat dalam politik juga akan lebih berperanan membentuk sebuah negara bangsa yang progresif. 

Bukan hanya Amanah yang mendapat manfaat daripada dasar DAP tetapi juga parti dalam kerajaan perpaduan menerima faedahnya. 


MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.