Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bahasa bangsa yang merdeka

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Sebagai bangsa merdeka, bahasanya juga harus merdeka. Merdeka dalam erti kata kita menggunakan bahasa sendiri bukan sekadar dalam urusan rasmi bahkan komunikasi, diplomasi dan mimpi.

Masyarakat yang lemah, yang hilang jati diri, akan menggunakan bahasa lain (bahasa asing) bagi menyandarkan harapan untuk turut 'maju' bersama.

Bagaimanapun hujah untuk menggunakan bahasa maju - seperti bahasa Inggeris atau bahasa Jepun - untuk maju sudah terbukti cuma suatu dongengan.

Dalam hal ini, umum mengakui keperluan untuk sesebuah masyarakat menguasai pelbagai bahasa bagi memudahkan usaha menguasai pengetahuan.

Bahkan itulah kualiti yang pernah ditunjukkan oleh Laksamana Hang Tuah yang diriwayatkan menguasai 12 bahasa. Di Melaka pada zaman keagungannya, terdapat lebih 80 bahasa digunakan di kota tersebut.

Sebagai kota metropolitan ketika itu, penguasaan bahasa asing adalah perlu. Namun di sebalik itu, bahasa Melayu tetap menjadi lingua franca.

Dalam perbincangan ini, saya menggunakan istilah "masyarakat" dan bukannya "rakyat". Walaupun kedua-dua istilah itu pada zahirnya sama - iaitu merujuk sekumpulan manusia - tetapi dari segi politik, masyarakat membawa nilai tanggungjawab sosial.

Istilah lain yang hampir sama penggunaannya ialah warganegara iaitu sebagai ahli atau anggota sesebuah negara yang memiliki hak dan tanggungjawab membina kehidupan bernegara.

Siapa sanggup main api

Istilah "rakyat" pula lebih kepada kelompok manusia yang pasif dalam kerangka feudal. Rakyat mempunyai kesetiaan bukan sekadar kepada sistem politik tetapi juga sistem kehidupan sosial yang wujud.

Rakyat tidak akan bangkit melawan sistem yang melingkari kehidupan mereka.

Sistem sosial yang ada pada hari ini adalah proses neokolonialisme yang menjadikan negara atau masyarakat sebagai pengguna sistem.

Masyarakat kita tidak menghasilkan atau mencipta idea yang boleh digunakan oleh masyarakat luar, sebaliknya kita kekal menjadi masyarakat pengguna kepada sistem ciptaan kapitalis melalui proses globalisasi.

Apakah kaitan bahasa dengan merdeka?

Pernah kita terdengar kata-kata retorik di podium atau mimbar pembesar negara: sekali merdeka, selamanya merdeka? Atau "merdeka dengan darah" dan "jiwa merdeka".

Saya memetik puisi bertajuk Seribu Harapan yang ditulis Masuri SN pada 1951 dan disiarkan dalam buku Tititan Zaman susunan Usman Awang dan Ismail Ahmad.

Buku itu menjadi teks dalam subjek Kesusasteraan Melayu sewaktu saya berada di sekolah menengah:

Siapa rela, siapa nanti pergi mara berbakti
Sedang kawah panas dengan air membuas ganas
Siapa berani, siapa nanti sanggup bermain api
Yang menyambar, membakar, menjilat apa yang melintas
Lihat semua sikap tidak gentar dibuai godaan
Dengan membawa obar seribu sinar harapan.

"Merdeka" adalah kata sifat yang merujuk kepada bebas daripada sebarang ikatan yang boleh menyekat untuk bergerak dan berfikir.

Biasanya istilah itu dikaitkan dengan bebas daripada sebarang penjajahan, naungan dan tawanan. Ini barangkali kerana obsesi merdeka dengan sejarah politik negara.

Penjajahan bentuk baru

Suatu perkara yang perlu fahami ialah merdeka bukanlah suatu sifat yang kekal. Merdeka adalah titik atau tahap dalam proses perjalanan suatu masyarakat atau individu.

Justeru merdeka adalah proses perjalanan hidup manusia.

Merdeka adalah kesempatan untuk mengembalikan kehidupan diri, masyarakat atau negara untuk memenuhi kepentingan diri dan masyarakat.

Dalam proses mengisi dan membina keperluan tersebut, akan berlaku pelbagai cabaran yang memungkinkan seseorang, masyarakat atau negara berundur serta terjajah semula.

Penjajahan akan datang mungkin tidak seperti penjajahan dulu-dulu. Ia disebut sebagai penjajahan baru atau neokolonialisme. Idea mengenai penjajahan baru dikemukakan sarjana-sarjana sains politik sudah sekitar 1960-an selepas mereka mengesan wujudnya penjajahan dalam bentuk baru.

Malik Bennabi merupakan antara sarjana awal yang mengemukakan persoalan penjajahan baru dalam konteks pembentukan masyarakat baru.

Penjajahan baru bermaksud suatu amalan geopolitik yang menggunakan kapitalisme, globalisasi perniagaan dan imperialisme budaya untuk mempengaruhi negara menggantikan kawalan ketenteraan.

Negara imperialisme tetap meneruskan penguasaan mereka terhadap negara-negara bekas jajahan melalui hegemoni budaya yang sangat sistematik, halus dan kemas.

Negara-negara baru merdeka atau diwujudkan oleh kuasa-kuasa Barat hanya menerima simbol-simbol merdeka seperti bendera, lagu kebangsaan, pemimpin tempatan yang berkuasa dan birokrat-birokrat yang melaksanakan polisi yang diwarisi dari era penjajahan.

Persoalan bahasa dalam kerangka merdeka yang diperhalusi ini, kita dan tanah air kita pada hari ini berada dalam situasi penjajahan baru. Sukar untuk difahami dan diterima.

Itulah yang berlaku sewaktu para pejuang kemerdekaan beratus-ratus tahun lalu menyedarkan masyarakat tentang kemerdekaan tanah air. Hanya beberapa kerat dalam kalangan masyarakat ketika itu yang memahami dan mendukung perjuangan kemerdekaan.

Istilah merdeka itu ibarat dosa yang terpaksa mereka pikul bersama. Hatta parti yang memperjuangkan kemerdekaanpun bimbang untuk menggunakan kalimat merdeka dalam slogan mereka.

Merdeka ketika itu adalah suatu istilah puaka, celaka dan khianat. Seluruh sejarah perjuangan mereka dianggap derhaka dan pendosa bangsa.

Buta makna penjajahan

Masyarakat ketika itu tidak nampak keperluan untuk merdeka atau anak tempatan memerintah sendiri. Ini kerana kedatangan Inggeris dianggap dapat membantu memajukan negara.

Inilah yang diungkapkan oleh Raja Abdullah dalam suratnya kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Andrew Clarke, pada 1873. Surat itu menyatakan kesediaan baginda meletakkan Perak di bawah pentadbiran Inggeris dan menyediakan seseorang yang boleh menunjukkan baginda sistem pentadbiran kerajaan yang baik.

Inggeris tidak mengganggu segala simbol agama dan bangsa. Raja-raja Melayu masih bertakhta di singgahsana. Sembahyang, puasa dan segala ibadah khusus dapat dilakukan seperti sewajarnya.

Sepertilah juga pada hari ini. Menyuarakan perihal bahasa Melayu sudah dianggap ketinggalan zaman. Seperti sudah tiada keutamaan dalam berjuang.

Ambillah semangat Ahmad Boestamam dalam perjuangan kemerdekaan di saat masyarakat masih buta makna penjajahan. Katanya:

Nyalakan terus unggun cita
segarlah kuntum menanti kembang
dari neraka beta mendoa
semogalah syurga bagimu rakyat!


MUHAIMIN SULAM ialah ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.