Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Senaskhah buku sebelum konvensyen

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Artikel lalu, Membawa Diri Ke SOAS adalah siri terakhir pensejarahan Amanah yang saya petik dari buku terbaru saya, Amanah - Mekar Dalam Api. Buku tersebut adalah buku ketiga tahun ini.

Buku mengenai Amanah itu mengandungi lebih 300 halaman bersama lebih 50 foto yang berkaitan parti. Ia mula ditulis sejak tempoh pandemik dan disambung sedikit demi sedikit hinggalah disiapkan penghujung Nov lalu.

Ia bakal berada dalam pasaran menjelang pemilihan Amanah pada hujung tahun ini. Sekarang adalah musim melobi dan merayu untuk mendapatkan sokongan perwakilan kawasan dan sayap-sayap parti.

Bagi sesetengah pihak, buku itu ada kaitan rapat dengan proses pemilihan dalam Amanah. Penulis mungkin boleh menjadikan ia modal untuk pemilihan.

Perwakilan Amanah tidaklah ‘selurus pembaris’ untuk memilih pemimpin parti politik hanya berdasarkan indikator sebegitu. Samalah juga dengan perwakilan yang tidak akan termakan dengan senarai cai yang diedarkan pada musim kempen ini.

Setiap perwakilan mempunyai pilihan tersendiri dan corak kepimpinan yang diinginkan. Ada yang menggunakan elemen persamaan aliran pemikiran, lingkungan sosial, kenegerian, faedah material, faktor sejarah dan sebagainya dalam memilih pemimpin.

Begitu juga para pemimpin mempunyai pelbagai pendekatan untuk menambat perwakilan dan pengikut.

Secara teorinya, titik koordinat antara keupayaan kepemimpinan dan hasrat perwakilan akan dicapai dalam proses pengundian.

Output seorang pemimpin berkesan adalah melahir dan menambah potensi serta bakat baru. Oleh itu, pemimpin berkaliber sepatutnya tidak gentar dengan kemunculan pelapis parti.

Bahkan itulah antara petanda kepimpinannya berkesan.

Tugas utama pemimpin ialah melorongkan jalan serta ruang kepada pelapisnya untuk lebih ke hadapan.

Perwakilan Amanah yang seramai lebih 1,000 orang akan memilih pemimpin yang bakal menentukan arah tujuan dan gerakan parti untuk tempoh tiga tahun mendatang.

Buka ruang tanpa prejudis

Para perwakilan akan memilih 27 orang yang bakal menentukan kedudukan presiden, timbalan presiden dan dua naib presiden.

Sistem pemilihan Amanah mengikut kaedah koperasi yang berasaskan falsafah kesepakatan dalam membuat keputusan. Keputusan tidak semestinya diputuskan secara undi tetapi rohnya adalah kesepakatan bersama.

Itulah falsafah hidup bekerjasama atau berkoperasi.

Sebuah buku tidak akan dapat mempengaruhi pilihan perwakilan. Dalam masyarakat siber, kerangka perbincangan dalam maya lebih berpengaruh berbanding lembaran kertas bernama buku.

Masyarakat siber membuat penilaian berasaskan ukuran popular seperti jumlah tontonan, like, share dan sebagainya.

Buku yang ditulis itu sebenarnya diabadikan sebagai tanda penghargaan kepada almarhum bekas Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, yang banyak memberi rangsangan untuk saya terus menulis serta memberikan idea serta teguran terhadap parti, termasuk dirinya sendiri.

Salahuddin sentiasa terbuka kepada pandangan rakan-rakan di sekelilingnya. Dia membuka ruang itu tanpa prejudis. Jasa budinya tidak akan dilupakan.

Pernah diungkapkannya kata-kata kepada saya tentang tugas penulis buat negara dan bangsa. Tulisan dan idea penulis akan dibaca oleh generasi pada masa depan.

Pengarang yang hebat, ideanya akan ditelaah dari satu generasi ke generasi lain.

Melalui susunan kata dan pilihan karangan yang indah ia dapat memberikan pencerahan kepada pembaca. Salahuddin sentiasa memberi ruang untuk saya menulis dan berkarya.

Pelengkap suatu pensejarahan

Buku saya mengandung lebih 50,000 patah kata. Hasil daripada pencarian sistem dalam aplikasi Word, nama Presiden PAS, Abdul Hadi Awang disebut 154 kali berbanding Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yang hanya 34 kali.

Ada signifikan besar nama Abdul Hadi dalam penubuhan Amanah.

Nama-nama pemimpin lain seperti Almarhum Fadzil  Noor pula disebut 99 kali, diikuti Anwar (79 kali), Salahuddin (61 kali), Mahathir Mohamad (19 kali), Mujahid Yusof (15 kali), Dzulkefly Ahmad (15 kali), Mahfuz Omar (14 kali), Khalid Samad (13 kali) dan Anuar Tahir (8 kali).

Walaupun buku itu mengenai Amanah, perkataan PAS diulang sebanyak 880 kali berbanding DAP (306 kali) dan Amanah (299 kali). Nyata pensejarahan PAS dan DAP menjadi latar belakang kewujudan Amanah.

Kiraan itu memberikan gambaran bahawa sejarah atau memoir tidak sekadar terikat pada susuk seseorang atau satu organisasi sahaja. Biasanya ia melibatkan susuk-susuk lain yang turut berada pada waktu dan tempat yang sama.

Sejarah pada aspek others merupakan pelengkap sesuatu pensejarahan.

Mohamad Sabu

Ia juga merupakan catatan perkembangan suatu idealisme melalui liku-liku yang penuh ranjau dan duri dalam Amanah. Politik bukanlah persoalan hitam putih semata-mata sehingga ia mudah untuk diputuskan.

Menulis kembali cerita lama seperti membuka luka lama yang belum sembuh.

Sejarah adalah ibrah buat semua yang ingin melangkah ke hadapan. Biar sepahit mana sekali sejarah itu, jika ibrah yang dicari, kemanisan hidup bermasyarakat dan bernegara akan dapat dikecapi.

Buku itu adalah manifestasi sebuah perjalanan politik idealis. Amanah itu sendiri suatu nilai yang ideal. Suatu cabaran yang besar untuk sesebuah parti politik atau mana-mana ahli politik yang menjadikan nilai amanah sebagai idealisme.

Pilih arah pembaikan

Menggabungkan idealisme dengan politik dalam kehidupan sebenar bukanlah sesuatu yang mudah. Ia adalah tugas para nabi dan manusia terpilih. Mengasingkan kedua-duanya hanya mengakibatkan idealisme menjadi suatu utopia dan politik tanpa nilai manusiawi.

Antara persoalan paling kritikal kepada Amanah setelah berusia lapan tahun ialah: apakah idealisme perjuangan politik Amanah sudah berubah? Apakah perubahan yang berlaku dalam Amanah?

Apakah apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan dan bekerjasama dengan musuh politik membuatkan Amanah hilang idealisme perjuangan politik?

Bagaimanakah Amanah mampu beradaptasi dengan perubahan-perubahan yang berlaku dengan pantas ini?

Menurut Aristotle, politik pada hakikatnya adalah kehidupan sosial. Ia adalah usaha yang dilakukan oleh warga sesebuah negara untuk mewujudkan kebaikan bersama.

Dalam konteks bahasa, istilah yang lazim digunakan adalah ‘siasah’ yang pada umumnya mengarah pada makna pembaikan dan penghindaran daripada keburukan.

Dalam banyak-banyak pilihan, pilihlah pemimpin yang mengarahkan kita kepada makna pembaikan dan penghindaran keburukan. Hal itu kerana, hidup adalah pilihan, manakala kematian suatu kemestian.

Chairil Anwar pernah membentak: Aku ingin hidup seribu tahun lagi.

Dia meninggal dunia ketika dia berusia 26 tahun tapi puisi-puisinya ternyata tetap bersuara hingga kini!


MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Pusat Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.