Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kepentingan keutuhan demokrasi Indonesia pada dunia

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Dari segi saiz dan bilangan penduduk, negara-negara di boleh digolongkan kepada tiga jenis: besar, sederhana dan kecil Walaupun negara-negara ini boleh diaturkan menurut saiz atau bilangan penduduk dari sebesar-besarnya hingga sekecil-kecil tetapi untuk perbincangan kali ini, pembahagian kepada tiga jenis ini adalah memadai.

Malaysia adalah jenis negara sederhana. Begitu juga dengan Israel. Jika Gaza dan Tebing Barat dijadikan Palestin, ia adalah negara kecil. Amerika Syarikat tentunya adalah negara besar. Begitu juga dengan Indonesia. Jarak dari Sabang, Aceh ke Merauke, Papua melebihi kilometer dari New York ke San Francisco, maksudnya keluasan darat dan air Indonesia menandingi Amerika Syarikat.

Kata-kata dari Sabang ke Merauke itu pernah dilaungkan oleh Presiden Sukarno pada awal kemerdekaan untuk menegaskan bahawa wilayah kedaulatan negara meliputi kesemua bekas tanah jajahan Belanda yang dikenali sebagai Hindia Timur. Penegasan itu dibuat kerana Belanda mahu mengasingkan Papua daripada Indonesia.

Setelah gagal berunding, pada tahun 1952, Sukarno menghantar sukarelawan tentera ke sana hinggalah Belanda menyerahkan wilayah itu kepada Indonesia. Di kalangan sukarelawan itu, terdapat pemuda- pemuda Malaya yang teruja dengan Revolusi Indonesia. Ketika itu Malaya belum mencapai kemerdekaan.

Belanda hanya secara rasmi menyerahkan Papua kepada Indonesia pada awal tahun 1963.

Iaitu tahun Malaysia ditubuhkan, dan tahun Sukarno melancarkan dasar Konfrontasi terhadap negara ini.

Apabila cadangan penubuhan Malaysia mula pada tahun 1960, negara ini seharusnya terdiri daripada wilayah-wilayah tanah jajahan British iaitu Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah.

Kalau Indonesia mewarisi Hindia Timur Belanda maka Malaysia mewarisi British Malaya yang termasuk Singapura dan British Borneo yang meliputi Brunei. Kalau Indonesia ada ungkapan “Dari Sabang ke Merauke”, maka Malaysia melantunkan ungkapan “Dari Pulau Langkawi ke Pulau Sebatik”.

Pulau Sebatik terbelah dua, di sebelah utara adalah milik Sabah, sementara bahagian selatan berada di wilayah Kalimantan Utara. Dahulu pada zaman Sukarno, istilah Kalimantan Utara digunakan untuk merujuk Sarawak. Brunei dan Sabah. Kini Kalimantan hanya merujuk pada wilayah Indonesia di pulau Borneo.

Namun, jarak Langkawi dengan Sebatik adalah pendek berbanding dari Sabang ke Merauke. Indonesia adalah negara besar. Malaysia adalah negara sederhana. Singapura dan Brunei adalah negara kecil.

Dalam demonstrasi pro-Palestin baru-baru ini, ungkapan yang dilaungkan ialah “From the river to the sea” atau “Dari sungai ke segara”, maknanya dari Sungai Jordan ke Laut Mediterranean. Ungkapan ini tidak menyebut kota. Tetapi kalau disebut kota, maka mungkin boleh disebut “Dari Baitulmaqdis ke Gaza “ Ini kerana Baitulmaqdis berada di tebing barat Jordan dan kota Gaza di pesisir Laut Mediterranean.

Maka slogan Free Palestine bermaksud pembebasan daripada penjajahan Israel. Kalau keseluruhan Palestin dibebaskan, maka ia tergolong sebagai negara bersaiz sederhana, kalau penyelesaian dua negara, iaitu Palestin hanya terdiri daripada Gaza dan Tebing Barat, maka ia jadi kecil.

Israel mempunyai kelebihan daripada Palestin kerana ia disokong dan dibantu oleh sebuah negara besar yang merupakan kuasa dominan dunia iaitu Amerika Syarikat. Saiz adalah syarat pertama untuk menjadi kuasa besar. Semasa Perang Dingin, dua kuasa besar Amerika Syarikat dan Soviet Union adalah negara yang bersaiz besar. Apabila Soviet Union tumbang, maka hanya Amerika yang merupakan kuasa dalam dunia unipolar.

Amerika mahu kekalkan keadaan ini dan berusaha menghalang sebarang kemunculan kuasa baharu yang boleh mencabarnya. Maka Amerika akan sentiasa berusaha untuk menghalang Rusia dan China untuk bangkit mencabarnya. Kedua-dua negara itu mampu menjadi kuasa besar kerana mereka mempunyai saiz yang besar dengan bilangan penduduk yang banyak.

Dalam urusan diplomasi dunia, suara dari negara-negara bersaiz besar akan lebih diambil perhatian berbanding negara bersaiz sederhana dan kecil Negara-negara bersaiz besar yang lain adalah India, Brazil, Afrika Selatan dan Indonesia.

Maka apabila berlaku peperangan antara Israel dan Palestin di Gaza, perhatian Amerika dan Barat adalah apakah reaksi negara-negara Arab dan Islam. Demonstrasi besar-besaran diadakan di seluruh dunia khususnya di dunia Arab dan negara-negara Islam. Maka reaksi rakyat Indonesia diambil kira dengan menyebut bahawa negara itu memiliki paling banyak penganut Islam di dunia. Di Asia Tenggara, semua negara majoriti Muslim iaitu Indonesia,

Malaysia dan Brunei memberi sokongan kuat kepada Palestin walaupun berada jauh dari Timur Tengah. Solidariti sesama Islam adalah kuat walaupun berbeza bangsa.

Sememangnya isu Gaza adalah soal kemanusiaan tetapi hubungan agama meningkatkan nilai sokongan. Lebih-lebih lagi Palestin adalah negeri istimewa dalam tradisi Islam.

Apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersidang, suara Indonesia sebagai negara majoriti penduduk Islam terbesar sering diambil perhatian.

Semasa Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Indonesia, Malaysia dan Brunei mengeluarkan kenyataan bersama menyeru supaya gencatan senjata diadakan di Gaza. Presiden Jokowi menyampaikan desakan ini dalam pertemuannya dengan Presiden Joe Biden. Hanya Amerika boleh memberi tekanan kepada Israel. Tetapi itupun Israel boleh menolaknya begitu saja.

Indonesia bukan saja mempunyai kedudukan penting di kalangan negara-negara Islam. Dari segi geopolitik, Indonesia amat strategik pada dunia. Malaysia dan Singapura juga strategik, lebih-lebih lagi bagi British sebelum keruntuhan empayar mereka. Tetapi strategiknya Indonesia adalah sebagai sebuah negara besar dan penduduk banyak, setanding dengan China dan India.

Selepas Indonesia isytihar kemerdekaan pada tahun 1945, Belanda mahu menjajahnya semula. Apabila gagal ia memecah-belahkan Indonesia supaya muncul dua tiga negara berasingan yang lemah. Setelah akhirnya Belanda berundur, sifat Revolusi Indonesia yang cenderung ke kiri tentu membawa negara itu lebih dekat dengan negara-negara blok Soviet, China dan negara-negara berkecuali kiri seperti India, Mesir dan Yugoslavia.

Amerika tidak boleh membiarkan Parti Komunis Indonesia (PKI) berjaya dan selanjutnya membawa negara itu ke sebelah Soviet dalam Perang Dingin. Amerika berusaha melemahkan Sukarno dengan membantu gerakan-gerakan pemisah. Tetapi kejayaan Amerika adalah apabila Sukarno dapat ditumbangkan dan beliau digantikan dengan

Suharto, sekali gus membawa pengaruh besar tentera ke dalam politik negara.

Pada tahun 70-an, di banyak negara di dunia, Amerika mendukung dan membantu kerajaan-kerajaan autokrasi ketenteraan kanan bagi mengelak negara berkenaan jatuh ke tangan kumpulan anti-Amerika. Selain Indonesia, kerajaan tentera autokrat berhaluan kanan wujud juga di Korea Selatan, Taiwan, Vietnam Selatan, Kemboja, Thailand, Pakistan dan Turki.

Hanya setelah Soviet Union tumbang dan Perang Dingin berakhir, Amerika hentikan menyokong autokrat tentera kanan. Sudah tidak ada sebab. Sebaliknya mereka menyemai pemikiran demokrasi di kalangan rakyat negara berkenaan hingga berlaku perubahan.

Maka berlakulah usaha pendemokrasian di Korea Selatan, Taiwan, Turki, Pakistan dan juga Indonesia. Masa peralihan dari autokrasi kepada demokrasi, maka berlakulah pertembungan pelbagai kepentingan yang adakalanya membawa kepada kekerasan dan kesusahan pada rakyat. Ia juga waktu kritikal bagi bangsa dan negara. Suasana amat mencabar bagi keselamatan, ekonomi dan politik negara.

Ia berlaku juga di Indonesia pada tahun 1998 yang turut dicetuskan dari Krisis Kewangan Asia. Perubahan ini dipanggil Reformasi, dan ia melahirkan suatu sistem demokrasi yang menyeluruh, sesuatu yang rakyat Indonesia tidak dapat nikmati sebelym ini.

Perjalanan demokrasi pasca Reformasi di Indonesia melalui proses pematangannya, dari zaman BJ Habibie, Gus Dur, Megawati, SB Yudhoyono hingga Jokowi, maka kelihatannya demokrasi berparlimen dengan pelbagai parti sudah matang dan mantap. Ditambah pula dengan adanya Mahkamah Konstitusi yang mempertahankan psrlembagaan negara dan menjadi pihak betkecuali bagi sebarang pertikaian prosed pilihan raya.

Namun minggu lalu terdapat isu yang boleh menjejaskan kestabilan demokrasi Indonesia. Ia ekoran daripada pencalonan anak Jokowi yang berusia 36 tahun untuk jawatan calon naib presiden sedangkan menurut peraturan, calon hendaklah berusia 40 tahun ke atas. Tetapi Majlis Konstitusi meminda peraturan bahawa calon di bawah 40 tahun tetapi mempunyai pengalaman jawatan politik tinggi dibenarkan bertanding.

Gibran adalah Datuk Bandar Solo yang sudah berkhidmat selama dua tahun. Maka beliau layak bertanding. Ketua Hakim Mahkamah Konstitusi pada masa itu, Anwar Usman yang meminda peraturan itu pula adalah bapa saudaranya.

Maka timbul tuduhan bahawa Presiden Jokowi yang tidak boleh bertanding lagi sedang membina dinasti. Rasa tidak puas hati sebahagian rakyat timbul bertambah apabila terdapat dakwaan bahawa jentera pemerintah seperti polis digunakan untuk membantu kempen regu anak Jokowi itu.

Regu Gibran ialah Prabowo Subianto, bekas jenderal yang menjadi calon presiden dari Parti Gerakan Indonedia Raya (Gerindra). Gibran pula adalah calon Parti Solidaritas Indonesia (PSI). Dua calon presiden lain yang bertanding ialah Ganjar Pranowo dari Parti Demokrasi Indonesia (PDIP) dan Anies Baswedan yang dikemukakan oleh Parti Nasional Demokrat (Nasdem). Pilihan raya presiden akan diadakan pada Februari tahun depan.

Rasa tidak puas hati sebahagian rakyat terhasil dari perkembangan jni bokeh menjejaskan keyakinan terhadap demokrasi di Indonesia. Ia boleh menjadi ancaman pada kestabilan politik negara itu. Perlu diingatkan bahawa pihak tentera telah kembali berperanan dalam politik Thailand dan bertambah mencengkam di Myanmar walaupun pada mulanya telah membuka sedikit ruang untuk penyertaan ahli politik awam.

Oleh kerana Indonesia adalah sebuah negara besar, sebarang ketidakstabilan akan memberi kesan pada dunia secara keseluruhan. Negara-negara besar tidak boleh berada dalam keadaan stabil. Seperti mana China, India, Rusia, Brazil dan Afrika Selatan perlu sentiasa memelihara kestabiian kerana peranan mereka adalah besar untuk dunua. Sebagai contoh, pembelaan terhadap Gaza memerlukan Indonesia yang stabil.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.