Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Antara Madani, Reformasi dan ‘rampasan’ buku

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Sepanjang minggu lalu terdapat tiga peristiwa yang bermakna dan wajar diambil perhatian. Pertama, ulang tahun pertama Kerajaan Perpaduan, kedua, Kongres Tahunan PKR dan ketiga, rampasan buku di kedai Gerakbudaya. Pihak berkuasa kata, bukan “rampas” tetapi “ambil” secara sopan dengan mengikut undang-undang.

Kerajaan Perpaduan disebut sebagai Kerajaan Madani bagi mencerminkan gagasan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Gagasan Madani yang mula timbul sekitar pertengahan 1990-an mendapat sokongan Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dalam kerajaan BN.

“Masyarakat madani”  yang saya faham adalah suatu versi Islami bagi “masyarakat sivil”. Gagasan “civil society” yang diutarakan oleh golongan kiri sederhana di Barat dijadikan pengimbang pada sistem kapitalis ekoran kejatuhan komunisme dan kemerosotan sokongan terhadap sosialisme. Cumanya gagasan masyarakat sivil itu sarat dengan nilai-nilai Barat sementara masyarakat madani adalah selari dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam yang dilaksanakan oleh kerajaan BN ketika itu.

Bagaimanapun sepanjang kebangkitan Reformasi sejak tahun 1998 hinggalah penubuhan Kerajaan Perpaduan, tidak pernah disebut gagasan Madani baik dalam manifesto Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat mahupun Pakatan Harapan bagi pilihan raya umum tahun 1999, 2004, 2008, 2013, 2018 dan 2022. Namun dari segi semangat dan makna, Madani adalah terkandung dalam Reformasi.

Saya hanya mengikuti acara-acara sambutan ulang tahun Kerajaan Perpaduan melalui TV1. Saluran televisyen itu menyiarkan secara langsung majlis bacaan tahlil sempena sambutan itu. Melalui Bernama TV, disiarkan satu paparan pencapaian Kerajaan Perpaduan selama setahun. Turut disiarkan ialah wawancara dengan kartunis-aktivis pro-Reformasi dan pro-Anwar yang sudah tentu mempertahankan Kerajaan Perpaduan. Beliau menyebut bagaimana Kerajaan Perpaduan berjaya mewujudkan kestabilan politik dan dengannya dapat menarik pelaburan. Paling penting ialah bagaimana Kerajaan Perpaduan sedang berusaha membersihkan kerajaan daripada amalan-amalan tidak amanah yang sudah menebal selama ini. Namun begitu, beliau turut menyebut mengenai Akta Hasutan yang tidak dihapus atau tidak dikaji semula oleh kerajaan.

Perjuangan melalui kartun

Beliau komited dengan perjuangan Reformasi, Parti Keadilan Nasional dan Anwar Ibrahim. Saya pernah menaiki kereta bersamanya dan dapat merasakan bahawa beliau benar-benar bersungguh dengan perjuangannya melalui lakaran kartun. Tetapi kartun perlukan medium. Sebelum penggunaan Internet yang meluas, maklumat termasuk kartun hanya boleh tersebar melalui radio, televisyen, akhbar, majalah dan buku yang dikawal oleh pelbagai akta. Dari segi perniagaan, hanya media arus perdana bermodal besar yang dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh kerajaan dan parti pemerintah ketika itu.

Maka sudah tentu dalam perjuangan Reformasi, tuntutan kebebasan bersuara yang meliputi kebebasan menulis dan menerbit baik dalam bentuk akhbar, majalah dan buku adalah penting. Dalam sistem demokrasi, kebebasan ini merupakan tonggak bagi negara supaya rakyat terbela. Ini kerana tanpa kebebasan ini, segala perilaku korupsi dan tidak amanah dapat disembunyikan. Begitulah apa yang terjadi selama ini.

Tuntutan bagi kebebasan bersuara sudah lama diperjuangkan oleh parti-parti pembangkang lama sebelum timbul gerakan Reformasi dan tertubuhnya PKR. Ia berlaku juga ketika Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai pembangkang melalui Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah yang turut menyatukan PAS dan DAP. Pada masa itu saya adalah editor Harakah dan menyiarkan manifesto Selamatkan Malaysia di muka tengah. Tetapi edaran Harakah dihadkan pada ahli saja oleh peraturan Kementerian Dalam Negeri. Tentulah ia tidak dapat dapat menandingi akhbar arus perdana yang didominasi oleh BN.

Walaupun kepentingan kebebasan bersuara, menulis dan menerbitkan bahan cetak dalam demokrasi ini disedari oleh kebanyakan aktivis pembangkang tetapi pada umumnya rakyat negara tidak bersedia untuk menerima suasana itu. Mereka berasa sensitif terhadap perkara-perkara tertentu yang menyentuh agama, kaum dan budaya negara ini. Ini termasuklah mereka tidak dapat menerima buku fahaman komunis walaupun ia sudah menjadi bahan sejarah.

Masyarakat Melayu umumnya adalah konservatif dan sensitif. Maka pelbagai akta berhubung penerbitan bahan cetak termasuk Akta Hasutan menjadi alat bagi memelihara keharmonian negara. Dari segi ini, selagi masyarakat tidak boleh toleran terhadap perkara-perkara sensitif, maka kebebasan bersuara terus terhad.

Sekitar tahun 2000-an, ketika saya mengunjungi sebuah kedai buku dari rangkaian terkenal di Cheras, saya terkejut apabila mendapati ada beberapa buku kecil yang merupakan memoir pemimpin-pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) dalam bahasa Melayu. Perkara ini berlaku ekoran daripada Perjanjian Damai PKM dengan kerajaan Malaysia yang aktivis mereka dibenarkan menulis pengalaman, memoir atau autobiografi sebagai dokumen khazanah sejarah negara. Namun begitu tentulah mereka tidak dibenarkan menyebar fahaman komunis.

Memoir Chin Peng

Bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng turut menulis memoirnya dalam bahasa Inggeris dan China yang diterbitkan oleh Media Masters, Ipoh. Ia diedar serta dijual dengan bebas sehingga kini. Tidak ada masalah.

Penerbit buku-buku yang saya jumpa itu adalah SIRD iaitu Pusat Pembangunan Penyelidikan dan Maklumat Strategik dan ia diedarkan oleh sebuah syarikat penerbitan, Gerakbudaya yang mempunyai kedai buku di Petaling Jaya.

Bukan saja SIRD, Penerbit UKM turut menerbitkan buku memoir dan biografi pemimpin-pemimpin Melayu PKM seperti Rashid Maidin, Abdullah CD dan Shamsiah Fakeh sebagai bahan dokumentasi untuk kajian bagi generasi akan datang. Ia dijual pada umum dan tiada sekatan. Namun begitu terdapat bantahan dari beberapa ahli akademik mereka. Penerbit UKM kemudiannya tidak lagi menerbitkan buku-buku seumpama itu 

Gerakbudaya aktif menerbitkan buku-buku politik alternatif iaitu buku-buku yang kritikal terhadap kerajaan. Aktivis-aktivis pembangkang turut menjadikan Gerakbudaya sebagai penerbit, pengedar dan penjual mereka. Sebahagiannya adalah kajian akademik dan dalam bahasa Inggeris.  Antaranya cenderung pada pemikiran kiri. Edaran dan jualan buku itu adalah terhad dan tidak memberi impak kepada masyarakat. Namun Gerakbudaya menjadi tempat berkumpulnya aktivis-aktivis pembangkang. Dengan sendirinya penyokong-penyokong Pakatan Rakyat dan kemudiannya Pakatan Harapan bertumpu di situ.

Selain mempunyai kedai buku, Gerakbudaya menyewakan premisnya untuk kegiatan intelektual seperti majlis pelancaran buku, diskusi dan seminar yang seringkali diadakan oleh aktivis-aktivis pembangkang.

Maka tidak hairanlah ia menjadi perhatian pihak berkuasa. Maka Gerakbudaya sentiasa berhati-hati terhadap buku yang diterbitkan. Sebarang tindakan rampasan buku bukan saja mendatangkan kerugian tetapi mengganggu emosi penerbitnya.

Apabila Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 2018, banyak penyokongnya lega kerana sebelum ini mereka berasa tertekan akibat kawalan kebebasan bersuara. Lebih-lebih lagi diajukan bahawa era kerajaan PH itu membawa kepada “Malaysia Baru” yang bermakna Reformasi dilaksanakan dan kebebasan menulis dan menerbit buku adalah terjamin. Zaman rampasan dan pengharaman buku dianggap sudah berlalu. Apabila saya pergi ke acara-acara politik alternatif di situ dan juga di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor terasa suasana kebebasan untuk berbincang apa saja.

Tiga masalah

Namun masalahnya ada tiga. Pertama, pengerusi PH ketika itu, iaitu Dr Mahathir Mohamad tidak ada komitmen bukan saja terhadap Reformasi tetapi juga janji manifesto itu sendiri. Kedua, dalam menjayakan PH dalam PRU ke-14 itu, PKR, DAP dan Amanah terpaksa bekerjasama dengan Bersatu yang mempunyai fahaman sama dengan Umno dan sudah tentu tidak menghiraukan Reformasi. Ketiga, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yasdin adalah dari Bersatu dan makanya tidak akan ada perubahan dari segi perjalanan kementerian itu berhubung bahan cetak.

Tetapi pada tahun 2018, perubahan besar sedang berlaku dalam landskap media. Peranan media massa sudah menjadi kecil dan digantikan dengan media sosial. Semua orang boleh mendapat maklumat melalui dunia maya. Kerajaan tidak boleh kawal. Akhbar cetak digantikan dengan portal berita. Malah buku dengan mudah tersebar dalam bentuk e-book. Sungguhpun begitu, banyak pembaca nasih menggemari buku cetak. Walaupun sudah tidak relevan, pihak berkuasa masih mahu mengawal buku bercetak.

Maka apabila kerajaan PH tumbang pada tahun 2020  dan digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Bersatu, kelihatannya berakhirlah Reformasi dan Malaysia Baru. Penerbit-penerbit buku politik alternatif seperti Gerakbudaya kena terima bahawa keadaan telah kembali seperti masa BN memerintah. Dari segi dunia buku, yang ada ialah birokrasi dan bukannya demokrasi.

Apabila PH muncul sebagai parti utama dalam PRU ke-15, maka harapan kembali cerah bagi Reformasi dan kebebasan bersuara. Namun begitu, terdapat tiga masalah yang menghalang Reformasi. Pertama, PH terpaksa berkongsi kuasa dengan musuh politiknya, BN untuk menjadi Kerajaan Perpaduan. Ia bukan kerajaan PH dan agenda Reformasi tidak dapat dilaksanakan  sepenuhnya. Kedua, sekarang pembangkang kuat. Kedua-duanya, Bersatu dan PAS pernah menjadi rakan sepakatan dengan parti-parti PH. Tetapi lebih penting lagi ialah suasana masyarakat Melayu kini adalah amat konservatif, dari segi agama dan kaum menyebabkan PH perlu berhati-hati yang membawa kepada keadaan yang lebih sukar untuk melaksanakan agenda Reformasi. Ketiga, landskap media sudah berubah dengan adanya media sosial. Golongan konservatif dari kalangan anak-anak muda lebih menguasai naratif.

Tetapi menteri dalam negeri Kerajaan Perpaduan ialah setiausaha agung PKR iaitu Saifuddin Nasution Ismail. Beliau tidak melaksanakan agenda Reformasi pada kementeriannya. Sebaliknya kementeriannya menjalankan tugas seperti dulu iaitu melayan aduan yang diterima dan memeriksa kedai-kedai buku. Saifuddin mempertahankan tindakan penguatkuasanya. Masyarakat sudah begitu konservatif maka kerajaan pun perlu kelihatan konservatif.

Cara lama untuk dunia baru

Begitu juga apabila ditanya mengapa kerajaan tidak menghapus atau meminda Akta Hasutan, beliau jawab bahawa terdapat banyak fitnah dan berita palsu tersebar sekarang yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat. Maka Akta Hasutan masih perlu untuk menghadapinya.

Pada minggu lalu,  pegawai pihak berkuasa datang ke kedai buku dan merampas beberapa judul buku. Seperti biasa, tidak dinyatakan secara khusus mengapa buku-buku itu dirampas. Mereka kata, buku itu diambil untuk penelitian lanjut untuk sama ada akan diharamkan atau tidak. Pihak penerbit pula tidak diberi peluang untuk membuat rayuan atau membela diri. Cara lama diteruskan walaupun dunia sudah berubah.

Semasa kongres PKR, Saifuddin menyatakan bahawa kementeriannya mesti dilihat peka atas aduan orang ramai. Adakah perkara ini adalah untuk menjaga imej kementerian? Adakah aduan seseorang mencerminkan sensitiviti keseluruhan masyarakat? Apa kata ada pihak lain di kalangan masyarakat yang menuntut dengan sebab-sebabnya mengapa buku-buku itu patut tidak diharamkan. Adakah masyarakat sekarang sudah begitu konservatif hingga amat sensitif terhadap buku yang hanya segelintir orang membaca. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat Malaysia yang amat kurang membaca.

Saya kenal Saifuddin sejak di universiti lagi. Kami pernah berjuang dalam parti yang sama. Apabila beliau menyertai Umno, maka kami bertentangan. Hanya apabila berlaku Reformasi, kami kembali pada pihak yang sama.

Kongres PKR itu mengajukan tema “Memaknai Reformasi, Menjulang Madani”. Sebenarnya istilah “Reformasi” dan “Madani” adalah perkataan-perkataan berat yang sukar hendak masuk ke benak masyarakat. Ada kalanya ia menenggelamkan apa yang sebenarnya parti dan kerajaan hendak lakukan. Pada waktu sama kemaraan konservatif adalah nyata. Institusi-institusi demokrasi perlu dikukuhkan supaya sesiapa yang menerajui negara ini tidak akan menghancurkan negara. Itulah sebenarnya Reformasi. Sementara segala perbuatan dan dasar baik kerajaan adalah sesuatu yang madani. Tetapi merampas buku bukanlah suatu yang baik untuk demokrasi.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.