Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Pelajaran politik dari peringatan Hari Wilayah

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Wilayah Persekutuan dibentuk 50 tahun lalu, pada tahun 1974. Ketika itu saya berada di tingkatan tiga yang mana majlis pemasyhurannya turut disiarkan secara langsung melalui radio.

Keesokannya saya membaca berita mengenainya di halaman depan semua akhbar. Ada gambar Sultan Selangor menandatangani dokumen menjadikan Kuala Lumpur sebagai wilayah milik kerajaan persekutuan.

Saya membesar di Kuala Lumpur dari tahun 1960 hingga 1969 ketika ia masih merupakan sebahagian daripada Selangor. Pada masa Kuala Lumpur ditadbir oleh Majlis Bandaran kerana ia belum menjadi bandar raya.

Saya lihat lori dan jentera perapi jalan atau steam roller berwarna hijau dan tertera di tepinya Kuala Lumpur Ibu Kota. Steam roller asal sememangnya menggunakan tenaga wap, iaitu air dimasak untuk mengeluarkan wap bagi menggerakkan jentera.

Pada tahun 1966, saya sekeluarga tinggal di Kampung Datuk Keramat. Tandas yang diguna pada masa itu ialah tandas angkut. Ini bermakna setiap awal pagi lori kontrak majlis bandaran mengutip najis di seluruh Kuala Lumpur.

Pada masa itu tidak banyak orang asing di Kuala Lumpur. Semua pekerjaan kotor dan berbahaya dilakukan oleh orang tempatan, baik Melayu, Cina dan India.

Tetapi majoriti penduduk Kuala Lumpur ialah dari kaum Cina. Pada masa itu Petaling Jaya sebahagian daripada Kuala Lumpur. Orang Melayu banyak tinggal di Kampung Baru, Datuk Keramat, Kampung Pandan dan Kampung Segambut.

Ketika itu keseluruhan Chow Kit hinggalah ke pusat bandar Kuala Lumpur dipenuhi dengan kedai-kedai yang dimiliki dan dikendalikan oleh kalangan kaum Chiba. Tulisan Cina secara besar-besaran menghiasi kedai-kedai dan mencorakkan ibu negara.

Ketika itu belum ada peraturan mendaulatkan bahasa kebangsaan oleh pihak berkuasa tempatan. Maka Kuala Lumpur dari dahulu diwakili oleh ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri daripada parti-parti berasaskan kaum Cina.

Pada zaman kolonial, iaitu sekitar tahun 1920 dan 1930, Kuala Lumpur dibahagi dua iaitu kawasan British dan kawasan orang tempatan dengan sempadannya ialah Sungai Klang.

Orang British menduduki kawasan sekitar Taman Botanikal Tasik Perdana, dulu bernama Sydney Lake. Orang putih, British dan lain-lain ialah minoriti kecil tetapi amat berkuasa.

Di seberang Sungai Klang di mana terletaknya Central Market dan keseluruhan kawasan bandar termasuk Jalan Petaling dan keseluruhan daerah Petaling dan Pudu didiami oleh kaum Cina.

Apa yang disebut sebagai Chinatown adalah bandar sebenar Kuala Lumpur. Pusatnya terletak di sekitar jam besar di Medan Pasar di mana terletaknya bank-bank dan pejabat guaman.

Bagi pentadbiran British, pusat mana-mana bandar di Britain atau pun wilayah-wilayah di empayar British ialah di mana terletaknya High Street. Kawasan di situlah juga yang dinamakan “downtown” di mana kedai-kedai penting berada.

High Street Kuala Lumpur kini bernama Jalan Tun HS Lee bersambung dengan Medan Pasar dan selanjutnya Central Market.

Lawan “downtown” ialah “uptown” di mana terletak kawasan-kawasan perniagaan pinggiran.

“Uptown” pada masa kolonial terletak di seberang Java Road hinggalah ke Chow Kit, iaitu termasuk Batu Road.

Selepas Perang Dunia Kedua, Java Road menjadi Mountbatten Road. Selepas merdeka, ia dinamakan Jalan Tun Perak dan Batu Road menjadi Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Di sekitar kawasan inilah ditempatkan orang Melayu dan orang India berniaga. Masjid Jamek didirikan berhampiran kawasan itu. Juga dengan Masjid India.

Ada Malay Street dan Malacca Street. Kawasan Jalan Melayu itu memperlihatkan penempatan perniagaan orang Melayu. Jalan Melaka dinamakan demikian kerana terdapat orang asal Melaka di situ.

Sementara itu, orang Melayu di situ juga ada yang berasal dari Sumatera, antaranya daripada suku kaum Mandailing dan Minang. Orang Mandailing mendirikan masjid pertama di Kuala Lumpur sebelum adanya Masjid Jamek.

Orang dari Jawa juga tinggal di sekitar Java Road manakala secara khusus orang Semarang tinggal di Kampung Semarang yang kini terletaknya Jalan Semarang.

Sementara itu, orang India khususnya dari Tamil Nadu tinggal di sekitar Jalan Masjid India yang kini terletaknya bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Dari tahun 1900an hingga 1940an, Kuala Lumpur merupakan bandar pinggiran (outpost) empayar dengan sistem politik, ekonomi dan sosial mengikut ideologi imperialisme British. Ia berkhidmat untuk membekalkan kekayaan harta-benda dan budaya kepada Britain melalui hasil timah dan getah.

Bijih timah Selangor datang dari lombong di Petaling, Cheras dan Ampang yang dibawa ke Kuala Lumpur dengan menggunakan pengangkutan kereta lembu.

Cuba bayangkan seluruh Subang Jaya, Sunway Lagoon hinggalah ke Puchong adalah lombong bijih timah.

Begitu juga dari Jalan Ampang hingga ke Kampung Pandan juga lombong bijih timah. Dari Kuala Lumpur, ia diangkut dengan perahu melalui Sungai Klang ke Port Swettenham.

Ladang getah pula terdapat di Damansara, Gombak dan Serdang yang turut dibawa ke Kiala Lumpur.

Kemudiannya bandar ini menjadi lebih penting apabila ia dijadikan pusat penyelaras kepentingan British di Perak, Pahang dan Negeri Sembilan dengan ditubuhkan Federated Malay States (FMS) atau Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang akhirnya menjadi asas kepada Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Persekutuan Malaysia iaitu selepas kegagalan gagasan Malayan Union.

Saya berada di darjah empat ketika berlaku peristiwa 13 Mei 1969. Dari sebuah bukit berhampiran kediaman saya dalam kem tentera Mindef, pada waktu malam itu saya saksikan dari jauh api menjulang tinggi di kawasan Chow Kit.

Apabila sebahagian daripada perintah berkurung ditarik balik, dari dalam bas saya melalui kawasan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan melihat kesan bangunan-bangunan yang terbakar hangus.

Pilihan raya tahun 1969 merupakan tamparan hebat kepada Perikatan. Pengundi Cina beralih dari MCA kepada Gerakan dan DAP.

Walaupun baru ditubuhkan, kedua-dua parti pembangkang itu berjaya memenangi 13 kerusi DUN di Selangor. Perikatan memperoleh 14 kerusi. Ini pertandingan tiga penjuru.

Orang Melayu juga sedang marah pada Umno dan mereka mengundi PAS yang mengurangkan lagi undi Perikatan. Andai kata Gerakan dan DAP berpakat, Selangor boleh terlepas dari Perikatan.

Selepas tahun 1969, maka kepimpinan Umno terdorong melakukan suatu perubahan drastik iaitu paling utama Tunku Abdul Rahman digantikan dengan Tun Abdul Razak Hussein.

Kemudian, Abdul Razak memperkenalkan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pelajaran Kebangsaan diperkenalkan. Sekolah aliran Inggeris bertukar menjadi sekolah aliran bahasa Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga ditubuhkan.

Juga penting ialah penubuhan Barisan Nasional yang terasnya adalah kerjasama Umno-PAS-Gerakan.

DAP yang turut diajak enggan menyertainya. Maka Kuala Lumpur disempadankan semula dan menjadi Wilayah Persekutuan. Petaling Jaya dikeluarkan dari Kuala Lumpur.

Selangor kehilangan kawasan-kawasan DUN Kuala Lumpur yang kebanyakannya dipegang oleh DAP. Maka Selangor terus selamat di bawah kepimpinan Umno dengan Kuala Lumpur ditadbir secara langsung oleh kerajaan persekutuan.

Tetapi pada tahun 2008, apa yang hendak dihalang berlaku juga. Barisan Nasional kehilangan Selangor kepada Pakatan Rakyat yang di dalamnya terdapat PKR, DAP dan PAS.

Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 2018, Kuala Lumpur pula berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang ketika itu dianggotai oleh Bersatu, PKR, DAP dan Amanah apabila mereka memenangi kerajaan persekutuan.

Selepas 50 tahun Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur kekal sebagai ibu kota negara tetapi pusat pentadbiran persekutuan telah dipindahkan ke Putrajaya.

Sebagai ibu kota, Istana Negara dan Bangunan Parlimen kekal di bandar raya itu.

Begitu juga dengan institusi-institusi penting negara lain iaitu Perpustakaan Negara, Masjid Negara, Muzium Negara, Arkib Negara, Tugu Negara, Istana Budaya dan Balai Seni Visual Negara.

Institusi-institusi ini nampak kecil tetapi ia turut penting bagi sesebuah negara moden dan berdaulat.

Labuan dan Putrajaya juga mempunyai kisah politik untuk menjadikannya sebahagian dari Wilayah Persekutuan.

Semua entiti politik wujud daripada keperluan politik pada waktu ia berlaku.

Walaupun masa depan dicorakkan oleh masa lalu tetapi keperluan politik masa lalu tidak semestinya masih relevan pada waktu ini.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.