Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Ini semua hak orang kita

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

KOLUM | "Awok Kennedy, kan?" tanya abang senior itu kepada kami.

Seperti orang lain, kita semua ada nama panggilan yang terkhusus untuk keluarga dan orang kampung. Kennedy adalah nama panggilan kami dalam kalangan ahli keluarga.

Orang kampung pula memanggil kami sebagai ‘Neddy’.

Dulu, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan akan mengadakan kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di sekitar bandar itu.

Pelajar-pelajar yang lebih tua akan mengajar pelajar muda yang datang ke sekolah tersebut.

Jadi merasa jugalah pelajar yang tidak berapa sempurna seperti kami ini untuk menjejak kaki ke MRSM. Bangunan sekolah tersebut memang sentiasa menarik minat kami.

Selain hampir dengan rumah, sekolah yang dibuat dari batu-bata merah itu kelihatan sangat menarik jika dibandingkan dengan mana-mana sekolah di daerah Kuantan pada waktu itu.

Kami gemar akan reka bentuk dan cara persembahannya.

Su, sahabat kami, pula lebih gemarkan pelajar-pelajar dari sekolah tersebut. Setiap hujung minggu apabila mereka dibenarkan keluar ke bandar, Su akan menanti dan membuli dengan meminta wang daripada mereka.

Namun itu semua kami simpan untuk diceritakan pada masa yang lain.

Mulakan hidup baru

"Saya duduk rumah awok. Awok tak kenal?" tanya abang senior itu lagi. Puas kami tenung wajahnya namun tidaklah dapat kami mengingati siapa dia sebenarnya.

Bersama kami pada waktu itu ialah Tuan Zul, Toh, Azhan, Norbi, Shahreza dan beberapa orang lagi rakan sekolah yang kami lupa namanya.

Mereka semua mentertawakan kami kerana terpingga-pingga dengan soalan dan penerangan abang senior itu.

"Dia orang Singapore," kata Mok.

Mungkin pada awal 1970-an, Mok ada memberitahu bahawa satu keluarga akan tinggal bersama kami di Kuantan. Mungkin pada waktu itu ramai warga Singapura memilih untuk pulang ke Malaya setelah berlaku perpisahan kita dan mereka.

Lagu Sumbangsih nyanyian M Bakri adalah mengenai perpisahan tersebut.

Gambar hiasan

Chu Pauziah bersama keluarganya telah berpindah dari Singapura dan sementara mencari masa untuk memulakan hidup baru, telah tinggal bersama kami.  

Setelah beberapa tahun mereka kemudian berpindah ke bandar Pekan dan tinggal di sana hingga hari ini.

Yang menegur kami tadi itu ialah Zul, salah seorang anak Chu Pauziah.  Kami tidak mengecam dia kerana kami sudah lama tidak bertemu.

Dia bersekolah di MRSM Kuantan dan kebetulan terlibat dengan program seakan CSR (tanggungjawab sosial korporat) sekolah tersebut.

Hairan juga sebenarnya apabila ada pihak yang benar-benar menganggap bahawa mereka berhak menghantar anak masing-masing ke MRSM hanya kerana mereka mahu anak-anak tersebut merasai hidup susah.

Jenis-jenis korupsi

Susah mana sangatkah hidup di sekolah berasrama penuh? Apakah kehidupan mereka sangat mewah sehingga makan tiga kali sehari di sekolah berasrama penuh dianggap sebagai kesusahan?

Kita tidak dibina untuk berkorban hari ini demi untuk anak bangsa pada masa depan. Kita mahu semuanya jadi hak kita, dan kita mahukannya segera.

Mereka yang telah keluar dari kesusahan kerana diterima belajar di MRSM misalnya, masih gigih mahu anak-anak mereka menyambung pembelajaran di alma mater mereka.

Kononnya itu adalah sebagai hak kerana mereka banyak membantu sekolah berkenaan.

Korupsi bukan hanya menerima derma untuk persatuan bola sepak tetapi memberi sumbangan kepada sekolah itu dan sekolah ini hanya untuk anak-anak mereka dapat belajar di tempat tersebut juga adalah sejenis korupsi.

Gambar hiasan

Mereka tidak sedar bahawa kejayaan yang mereka kecapi hari ini adalah kerana adanya satu pihak yang bersedia membawa mereka keluar dari kekesalan masa lalu.

Mungkin tidak ada kesedaran dalam kepala mereka betapa jika tempat yang mereka rebut sebagai hak anak mereka itu diberikan kepada pelajar yang sedikit kurang bernasib baik, ia akan memulihkan satu generasi dari keluarga lain untuk keluar dari kepayahan hidup.

Perkara itu jika dilakukan berulang-ulang akan memungkinkan keseluruhan generasi meraih tempat yang lebih baik dalam masyarakat.

Seperti yang kami katakan tadi, tidak ada orang Melayu hari ini yang sanggup bekerja memikul najis hanya kerana mahukan kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Semua orang mahu kaya dan berlebih-lebihan, lalu berbangga dengannya. Dengan harta yang berjuta-juta pun mereka masih merasakan bahawa adalah hak mereka untuk menuntut biasiswa kerajaan, misalnya.

Jaga untuk generasi depan

Kita tidak mahu merancang perbelanjaan untuk pelajaran anak-anak kerana kita tahu - dan mahu - bantuan daripada kerajaan.

"Ini hak kita," kata orang Melayu. Dan mereka itu jugalah nanti yang akan marah-marah apabila orang lain membina sekolah dari hasil sumbangan orang ramai dan sekolah itu berjaya.

Untuk berlaku adil, orang Melayu juga ada membina sekolah hasil daripada derma orang ramai.

Namun cuba kamu pergi ke mana-mana sekolah berkenaan dan lihat bertapa daifnya mereka berbanding sekolah yang dibina oleh - misalnya - orang Cina.

Berhentilah sibuk mahu menjadi kaya untuk diri sendiri, sebaliknya mulalah membina sesuatu untuk kepentingan pembelajaran anak-anak kamu.

Orang yang terlalu kaya telah melakukannya. Kini hanya tinggal kamu yang perasan kaya itu untuk memulakan sesuatu.

Dunia bukan milik kita kerana kita hanya menjaganya untuk generasi yang akan datang.

Gambar hiasan

Beberapa tahun kemudian ketika bermain sepak takraw di Ayer Putih, kami sekali lagi disergah oleh Zul.

"Engka tak kenal aku?" tanya dia kepada kami. Kami tidak perasan yang sahabat yang kami kenali sebagai Kulat itu sebenarnya adalah Zul yang pernah tinggal bersama-sama kami dulu.

Zul kemudian - setelah bekerja - mula membuka ladang strawberi di Cameron Highland dan ia diteruskan sehingga hari ini. Seorang lagi adik Zul yang juga belajar di MRSM menjadi doktor pakar.

Kami tidak tahu sama ada adik Zul itu termasuk dalam kumpulan yang beria-ia mahukan anaknya belajar di MRSM atau tidak.

Setelah berpuluh-puluh tahun tinggal dalam hiruk-pikuk Kuala Lumpur, Tuan Zul pula kini sedang tenang di Kanaboi, Jelebu, untuk menguruskan chalet dan kawasan perkhemahan miliknya.

Toh pula menjadi tauke kedai muzik di Kuantan, manakala Azhan menjadi pensyarah di UiTM Shah Alam.

Norbi berjaya sebagai kontraktor dan Shahreza pula menjadi jurulatih kebangsaan untuk sukan panjat tembok. Dia meninggal dunia setahun yang lepas.

Dan di MRSM itulah kali pertama kami bertemu Min.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.