Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Subsidi bersasar perlu anjakan sikap

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

KOLUM | Daripada media sosial, saya dapati ada banyak juga orang yang mempertikaikan dan membantah penarikan subsidi terhadap harga bayaran untuk menunaikan haji oleh Tabung Haji ke atas golongan T20 dan pengurangannya bagi M40.

Hujahnya ialah perkhidmatan yang diberikan oleh Tabung Haji adalah serupa kepada semua golongan T20, M40 dan B40, maka tidaklah patut mereka dikenakan bayaran kebih.

Hakikatnya ialah dari segi hukum, seseorang yang tidak mampu tidak diwajibkan untuk menunaikan fardhu haji. Tetapi dengan simpanan yang dianjurkan oleh Tabung Haji, maka banyaklah muslimin dan muslimat dapat menunaikan haji. Lebih-lebih lagi ada sistem subsidi yang datangnya tentulah dari dana pelaburan yang dilaksanakan oleh Tabung Haji.

Mereka yang dari golongan T20 tentulah lebih mampu bukan saja untuk menunaikan haji tanpa bantuan atau subsidi, malah dapat melabur jumlah wang yang lebih besar dalam Tabung Haji dan sehubungan itu dapat meraih keuntungan dari dividen yang juga lebih besar. Jika dalam keadaan demikian mereka tetap mahukan bantuan atau subsidi, tentu ia dapat dilihat sebagai tamak.

Tidak lama dahulu, timbul permohonan dari sebahagian daripada golongan T20 supaya anak-anak mereka juga dibenarkan memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Malah pihak kepemimpinan Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga pernah mengutarakan cadangan supaya MRSM membenarkan kemasukan anak-anak golongan T20 tetapi ibu bapa mereka perlu membayar dengan harga penuh dan mereka tidak boleh menerima bantuan atau subsidi.

Tidak lama dahulu juga, ada satu kenyataan dari anggota persatuan bekas pelajar-pelajar MRSM (Ansara) bahawa mereka mahu anak-anak mereka memasuki sekolah itu kerana mengharapkan supaya anak-anak mereka dapat mengenali kehidupan anak-anak orang susah yang bersekolah di situ.

Reaksi pertama daripada permintaan sesetengah ahli golongan T20 supaya anak-anak mereka turut dibenarkan memasuki tentulah ia merupakan sesuatu yang mengejutkan. Timbul persoalan adakah ia merupakan sifat tamak atau “entitlement” di kalangan mereka. Golongan T20 umumnya adalah orang terpelajar dan mereka mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat baik dalam bidang politik, ekonomi, sosial, budaya dan agama.

Walaupun bilangan T20 adalah kecil, tetapi polisi-polisi negara akan mudah mengikuti kehendak mereka. Ini kerana mereka berada di pucuk pimpinan parti politik, korporat dan perkhidmatan awam yang pastinya berada di puncak piramid masyarakat. Walaupun di kalangan orang Melayu, kebanyakannya berasal dari keluarga B40 dan M40.

Objektif asal

MRSM dan sekolah-sekolah berasrama penuh pada asas dan asalnya adalah usaha kejuruteraan sosial untuk meningkatkan mobiliti pelajar-pelajar cemerlang dari keluarga berpendapatan rendah supaya mereka menjadi anggota masyarakat yang berpendapatan tinggi.

Maknanya, usaha itu adalah untuk menjadikan mereka anggota golongan T20. Maka mereka dibantu dengan diberikan biasiswa dan pendidikan bermutu tinggi. Usaha ini telah menyumbang kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang melahirkan golongan T20 di kalangan Bumiputera dan seterusnya diharapkan dapat menyusun semula masyarakat Malaysia supaya jurang kekayaan antara kaum dapat dirapatkan.

Setelah memperoleh biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mendapat pekerjaan yang berpendapatan tinggi dengan mudah, kehidupan senang ini tidak wajar dilihat sebagai hak atau “entitlement” kepada anak dan cucu. MRSM dan sekolah berasrama penuh adalah untuk semua rakyat negara dan bukan milik para bekas pelajar untuk mewariskan tempat kepada anak cucu. tidaklah eajar diberikan keutamaan.

Amalan menggunakan kabel yang dianggap sebagai “normal” bagi mereka adalah sebenarnya korupsi dan bakal mengundang pergeseran dalam masyarakat. Kalau alasannya ialah supaya anak mereka dapat bergaul dengan anak golongan susah di sekolah-sekolah, pernyataan itu sebenarnya menunjukkan suatu keangkuhan. Adalah lebih mudah untuk bergaul dengan anak-anak golongan biasa di sekolah harian.

Mutu pendidikan

Sebenarnya apa yang ibu bapa hendakkan ialah mutu pendidikan bagus di MRSM dan sekolah-sekolah berasrama penuh yang membuka peluang bagi anak-anaknya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Keadaan ini berlaku kerana selama ini kerajaan telah mewujudkan sistem persekolahan yang memecah-belah atau divisif.

Bukan saja antara kaum yang sukar untuk diubah tetapi juga antara golongan cemerlang dan tidak cemerlang. Pelajar-pelajar cemerlang yang sudahlah pandai akan sentiasa dapat kemudahan pendidikan lebih bermutu daripada pelajar-pelajar kebanyakan. Maka sudah tentu tempat MRSM dan sekolah-sekolah berasrama penuh menjadi rebutan.

Cadangan supaya anak-anak golongan T20 dibenarkan belajar di MRSM dengan bayaran penuh akan memburukkan lagi keadaan. Ini kerana akhirnya Mara yang nerupakan agensi untuk membantu rakyat susah terpaksa mencurahkan tenaga dan fikiran mereka bagi menyediakan usaha untuk menampung permintaan golongan berada.

Dengan adanya ibu bapa yang membayar penuh di MRSM maka sekolah iti menjadi seperti sekolah swasta komersial. Perkiraan perlu dibuat oleh pentadbir tentang peruntukan dan perbelanjaan. Sedangkan ketajaan pada asasnya wujud untuk membantu rakyat kebanyakan yang majoritinya susah. Golongan yang berada wajar berdikari kerana mampu dan tidak memerlukan bantuan kerajaan.

Soal imbangan cukai dengan perkhidmatan kerajaan akan sentiada menjadi perdebatan dan kajian ahli ekonomi dan ahli sains politik. Merekalah yang wajar nembuat pertimbangan sesuai untuk dicadangkan kepada kerajaan untuk kebaikan semua rakyat.

Apabila kerajaan bercadang untuk menarik balik subsidi daripada golongan T20 dengan memperkenalkan dasar subsidi bersasar, maka timbul suara-suara mempertikaikan dan bantahan dalam media sosial. Mereka menyebut bahawa subsidi bersasar adalah tidak adil bagi golongan T20 kerana mereka pun membayar cukai.

Malahan cukai yang dibayar mereka adalah lebih banyak kerana pendapatan mereka adalah tinggi. Selain itu mereka juga berbelanja lebih banyak kerana ada duit banyak. Maka dari perbelanjaan tentulah cukqi jualan yang dikeluarkan mereka juga tentu tinggi.

Beberapa hari lalu saya terbaca hantaran di media sosial dari seorang ibu dari golongan T20. Menurutnya,:sejak beberapa tahun kebelakangan ini, golongan B40 dan M40 dapat banyak pelbagai jenis bantian kerajaan. Sedangkan golongan T20 tidak menerina sebarang bantuan. Ia semacam diskriminasi terhadap golongan itu.

Menurutnya tidak semua ahli golongan T20 senang dan hidup bermewah. Ada juga golongan T20 yang susah dan nemerlukan bantuan sambil menceritakan krsungguhan belajar dan bekerja sampai berjayamenjadi ahli golongan T20. Kini beliau juga bertungkus-lumus mendidik anaknya untuk berjaya dan teruss kekal sebagai ahli golingan T20.

Hantaran ini tentulah pelik. Mungkinkah ia merupakan suatu jenaka atau satira. Kalau benar, ia menunjukkan bahawa bagi pandangan sebahagian golongan T20, banyak orang menjadi B40 fan M40 adalah kerana malas, kurang cerdik dan hanya mengharapkan bantuan. Maka penulis itu seolah-olah cemburu terhadap golongan B40 dan M40 yang sentuasa mendapat bantuan.

Istilah ‘maha kaya’

Bagi saya, penulis hantaran media sosial itu bukan daripada golongan T20 sebenar dari segi minda dan tingkah-laku. Ahli-ahli golongan T20 mempunyai sahsiah dan sensibiliti tersendiri. Mereka mempunyai maruah dan tidak akan mempertikai bantuan-bantuan untuk golongan susah. Mereka hidup bersyukur kerana bernasib baik berada dalam golongan T20.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ada menjelaskan bahawa subsidi itu bermaksud asalnya ialah bantuan atau “sedekah” kepada golongan kurang berkemampuan. Maka tentulah tidak patut seseorang dari golingan “maha kaya” turut menerima bantuan atau “sedekah” dari kerajaan.

Maka selama ini golongan yang senang itu turut menikmati subsidi seperti mana golongan susah dengan kini kerajaan pula menanggung beban kewangan besar, khususnya akibat hutang yang banyak dan lebih penting lagi, ialah ketirisan yang sentiasa diusahakan untuk dihentikan. Sebab itu beliau berazam untuk melaksanakan subsidi bersasar walaupun ia merupakan suatu yang sukar untuk dilaksanakan.

Menurut beliau juga, ada pihak yang tidak senang dengan istilah “maha kaya” tetapi beliau akan terus menggunakannya. Saya tidak mengetahui mengapa pihak itu membantah penggunaan istilah tersebut. Tetapi saya percaya perdana menteri akan terus menggunakan istilah itu kerana ia memudahkan pemahaman.

Sememangnya ada nada “pandangan serong” atau “memperli” apabila istilah “maha kaya” digunakan. Mungkin akibat cemburu terhadap kemewahan dan kesenangan hidup mereka itu, ada orang kebanyakan yang secara tidak sedar membenci golongan kaya.

Dalam ceramah-ceramah agama sering diingatkan bahawa Tuhan yang menentukan rezeki seseorang dan semua orang perlu bersyukur dengan apa yang mereka peroleh. Mereka tidak dibenarkan berasa iri hati terhadap orang yang lebih beruntung itu. Lagipun masyarakat perlukan golongan kaya kerana merekalah yang membayar zakat, sedekah dan memberikan wakaf. Kepada golongan kaya ini diseru supaya sentiasa memperbanyakkan sedekah untuk mendapatkan tempat di syurga pada hari akhirat kelak. Pendek kata, orang Islam tidak wajar berasa tak suka terhadap adanya golongan kaya dalam masyarakat. Sebarang rasa cemburu, iri hati atau kebencian adalah “penyakit hati” yang perlu dihindari.

Namun begitu, tentulah masyarakat menyukai golongan yang memperolehi kekayaan secara jujur dan kerana kerajinan serta kecekapannya. Apa yang orang marah ialah golongan yang memperoleh kekayaan secara tidak adil seperti melalui korupsi, penggunaan kabel berbentuk nepotisme dan kolusi atau berniaga secata penipuan kepada pelanggan dan pengguna.

Seperti yang diketahui ramai, istilah-istilah T20, M40 dan B40 tidaklah menggambarkan secara mutlak kedudukan ekonomi seseorang. Ini kerana kedudukan seseorang ditentukan oleh pelbagai faktor yang seringkali berada di luar perkiraan dan petangkaan.

Namun begitu istilah-istilah itu tetap berguna bagi pengurusan untuk memahami kedudukan isi rumah dalam masyarakat dan seterusnya membantu usaha meringankan beban rakyat. Takrifan-takrifan utu adalah perincian kepada istilah umum iaitu kaya, sederhana dan miskin. Dalam kategori itu pula, ada pembahagian-pembahagian yang lebih kecil. Maknanya di kalangan golongan kaya, tentu ada yang “maha kaya” atau “ultra rich”.

Apapun bentuk masyarakat adalah berupa piramid. Kecil di atas dan besar di bawah. Sumber amat terhad. Adalah merupakan peranan kerajaan untuk menguruskan sumber ini supaya berimbang. Semua warga negara mempunyai hak saksama. Tetapi rasa “entitlement” adalah suatu “delusion” yang boleh menimbulkan pergeseran dalam masyarakat.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.