Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Rusa jumpa buku

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOLUM | Sewaktu slot saya di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) pada hujung minggu lalu, ramai yang hadir. Buku pun banyak terjual. Reruai Gerak Budaya yang menerbitkan buku saya pun bertambah meriah.

Kawan dan kenalan yang datang dari jauh dan dekat pun meraikan.

Penganjur KLAB yang memilih tema Buku Bertemu Rusa tentulah mempunyai objektif jangka panjang dalam membentuk generasi masa hadapan negara.

Rusa adalah simbol bijak, muda dan menyenangkan. Menggabungkan kekuatan rusa dengan kehebatan buku pasti mencetuskan kesan berganda.

Selaku penerbit, Gerak Budaya merancang untuk mempromosi buku terbaru saya, Mat Indera - Antara Identiti dan Ideologi sempena pesta buku itu. Secara tidak langsung, ia adalah mempromosi idea dan diri penulis sendiri.

Ia bukan persoalan faedah peribadi atau pemasaran buku tetapi lebih kepada soal pengembangan idea dan naratif alternatif. Idea yang menyanggah naratif perdana mungkin tersalut pelbagai agenda dan mungkin ada kekurangan yang boleh diperbaiki. Sejarah itu tidak muktamad, bak kata Lord Acton.

Himpunan insan seni

Buku tentang Mat Indera mungkin sepintas lalu akan dianggap mengandungi propaganda kiri, komunis, anti-Melayu dan sebagainya. Lebih-lebih lagi ia diterbitkan semula oleh syarikat penerbitan yang dikaitkan sebagai ‘sosialis’, ‘kiri’ dan ‘alternatif’.

Sebenarnya sudah lebih 20 tahun saya tidak menjejak kaki ke Pasar Seni di Kuala Lumpur. Mungkin kerana tempat itu sudah kehilangan rohnya, ataupun saya sendiri sudah hilang keghairahan.

Memang di situlah tempat kegemaran kami berhujung minggu pada penghujung 1980-an. Ketika itu Pasar Seni adalah tempat himpunan insan seni marhaen.

Pergi semula ke Pasar Seni membuka kotak kenangan zaman melepak sewaktu di universiti. Tengok Pak Arif Aziz melukis potret dan membelek-belek koleksi Tok Gajah. Pada masa itu ramai seniman jalanan. Banyak kerja seni berlangsung.

Mereka membuat dan menjual baju T, lencana, cenderamata, batik dan lain-lain. Mercu tanda Kuala Lumpur pada ketika itu pula ialah Dayabumi.

Asalnya saya cuba membawa Presiden Amanah Mohamad Sabu untuk meluncurkan buku Mat Indera. Bagaimanapun saya gagal membawa menteri pertanian itu ke pesta buku. Akhirnya, saya memilih seorang anak muda untuk membicarakan buku tersebut. Tidak jadi sesi peluncuran buku dibuat.

Kontroversi isu Mat Indera muncul ini apabila Mohamad menyebut nama tokoh itu dalam ceramahnya pada 2011. Itulah juga rasionalnya saya jemput dia meluncurkan buku tentang Mat Indera.

Awalnya saya teragak-agak hendak jemput presiden Amanah itu kerana mengenangkan tanggungjawab untuk ‘menjaga nama’ parti dan kerajaan.

Namun apabila presiden Amanah itu mengkritik keras AS dalam isu Palestin dan kemudian menulis tentang Abdulah CD, dia seakan berpidato di pentas ceramah politik. Dia tidak memikirkan soal hubungan diplomatik sebagai menteri.

Kerana itu hati saya tergerak untuk menjemput dia.

Kadangkala kita ini terlalu skema sangat. Terikat dengan protokol dan segala macam peraturan, atur acara dan etika menjadi pemimpin kerajaan.

Biarlah kali ini, anak muda berbicara tentang anak muda yang mempertaruhkan nyawanya - Mat Indera! Pembicaranya adalah Dr Abdul Muqit Muhamad, anak muda yang menjadi pensyarah kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Tawaf reruai

Bukan saya sengaja tidak mahu mengajak pensyarah yang veteran membicarakan buku itu.

Dr Shaharuddin Maaruf pun ada menulis kata pengantar buku saya dan itu memadai untuk mewakili suara dan aspirasi generasi lama. Dia menyentuh soal pembinaan hero dalam negara sedang membangun.

Bukunya, Konsep Hero Dalam Masyarakat Melayu, mengkritik pembinaan hero dalam pemikiran Melayu yang tidak berasaskan nilai. Dia menulis tentang kuasa-kuasa sosial yang membina serta mencorakkan sesuatu nilai dan idealisme yang dipegang.

Persoalan hero turut disinggung oleh Abdul Muqit dalam sesi bicara buku itu.

Dia menyebut betapa dalam pensejarahan nasional, ramai tokoh berwibawa ditenggelamkan sehingga generasi muda kehilangan hero yang boleh dijadikan teladan.

Seorang waris Lans Koperal Jidin Omar - yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong turut - hadir sewaktu acara bicara buku itu. Dalam buku Mat Indera itu ada satu bab yang bertajuk Killed On Duty ada menceritakan perihal Jidin.

Anak saudara Rashid Maidin iaitu Zainal Rashidi Yusuf juga hadir. Meskipun dalam memoir pemimpin Rejimen 10 Parti Komunis Malaya itu tiada cerita tentang Bukit Kepong, tetapi dia mencatatkan konflik antara kaum selepas Perang Dunia Kedua.

Masa begitu pantas bergerak, saya dikejar beberapa komitmen lain selepas sesi bicara buku itu. Terasa rugi pula kerana tidak berkesempatan bertawaf lengkap ke reruai lain. Walhal, itulah kesempatan terbaik bertemu dengan teman dan kenalan.

Dalam kesempatan yang ada pada hari itu, saya 'celup-celup' sajalah di reruai yang termampu.

Berdasar pengamatan saya pada suasana pesta buku tersebut, ramai generasi muda yang terlibat sama ada sebagai penjual, penulis, penerbit, pembeli, pembaca dan penyokong industri buku.

Buku sebagai industri adalah untuk modal kelangsungan hidup berniaga. Faedah material tidak boleh diabaikan keperluannya sebagai manusia ekonomi.

Namun hal paling utama pada buku ialah simbol kebudayaan dan khazanah bangsa yang menjadi paksi pembangunan negara. Industri dan budaya buku wajib diperkukuhkan.

Senja di ibu kota pada hujung minggu lalu diwarnai dengan hujan lebat, lorong sesak, parkir susah dan masa yang singkat menjadikan detik-detik bicara buku hujung minggu itu bagai suatu drama.

Ditambah dengan gelagat anak-anak muda rugged dan ranggi bergambar di rak-rak buku untuk dikongsi dalam media sosial.

Ia bukan adegan dalam Ada Apa Dengan Cinta lakonan Dian Sastrowardoyo yang berbasa-basi berpuisi. Senja yang itu adalah episod kehidupan generasi muda yang dirangsang daya intelektual bagi membangun potensi masing-masing.

Ya, kita ada penyambung teras industri dan budaya buku!


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.