Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Peluang Indonesia dapat presiden bergagasan hebat

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Rakyat Indonesia berpeluang untuk memiliki seorang presiden bergagasan hebat apabila republik itu mengadakan pilihan raya umum pada 14 Februari ini.

Selain presiden baru, mereka juga akan memilih ahli-ahli parlimen ke Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Presiden Joko Widodo yang akan mengakhiri tempoh jawatannya Oktober ini tidak bertanding kerana beliau telah memegang jawatan itu selama dua penggal.

Indonesia menetapkan presiden hanya boleh nemegang jawatan bagi dua penggal saja iaitu 10 tahun.

Sistem demokrasi yang sudah diterima pakai di seluruh dunia sebagai cara paling wajar untuk pemilihan ketua negara dan ketua kerajaan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih pemimpin baru yang bagus setelah tamat tempoh penggal.

Sama pentingnya ialah sistem ini boleh melahirkan pemimpin yang baik. Tetapi tentulah perkara ini tidak dapat dijamin. Kalau tidak ada seseorang yang bagus untuk menjadi pemimpin di kalangan rakyat, maka sistem itu hanya merupakan suatu prosedur.

Begitu juga kalau rakyat tidak mahu memilih pemimpin yang bagus, maka yang menjadi ketua adalah seseorang ahli politik biasa.

Tiga calon dipertandingkan dalam pilihan raya presiden itu dan tokoh yang dikatakan bergagasan hebat itu ialah bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan (gambar bawah).

Apa yang dikatakan gagasan ialah gabungan idea, buah fikiran, konsep dan prinsip. Gagasan yang diharapkan oleh rakyat ialah cara-cara baru bagi menyelesaikan masalah lama selaras dengan usaha untuk membangun dan memajukan negara.

Anies tidak berparti tetapi pencalonannya dibuat oleh Parti Nasional Demokrat (Nasdem), sebuah parti kelima terbesar yang dianggap beraliran tengah kiri (centre-left).

Parti itu tidaklah mencalonkan ketuanya, Surya Paloh sebagai calon presiden sebaliknya beliau memilih Anies yang dirasakan layak untuk memimpin Indonesia. Pencalonan itu disokong oleh Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS).

Lawannya ialah Ganjar Pranowo, (gambar bawah) bekas Gabenor Jawa Tengah dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dan Menteri Pertahanan dari parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) Prabowo Subianto.

PDIP adalah parti terbesar Indonesia dan Gerindra adalah parti ketiga terbesar. Parti kedua terbesar iaitu Golongan Karya (Golkar) pula menyokong Prabowo. PDIP dianggap sebagai parti aliran kiri manakala Golkar dan Gerindra adalah parti kanan.

Tetapi dalam amalan demokrasi Indonesia, setiap calon seboleh-boleh berusaha mendapatkan sokongan dari pelbagai aliran parti dan merentas fahaman politik. Maka biasanya setiap calon mendapat sokongan dari pelbagai parti dari fahaman berbeza.

Maka calon naib presiden seringkali diambil dari parti yang lain daripada calon presiden bagi memperbanyakkan undi.

Dalam perkiraan akhir, mutu calon adalah paling utama. Untuk mendapatkan calon yang bagus bukanlah sesuatu yang mudah. Ia tidaklah boleh muncul secara semula jadi.

Kalau tidak ada calon yang paling baik, maka Indonesia terpaksa menerima sesiapa yang kurang bagus.

Usaha pencarian calon dilakukan oleh parti politik. Calon tidak semestinya datang daripada ahli parti itu. Ia boleh datang dari ahli politik independen seperti Anies.

Nasdem bukanlah parti besar seperti PDIP dan Golkar. Namun dengan dokongan parti lain, calon itu boleh ditampilkan.

Dengan 240 juta penduduk Indonesia, sememangnya adalah suatu tugas berat bagi jentera pilihan raya presiden untuk memperkenalkan calon.

Maka rakyat Indonesia bergantung pada media untuk mewujudkan persepsi dan kemudian memilih presiden mereka.

PKB dan PKS pula adalah merupakan parti-parti beraspirasi Islam. PKB adalah parti beraspiraso Islam terbesar yang didokong oleh kebanyakan anggota organisasi Islam terbesar Indonesia iaitu Nahdlatul Ulama.

Seperti mana pilihan raya gabenor Jakarta pada tahun 2017 yang membawa Anies kepada kemenangan, beliau dianggap sebagai pembawa aspirasi Islam.

Namun begitu, daripada gagasan-gagasan yang ditampilkan Anies tidak pernah menggunakan isu atau alasan keagamaan. Sebaliknya, semua gagasan-gagasannya adalah lebih menjuruskan kepada kepentingan rakyat kebanyakan dan aspirasi nasional.

Ada satu soalan yang dikemukakan dalam dialog dengan anak-anak muda sama ada beliau akan mengharamkan konsert jika menang jawatan presiden.

Sememangnya ada kecurigaan di kalangan orang bukan Islam dan golongan sekular terhadap beliau.

Anies (gambar atas) jawab bahawa sepanjang beliau menjadi gabenor iaitu dari tahun 2017 hingga 2022, banyak konsert telah diadakan di Jakarta tanpa halangan daripadanya.

Beliau juga menambah bahawa malahan rumah-rumah ibadat bukan Islam seperti gereja, tokong dan kuil tidak hanya bebas beroperasi tetapi diberi ruang untuk didirikan.

Anies menyatakan demikian ketana semasa kempen gabenor Jakarta dahulu, penentang-penentangnya menyebar khabar bahawa beliau akan merobohkan rumah-rumah ibadat bukan Islam di Jakarta apabila menjadi gabenor. Indonesia mengiktiraf enam agama iaitu Islam, Protestan, Katholik, Hindu dan Buddha.

Tetapi banyak gagasan Anies bukan soal agama, ia lebih tertumpu kepada menaikkan tahap kehidupan rakyat dengan mengekalkan kedudukan golongan berada.

Berulang kali beliau menyebut mengenai kepentingan rakyat mendapat makanan yang cukup di seluruh Indonesia. Ketiadaan dan kekurangan makanan berlaku di Indonesia kerana kemiskinan keluarga.

Beliau menyebut tentang usaha untuk mengatasi gejala “stunting” atau pertumbuhan terencat di kalangan kanak-kanak akibat kekurangan zat makanan.

Maknanya, gagasan beliau meliputi usaha memperbaiki kehidupan rakyat pada peringkat asas iaitu makanan, tempat tinggal, pendidikan dan peluang pekerjaan.

Beliau tidak berminat terhadap projek-projek mega seperti pembinaan ibu kota baru iaitu Nusantara di Kalimantan.

Baginya, dana negara wajar diagihkan kepada kota-kota wilayah untuk memperbaiki tahap kehidupan tempatan dan tidak tertumpu kepada ibu kota saja.

Lawannya, Ganjar dan selaras dengan fahaman partinya tentu juga memberi tumpuan kepada rakyat bawahan.

Beliau juga disokong oleh tiga parti lain iaitu Parti Pembangunan Persatuan (PPP), Parti Persatuan Indonesia (Perindo) dab Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura).

Persatuan dalam bahasa Indonesia bermaksud perpaduan. Sudah dua kali pilihan raya presiden, PDIP berjaya memenangkan calonnya iaitu Jokowi yang memerintah sekarang.

Tetapi kali ini beliau tidak menyokong calon PDIP. Sebaliknya beliau dilihat menyokong Prabowo yang berpasangan dengan anaknya, Gibran Rakabuming sebagai calon naib presiden.

Dari segi jentera dengan memiliki dana besar, Prabowo, seorang ahli korporat berada di depan. Pasangan Prabowo-Gibran dilihat mempunyai lebih banyak poster dan kain rentang.

Malah didakwa bahawa jentera pemerintah juga digunakan memandangkan Prabowo adalah seorang menteri dan Gibran adalah anak presiden. Bukan itu saja, Prabowo mendapat juga sokongan daripada Parti Amanat Nasional (PAN) yang juga beraspirasi Islam dengan kebanyakan anggota Muhammadiyah merupakan organisasi Islam kedua terbesar.

Menurut kebanyakan tinjauan suara; Prabowo berada di depan. Ketiga-tiga calon itu telah berdebat sebanyak tiga kali.

Dari situ, Anies dengan gagasan-gagasannya menyerlah. Ganjar pun kelihatan mampu untuk berhujah dan layak menjadi presiden tetapi Anies dapat terserlah sebagai ahli politik intelektual yang jarang-jarang muncul sebagai calon.

Bagi Prabowo yang tidak banyak bethujah secara fakta menyifatkan Anies hanya pandai bercakap dengan banyak teori-teori sedangkan realiti dan praktikalnya tidak begitu.

Beliau yang berusia 73 tahun dan paling berpengalaman dalam pemerintah dan pernah menjadi leftenan jenderal pada zaman presiden Suharto tentulah lebih faham mengenai selok-belok kekuasaan di negara itu.

Dengan suasana begini, Anies dianggap idealis dan gagasan-gagasannya dilihat tidak dapat tercapai.

Anies menjawab bahawa semua perkara bermula dengan percakapan.

Apabila berkuasa barulah ia dapat dilaksanakan. Dalam debat itu, beliau berjanji bahawa anggota tentera akan disediakan rumah dan bukannya menyewa di merata tempat sedangkan mereka perlu ketenangan untuk menjalankan tugas pemerintahan negara.

Walaupun Prabowo berjanji perkara sama tetapi ia dipersoalkan oleh Anies.

Ini kerana Prabowo adalah menteri pertahanan dan mempunyai kuasa untuk melakukannya selama ini tetapi tidak melaksanakannya.

Dengan fakta dan data, gagasan-gagasan Anies dilihat dapat dilaksanakan dan beliau bukanlah seotang yang idealis atau teoritis semata-mata.

Rakyat boleh menilainya kerana penerangannya adalah jejas seperti seorang pensyarah menyampaikan kuliahnya.

Beliau seringkali merujuk pada gagasan-gagasan pengasas Indonesia seperti Sukarno, Hatta dan Bung Tomo.

Bekas presiden Indonesia Sukarno.

Mereka itu disifatkan memiliki gagasan-gagasan. Anies juga merupakan seorang intelektual yang berpengetahuan dan pengalaman luas hingga ke peringhat antarabangsa.

Apa yang dimaksudkan dengan gagasan-gahasan ini ialah kebanyakannya merupakan cara menyelesaikan masalah-masalah tertentu secara khusus. Anies juga mempunyai idea yang seolah-olahnya sentiasa dalam mindanya.

Tetapi jika ada perkara yang berada di luar bidangnya, ada saja orangnya yang ditampilkan untuk memberikan jawapan dan penyelesaiannya.

Ada satu ketika di Kalimantan, apabila ada seorang anak muda bertanyakan mengenai masalah keupayaan internet, beliau dengan segera menampilkan seorang ahli komputer menjawab soalan bagaimana beliau perlu lakukan untuk mengatasi masalah berkenaan.

Namun, akhirnya rakyat Indonesia akan tentukan siapa yang akan menjadi presiden mereka. Tidak semua rakyat mengikuti kempen-kempen calon itu walaupun pada masa ini ia tersebar melalui media sosial.

Banyak gagasan dan hujah dapat disampaikan pada kesemua rakyat Indonesia, tidak seperti pada zaman-zaman sebelum ini. Tetapi kalau rakyat tetap memilih seseorang yang kurang bagus, maka begitulah hasill demokrasi yang sesiapa tidak boleh bantah atau ragu.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.