Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Apabila manusia berfikir dengan AI

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

KOLUM | Manusia mengatur setiap langkahnya berdasarkan pengetahuan, pengalaman, moral, rasional, dan kadang-kala, ditambah secubit emosi. AI (Kecerdasan Buatan) pula membuat keputusan berdasarkan data yang tersimpan dalam pangkalan, perhitungan kesan setiap langkah yang mungkin, dan kemudian membuat pilihan terbaik, berdasarkan keperluan yang digariskan.

Selagi data yang terkumpul di pangkalan lebih lengkap berbanding ilmu pengetahuan yang tersarat dalam otak seseorang manusia, maka kemungkinan besar AI akan membuat keputusan yang lebih tepat berbanding manusia. Misalnya, aplikasi peta dalam telefon pintar, sudah tentu ia mampu merancang perjalanan paling singkat dan menjimatkan masa, dengan menguasai maklumat situasi aliran trafik terkini ketika kita bertolak ke destinasi.

Maka penggunaan aplikasi ini setiap kali kita memandu, meskipun menuju ke destinasi yang kita tahu hala tujunya, menjadikan kita semakin bergantung kepadanya, sehingga kita boleh tersesat jikalau tanpanya satu hari nanti. Pemanduan bukan lagi pengalaman mengecam bangunan dan liku-liku jalannya sambil menikmati pemandangan, sebaliknya menurut segala perintah daripada aplikasi peta.

Hilang sabar ketika membaca

Saya bukan mencadangkan bahawa jangan kita menggunakan aplikasi peta ketika berada di jalan raya, tetapi sekadar mengingatkan bahawa kebergantungan sepenuhnya terhadap AI boleh menjurus kepada hilangnya daya dan upaya tertentu dalam diri kita. Paling membinasakan apabila AI mengambil alih kerja untuk berfikir, menilai dan membuat keputusan untuk manusia.

Apa tidaknya? Petanda-petanda fenomena ini telah diperlihatkan dalam diri kita. Contohnya, kita semakin hilang sabar untuk menghabiskan pembacaan sebuah tulisan melebihi seribu perkataan. Jikalau ditanyakan hati, paling baik satu isu yang rumit dapat dirumuskan dalam bentuk soal-jawab yang ringkas lagi padat.

“Ringkas” dalam erti kata tidak melebihi lima soalan, sementara “padat” bermaksud kesemua maklumat dimampatkan dalam tulisan yang tidak melebihi 600 patah perkataan. Bagi mereka yang masih belum hilang daya ingatan, 120 patah perkataan (purata perkataan untuk satu soalan) adalah jumlah perkataan maksimum bagi kertas karangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bukan disebabkan kesuntukan masa, kerana masa yang dijimatkan itu dihabiskan dengan menonton video-video pendek yang tidak pun kita ingat apa kandungannya selepas berjam-jam kita menatap skrin telefon pintar. Mengaku atau tidak, kita semakin keberatan untuk menelaah atau menghadam isu-isu yang rumit. Tiada minat untuk kita menelusuri selok-beloknya, atau mengambil tahu latar belakangnya. Malah sesetengah kita sekadar menuntut satu jawapan mudah dari apa yang kita baca – ya atau tidak, sokong atau bantah, siapa ke syurga dan siapa ke neraka.

Tabiat dan sikap sebegini membuka ruang sebesar-besarnya untuk dimanipulasi mereka yang berkepentingan. Ada sahaja pihak yang menyuapkan kita dengan informasi yang berat sebelah semata-mata untuk mempengaruhi pemikiran kita, supaya kita membuat keputusan yang memihak kepentingan mereka.

Bayangkan, andainya dikerah netizen untuk berkongsi pengalaman ketika bersua dengan lepasan sekolah Cina yang kurang fasih bahasa Melayu, sudah tentu esoknya majoriti akan bersetuju untuk menghapuskan sekolah aliran Cina. Siapa pula akan mempersoalkan, bagaimana dengan lepasan sekolah Cina yang petah berbahasa Melayu, misalnya pempengaruh yang mempromosi produk di media sosial? Apakah satu kajian yang objektif dan menyeluruh telah dijalankan, dengan hasil dapatan bahawa majoriti produk sekolah Cina tidak fasih berbahasa Melayu?

Bukan itu sahaja, bagi mereka yang hanya mempercayai apa yang mahu dipercayai, pembacaan tidak lain tidak bukan untuk “membuktikan” teorinya. Keghairahan untuk berkongsi hantaran yang disukainya, akan disahut algoritma media sosial dengan menyuapkan lebih banyak kandungan yang sewaktu dengannya. Siapa peduli sejauh manakah kesahihan kandungan yang disuapkan? Takkan pokok bergoyang kalau tiada angin, kan? Dan jikalau dibuktikan kandungan itu mengandungi fakta palsu sekalipun, ada pula yang akan tetap bersikap “selagi ia selari dengan pendirian kita, berita palsu pun berita palsulah!”

Bagaimana idea bertembung andai gagal berfikir?

Jadi inilah sebahagian realiti masyarakat kita pada hari ini, apabila kita menggunakan teknologi tanpa kesedaran bagaimana dunia ini berputar. AI sepatutnya digunakan sebagai pelengkap untuk mempertingkatkan kualiti hidup, tetapi telah dijadikan pengganti otak kita, sehingga kita gagal berfikir, lantas menyerah sepenuhnya kepada AI untuk membuat keputusan bagi pihak kita, kerana lebih yakin dengan AI berbanding akal diri kita.

Politik perebutan kuasa

Dalam konteks ini, pilihan raya akan hilang maknanya, kerana kecenderungan politik kita bukan lagi dipandu pegangan atau fahaman kita setelah pertimbangan yang lebih menyeluruh, sebaliknya dipengaruhi mereka yang menguasai data. Sama ada kita terperangkap dengan ketaksuban yang disuburkan algoritma media sosial; ataupun kita tidak lagi berupaya untuk menelaah isu yang kompleks, dan hanya mampu memberi reaksi langsung kepada rangsangan tertentu, umpama ketuk lutut lantas kaki tendang ke depan.

Kebanyakan dari kalangan kita sudah tidak mampu menilai prestasi sesebuah kerajaan dari segi dasar ekonomi, pendidikan, sumber dan tenaga, alam sekitar, perancangan pembangunan dan sebagainya; atau integritinya, tekad politiknya, juga keberkesanan pelaksanaannya, kerana kita pening dengan angka dan statistik, apatah lagi lebih yang kita tidak tahu berbanding apa yang kita tahu dalam soal dasar.

Namun, apa yang pelik, entah dari mana datangnya keyakinan kita untuk membuat keputusan, hanya dengan menonton satu klip video yang kononnya pelajar muslimat kena memakai skirt jikalau parti tertentu menang dalam pilihan raya umum, tanpa kita menyelidik sejauh manakah kebenaran dakwaan sedemikian.

Dan jikalau inilah sikap dan mentaliti kita, patutlah politik tanah air tidak lebih daripada perebutan kuasa, jatuh-menjatuhkan dengan fitnah dan ucapan benci, dan bukannya “pertembungan idea”. Bagaimana politik Malaysia boleh menjadi “pertembungan idea”, jikalau sekejap DAP dituduh sebagai komunis (kiri), sekejap pula dikaitkan dengan mendiang Lee Kuan Yew yang jelas mendukung kapitalisme (kanan)? Jadi di mana letaknya DAP?

Kesemua persoalan ini tidak terjawab. Padahal, perdebatan fahaman kiri dan kanan, dalam bidang ekonomi dan budaya, amatlah kompleks. Antaranya, perbahasan ini cuba menjawab soalan sama ada kerajaan harus campur tangan dalam pasaran, atau dibiarkan bebas, atau kombinasi kedua-duanya pada tahap berbeza. Apa yang terlantar di sebalik ideologi masing-masing adalah pandangan sarwa (world view) dan nilai pegangan seseorang. Malah kita perlu mengambil kira konteks dan latar belakang sejarah masyarakat kita sebelum menentukan sistem mana yang lebih sesuai untuk kita. Ia tidak sedangkal label, bukan semurah retorik.

Cuma di Malaysia, persoalan yang belum pasti dapat dirungkaikan selepas bertimbun-timbun buku dibaca, boleh diselesaikan politikus dan pengikut tegarnya dengan istilah azimat seperti “biadap”, itupun salah ejaannya. Dan mungkin itu jugalah, pembangkang terus berjinak-jinak dengan sindiran seperti Reformati dan Madanon, tanpa hujah, wacana, atau naratif alternatif untuk menggantikan konsep Reformasi dan Madani.

Dan hampir suku abad lalu, ada yang memetik kisah Sejarah Melayu, perwatakan Hang Tuah dan Hang Jebat, kalimat “Raja adil raja disembah, Raja zalim raja disanggah” untuk menggarap makna pertembungan antara Mahathir dengan Anwar. Kini, kesemua babak ini hanya terlipat sebagai nostalgia romantis. Kita lebih berminat dengan capal Anwar, panggilan Abah dan Makcik Kiah, juga “kepala bapak hang” menteri besar.

Manusia yang cerdik telah mencipta AI. Malangnya manusia jugalah yang sudi diperbodohkan AI.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.