Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Layan karaoke sampai pagi

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

KOLUM | Udi ialah rakan zaman persekolahan. Dia belajar di sekolah lain tetapi kerana Kuantan pada waktu itu kecil saja, maka kami yang seusia kenal hampir semua rakan-rakan dari sekolah di sekitar bandar tersebut.

Sewaktu di sekolah Udi terkenal kerana nakalnya. Rekod paling cemerlang Udi adalah apabila dia membakar perpustakaan sekolah.

Dulu, kami semua masalah dapat kami selesaikan dengan cara yang amat mudah. Tidak ada basikal mahu ke sekolah, kami bagitau Zaini. Tahulah dia nanti bagaimana mahu menyelesaikan masalah itu.

"Engka nok basika mana?" tanya Zaini, dan setelah itu kami hanya perlu menunggu satu atau dua hari untuk memiliki basikal baru yang tidak baru.

Teringankan baju bunga-bunga terbaru di Kuantan Supermarket, kami bagitau Wan Alias. Kadang-kadang dia minta dibayar, kadang sekadar belanja cheap-matinee di panggung Rex hari Sabtu.

Tergantung budi bicara dia.

Yang cheap-matinee pula tak ada cerita lain. S.W.A.L.K memanjang, sampai semua kami ini perasan nak jadi Mark Lester, si budak comel yang sibuk jatuh cinta dan mahu segera berkahwin itu.

Berjanji untuk berjumpa

Walaupun kami ketika itu memang agak comel seperti Mark Lester, kami lebih gemarkan watak Jack Wild yang lebih rugged. Atau sekurang-kurangnya itulah kami mahu kamu percaya.

Habis sekolah, masing-masing membawa diri dan sejak itu kami agak lama tidak bertemu dengan Udi. Sehinggalah pada satu hari Deri memberitahu yang dia bertemu dengan Udi.

Kata Deri, Udi sekarang ini seorang jurutera dan berkhidmat dengan sebuah syarikat pembinaan dari Jepun. Dia telah berkhidmat lama dengan syarikat berkenaan di luar Kuantan.

Sekarang dia telah bertukar tempat kerja dan telah pulang ke bandar kelahirannya itu.

Gambar hiasan

Menurut Deri, Udi kini ketua jurutera yang diamanahkan projek-projek mega. Ketika itu Deri sendiri melakukan kerja-kerja kecil. Mungkin hasil persahabatan lama, Udi memberikan kerja-kerja yang lebih baik kepada Deri.

Kami pun berjanji untuk bertemu, lalu Udi memberikan alamat sebuah hotel sebagai tempat berjumpa. Setelah makan, Udi mengajak kami ke tingkat atas. Kami mengikut dan akhirnya sampai di sebuah bilik khas.

Setelah diteliti tahulah kami bahawa itu adalah tempat orang datang untuk menyanyi. Bilik karaoke.

Dekat dengan kawan

Sesuatu yang harus kamu tahu, kami ini sejak lahir sudah menerima takdir bahawasanya kami ini tidak ada suara untuk berlagu. Kami tidak pernah menyanyi, malah tidak akan pernah mahu menyanyi.

Tidak ada seorang pun daripada seluruh keluarga kami bercita-cita mahu menjadi penyanyi, atau pun menyanyi apabila sendiri-sendiri, hatta di dalam bilik mandi sekalipun.

Kami tidak cenderung ke situ.

Lalu apabila Udi mengajak kami berkaraoke, kami terasa geli hati. Kami terasa seperti mengeletek diri sendiri. Mungkin kerana kerja dia memang begitu, yakni apabila perlu menghiburkan sesiapa maka karaoke adalah pilihan yang paling tepat. Lalu itulah yang dilakukannya.

Gambar hiasan

Seperti selalu, kita akan sentiasa dekat dengan apa saja yang ada di sekeliling kita. Berkawan dengan kaki bola, berbolalah kita. Berkawan dengan mat rempit, merempitlah kita. Dari itu hati-hatilah dalam memilih kawan.

"Aku tak pandai nyanyi," kata kami kepada Deri. Dia menjawab bahawa dia pun tidak pandai juga. Kami bertanya sama ada dia pernah berkaraoke, lalu dia menjawab pernah sekali dua.

Udi sudah melayan dua atau tiga lagu, manakala kami masih hanya duduk jadi pendengar. Akibat didesak, Deri akhirnya menyanyikan beberapa buah lagu sementara kami hanya jadi pendengar setia sehingga habis pertemuan.

Berduet secara rawak

Mujur juga Udi dan Deri tidak berkeras mahukan kami ikut bernyanyi. Jika tidak entah aib yang mana pula akan terbuka. Mungkin kerana sudah kenal lama dan mereka tahu peri fasal akan mutu suara kami ini.

Kata orang di bilik karaoke ini, selain menyanyi kamu juga akan dilayan oleh perempuan. Justeru kami tertunggu juga bila masa datangnya mereka itu. Sampai ke sudah tidak ada pelayan perempuan yang datang.

Sesuatu yang kamu harus tahu ialah Udi ini sedikit Islami. Jadi harapan kami untuk dilayan oleh perempuan karaoke itu adalah sesuatu yang seharusnya tidak berlaku. Mujur juga, kalau tidak entah maksiat apa lagi yang akan kami lakukan.

Itulah kali pertama - dan harapannya semoga kali terakhir - kami pergi ke tempat begitu. Malu juga kalau dah tua-tua begini masih sibuk bergalak sedemikian rupa.

"Mana ada larangan berkaraoke dalam Islam!"  kata seorang teman.

Mungkin ada kebenarannya kata-kata dia itu. Namun agak tidak sesuai untuk seorang yang berusia seperti kami ini masih lagi ada keinginan dipuji kerana memiliki suara baik, misalnya.

Hanya orang yang berasakan mempunyai suara yang bagus sahaja yang kemaruk bernyanyi. Dan tentu sekali yang lebih baik, jika merasa perlukan hiburan sedemikian, lakukan bersama keluarga.

Atau mungkin juga lakukan secara bersendirian dalam keadaan tertutup. Bukan menyanyi pada awal pagi buta dan berduet pula secara rawak di media sosial.

Tapi itulah, siapa pula yang mahu memuji keenakan suara kami jika sekadar menyanyi sendirian, kan?

Orang sekeliling juga memainkan peranan penting. Apabila melihat orang atas kita bergalak menyanyi seolah-olah tidak ada salah, maka cakaplah bisik-bisik dengan dia yang mungkin aktiviti tersebut bukan yang terbaik untuk dia.

Jika dia masih berdegil, azankan saja beramai-ramai depan rumah dia ketika dia sedang mabuk berkaraoke itu.

Atau jika kamu sendiri berasakan perlu juga berkaraoke di media sosial, pilihlah pasangan duet dengan lelaki sahaja. Begitu pun cukuplah.

Jika dengan perempuan, dengan kedudukan dan kehebatan kamu berpidato itu, agak kurang sesuai rasanya. Dan jika lelaki, pilih yang jantan. Jangan yang lembut melentik. nanti tambah panjang ceritanya.

Gambar hiasan

Berkaraoke kini adalah sesuatu yang menjengkelkan apabila kami ambil majlis perkahwinan sebagai contoh. Habis segala orang - yang mungkin satu masa dulu ada impian menjadi penyanyi - akan berebut mikrofon.

Kita yang datang mahu menjamu selera ini pun naik menyampah dibuatnya. Kenduri kahwin atau apa majlis pun bukan tempat tunjuk bakat. Mahu jadi penyanyi, pergi cari mana-mana pertandingan bakat TV.

Sebut fasal menyanyi, menteri besar kami yang sebelum ini pun kuat menyanyi. Tak kira apa majlis, jika ada kugiran, dia mesti mahu bernyanyi. Entah masih bernyanyi lagi sekarang ini atau entah sedang menangis.

Deri kemudianya memang mendapat sedikit kerja daripada Udi. Dan kata orang, jika mahu berkawan lama, jangan berniaga dengan rakan-rakan. Hubungan mereka penuh dengan sepak terajang setelah menjalinkan usahasama.

Udi kemudian berhenti kerja dan menjalankan perniagaan sendiri selain mengusahakan kolam pancing ikan. Selang beberapa tahun perniagaannya tidak seperti yang diharapkan, Udi kembali makan gaji.

Tidak diketahui sama ada dia masih bekerja hari ini atau tidak, kerana selepas pertemuan yang kami ceritakan di atas, kami belum ada rezeki untuk bertemu sekali lagi.

Deri sudah bersara daripada berniaga dan kini menikmati kekayaan yang dikumpulnya sejak dari muda.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang pernah teringin menyertai Bintang RTM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.