Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Kumpulan WhatsApp kejiranan jadi medium sebar benci

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

KOLUM | Baru-baru ini dalam sebuah kumpulan WhatsApp kejiranan, ada seseorang berkongsikan satu hantaran mengenai sejarah yang jelas bernada perkauman.

Tentunya hantaran itu bukan kali pertama. Sejak tahun 2018 ada saja hantaran bernada perkauman ditularkan. Tahun 2018 adalah ketika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum dengan DAP menjadi salah satu anggota kerajaan persekutuan.

Tulisan pada hantaran itu bukanlah bersikap perkauman secara langsung. Kalau begitu tentulah ia sudah menjadi hasutan. Tetapi ia bernada perkauman yang bererti apa yang dipaparkan itu boleh difahami sebagai menimbulkan sentimen rasis.

Seringkali ada anggapan bahawa kumpulan WhatsApp adalah suatu yang tertutup iaitu private. Tidak seperti platform Facebook, Instagram, X dan Tiktok yang dianggap terbuka dan umum. Maka melalui kumpulan WhatsApp, hantaran-hantaran bernada rasis ini dikirim.

Namun sebenarnya, kumpulan-kumpulan WhatsApp ini tidak tertutup atau private. Kebanyakan pengguna WhatsApp menjadi anggota lebih daripada satu kumpulan. Maka seringkali juga hantaran yang dikirim ke satu kumpulan dipanjangkan kepada kumpulan-kumpulan lain. Maka ia sudah menjadi tular dan itulah yang berlaku dengan hantaran-hantaran bernada perkauman itu.

Realitinya, ia hanyalah satu tulisan yang jika diabaikan akan berlalu begitu saja dan tenggelam di dalam lambakan maklumat dunia maya. Namun masalahnya, jika dibaca, dipercayai dan dihayati, ia boleh meracun fikiran untuk menjadi rasis, menyentuh emosi, lalu membenci kaum lain.

Akhirnya secara bertimbun-timbun kebencian itu berkumpul dalam otak seseorang dan jika ia berlaku pada ramai orang, maka ia boleh mendatangkan perpecahan yang merosakkan kehidupan berharmoni negara.

Tiada tempat bagi perkauman

Apabila seseorang itu sudah menjadi rasis, maka apa yang dibaca, didengar dan difikir sentiasa diwarnai dengan perspektif perkauman. Ia adalah seperti seseorang itu memakai kaca mata berlensa hitam. Semua perkara daripada politik, ekonomi, sosial, sejarah, budaya dan apa saja bidang kehidupan dilihat dari sudut rasis. Sehinggakan sukar untuk sesuatu fakta dapat dipercayai dan seterusnya boleh mengganggu kehidupan dan kemajuan seseorang

Dari segi proses demokrasi negara pula, rakyat yang berfikiran rasis akan memilih ahli-ahli parlimen yang akan mengikuti kehendak mereka. Maknanya, jika mereka itu majoriti, kerajaan yang ditubuhkan akan menggubal undang-undang dan memperkenalkan dasar-dasar rasis.

Ancaman rasisme bukan saja berlaku di Malaysia. Ia turut berlaku di Eropah dan Amerika Syarikat. Parti-parti ‘kanan jauh’ (far right) yang bukan saja bersifat populis tetapi juga mempunyai sentimen rasis. Perkara ini diserlahkan melalui sikap xenofobia iaitu takut pada orang asing dan juga Islamofobia, iaitu takut pada orang Islam. Takut ini menjadikan mereka membenci, mendiskriminasi, menghina dan melakukan kekerasan terhadap kaum lain. Maka kerajaan rasis yang dipilih rakyat perlu menurut mandat yang diterima.

Sedangkan dalam sesebuah negara demokrasi moden, hakikatnya tidak ada tempat bagi rasisme. Ini kerana hampir semua negara di dunia didiami oleh pelbagai kaum dan kesemuanya perlu belajar hidup bersama secara saksama. Semua negara mempunyai perlembagaan yang merupakan kontrak nasional warganegara. Tetapi dari segi kedudukan pula, semua warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab serupa dan saksama tanpa mengira kaum.

Malah mereka yang bukan warganegara seperti penduduk tetap, penduduk tidak tetap (second home) dan penduduk tanpa negara (stateless) adalah manusia yang juga mempunyai hak asasi seperti yang termaktub dalam Piagam Bangsa-bangsa Bersatu dengan semua negara anggota PBB menandatangani perjanjian untuk itu.

Maka adalah dipercayai bahawa hantaran-hantaran bernada rasis seumpama itu turut ditularkan kepada kumpulan-kumpulan WhatsApp lain, bukan saja kumpulan berbentuk kejiranan tetapi juga keluarga serta sanak-saudara, begitu juga sahabat handai baik dari kalangan bekas sesama sekolah, universiti dan juga tempat bekerja. Malah kumpulan WhatsApp surau yang seharusnya menjadi tempat yang menggalakkan kebaikan turut menjadi wadah hantaran-hantaran seumpama ini.

Catatan-catatan dalam hantaran itu walaupun berisi fitnah dan hasutan disukai oleh mereka yang sememangnya mempunyai sentimen perkauman dan gemar supaya perasaannya itu dikongsi oleh banyak orang. Selain itu, ada kalangan mereka yang menjadi penyokong pihak pembangkang mengharapkan hantaran-hantaran seperti ini akan nenghakis sokongan orang ramai terhadap pihak kerajaan.

Cabaran menjadi kerajaan

Fenomena seperti ini adalah perkara baru dalam sejarah negara, lantaran itu, ia menjadi suatu cabaran bukan saja bagi mana-mana pihak yang menjadi kerajaan tetapi juga kepada rakyat yang sedar bahawa keamanan dan keharmonian negara bergantung kepada hubungan harmoni pelbagai kaum di negara ini khususnya antara kaum Melayu dengan Cina dan India di Semenanjung Malaysia.

Cabaran seperti ini tidak pernah berlaku pada zaman sebelum adanya media sosial, telefon pintar dan Internet. Ia merupakan harga lebihan yang perlu dibayar oleh rakyat dan negara dalam merangkul kehidupan berteknologi maklumat dan komunikasi yang mengubah hidup manusia sejagat.

Pada zaman penguasaan media massa berbentuk cetak dan elektronik, tulisan dan siaran bernada perkauman tidak akan sampai kepada tatapan dan tontonan umum. Editor di media akan menghalangnya daripada terlepas bukan saja kerana ada akta yang mengawal tetapi kesedaran pada pengamal media profesional tentang memelihara keharmonisan hubungan antara kaum untuk rakyat dan negara.

Tetapi dalam media sosial, tidak ada editor. Bukan tugas Mark Zuckerberg untuk mengawal kandungan Facebook walaupun ia boleh melakukan sesuatu dengan cara mengawal algoritma, sesuatu yang tentunya tidak sama dengan kecekapan seseorang editor di media massa zaman pra-Internet. Itupun Zuckerberg hanya boleh melayan kepentingan Amerika Syarikat. Tentulah di luar kemampuan dan kepentingannya untuk membantu setiap negara yang menggunakan perkhidmatannya.

Bagi kumpulan WhatsApp pula, pihak yang bertanggungjawab adalah adminnya. Perkara ini sudahpun ditetapkan oleh peraturan kerajaan. Tetapi admin tidak mempunyai kelayakan profesional seperti seseorang editor media massa. Sudah tentu ia bukan saja tidak dapat mengawal kumpulan WhatsApp daripada hantaran-hantaran perkauman. Lebih-lebih lagi ahli-ahli kumpulan WhatsApp itu merupakan jiran-jiran, sanak-saudara atau sahabat handainya yang hubungannya mesti dipelihara. Maknanya adalah sukar bagi seseorang admin mampu untuk menegur anggota-anggota kumpulannya.

Sememangnya kumpulan-kumpulan WhatsApp mempunyai tujuan khusus ketika ditubuhkan. Secara umumnya kumpulan WhatsApp kejiranan bertujuan untuk menyalur maklumat bagi kepentingan bersama di samping meningkatkan hubungan baik antara penduduk. Kumpulan WhatsApp tempat bekerja bertujuan untuk menyalur maklumat mengenai hal ehwal pejabat dan syarikat. Untuk hal agama, kumpulan WhatsApp adalah jelas tujuannya, tetapi mereka juga tidak terlepas daripada hantaran rasisme.

Ini kerana, ada anggapan bahawa apa yang mereka lakukan bukankah rasisme. Ia dianggap sebagai memperjuangkan kebenaran dan keadilan, iaitu memaparkan apa yang sedang berlaku. Sementara mempertahan atau membela Islam dan orang Islam adalah sesuatu yang wajib.

Pertamanya, apa yang dipaparkan sebagai sejarah dalam hantaran itu adalah tidak benar. Ia adalah fitnah. Nada perkaumannya itu berupa pernyataan bahawa orang Melayu tertindas dan tertipu oleh bukan saja British tetapi kaum lain. Adalah jelas, hantaran itu memainkan sentimen perkauman dan bagi orang yang kurang pengetahuan, mereka akan mudah mempercayainya dan terdorong untuk bersikap rasa perkauman.

Tafsiran sejarah berubah

Seringkali bagi mereka yang menulis perkara-perkara seumpama ini adalah sama ada keliru atau sememangnya menipu mengenai sejarah. Apabila mereka percaya bahawa British yang menulis sejarah telah melakukan pembohongan demi kepentingan politiknya, maka dengan mudah direka-reka cerita yang disebut sebagai sejarah. Maka orang ramai yang tidak mengambil berat mengenai sejarah akan terdorong untuk terpengaruh.

Sememangnya semua pihak daripada penjajah seperti British hinggalah kepada kerajaan yang berkuasa akan menggunakan sejarah untuk kepentingan politik masing-masing. Tetapi itu tidak betmakna mereka boleh menyembunyikan sejarah sebenar atau mereka-reka cerita. Sementara itu pula, sejarah adalah suatu ilmu pengetahuan yang menpunyai kaedah dan landasan kajiannya. Hanya dokumen dan artifak boleh dijadikan bukti. Sementara perkara lain adalah tafsiran.

Sejarah itu sendiri pula sentiasa berubah mengikut penemuan atau tafsiran baharu tetapi ia tetap boleh digunakan untuk perkara positif atau negatif. Jika seseorang menggunakan sejarah untuk kepentingan sikap rasisme, maka ia merupakan salah guna.

Keduanya, apabila sesuatu pengetahuan dan maklumat itu tidak benar, maka sebarang fikiran, percakapan dan tindakan berasaskan pada maklumat itu bukanlah suatu yang adil.

Ketiga, sejarah adalah suatu perkara yang sudah lama berlaku walaupun kesannya berlangsung pada waktu sekarang. Zaman sudah berubah dan generasi sudah bergantian. Generasi sekarang tidak wajar dipertanggungjawabkan terhadap perbuatan nenek moyang mereka. Dunia sudah bergerak dan cabaran yang perlu dihadapi adalah mengenai waktu sekarang dan masa depan.

Maka akhirnya apakah niat dan kesan sesuatu hantaran di media sosial yang bernada perkauman? Pastinya ia bukan untuk kebenaran, keadilan dan kebaikan tetapi adalah sebaliknya.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.