Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Yaman, negara miskin tapi istimewa

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

KOLUM | Yaman merupakan negara istimewa, dari zaman purba hingga ke hari ini. Minggu lalu kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah mengebom ibu kota Yaman, iaitu Sanaa, bandar ketiga besar, Taiz, pangkalan tentera di Hodeidah dan beberapa tempat di wilayah yang berada di tepi pantai Laut Merah.

Apa yang menjadikan Yaman sebagai sebuah negara istimewa pada dunia ialah kedudukan geografinya. Ia berada di pintu masuk ke Laut Merah yang mana kapal-kapal dari Asia Barat meliputi Iran dan semua negara Teluk Parsi, Asia Selatan.

Asia Timur, Asia Tenggara, Australia dan Afrika Barat menggunakannya untuk ke Eropah, Afrika Utara, negara-negara Laut Mediterranean seperti Israel, Lubnan dan Turki, serta juga negara-negara Laut Hitam iaitu Rusia, Ukraine, Romania dan Bulgaria.

Pintu masuk itu ialah Selat Bab Al Mandab, atau Pintu Mandab yang pantainya merupakan Yaman dan Djibouti. Di bawah dasar lautan itu pula ditempatkan kabel-kabel komunikasi Internet menghubungi bahagian timur dengan barat dunia. Jika kabel-kabel itu dirosakkan, cubalah bayangkan dunia tanpa internet.

Sifat geostrategik Yaman inilah membuatkan British pada zaman kolonial menguasai bahagian selatan negara itu dan menjadikan Aden sebagai pangkalan penting untuk empayarnya. Dengan menguasai Gibraltar, Suez, Aden, Colombo, Singapura dan Hong Kong, empayar British menjadi unggul di dunia pada masa itu. Semasa Perang Dingin pula, Soviet Union memperoleh kedudukan strategik apabila dapat membina pangkalannya di Aden, ketika itu Yaman Selatan menjadi negara sekutunya.

Kedudukan penting Yaman ini juga yang mendorong pembabitan Amerika, Arab Saudi dan Iran dalam perang saudara antara kerajaan dengan gerakan Houthi dari tahun 2014 hingga 2021. Ia bermula dengan gelombang Arab Spring yang melanda dunia Arab iaitu Tunisia, Mesir, Syria, Libya, Bahrain dan Yaman.

Kekuatan mental dan fizikal rakyat Yaman

Rasa tidak puas hati golongan terpinggir di bawah pemerintahan autokrasi mengheret Yaman bukan saja pada demonstrasi dan demokrasi berpilihan raya tetapi juga membawa negara itu kepada perang saudara seperti mana apa yang juga berlaku di Libya dan Syria. Dalam perang saudara di Yaman itu boleh dikirakan Houthi menang apabila Joe Biden menghentikan serangan ke atas gerakan itu.

Keistimewaan Yaman bagaimanapun bukan saja kerana kedudukan strategik dari segi geopolitik global. Bertambah istimewa Yaman adalah kerana kekuatan mental dan fizikal rakyatnya. Apabila Israel mengebom Gaza, orang Yaman bukan saja berdemonstrasi secara besar-besaran di Sanaa tetapi juga sebahagian daripada mereka telah merampas kapal-kapal Israel yang melalui Laut Merah itu.

Maka ia telah menjejaskan Israel dan daripada keadaan itu, Amerika melancarkan operasi Prosperity Guardian atau Pengawal Kemakmuran dengan mengebom Yaman. Memang benar mereka adalah pengawal kemakmuran Israel tanpa mempedulikan kesusahan yang ditanggung oleh Yaman dan Gaza.

White House mengumumkan bahawa sembilan negara menyertai operasi itu, iaitu Australia, Bahrain, Kanada, Denmark, Jerman, Belanda, New Zealand dan Korea Selatan. Tetapi sebenarnya ada lebih 20 negara yang terlibat. Sepuluh daripadanya tidak mahu nama mereka disebut. Mesir dan Arab Saudi yang turut bergantung pada laluan itu tidak pula ada dalam senarai. Perancis, Sepanyol dan Itali pula enggan menyertainya.

Yaman sebagai negara iaitu Republik Yaman ditubuhkan pada tahun 1990 dengan gabungan Yaman Utara dan Yaman Selatan. Nama rasmi mereka ialah Republik Arab Yaman dan Republik Demokratik Rakyat Yaman. Republik Arab Yaman ditubuhkan pada tahun 1962 apabila pihak tentera merampas kuasa dari Kerajaan Mutawakilah yang memerintah sejak tahun 1918 selepas Usmaniah melepaskan wilayah itu ekoran kekalahan sekutunya, Jerman dalam Perang Dunia Pertama.

Fahaman peneraju Republik Arab Yaman ketika itu adalah sehaluan dengan kerajaan-kerajaan tentera baru di Sudan, Mesir, Libya, Syria dan Iraq iaitu nasionalis kiri yang mengimpikan sebuah negara besar Arab yang bersatu. Bagi mereka, dengan perpaduan Arab, barulah Palestin dapat dibebaskan daripada menjadi Israel. Ketika Presiden Gamal Nasser mengajukan gagasan Republik Arab Bersatu, Yaman dan Syria turut serta. Apabila projek itu gagal, seperti Mesir dan Syria, Yaman turut kekalkan nama Republik Arab.

Yaman Selatan pula mencapai kemerdekaan dari British pada tahun 1967. Di bawah kerajaan tentera yang berfahaman Marxis, ia menjadi Republik Demokratik Rakyat Yaman dan bersekutu Soviet Union. Yaman menjadi satu-satunya negara Arab yang menyertai blok Timur.

Sepanjang sejarah Islam pun, Yaman juga menjadi negara istimewa. Di situlah bertapak mazhab Zaidiah, salah satu daripada tiga cabang Syiah. Dua cabang lain ialah Ismailiah dan Imam Dua Belas. Penganut mazhab Ismailiah adalah pengasas kerajaan Fatimiah yang menubuhkan kota Kaherah di Mesir, Universiti Al-Azhar dan memulakan acara Maulud. Fahaman Imam Dua Belas adalah kini maxhab rasmi Syiah di Iran, Iraq dan Lubnan.

Dari golongan Zaidiah inilah muncul gerakan Ansarullah yang diketuai oleh Abdul Malik Badruldeen Al-Houth. Golongan inilah yang kini dikenali sebagai Houthi dan berperanan besar menggerakkan penentangan terhadap Israel.

Tetapi majoriti penduduk Yaman adalah penganut mazhab Sunnah wal Jamaah yang mengikut Imam Shafie. Wilayah Yaman meliputi kawasan Hadhramaut berpantaikan Teluk Aden. Dakwah orang Yaman ini pada zaman-zaman kekhalifahan dahulu sampai ke Kerala di India Selatan dan seterusnya ke Asia Tenggara termasuk Semenanjung Malaysia. Maka tidak hairanlah kebanyakan penganut Islam di Kerala dan Asia Tenggara adalah Sunnah wal Jamaah, mengikut Imam Syafie.

Sejarah tamadun purba

Kapal-kapal dari Yaman yang sampai ke Asia Tenggara mengukuhkan hubungan budaya Arab dengan orang Melayu. Kesenian Islam berbentuk berzanji, hadrah dan zapin di Malaysia berasal usul dari Yaman. Malah nasi Arab yang popular di Malaysia juga kebanyakannya mengikut cita rasa Yaman. Malah ketika sebelum berlaku pergolakan dan peperangan dahulu, banyak juga anak-anak Malaysia yang turut belajar agama di sana.

Pusat-pusat pengajian agama di sana lebih terbuka dan mudah berbanding Kaherah, Amman, Madinah, Baghdad dan Damsyik. Yaman sejak zaman kekhalifahan adalah pusat ilmu. Di situ tersimpannya khazanah manuskrip lama bukan saja di bangunan-bangunan purba tetapi juga gua-gua yang sudah dilupakan.

Tetapi keistimewaan Yaman adalah lebih jauh lagi. Yaman mempunyai sejarah dan tamadun lebih purba daripada Amerika dan Eropah. Dalam sirah Rasulullah s.a.w, dikisahkan mengenai tentera Abrahah yang berasal dari Yaman. Hijrah pertama orang Islam iaitu ke Habsyah (Ethiopia) adalah melalui Yaman.

Lebih awal lagi ialah kisah kaum Saba yang membabitkan Nabi Sulaiman dan Ratu Bakqis. Sememangnya Yaman mempunyai peninggalan purba bersejarah yang banyak lagi belum dikaji. Begitu juga dengan sebuah pulau milik Yaman, iaitu Socotra yang mengandungi tumbuh-tumbuhan unik, tidak ada di tempat lsinn kerana keterpencilannya.

Dengan segala kemiskinan, kesusahan dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyatnya akibat serangan pihak Barat dan kepungan oleh Arab Saudi, Yaman tetap istimewa kerana mereka telah mengingatkan dunia supaya penduduk Gaza dibela.

Tindakan mereka mungkin tidak dapat menghentikan pembunuhan berterusan ke atas penduduk Gaza tetapi pejuang-pejuang Houthi telah menunjukkan bahawa mereka mampu merosakkan sistem dunia yang didominasi oleh Amerika dan Israel.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.