KOLUM | Surat terbuka untuk Dr Dzul dari pengguna ketum
Saudara Dr Zul yang saya hormati,
Saya terpanggil untuk menulis surat terbuka ini kepada saudara kerana jawatan saudara sebagai menteri kesihatan. Justeru bila kita menyebut hal kesihatan maka tidak dapat tidak kita akan bertemu dengan daun ketum.
Saya merasa resah dan gelisah terutama beberapa minggu kebelakangan ini. Saya terbaca berita pada 9 Januari, enam anggota PDRM ditahan kerana memproses dan minum air ketum.
Pada Selasa 6 Februari 2024 saya ada membaca bagaimana lima anggota PDRM termasuk seorang inspektor dan seorang DSP telah ditahan kerana ketum. Mereka ditangkap ketika berehat minum air ketum.
Gila apa telah dan sedang berlaku?
Saya membesar di Jelebu Negeri Sembilan. Ketika saya membesar saya tidak pernah mendengar atau mengetahui apa itu ketum.
Sepulang saya ke Malaysia setelah 20 tahun berkelana - dalam tahun 90-an - saya telah banyak membaca laporan berita tentang ketum. Saya tidak tahu-menahu apa dia ketum ini. Di Jelebu saya tidak pernah mendengar nama daun ketum. Justeru saya tertanya-tanya.
Apakah ketum ini seperti ganja? Apakah ketum ini seperti hashish? Ganja bukan satu yang baru untuk saya. Ketika di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1970 saya pernah membeli ganja di kedai stesen kereta api Kuala Kangsar. Tahun 1970, satu kertus ganja berharga dua ringgit.
Malah di Kolej Kelima Universiti Malaya ramai kawan-kawan saya menghisap ganja. Mereka semuanya berakhir dengan ijazah dan mendapat kedudukan. Malah ada yang menjadi pegawai tinggi dan ada menjadi pak duta.
Hashish saya temui di Pakistan dan Afghanistan. Malah di Belgium negara angkat saya – ganja dan hashish senang dibeli. Negara paling awal menghalalkan ganja ialah Belanda, di sebelah Belgium.
Tanya punya tanya hal ketum, saya mendapat jawapan dari seorang kawan dari Terengganu. Dia menerangkan bahawa nelayan dan pesawah di kampungnya minum air ketum untuk membetulkan urat setelah penat bekerja.
Ini jawapan dari kawan yang tidak terdidik dalam ilmu perubatan.
Satu hari saya terbaca bagaimana pihak berwajib menebang sebatang pokok ketum. Berita ini menaikkan keberahian saya untuk mengetahui lebih dalam apa itu ketum. Ketika ini saya menulis di majalah Off The Edge – majalah bulanan gaya hidup berbahasa Inggeris.
Saya bertekad untuk menulis hal ketum. Korek punya korek saya diberi lorong untuk pergi ke Kedah. Di luar Alor Setar di wilayah Kuala Nerang di kampung Bendang Raja ada sebuah kafe khusus menjual air ketum.
Di kafe Ketum inilah kali pertama saya minum air ketum. Tuan empunya kafe yang tahu tujuan saya telah memberi saya secawan air ketum.
Aduh! Pahit sungguh air ketum ini. Tapi kita berbudi berbahasa – orang memberi kita merasa. Saya minum untuk menunjukkan tanda terima kasih.
Kemudian keberahian saya tentang ketum padam. Setelah tulisan itu keluar saya rasa ketum bukan satu misteri lagi untuk saya.
Tup tup virus dari Wuhan datang melanggar dunia. Saya setia mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika ini saya mengalami masalah letih. Biasanya saya berurut dengan Roslan – pengurut buta di Brickfields. Bila PKP diumum semua kedai urut tutup.
Saya merasa resah kerana mengalami letih. Tanpa dirancang ada kawan menasihatkan saya untuk minum air ketum. Mungkin air ketum dapat membantu masalah keletihan yang saya hadapi.
Cari punya cari saya berjaya mendapat air ketum. Saya minum. Keletihan saya hilang. Saya kembali segar dan bertenaga. Aduh! Baru saya sedar kenapa ketum menjadi begitu popular.
Saudara Dr Zul,
Saya berlabun panjang ini dengan tujuan agar saudara memahami bahawa saya minum air ketum bukan untuk berkhayal tapi untuk kembali bertenaga.
Kisah punya kisah ketika PKP saya telah melanggan teksi untuk ke Bangsar. Pemandu teksi ini berasal dari Yan, Kedah. Kami bersembang tentang ketum. Si Pemandu ini juga peminum air ketum.
“Letih, minum lepas kerja,” Pemandu teksi bersurah.
Jelas tujuan untuk mengembalikan tenaga setelah sehari memandu. Bukan untuk mabuk. Sama seperti apa yang saya lakukan.
Sambil bersembang sambil ketawa dia berkata:
“Ketum ini baik untuk lawan Covid.”
Ini juga kenyataan dari sosok yang tidak ada ilmu dalam bidang perubatan.
Siah malaikat 44 – hingga ke hari ini – saya peminum air ketum masih lagi teruna, belum ditiduri oleh Mat Kobid.
Kajian ilmiah
Dr Zul yang saya hormati,
Saya ingin mengajukan pertanyaan apakah minum air ketum membantu melawan virus Covid? Alangkah baik jika ada kajian ilmiah dibuat dalam hal ini.
Kembali kepada keresahan saya bila saya membaca berita anggota PDRM ditahan. Saya bersimpati pada mereka. Malah saya bersimpati kepada sesiapa yang ditahan berkaitan dengan ketum.
Ini kerana saya sendiri tahu khasiat air ketum. Saya adalah tikus makmal. Saya mengakui saya juga tikus rahmat yang dapat bertenaga kerana minum air ketum.
Saya amat yakin anggota PDRM ini minum air ketum untuk kembali bertenaga. Mereka telah meronda, mereka telah menjalankan tugas maka mereka mahu berehat dengan meminum air ketum.
Mereka tidak masuk ke bar atau kelab malam untuk minum secangkir Guinness Stout untuk mengembalikan tenaga. Mereka minum produk tempatan yang datuk nenek moyang mereka telah gunakan sebagai tonik untuk mengembalikan tenaga.
Dr Zul, kenapa kita menjenayahkan sosok-sosok PDRM ini hanya kerana mereka minum air ketum? Saya juga sama seperti anggota PDRM ini – peminum air ketum. Saya menolak niat malah menganggap satu kezaliman untuk menjenayahkan sesiapa saja kerana minum air ketum.
Bayangkan berapa ramai warga kita telah menjadi penjenayah kerana minum air ketum. Anggota dan pegawai PDRM ini mungkin akan hilang kerja, hilang pencen dan porak peranda rumah tangga hanya kerana kita mengikut Akta Racun 1952.
Jika ditangkap kerana minum air ketum maka kita akan ada rekod jenayah. Jika anak muda tangkap maka masa depan gelap kerana tercatat rekod jenayah. Jika penjawat awam ditangkap mungkin hilang pekerjaan dan pencen. Walhal kesalahan hanya minum air ketum.
Dr Zul yang saya hormati,
Adakah apa yang sedang berlaku ini masuk akal. Secara rasional kita telah menjenayahkan warga kita sendiri. Hanya kerana kita mengikut Akta Racun 1952.
Dr Zul, sila lihat Akta Racun ini. Ia diwartakan dalam tahun 1952. Ketika akta ini dibuat Tanah Melayu masih lagi tanah jajahan Inggeris. Untuk saya ini Akta Baginda Queen.
Saya syak dan menuduh penjajah Inggeris ini sengaja meletakkan ketum sebagai racun. Untuk dua tujuan. Pertama agar ketum tidak melawan dan bersaing dengan pil dan ubatan yang dibuat oleh syarikat ubat dari England. Kedua agar ketum tidak digunakan sebagai minuman tenaga. Ini untuk mendorong warga Tanah Melayu minum bir dan stout untuk kembali bertenaga.
Antara ketum dan bir, ‘stout’
Bir dan stout ini milik syarikat Inggeris. Jika ketum dipasarkan secara halal maka bir dan stout akan hilang pembeli.
Saudara Dr Zul,
Dari apa yang saya baca di Amerika telah ada kafe ketum. Minum air ketum ini dianggap biasa seperti minum air teh. Dari mana ketum ini datang ke Amerika?
Seludup. Kita sering terbaca berita bagaimana daun ketum cuba diseludup ke Siam. Dari Siam ke Amerika dan Eropah. Kenapa ke Siam?
Ini kerana Siam dan Indonesia ketum kini menjadi bahan eksport. Yang diseludup ke Siam selalunya berasal dari Kedah atau Kelantan. Malah diberitakan jenis ketum yang terbaik dalam dunia adalah Karatum Malaya - nama manja ketum asli Tanah Melayu.
Dari YouTube saya dapat mengetahui bagaimana telah ramai pak tani di Kedah secara diam dan senyap telah beralih dari menanam padi ke ketum. Hasil dari ketum dikatakan lebih lumayan.
Saya bukan pakar ekonomi. Tapi dalam hal ketum ini saya tidak perlu menjadi pakar ekonomi untuk menyatakan bahawa kita bodoh diperangkap oleh Akta Baginda Queen.
Bayangkan daun ketum sepesi terbaik dalam dunia menjadi bahan eksport dari Malaysia.
Kita pemain industri sawit terulung di dunia. Sawit berasal dari Nigeria. Kita pengeluar getah terbesar dalam dunia satu ketika dulu. Getah berasal dari hutan Amazon.
Ketum berasal dari bumi Tanah Melayu. Kenapa kita tidak angkat ketum ke persada dunia.
Kenapa kita menjenayahkan bahan asli kita hanya kerana pada tahun 1952 kuasa kolonial Inggeris memenjarakan tumbuhan asli kita.
Kenapa kita tidak jadikan ketum sebagai satu industri pertanian sama taraf seperti getah dan sawit dan terkini durian.
Dr Zul yang saya hormati,
Saya ada terbaca berita Universiti Eriangen dari Jerman telah memberi dana 60,000 euro kepada Prof Zurina Hassan dari Universiti Sain Pulau Pinang untuk membuat kajian tentang ketum.
Siapa dapat hak kajian?
Saya risau di akhir kajian ini – dengan modal yang lumayan – siapa yang akan mendapat hak milik kajian ini? Apakah Syarikat gergasi perubatan Bayer dari Jerman akan masuk? Atau apakah syarikat perubatan gergasi dunia seperti Pfizer, Roche dan Sanofi akan mengeluarkan pil berasaskan ketum.
Malah dari portal luar negara saya ada terbaca iklan jualan pil ketum dari Jerman. Di jual di kedai ubat. Walhal di Malaysia kita dianggap penjenayah.
Saudara Dr Zul yang saya hormati,
Saya sebagai pengguna ketum telah turut bersama di forum Sustainable Future of Medical Cannabis, Industrial Hemp and Kratom Industry in Malaysia pada 16 Disember 2021 di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur.
Forum ini terbuka ini dirasmikan oleh Zahidi Zainul Abidin, timbalan menteri multimedia ketika itu.
Di forum ini pakar limunan dan ilmiah dari USM membentangkan pendapat. Turut sama dalam forum ini ada beberapa NGO yang menyokong usaha untuk menghalal ganja dan ketum. Juga turut hadir ramai peminum air ketum seperti saya.
Hadir juga penanam ketum – secara gelap – yang mahu ketum dibebaskan dari penjara Baginda Queen. Penanam ketum secara gelap ini hanya menunggu kata putus dari kerajaan. Mereka sedang bersedia.
Penentang besar ketum ketika ini tidak lain dan tidak bukan adalah wakil dari big pharma – doktor dan bomoh – penjual ubatan dari Barat.
Kalau dulu Baginda Queen yang memenjarakan ketum, hari ini big pharma.
Awas!
Bila saja ketum dihalalkan maka big pharma ini akan menjadi pemain utama pengeluar ubatan berasaskan ketum. Yakinlah ini akan terjadi.
Justeru forum 2021 dengan kerjasama Kementerian Multimedia ini adalah bukti telah ada niat kerajaan untuk menghalalkan ketum.
Dr Zul yang saya hormati,
Forum ini dianjurkan oleh kerajaan lama. Ini kerana kerajaan lama sedar ramai petani di Utara dalam kawasan mereka terlibat dalam penanaman ketum secara gelap. Para YB dan menteri dalam kerajaan lama sedar bahawa penanam ketum ini memberi sokongan besar kepada mereka.
Dr Zul, saya akhiri surat saya ini dengan harapan Kementerian Kesihatan kerajaan Madani ini akan meneruskan perbincangan tentang ketum untuk dijadikan satu industri pertanian.
Saya yakin ketum boleh membantu ekonomi negara. Amin. Wassalam.
Yang Berharap
Isham Rais
P/s : Jika diperlukan saya bersedia untuk jadi tikus makmal demi kesihatan kita semua.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai