Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Menonton filem di hujung tahun

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Tiada filem yang sempurna. Namun, hakikat ini tidak harus menambat langkah kita daripada memuji produk budaya tempatan yang berkualiti.

La Luna yang ditayangkan November misalnya, sungguhpun jalan cerita dan perwatakan yang dilakarkan agak mudah, bukannya berlapis-lapis, namun secara keseluruhannya filem ini cukup bermakna, dalam konteks mencabar patriaki dan pemikiran konservatif sedia ada. Begitu juga dengan Abang Adik yang ditayangkan baru-baru ini, sudah tentu akal yang rasional akan mempersoalkan plot-plot tertentu dalam filem, namun kita tetap membiarkan kalbu untuk ditusuk dengan shot 15 saat watak abang mengadu ketidakadilan yang menimpanya, menggunakan isyarat tangan.

Dengan kata lain, ada sahaja adegan yang menyentuh hati kita dalam filem-filem tersebut. Audiens bukan didoktrinkan untuk memuja dan mengagumi wira dan pahlawan, sebaliknya tercungkil emosi untuk berempati terhadap golongan minoriti yang terpinggir dalam masyarakat. Audiens tidak digegarkan dengan kesan bunyi yang melantun-lantun dalam panggung, sebaliknya diruntun jiwa dan hati dengan luahan dan protes yang hampir hilang suaranya.

Produk budaya membentuk identiti

Sejujurnya, saya amat teruja dengan perkembangan industri filem tempatan sebegini, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk yang sedang tercari-cari identiti sendiri. Maklumlah, filem adalah produk seni budaya yang turut berpengaruh untuk membentuk identiti sesebuah bangsa. Ada filem yang menggilap identiti bangsa dengan menyemarakkan permusuhan terhadap “yang lain”, ada pula filem yang memperlihatkan “komuniti lain” kepada audiens, menerokai persoalan dari mana “mereka” datang dan ke mana “kita” akan pergi (bersama).

Lantas filem dengan tema dan mesej yang pelbagai melambak di pasaran. Ada yang mengajak agar kita berwaspada, kalau bukan memerangi “yang lain”, “pendatang asing”; atau secara lunaknya “kita kena bersatu padu”, “jangan kita berpecah belah” (supaya tidak diambil kesempatan orang lain). Mesej sebegini semakin terhakis relevannya pada zaman ini, kerana berpegang kepada andaian simplistik bahawa “kita” sentiasa berada di pihak yang benar, semuanya baik dan alim, suci dan murni, manakala segala yang berbeza dengan kita adalah batil, jahat dan keji.

Realiti hidup sentiasa mencerminkan hakikat sebaliknya. Ada gunting dalam lipatan. Penindasan dan buli-membuli berlaku dalam kalangan diri “kita”, lantaran kedudukan dan kepentingan yang berbeza. Sementara “yang lain” cuma tidak sama dengan diri kita – ada yang dilahirkan sebegitu, atau dilahirkan dalam keadaan sebegitu untuk membuat pilihan dalam kekangan batas sedia ada. Siapakah kita untuk menilai, malah menghukum, sebelum kita melalui apa yang diharunginya?

Abang Adik

Bertitik tolak daripada itu, kemunculan filem-filem tempatan seperti La Luna, Abang Adik, Pendatang sejak kebelakangan ini, sedikit sebanyak mengajak audiens untuk menghalusi persoalan yang lebih rumit, menawarkan perspektif berbeza agar kita memahami dunia ini secara lebih menyeluruh.

Petik contoh Abang Adik yang hangat diperbincangkan baru-baru ini. Untuk mereka yang jarang menjejak kaki ke komuniti pekerja asing, mungkin dipahat persepsi terutamanya media bahawa golongan buruh asing dan jenayah berpisah tiada, yang harus kita berjaga-jaga ketika bersua dengan mereka.

Namun “golongan tidak berdokumen” (baca: tidak beridentiti), “pekerja asing” ditampilkan dengan perwatakan yang bertentangan dengan prejudis arus perdana. Berhempas pulas mereka mencari rezeki untuk menyara hidup sendiri. Setiap ringgit dan sen diperoleh dengan curahan peluh keringat, pendapatan yang sudah tentu lebih bersih daripada tangan mereka. Mereka juga bertekad untuk hidup sebagai manusia biasa seperti kita. Hanya satu alasan yang nampak wajar untuk rakyat tempatan menolak kehadiran mereka, iaitu “mereka merampas peluang pekerjaan orang tempatan”. Cuma, tepuk dada tanya selera, apakah rakyat tempatan benar sanggup membuat kerja mereka, dengan upah sebegitu?

Malah, watak seorang transgender bernama Kak Money, turut mewarnai filem ini, dengan menyerlahkan sifat kemanusiaan, juga kasih sayangnya yang tulus ikhlas terhadap pasangan abang adik yang tidak memiliki kad pengenalan ini. Hakikatnya, golongan transgender telah wujud sekian lama dalam masyarakat kita. Mereka bekerja, membayar cukai dan sudah tentu berhak untuk menjalani hidup seperti orang biasa. Bukannya mereka menuntut untuk “diangkat-angkat” dalam masyarakat, tetapi sekadar tidak “dipijak-pijak” pun sudah memadai.

Naratif untuk melengkapi perspektif

Harus kita ingat, bahawa filem bukan tesis akademik, juga bukan wacana ilmiah, jauh lagi akta dan undang-undang, dan hanya menawarkan satu naratif untuk melengkapi perspektif kita. Jangan sesekali kita melenting hanya dengan satu dua filem yang bertentangan dengan pendirian, atau pandangan sarwa kita, sehingga kita mendesak untuk mengharamkannya.

Kita harus mengakui bahawa setiap institusi atau mekanisme memiliki pertimbangan tersendiri, dalam usaha untuk menyelesaikan masalah. Mustahil akta dan undang-undang menyelesaikan semua masalah dalam masyarakat kita. Begitu juga dengan institusi agama, lebih-lebih lagi dalam konteks satu masyarakat berbilang agama. Ada sahaja sisi-sisi yang terlepas pandang, juga golongan yang tercicir dari landasan. Maka pengalaman hidup mereka dikisahkan melalui filem, untuk audiens menyelami situasi dan suasana hidup mereka.

Dalam filem Abang Adik, ceritanya berkisar kepada golongan tidak berdokumen, atau kad pengenalan, juga pekerja asing dengan atau tanpa izin di sekelilingnya. Sudah tentu pihak berkuasa bertanggungjawab untuk memperincikan setiap kes permohonan kewarganegaraan sebelum meluluskan, atau menyekat penyeludupan pendatang tanpa izin, cuma kerenah birokrasi, ketirisan, penyelewengan, dan penyalahgunaan kuasa juga boleh berlaku di sepanjang proses ini, dilanjutkan untuk menimbulkan masalah lain.

Tidak sukar juga untuk kita menuding jari kepada rakyat tempatan yang melahirkan anak luar nikah bersama pendatang asing, sehingga generasi yang dilahirkan menanggung kesengsaraan seumur hidupnya. Namun masalah tidak terungkai hanya dengan kita menuding jari. Filem mengajak kita untuk merasai ketakutan dan kegusaran abang adik ketika terserempak dengan anggota penguatkuasa yang meronda, juga segala kesulitan yang melanda kehidupan mereka semata-mata kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Mencetus perbincangan

Sesungguhnya, definisi “baik” untuk filem agak luas, dan ada kalanya subjektif. Namun, setelah menelaah perkongsian netizen yang menonton Abang Adik, filem ini agak berjaya untuk mencetus perbincangan, diperkayakan dengan maklum balas yang pelbagai.

Barangkali bukan motif asal pengarah filem, tetapi ada netizen membangkitkan bahawa filem ini memecah imej stereotaip pandangan arus perdana bahawa Cina sentiasa kaya, seolah-olah Cina yang miskin tidak wujud.

Saya tertarik juga apabila pelakon Taiwan yang memainkan watak abang, Wu Kang Ren mengaku belajar sesuatu daripada golongan buruh asing di Pudu, tatkala dia cuba menyesuaikan dirinya ke dalam komuniti itu, sebulan sebelum penggambaran bermula. Wu belajar untuk bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang dimilikinya, setelah bergaul dengan buruh asing, yang kebanyakan kita anggap sebagai “kelas bawahan”.

Untuk saya, filem yang mendewasakan dan mematangkan pelakonnya, juga penontonnya, adalah filem yang baik. Bukan semua kita berkebolehan untuk menjadi wira atau wirawati yang menyelamatkan dunia, tetapi setiap diri kita mampu berbuat baik untuk orang di sekeliling kita. Sememangnya dunia ini sarat dengan ketidakadilan dan kezaliman, yang membuatkan sesetengah kita pasrah dan rebah, tetapi percayalah, dengan kasih dan cinta, kita mampu membentuk satu suasana yang lebih mesra untuk semua, terutamanya minoriti yang tersepit dan terpinggir – tatkala penambahbaikan sistem dan struktur dijana untuk mengubah nasib mereka.

Selagi hidup, kasih dan sayanglah seelok-eloknya. 


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.