Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Membawa diri ke SOAS

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

KOLUM | Beberapa bulan sebelum muktamar PAS di Kuala Selangor berlangsung, saya dan rakan-rakan sepejabat di universiti membuat beberapa jangkaan tentang hasil himpunan tersebut.

Kami menjangkakan bahawa team Jebon akan kalah. Ia berdasarkan kepada pelbagai kempen yang dijalankan oleh kumpulan ulama muda dan golongan konservatif di peringkat akar umbi.

Mereka bersungguh-sungguh untuk menyingkirkan Mohamad Sabu dan penyokongnya yang digelar Jebon.

Justeru kami merancang untuk berehat apabila muktamar itu berakhir. Kami akan bertenang seketika dan enggan terlalu memikirkan tentang politik yang bergaduh tidak sudah-sudah.

Setakat berbeza pandangan masih dikira munasabah, tetapi jika sehingga seperti mahu memutuskan silaturahim, melupakan politik seperti itu adalah lebih baik.

Dan kami memikirkan masa hadapan dengan cara kami sendiri.

Ketika itu, kami baru sahaja menerima geran penyelidikan daripada Penang World Heritage yang diketuai oleh Prof Ahmad Murad Merican. Pada 2013, beberapa rakan saya pergi membuat tinjauan awal di School of Oriental and African Studies (SOAS) di University of London dan bertemu beberapa pegawai penyelidik di sana untuk berbincang.

Projek kami adalah untuk mengkaji koleksi manuskrip surat-surat Francis Light. Sebenarnya ia bukanlah suatu kajian baru tetapi kami menyambung kajian-kajian yang pernah dilakukan oleh ramai penyelidik sebelum ini.

Kami membuat keputusan untuk menjalankan kajian itu sejurus selepas muktamar selesai. Peringkat awal kajian adalah pengumpulan data di lapangan.

‘Berkurung’ dalam perpustakaan

Mengikut peraturan universiti, kami tidak boleh keluar negara sekali gus. Bagi memastikan perancangan berjalan lancar, kami aturkan jadual perjalanan dan kerja agar berperingkat-peringkat.

Peringkat pertama, Abd-ur Rahman pergi bersama Ahmad Murad. Selang beberapa hari, Ustaz Pisol pergi bersama Zulqarnain. Kemudian barulah saya, Raja Ahmad Iskandar dan Dr Nuri.

Ini kerana kami bertiga perlu hadir ke muktamar di Kuala Selangor sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan perwakilan.

Dua tiga hari selepas team Jebon tewas sempurna di Kuala Selangor, kami pun terbang ke London. Kami mendarat di Lapangan Terbang Heathrow dan mengurung diri di Perpustakaan SOAS untuk mencari dan membaca warkah-warkah tinggalan Light.

Kami bertemu di London dan sempat bersama selama beberapa hari sebelum berperingkat-peringkat pula pulang ke tanah air.

Di University of Wales St David tempat saya belajar, kami pergi ke perpustakaan universiti. Di sana saya tunjukkan manuskrip jawi injil Melayu yang disimpan di situ.  

Namun tiada penerangan tentang manuskrip tersebut. Mungkinkah injil itu terjemahan Abdullah Munsyi yang bertugas sebagai pembantu Raffles di Melaka?

Kami juga bertemu dengan para pelajar Malaysia yang ingin mengetahui perkembangan terkini PAS. Ramai pelajar berasa terkilan peristiwa dalam muktamar tetapi ia sekadar keluhan sahaja.

Di SOAS, kami memeriksa dan membelek warkah-warkah tersebut yang sebanyak sebelas jilid berperingkat-peringkat. Mula-mula Rahman dengan  Ahmad Murad buat kerja-kerja codicology.

Kemudian disambung oleh kami seterusnya hingga selesai.

Kami tidak dibenarkan mengambil foto tetapi Ahmad Murad sudah mengambil semua foto warkah itu dengan kebenaran SOAS. Salinannya sekarang ada disimpan dalam perpustakaan Universiti Sains Malaysia untuk rujukan sesiapa yang berminat.

Perempuan Melayu yang sepi

Kami juga bertemu dengan sarjana manuskrip Melayu yang bertugas di British Library, Annabel Teh Gallop. Semasa International Conference on Humanities & Social Sciences 2018 anjuran UTP, kami jemput dia sebagai pembentang utama persidangan.

Sepanjang di SOAS, kami menelaah dan banyak yang kami perolehi. Terdapat lebih 1,000 pucuk  surat lama yang kami belek. Tentu saja menarik sekali pengalaman itu.  Membaca kisah  sedih, khabar gembira dan sebagainya.

Setelah itu, kami pun berasa insaf kerana musibah yang menimpa orang dulukala jauh lebih perit dan sakit berbanding yang dialami kami di sini.

Kami di muktamar hanya kalah untuk jawatan politik parti pembangkang. Itu pun kami sudah jangkakan kekalahan itu.

Namun di dalam koleksi surat-surat itu, kami membaca bagaimana sebuah kerajaan kehilangan tanah dan wilayahnya, seorang tuan kehilangan hamba-hambanya. Cerita kehilangan takhta.

Kami juga temui warkah Che’ Lena, perempuan Melayu sepi yang ditinggalkan suaminya berbangsa Inggeris. Wanita itu adalah isteri John Marsden, pegawai Inggeris yang bertugas di Bengkulu.

Kami juga membaca kisah bangsawan Melayu dikejar pemiutang.

Seribu satu tragedi bangsa. Lalu mencatatlah kami segala yang mampu dikutip buat santapan anak bangsa. Buat pelajaran hidup.

Di London kami menumpang di rumah pelajar dengan kadar bayaran yang ala kadar. Pada masa itu, rumah mereka sedang kosong kerana cuti semester. Kebanyakan mereka balik ke tanah air.

Julai adalah musim panas di UK. Siangnya panjang dan malamnya pendek. Itulah musim yang dinanti-nantikan oleh orang di sana. Banyak acara boleh dilakukan pada siang yang panjang.

Di rumah itu, kami memasak sendiri dan ia sangat menjimatkan perbelanjaan kami. Para pelajar yang kami tumpang pun gembira merasa masakan Malaysia yang lama tidak dinikmati. Sebelum itu, hari-hari mereka makan makanan menu barat.

Sepanjang kami di sana, saya, Raja dan Zulqarnain seolah-olah menjadi tuan rumah  kerana kami bertiga pernah tinggal lama di UK. Pada masa yang sama, kami memuhasabah diri tentang peranan yang kami mainkan sebagai warga universiti untuk masyarakat.

Pada masa sama, peranan kami sebagai ahli politik dalam menenun jalinan pelbagai teori dengan praktikal. Kedua-dua penting dan tidak boleh dipisah-pisahkan untuk menjadi pemimpin bangsa dan negara yang berkesan.


MUHAIMIN SULAM ialah bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan kini menganggotai Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.