Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Luka di Parit Raja

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

KOLUM | Setahun sebelum kelahiran Amanah, PAS mengadakan muktamarnya di negeri yang mencetuskan Gerakan Harapan Baru (GBH), Johor.

Mengadakan muktamar di Johor adalah langkah strategik untuk membawa pengaruh PAS ke negeri yang menjadi kubu terkuat Umno.

Muktamar ke-60 itu berlangsung dari 18 hingga 20 Sept 2014. Pada muktamar itu, lajnah yang saya ketuai membawa kumpulan nasyid terkenal dari Singapura, Al-Jawaher sebagai tetamu.

Asalnya kumpulan itu dirancang untuk membuat persembahan tetapi perubahan pada saat-saat akhir terpaksa dibuat. Ia menjadi hanya sesi bertemu peminat.

Ada risiko yang tiada siapa mampu menanggung jika persembahan itu diteruskan terutama di tengah-tengah pergeseran di antara kelompok konservatif dan progresif dalam PAS ketika itu.

Tidak pernah muktamar diadakan di Johor. Kebiasaannya, muktamar diadakan Kelantan, Kuala Lumpur ataupun Terengganu. Hanya beberapa kali diadakan di Kedah dan Perak.

Dari segi politik, ia adalah langkah yang sangat diperhitungkan untuk PAS bertapak di negeri paling selatan di Semananjung Malaysia. Tempat muktamar asalnya adalah sebuah tanah lapang.

Pihak tuan rumah telah menyewa kanopi besar yang boleh memuatkan sehingga 2,000 orang dalam satu-satu masa. Memang perbelanjaannya besar tetapi dalam politik ia adalah perlu.

Sebelum muktamar itu berlangsung di Parit Raja, Dewan Pemuda PAS Pusat mengadakan muktamar di Kota Tinggi. Secara tradisinya memang timbalan presiden yang merasmikannya.

Namun pada kali itu Mohamad Sabu yang menjadi timbalan dan dia tidak disenangi sesetengah perwakilan. Justeru ada antara mereka meninggalkan majlis ketika dia berucap sebagai tanda protes.

Doa berbaur cacian

Tindakan kira-kira 50 perwakilan itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati mereka apabila Mohamad dianggap mempertikai kepemimpinan Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama, khususnya berhubung krisis Menteri Besar Selangor.

Sehari kemudian tibalah giliran Muktamar PAS Pusat yang berlangsung di Parit Raja. Satu lagi episod hitam dicatat apabila salah seorang perwakilan yang akan membahaskan ucapan dasar presiden mengambil peluang meminta hadirin mengaminkan doa yang dibacanya.

Kami yang berada di pentas pun mengangkat tangan menadah doa dan bersedia mengaminkan doanya bersama-sama perwakilan dan pemerhati di bawah.

Dia - perwakilan itu - tampil dengan jubah dan berkopiah putih. Kami menadah tangan dengan tulus dan ikhlas mengamin bacaan doanya. Pada awal doanya dia memuji kebesaran Allah SWT dan memberikan selawat salam kepada Nabi Muhammad SAW.

Lama kelamaan doanya mulai berbaur cacian kepada sesetengah pihak, dan mendoakan laknat kepada seseorang atau sekumpulan tertentu dalam partinya sendiri.

Beberapa perwakilan dan pimpinan sudah mulai menurunkan tangan kerana tidak setuju dengan cara doa yang sebegitu. Saya lihat presiden pun tidak lagi mengangkat tangan.

Tangan saya menconteng sesuatu yang tiada makna dalam kertas kosong. Namun ada juga yang mengaminkan dengan nada suara yang tinggi sebagai tanda bersungguh-sungguh mengaminkan.

Dalam fikiran saya masa itu, adalah sesuatu yang tidak wajar kami diperlakukan sebegitu seolah-olah diperangkap, bahkan ia menyalahi adab seorang Muslim berdoa.

Seusai sahaja perwakilan itu membacakan doa, perwakilan dari Kuala Kedah, Ridzwan Abu Bakar, meluru ke tempat berucap di hadapan dan membantah doa laknat itu serta mempersoalkan tindakan pengerusi tetap yang membiarkan hal itu berlanjutan.

Keadaan menjadi tegang. Unit Amal yang bertugas di situ bertindak merampas mikrofon menjadikan keadaan bertambah kecoh. Memang panas suasana muktamar itu.

Panas itu malah terus membakar berpanjangan. Yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu.

Rapatkan jurang

Sewaktu perbahasan berlangsung, saya mengemas kini status di Facebook dengan menulis satu perkataan: ‘kosong’. Itulah yang dapat saya gambarkan dalam kotak fikiran ketika itu.

Pada kedua-dua jalur pemikiran dalam PAS merasakan bahawa buah fikiran mereka sudah dilepaskan. Biarkan masing-masing merasa buah keras. Biar terluka dan melukakan. Seakan orang Melayu mengamuk, habis sekeliling diragut dan dipaut.

Pada hari terakhir , saya berkesempatan membacakan puisi di hadapan sidang semasa sesi penggulungan. Saya minta izin daripada setiausaha agung ketika itu, Mustafa Ali, dan dia membenarkan.

Asalnya sesi itu dikhususkan kepada pengerusi lajnah yang ingin membuat penggulungan sebelum presiden. Itulah kali terakhir saya berucap dalam muktamar PAS.

Puisi itu saya tulis di rumah yang kami sewa di Tongkang Pecah sepanjang muktamar berlangsung.

Kawan,

Terbanglah kidungmu pada laut biru

khabarkan dadaku telah terluka

dan berjuta jiwa hampa

sewaktu kalian memilih berbicara

dengan kata-kata yang tajam

mencucuk

melebar luaskan jurang yang ada

berlindung dengan ayat-ayat kudus

kata-kata azimat

dan keramat

Puisi itu sebenarnya panjang dan petikan di atas hanyalah perenggan pertama. Ia terilham semasa muktamar berkenaan berlangsung.

Memang sewaktu perbahasan tiada seorang perwakilan pun menyentuh Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, hatta sekerat ayat pun. Lazimnya tidak perlulah pengerusi lajnah membuat ucapan penggulungan.

Bahkan lebih malang, hampir keseluruhan perbahasan hanya menyentuh soal terkait kuasa berbanding bagaimana kuasa itu boleh digunakan untuk membantu rakyat.

Jika ada jurang antara kita, seharusnya dibahaskan bagaimana jurang itu harus dirapatkan. Jika ada perbezaan antara kita, patut dicarilah titik persamaan yang menemukan kita menjadi jalur yang lebih kuat.

Membaca puisi dalam majlis seperti muktamar atau konvensyen sering dianggap sebagai satu persembahan. Itulah diskriminasi ataupun salah faham masyarakat terhadap peranan kebudayaan dan kesenian. Bidang itu sering dijadikan halwa telinga dan santapan mata.

Kebudayaan tidak pernah dijadikan wadah kerangka pemikiran dan falsafah dalam mengukuhkan kekuatan organisasi dan bangsa.

Parti politik yang berdaya maju memiliki kekuatan falsafah dan budaya. Parti politik yang bertahan atas dasar kuasa, harta dan jawatan hanya akan berakhir dengan perpecahan dan perbalahan semasa anggota yang tiada persefahaman mengejar kebendaan.

Begitulah penting budaya dan budayawan dalam berkawan, berpasukan membangunkan negara.


MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional. Artikel ini adalah cuplikan daripada buku ‘Amanah - Mekar Dalam Api’.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.