Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bob yang banyak berjasa

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

KOLUM | "Ayah, Pak Cik Bob meninggal," kata anak saya memaklumkan berita sedih itu. Saya tersentak seketika mendapat berita itu walaupun ia sebenarnya tidaklah begitu mengejutkan.

Sejam sebelum itu, saya dimaklumkan keadaan Bob yang sedang kritikal di Hospital Pulau Pinang. Ahli keluarga dan rakan-rakannya memohon doa buat Bob yang ditidurkan.

Akhirnya, kami buat keputusan untuk menziarahi rumahnya di Parit Buntar sebagai menunaikan hak terakhir Bob sebelum dikebumikan pada malam itu.

Kami mengusung sama jenazah Bob ke van sebelum disolatkan di Surau Al-Irsyadiah, Taman Kerian di Parit Buntar.

Antara yang hadir pada hari itu ialah Mujahid Yusof, Roslan Ahmad (Pengerusi Amanah Pulau Pinang) Hakimi Hamzi Mohd Hayat (Adun Titi Serong dari PAS) dan wakil dari DAP.

Nama sebenar Bob ialah Hairul Nizam Ishak. Lelaki berusia 40-an itu seorang yang sangat mesra dan mudah berurusan dengannya.

Keadaan kesihatan Bob selalu turun naik. Setahun lalu, penyakit leukemia yang dihadapinya dapat disembuhkan setelah menjalani siri rawatan perubatan.

Tumpuan penuh pada parti

Kebelakangan ini, penyakit Bob seperti datang kembali. Namun itu tidak menghalang dia untuk terus memberi khidmat terbaik buat penduduk Parit Buntar.

Pusat Khidmat Masyarakat Parit Buntar seperti menjadi pusat kebajikan. Walaupun kini PN menguasai ketiga-tiga kerusi DUN di kawasan parlimen Parit Buntar, rakyat terus merujuk segala permasalahan mereka kepada pusat tersebut.

Bob adalah petugas parti Parit Buntar sejak zaman PAS menang di situ pada 1999. Ketika itu, dia bertugas di bawah Hasan Ali. Dalam tradisi PAS, petugas parti sepenuh masa dipanggil amilin atau murabitun.

Setelah menamatkan pengajian ijazah di UiTM, Bob menginfakkan dirinya dalam perjuangan parti hinggalah malaikat Izrail memanggil kembali. Dia meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih remaja dan kecil.

Bertugas dengan parti bermakna mengetepikan peluang lebih menjamin kehidupan selesa. Segala kudrat dan kemampuannya diarahkan kepada usaha membangun dan memperkukuhkan parti.

Mereka tidak pernah memikirkan soal elaun, upah lebih masa atau faedah material biarpun ahli keluarga semakin bertambah dan keperluan semasa meningkat.

Mereka hanya mahukan perjuangan parti diterima ramai dan faedahnya dinikmati rakyat.

Akidah perjuangan yang ditanam sejak zaman kampus memberi kesan kepada Bob. Dia adalah salah satu contoh amilin yang menjana pergerakan parti.  

Biarpun tidak mempunyai pencapaian politik di peringkat negeri atau nasional, namanya popular di peringkat akar umbi. Dalam pemilihan Amanah Parit Buntar baru-baru ini, dia mendapat undi kedua tertinggi.  

Pada 2004, walaupun PAS kalah di kerusi tersebut, dia terus bertugas di pejabat pusat khidmat PAS Parit Buntar. Empat tahun kemudian PAS-Pakatan Rakyat merampas kembali kerusi tersebut dan dua kerusi DUN di bawahnya.

PAS memenangi kerusi parlimen Parit Buntar melalui Mujahid Yusof.

Keadaan itu kekal sehinggalah pada PRU 2013. Kemenangan itu menjadikan tanggungjawab parti semakin besar dan mencabar.

Jiwa tetap di Parit Buntar

Sebagai parti pembangkang, apalah yang diharapkan daripada bantuan kerajaan. Bukan seperti sekarang apabila PAS membentak-bentak menuntut bantuan.

Ada kes berlaku, kotak bantuan agihan kerajaan negeri yang diberikan kepada mereka itu ditampal dengan logo parti. Lembu punya susu, sapi yang mencari nama.  

Barangkali PAS sudah mula lupa sejarah pahit maung menjadi parti pembangkang selepas merasa menjadi kerajaan seketika. Suatu ketika dulu, PAS gigih mencari dana sendiri untuk membantu rakyat.

Semua beban itu secara moralnya menjadi tanggungjawab wakil rakyat. Namun dari segi realitinya, petugas sepenuh masa partilah yang melaksanakan tugas tersebut.

Mereka itulah kaki dan tangan, telinga dan mata kepada wakil rakyat.

Mujahid Yusof

Wakil rakyat hanya perlu membawa badannya berhadapan dengan orang ramai. Memang telah menjadi budaya masyarakat Melayu, wakil rakyat adalah segala-galanya.

Seolah-olah wakil rakyat mempunyai lampu ajaib yang boleh menyelesaikan segala masalah.

Apabila Mujahid menjadi menteri semasa PH menjadi kerajaan pada 2018, Bob kekal memberi perkhidmatan di peringkat akar umbi. Dia boleh saja menjadi pembantu menteri di Putrajaya, tetapi jiwanya tetap pada rakyat di Parit Buntar.

Bob bertugas lama di pusat khidmat masyarakat - dari zaman PAS hingga kepada zaman Amanah. Dia memikul tanggungjawab paling kanan kepada organisasi parti.

Banyak kawan, sejahtera masyarakat

Dari penyusunan jadual wakil rakyat atau pimpinan, program bantuan untuk rakyat, berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan - semua diuruskan Bob dari pejabat yang diketuainya.

Kali terakhir kami bertemu ialah pada bulan lalu ketika saya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Amanah Parit Buntar.

Saya mula mengenali Bob sejak 1990-an iaitu ketika berada dalam Dewan Pemuda PAS Perak. Dia merupakan ahli jawatan kuasa kepada kebanyakan lajnah (biro) yang pernah saya ketuai.

Semua tugas yang saya serahkan kepada Bob dapat digalasnya dengan baik.

Dalam ucapan perasmian itu, saya memetik tulisan Quraish Shihab tentang politik. Kata ulama Indonesia itu, politik adalah kehidupan sosial.

Ini bermakna politik adalah bidang memperbanyakkan kawan dalam memberi kesejahteraan dalam masyarakat.

Bob adalah salah satu contoh amilin politik yang memperbanyakkan kawan untuk perjuangan partinya.

Selepas selesai majlis perasmian, Bob mengiringi saya beredar keluar meninggalkan majlis. Kami menjamu selera bersama pimpinan kerajaan perpaduan peringkat parlimen Parit Buntar, termasuk ketua Umno dan ketua cabang PKR.

Dia bawakan sekotak ikan sembilang yang siap disiang sebagai ole-ole dari daerah Kerian.

"Bang, ini ikan baru mendarat pagi tadi," kata Bob. Itulah detik terakhir kami bersama.

Damailah kau di sana, Bob.


MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.