KOLUM | Algoritma bentuk dunia kita?
Baru-baru ini tersebar satu klip video sedutan perbahasan dalam Dewan Negara, menyaksikan bagaimana menteri komunikasi dan digital ketika itu, Fahmi Fadzil menyekolahkan senator Hussin Ismail secara berlapik tentang algoritma media sosial. Senator lantikan Dewan Undangan Negeri Terengganu ini pada mulanya cuba mengetengahkan isu iklan lucah yang disajikan media sosial; tanpa diduga, jawapan menteri yang membalas pertanyaannya mengundang gelak ketawa satu dewan, daripada mereka yang fasih dengan algoritma.
Barangkali kemusykilan sesetengah orang terjawab, dan moga-moga dengan pencerahan ini, khalayak umum lebih peka dengan data yang boleh dikumpul daripada perantinya, termasuk rekod transaksi kewangan, laman yang dilayari, video yang ditonton, maklumat kesihatan, gambar yang diambil, malah perbualan harian sama ada dalam talian mahupun luar talian. Dengan menelusuri jejak kita dalam peranti, AI (Kercerdasan Buatan) mungkin lebih memahami diri kita berbanding sesiapa sahaja di dunia ini, malah termasuk kita sendiri.
Sedar atau tidak, kita sudah berada pada zaman ledakan maklumat, dunia terletak di hujung jari kita melalui sentuhan pada skrin. Pada masa yang sama, kita disasarkan sebagai audiens, pengguna (pembeli), juga pengundi, oleh mereka yang menguasasi data di sebalik tabir. Kita menjadi sebahagian daripada data besar (big data), disuapkan maklumat saban hari untuk membentuk atau mengubah dunia kita.
Lantas timbul persoalan, apakah kita masih mampu mengenali dunia secara lebih menyeluruh, atau dunia yang lebih dekat dengan realiti, sedangkan dunia kita pada zaman AI dibentuk dengan perhitungan algoritma, berdasarkan big data?
Hujah untuk menyokong pendirian
Memetik contoh Fahmi, andainya kita mencari maklumat mengenai kereta dengan peranti, maka iklan kereta akan mula melambak dalam sosial media kita. Selain pencarian, AI mengesan keperluan, minat, kecenderungan dan pendirian kita melalui hantaran yang mencungkil “reaksi” kita, atau bahan yang kita baca, tonton atau kongsi.
Misalnya, andai kita cenderung untuk menyokong China dalam isu pertembungan China-Amerika Syarikat di persada antarabangsa, lantas hujah yang memihak kepada China akan disuapkan bertubi-tubi kepada kita. Kita akan dipertemukan fakta betapa hipokritnya Amerika Syarikat berdasarkan rekodnya campur tangan dan mencerobohi negara lain, lantas kelayakannya terhakis untuk berbicara tentang hak asasi manusia.
Sebaliknya, jikalau kita cenderung untuk menyokong Amerika Syarikat, maka kita akan disuapkan fakta betapa kuku besinya pemerintahan Parti Komunis China, termasuk penapisan maklumat, sekatan kebebasan dan sebagainya – corak pemerintahan yang sudah tentu menongkah arus zaman dan ketamadunan.
Apa yang disuapkan tidak semestinya maklumat palsu belaka, cuma ada kalanya maklumat itu separuh benar. Lebih tepat, kebanyakan masanya ia merupakan fakta yang berat sebelah. Suapan maklumat sedemikian akan meyakinkan kita bahawa kita berada di pihak yang benar. Ini kerana kita dibekalkan hujah dan dalil yang kelihatan “rasional”, untuk menyokong pendirian kita, tanpa kita sedar bahawa maklumat yang dihidangkan adalah air tangan algoritma. Kesemua hujah yang disajikan hanya “mengesahkan” pandangan diri kita. Kita diasah untuk menjadi semakin taksub dengan fahaman yang menjadi pegangan kita.
Sedar akan realiti sebenar
Jadi, apa susahnya untuk kita membuktikan diri kita berada di pihak yang benar, dalam dunia kita sendiri di media sosial pada hari ini? Lebih-lebih lagi, sifat sesetengah kita yang lebih suka disetujui atau direstui, daripada disanggah dan dipertikaikan, menjurus kepada amalan “un-friend” dan “un-follow” apabila berbeza pandangan. Malah, tanpa kita secara pro-aktif untuk “un-friend” dan “un-follow” sekalipun, algoritma media sosial akan mengurangkan kemunculan pandangan berbeza di media sosial kita, berdasarkan reaksi kita yang dingin atau hambar terhadap pandangan atau individu yang berpegang kepada pandangan tersebut.
Lama-kelamaan, kita didodoikan dalam satu suasana–mereka yang masih berada dalam dunia kita, saling menyetujui. Keadaan ini amat bahaya kerana hujah kita tidak diuji untuk membuktikan ianya teruji. Kita tidak sedar akan kecacatan, kelemahan dan kesilapan hujah kita, sebaliknya semakin “bodoh sombong” kerana saban hari kita mengiyakan dan diiyakan antara satu sama lain. Kita tidak lagi diasah untuk meneliti sesuatu isu secara menyeluruh, sebaliknya kita mengangkat sebahagian kebenaran seolah-olah ia satu-satunya, dan segala-galanya.
Barangkali konsep ini agak sukar difahami tanpa contoh. Bayangkan, seorang Melayu yang hanya berkawan dengan Melayu di media sosial, maka dunianya di alam maya hampir dimonopoli pandangan Melayu sahaja. Petik isu kuota kemasukan institusi pengajian tinggi, pandangan majoriti Melayu cenderung untuk mempertahankannya. Jika ada seorang dua yang berbeza pandangan, mungkin dia dilabel sebagai pengkhianat dan kemudian di-un-friend-kan. Dengan ini suaranya hilang di dalam dunia Melayu ini.
Jikapun Melayu ini memiliki kawan Cina atau India, dan kemungkinan kawannya mengutarakan pandangan mereka dengan bahasa Cina atau Tamil, maka hantaran tersebut juga tidak akan muncul di News Feed media sosial Melayu itu, berdasarkan algoritma (kerana pengguna tidak fasih dengan bahasa yang digunakan), melainkan Melayu ini secara proaktif melayari akaun kawan Cina dan Indianya, dan kemudian cuba memahami pandangan rakannya dengan bantuan terjemahan.
Begitu juga dengan sebaliknya, Cina atau India tidak semestinya mengambil tahu pandangan rakan Melayunya. Fenomena ini menjurus kepada jurang pandangan yang semakin lebar kerana kelompok masing-masing tidak mengambil kira pandangan kelompok lain. Akhirnya semua orang menganggap diri sebagai “mangsa” – Melayu melihat dirinya ketinggalan sebermulanya berbanding Cina, dan Cina pula menganggap sistem ini tidak adil untuk generasi barunya. India menganggap dirinya minoriti yang diperlekehkan, tanpa kuasa politik seperti Melayu, juga tanpa kuasa ekonomi seperti Cina; manakala orang asli pula menganggap hakikatnya merekalah yang paling memerlukan kuota.
Lawan algoritma dengan sikap
Apakah kita mampu membebaskan diri daripada jaringan big data? Mungkin tidak, buat setakat ini. Namun, sekurang-kurangnya kita harus sedar akan hakikat bahawa dunia kita sedang dibina berdasarkan algoritma. Algoritma mengasingkan kita dengan batas bahasa, etnik, ideologi dan sebagainya. Jikapun kita gagal memecahkan tembok ini, kita perlu sedar bahawa wujud lagi pandangan yang berbeza di sebalik tembok. Kita tidak sentiasa benar, dan mereka yang berada di luar sana tidak semestinya salah, atau bodoh.
Andainya kesedaran ini tersemai dalam minda, maka kita akan lebih berwaspada ketika melontarkan pandangan. Kita akan menyemak kesahihan mesej yang disajikan kepada kita, terutama kredibiliti sumbernya. Jikalau lamannya asyik muncul 404, maka media itu harus dihindari. Jangan sesekali kita dihasut dengan tajuk berita yang sengaja disensasikan, sudah tentu ia tidak baik untuk mental kita, umpama makanan ringan yang terlalu manis, masin atau pedas.
Sebaliknya, kita harus keluar dari zon selesa yang melantun-lantun gemanya. Kita harus memberanikan diri untuk melangkaui batas etnik, agama, budaya, bahasa, ideologi, kelas ekonomi dan sebagainya, menerokai dunia yang lebih besar daripada apa yang dibina algoritma media sosial untuk kita. Hanya dengan kesedaran sedemikian, kita mampu mendekati dunia yang sebenar. Dan hanya dengan mengenali dunia yang sebenar, barulah kita mampu mengubahnya.
LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai