Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Melihat dekad-dekad sebelum 2024 

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Hari Selasa ini, dunia memasuki tahun 2024 dengan negara diperintah oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim. Sepuluh tahun lalu, 2014, negara diperintah oleh BN  pimpinan Najib Razak.

Ketika itu pihak pembangkang ialah Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS. Tetapi pada masa itu, PAS sedang bergolak yang akhirnya berpecah, dan turut merungkai Pakatan Rakyat.

Sepuluh tahun sebelumnya, iaitu pada tahun 2004, pilihan raya umum diadakan dengan menyaksikan kemenangan besar BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Pada masa itu pihak pembangkang ialah PKR, DAP dan PAS. PKR dan PAS berpakat dalam Barisan Alternatif. Tetapi PKR kalah teruk dengan hanya mampu meraih satu saja kerusi parlimen dengan PAS kehilangan Terengganu.

Sedekad sebelum itu pula, iaitu tahun 1994, negara diperintah oleh Dr Mahathir Mohamad. Pada masa itu BN masih ada majoriti dua pertiga. Anwar pula adalah timbalan perdana menteri. Masa itu pihak pembangkang ialah PAS, Parti Semangat 46, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang berpakat melalui Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat.

Sementara 10 tahun sebelumnya pula iaitu tahun 1984, Dr Mahathir juga memimpin negara dengan Umno dan BN adalah parti yang bersatu, kuat dan dominan. Ketika itu, Anwar berada dalam kabinet sebagai menteri pertanian.  Pihak pembangkang ketika itu ialah PAS, DAP dan PRM. PAS hanya ada satu kerusi parlimen setelah berlaku perpecahan yang menghasilkan Hamim.

Pada tahun 1974, iaitu 50 tahun lalu, negara sedang mengalami kebangkitan baharu bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Razak Hussein. Beliau menubuhkan BN yang tonggaknya adalah Umno dan PAS. BN menang besar dalam pilihan raya umum. Pihak pembangkang ialah DAP dan PSRM iaitu PRM yang masih bernama Parti Sosialis Rakyat Malaya.

Tetapi 10 tahun sebelumnya, negara dalam keadaan rapuh. Pada tahun 1964, Malaysia menyambut ulang tahun pertama penubuhannya. Singapura masih berada dalam Malaysia. Konfrontasi dengan Indonesia masih berlangsung. Negara diperintah oleh kerajaan Perikatan pimpinan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. Pihak pembangkang pula terdiri daripada PAS, Front Sosialis (SF), Parti Demokratik Bersatu (UDP), Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Negara.  SF dianggotai Parti Rakyat, Parti Buruh dan Parti National Convention. UDP adalah pecahan MCA. PAP adalah parti kerajaan Singapura dan Parti Negara diasaskan oleh Dato Onn Jaafar 

Sedekad sebelumnya iaitu pada tahun 1954, Malaya masih dijajah Britain dan Darurat sedang berlangsung. Penentang kerajaan ialah Parti Komunis Malaya (PKM) yang mengangkat senjata. Kerajaan  ditadbir  oleh Gabenor Gerald Templer dengan Tunku Abdul Rahman menjadi ketua menteri.  Pilihan raya negeri diadakan di Johor dan Terengganu. Pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di banyak bandar besar dan kecil, dari  Kuala Lumpur, Georgetown, Melaka, Johor Bahru sampailah ke Pasir Mas, Segamat, Bukit Mertajam dan Batu Pahat.

Pendudukan Jepun

Sementara sepuluh tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1944, Malaya masih berada bawah pendudukan Jepun yang ditadbir oleh Jeneral Mejar Masuzo Fujimuro. Penentangan terhadap pendudukan Jepun diakukan oleh Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA) pimpinan PKM.

Sedekad sebelum itu, iaitu tahun 1934, Malaya ditadbir dalam bentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS), Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (UFMS). Gabenor FMS pada masa itu ialah Cecil Clementi. Pada tahun itu juga, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)  ditubuhkan untuk mengurus negara. 

Pada tahun 1924, iaitu seratus tahun sebelum 2024, Malaya diperintah oleh Pesuruhjaya Tinggi Lawrence Nunns Guillemard melalui sistem FMS, UFMS dan Negeri-negeri Selat.

Di peringkat antarabangsa, tahun 1924 ditandai dengan dua peristiwa penting yang memberi kesan pada umat Islam. Pertama, pemansuhan institusi kekhalifahan Uthmaniah di Turki oleh pendiri Republik Turki, Mustafa Kamal Attaturk tanpa ada ganti atau penerusnya. Kedua, penaklukan oleh keluarga Saudi ke atas Mekah di bawah pimpinan Abdul Aziz Saud tanpa sebarang penentangan dari penjaganya iaitu keluarga Hashimiah yang kini adalah pemerintah di Jordan. Abdul Aziz mengisytiharkan dirinya sebagai penjaga Mekah dan Madinah.

Apabila melihat perkembangan setiap tahun, sebarang perubahan yang berlaku adalah tidak ketara. Tetapi apabila melihat jangka masa 10 tahun, barulah perubahan-perubahan dapat dilihat dengan lebih jelas. Tetapi itu pun hanyalah perubahan yang sedikit. Perubahan besar hanya dapat dilihat apabila ditinjau jangka masa 50 tahun. Maka apabila melihat jangka masa 100 seratus, keadaan ternyata jelas berbeza.

Tidak banyak manusia mencecah umur 100 tahun. Sesiapa yang berusia 100 tahun pada tahun 2024, dia dilahirkan pada tahun 1924. Tetapi seringkali di negara ini, jika seseorang mencecah usia 100 tahun dalam keadaan sihat, kekuatan fizikal dalam mental sudah amat lemah. Umumnya kekuatan seseorang hanya berkesan sehingga sekitar usia 80 tahun. Tidak ramai yang mampu terus cergas dan cerdas melawati usia 90 tahun seperti Dr Mahathir yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-99 pada tahun 2024.

Jangka hayat purata rakyat Malaysia adalah sekitar 75 tahun dengan usia persaraan adalah 60 tahun. Selepas itu mereka dianggap warga emas. Maka seseorang dianggap aktif dan berkesan mulai usia 20 tahun hingga 60 tahun. Hanya sebahagian yang terus aktif dalam politik atau bidang-bidang lain boleh melangkaui lebih 70 tahun. Maka umumnya manusia hanya berkesan dalam 40 tahun sahaja. Tetapi tentulah banyak pengecualian dalam hal ini. Ada yang berusia 70 tahun dan lebih terus mampu menjadi ahli politik, ahli perniagaan, ahi seni, ahli akademik dan ahli agama.

Maka generasi berganti generasi dari tahun 1924 hingga kini. Setiap generasi mencorak negara. Apa yang nyata penduduk semakin bertambah dan kesannya tentulah besar. Dari tahun 1924, peperangan yang besar berlaku pada tahun 1940-an dan ia menjejaskan pertumbuhan penduduk. Terdapat banyak kematian dan penderitaan. Tetapi selepas itu, perdamaian, pembangunan dan kemakmuran menggalakkan pertumbuhan penduduk.

Perbezaan ketara

Perbezaan yang ketara di negara ini adalah selepas tahun 1970. Darurat sudah berakhir dan penubuhan Malaysia menyaksikan sudut pandangan positif terhadap masa depan. Apabila memasuki tahun 1980-an, pendidikan yang meluas menimbulkan kesedaran untuk tuntutan penggunaan teknologi dan amalan demokrasi.

Setiap tahun dan dekad memberikan cabaran yang tersendiri tetapi sebarang perubahan berlaku secara tahap demi tahap. Hanya adakalanya ia berlaku secara mendadak dan mengubah keadaan pada keseluruhannya.

Dari tahun 1924, sudah terdapat pelbagai maklumat dan kajian tertulis mengenai negara ini tersimpan dalam arkib, perpustakaan dan muzium, baik di Kuala Lumpur, Singapura, London dan juga pusat-pusat akademik di Amerika. Tulisan-tulisan ini tentunya tidak dapat menggantikan pengalaman sebenar. Tetapi semakin hampir dengan pada waktu sekarang, semakin banyak maklumat yang terhimpun. Kesemua ini menjadi bahan untuk mendapatkan pelajaran dari sejarah yang berlalu.

Setiap generasi perlu mempelajari balik apa yang telah berlaku pada negara. Sementara generasi lama yang menyimpan khazanah negara dalam memorinya satu per satu meninggal dunia. Mereka membawa bersama segala pengalaman yang tidak boleh terakam dan tidak dapat dimanfaatkan oleh  generasi baharu. Tanggapan dan pelajaran yang mereka peroleh juga berbeza. Apa yang ditanggap oleh generasi terkemudian pasti berbeza dengan generasi dahulu. Ada kalanya ia mendatangkan keadaan yang lebih baik. Tetapi pada waktu lain pula ia pun boleh mendatangkan mudarat.

Walaupun generasi yang terkini mempunyai pendidikan dan kemahiran yang lebih berbanding generasi dahulu tetapi tidak ada generasi yang istImewa. Mereka adalah generasi zamannya. Tidak ada sesiapa yang dapat memilih generasi mana untuk mereka hendak berada. Seperti mana negara, kaum dan agama, seseorang berada pada generasi tertentu adalah ketana nasibnya.

Apa yang wajar ialah meraikan di mana generasi masing-masing berada. Maka 2024 juga mengajak supaya setiap yang hidup pada tahun itu, meraikan pengalamannya selagi hayat masih mengizinkan.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.