Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Apabila Amerika menghalang gencatan senjata di Gaza

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Seperti dijangka Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto yang dimilikinya di Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) menghalang gencatan senjata serta-merta di Gaza.

Sebagai pelindung kuat Israel, Amerika seperti biasa sejak 70 tahun dulu menuruti pendirian rejim Zionis itu. Israel dengan jelas menyatakan bahawa tidak akan ada gencatan senjata selagi Hamas tidak dihapuskan.

Baginya sebarang gencatan senjata akan menguntungkan Hamas sedangkan pengeboman berterusan yang dilakukannya membunuh ribuan orang awam.

Menurut seorang jeneral Israel pada awal serangan itu, operasi mereka akan memakan masa dua atau tiga bulan. Buat masa ini, pengeboman itu telah berlangsung selama dua bulan, iaitu sejak awal Oktober lalu.

Israel yakin pengeboman terhadap orang awam Gaza itu akan akhirnya menghapuskan Hamas. Tetapi katakan Hamas gagal dihapuskan, adakah pengeboman terus diakukan hingga kesemua penduduk Gaza mati terbunuh?

Ekoran veto itu, banyak pihak di seluruh marah kepada Amerika walaupun perkara itu sudah dijangka. Dalam suara-suara kemarahan itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyerukan dunia supaya dilakukan “reform” terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana ia tidak memberikan keadilan. Tentulah perkara ini tidak akan dapat dilakukan selagi Amerika terus mendominasi dunia.

Mekanisme kuasa veto adalah jelas tidak adil. Dengan satu saja tindakan Amerika, aspirasi majoriti anggota PBB yang mahukan gencatan senjata itu dihalang.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim turut mengecam tindakan Amerika itu, yang katanya tidak ada sebab untuk menolak usul kemanusiaan tersebut. Beliau selanjutnya mempertikai amalan demokrasi Amerika yang tidak mempedulikan hak asasi rakyat Pakestin.

Pihak Amerika pula mengatakan bahawa bukannya mereka tidak mahu menyokong usul gencatan senjata itu. Tetapi perkataan-perkataan dalam draf resolusi itu tidak disetujuinya.

Amerika mahukan ada perkataan-perkataan yang mengutuk Hamas dengan menuduh mereka membunuh dan merogol. Sebenarnya apa yang dikehendaki oleh Amerika adalah suatu yang tidak akan dapat diterima oleh penyokong-penyokong gencatan senjata. Amerika mengenakan syarat itu sebagai helah untuk dijadikan alasan menolak usul itu.

Sungguhpun begitu, jika Amerika menerima usul itu, ia tidak menjamin bahawa Israel akan terus mengadakan gencatan senjata. Rejim Zionis itu akan terus menyerang Gaza. Adalah kebiasaan bagi Israel untuk melanggar perjanjian dan undang-undang antarabangsa sepanjang penubuhannya sejak 75 tahun lalu. Ada saja helah yang diberikan.

Sebab itu negara Palestin yang dijanjikan masih tidak dapat ditubuhkan.

Cumanya jika Amerika menyokong usul gencatan senjata itu, maka ia sepatutnya menghentikan penghantaran senjata dan peralatan ketenteraan kepada Israel untuk digunakan bagi menyerang Gaza. Maknanya, Amerika boleh memberi tekanan kepada Israel.

Tetapi dari segi praktikalnya, Amerika tidak akan mengenakan tekanan kepada Israel. Lobi Yahudi di Amerika amat berpengaruh di Amerika hinggakan ia mampu memberi tekanan kepada kerajaan mereka.

Namun begitu, walaupun usul gencatan senjata itu gagal, tetapi ia memperlihatkan bahawa dunia mahukan penduduk Gaza diselamatkan, walaupun niat dan usaha mereka digagalkan oleh Amerika.

Dalam hal ini, Amerika dan Israel telah dipencilkan. Malah sekutu-sekutu Amerika juga mahukan gencatan senjata. Boleh dikatakan dunia bersatu menentang Amerika dan Israel.

Selain Amerika dan United Kingdom, kesemua amanggota UNSC lain menyokong resolusi itu. United Kingdom yang juga memiliki kuasa veto mengambil sikap berkecuali.

Maknanya United Kingdom yang merupakan sekutu kanan Amerika turut tidak menolak resolusi itu. Di United Kingdom, pihak Yahudi turut mempunyai pengaruh besar. Dalam pilihan raya umum lalu, pengaruh mereka turut menyumbang kepada kemenangan Parti Konservatif yang berhaluan kanan dan mesra Israel. Malah dalam kempen PRU, mereka menggambarkan ketua parti lawan iaitu dan Parti Buruh sebagai anti-semit, suatu tuduhan tidak benar tetapi cukup untuk menghalang beliau daripada menjadi perdana menteri.

Semasa demonstrasi pro-Palestin, London menyaksikan penyertaan besar orang ramai Kerajaan United Kingdom tidak boleh mengabaikan suara jalan raya itu, yang mencerminkan kehendak rakyat.

Maka tindakan kerajaan London mengambil sikap berkecuali dalam undian Majlis Keselamatan PBB itu adalah pendirian pertengahan antara kehendak rakyat dengan kerajaan. Tetapi dari segi kemanusiaan, sikap berkecuali adalah sama dengan menolak gencatan senjata.

Amerika dan United Kingdom adalah anggota tetap majlis itu. Tiga lagi anggota tetap yang turut memiliki kuasa veto ialah Perancis, Rusia dan China. Presiden Perancis, Emmanuel Macron dari awal lagi menyokong gencatan senjata di Gaza. Maka ia adalah satu-satunya negara Barat yang mahukan gencatan senjata. Sedangkan Barat secara umumnya memihak pada Israel.

Tetapi semasa demonstrasi menyokong Palestin pada awal Oktober lalu, Paris, ibu kota Perancis menyaksikan demonstrasi besar-besaran walaupun dihalang oleh pihak berkuasa.

Sementara Rusia dan China yang juga memiliki kuasa veto dari tahun 1950-an memihak pada Palestin. Kedua-dua negara itu, yang dianggap Barat sebagai pesaing mereka berpendirian bahawa kuasa dunia seharusnya multipolar dan bukannya unipolar. Ia bermaksud Amerika tidak sepatutnya menjadi satu-satunya kuasa besar yang mendominasi dunia.

Kuasa dunia juga perlu mempunyai pelbagai kutub, iaitu Amerika diimbangi oleh pengaruh Rusia, China dan negara-negara besar lainnya. Sebelum tumbangnya Soviet Union, dunia adalah dwipolar iaitu Amerika diimbangi oleh kuasa negara komunis itu. Turut bersekutu dengan Soviet Union ialah Republik Rakyat China. Walaupun kedua-dua negara itu mengiktiraf Israel tetapi meteka adalah pendokong kemerdekaan Palestin.

Secara umumnya gerakan kiri seluruh dunia, dulu dan kini memihak pada Palestin dengan melihat Israel sebagai projek “kolonalisme” dan “imperialisme” Barat yang di bawah pimpinan Amerika mahu menguasai Timur Tengah kerana kekayaan minyaknya.

Walaupun Rusia bukan lagi sebuah negara komunis, tetapi di bawah Presiden Vladimir Putin, ia mahu kembali menjadi kuasa yang mampu mencabar Amerika.

Gencatan senjata serta merta adalah perlu untuk mrnyelamatkan penduduk Gaza yang bilangan kematiannya sudah mencecan lebih 24,000 melibatkan 9,000 kanak-kanak.

Anggota tidak tetap UNSC yang menyokong resolusi itu ialah Albania, Brazil, Ecuador, Gabon, Ghana, Jepun, Malta, Mozambique, Switzerland dan Emiriah Arab Bersatu. UAE adalah negara yang membawa usul itu dengan tindakan dilakukan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. Albania, sebuah negara bekas komunis yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel adalah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Switzerland pula adalah negara Eropah yang merupakan sebahagian daripada dunia Barat tetapi bukan sekutu Amerika kerana ia afalah negara berkecuali. Dari segi sentimen Barat, tentulah ia lebih cenderung pada Israel.

Sebuah lagi negara Barat ialah Malta. Negara kecil ini adalah salah sebuah daripada empat negara Kesatuan Eropah (EU) yang menyerukan gencatan senjata di Gaza. Tiga negara lain ialah Sepanyol, Ireland dan Belgium.

Ireland dan Sepanyol yang majoriti penduduknya beragama Kristian Katholik adalah lantang menampakkan simpati mereka terhadap nasib orang Palestin. Sebahagian kecil orang Palestin adalah penganut Katholik yang turut menderita akibat serangan Israel itu.

Negara yang menjadi sekutu Amerika tetapi menyokong usul itu ialah Jepun. Walaupun bersahabat dengan Israel tetapi ia menghantar banyak bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.

Brazil yang turut menyokong usul itu adalah di bawah kepimpinan Presiden Luis Lula de Silva, seorang ahli politik berhaluan kiri yang dari awal lantang mengecam pengeboman Israel ke atas Gaza.

Banyak negara di Amerika Latin yang cenderung ke kiri memihak pada Palestin. Mereka juga secara umum penganut mazhab Katholik. Walaupun Ecuador diperintah oleh kerajaan berhaluan tengah tetapi ia turut dipengaruhi oleh tradisi kiri benua itu.

Gabon, sebuah negara Afrika pula menekankan pada soal kemanusiaan, mendapatkan perdamaian melalui dialog dan menyokong penyelesaian dalam bentuk dua negara (two states solution) iaitu penubuhan negara Palestin. Sebuah lagi negara Afrika iaitu Ghana menyokong usul tersebut walaupun ia mempunyai dasar berpihak pada Israel. Di ibu kotanya, Accrai demonstrasi besar-besaran membantah pengeboman ke atas Gaza turut diadakan.

Mozambique, juga merupakan sebuah negara Afrika yabg mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Tetapi ia adalah sebuah negara yang melalui perjuangan berdarah panjang menentang penjajah Portugis untuk mencapai kemerdekaan. Negara yang mempunyai tradisi berhaluan kiri ini mudah untuk bersimpati dan bersoludariti dengan Palestin.

Pada awal konflik, sebahagian rakyatnya menyatakan sokongan mereka kepada Palestin.

Secara keseluruhan, dunia bersimpati dengan penduduk Gaza yang setiap hari dibom oleh Israel. Dari segi kemanusiaan. sesiapa yang waras pasti mahukan penderitaan penduduk Gaza itu perlu dihentikan serta-merta. Soal sama ada memihak pada Israel atau Palestin tidak timbul.

Apa yang mendesak ialah soal kemanusiaan. Maka keutamaan adalah gencatan serta merta tanpa syarat. Kelihatannya hanya Israel, Amerika dan United Kingdom gamak untuk melihat penderitaan penduduk Gaza berterusan. Ingatlah, ada ubi ada batas; ada hari ada balas.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.