Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bukan budak suruhan parti politik

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOLUM | "Momed buat tak nampak. Biar dia pun tak perasan yang Momed tau dia ada," kata Si Momed. Dia bercerita mengenai tikus yang kadang-kadang masuk ke rumah.

Dengan berpura-pura tidak melihat tikus berkenaan Momed berharap untuk meyakinkan dirinya bahawa haiwan tersebut sebenarnya tidak masuk ke rumah.

Maka dengan itu terelaklah dia daripada bertanggungjawab untuk memasang perangkap.

Kami pula tidak mahu memasang apa-apa perangkap tikus kerana selain daripada makhluk perosak itu, rumah kami juga sering menjadi tempat tupai mencari makan.

Walaupun pun tupai kadang-kadang dianggap sama macam tikus, untuk membunuh tupai kami belum ada rasa sampai hati.

Untuk mengelak daripada berasa sedih, kami tidak baca berita-berita  mengenai Palestin.

Walaupun kadangkala terpandang juga sipi-sipi namun kami bertegas untuk tidak terjerumus ke dalam kesedihan yang lebih dalam apabila mengetahui cerita jahatnya puak yang gembira membunuh perempuan dan anak kecil itu.

Kami memandang apa yang berlaku di Palestin itu sebagai sebuah kejayaan partai politik menghasut pengikutnya.

Rakyat kelas kedua

Kamu boleh saja mengandaikan bahawa apa yang berlaku kini adalah tanda perang akhir zaman berlaku, namun apa yang lebih harus kamu dalami ialah bagaimana sebuah partai yang ingin terus berkuasa bertegas mahu menghapuskan sekumpulan penduduk asal hanya kerana ingin berterusan duduk di kerusi paling atas sesebuah negara.

Berulang kali kami katakana bahawa ahli politik dan partainya akan sentiasa menggunakan apa saja isu yang dekat dengan pengikutnya demi kelangsungan hidup mereka dan partai pimpinan mereka.

Partai yang berasaskan agama akan memainkan isu berkenaan agama. Apa saja yang dilihat boleh membawa pengikut mereka ke arah mereka, itulah akan digunakan.

Begitu juga partai yang diasaskan dengan bersandar pada faktor bangsa. Dijeritnya akan peri penting satu-satu bangsa sehingga mereka yang di luar dari bangsa berkenaan dianggap rakyat kelas kedua.

Gambar hiasan

Mereka yang tidak menyokong partai sedemikian pula berasakan mereka dianaktirikan oleh negara sendiri.

Melayu dengan kehebatannya membuat jong dan si Cina pula sibuk mahukan pengiktirafan lebih daripada apa yang sedia ada.

Lalu pergolakan demi pergolakan yang kita hadapi baik berkenaan hal beragama atau keagungan suatu bangsa ke atas bangsa yang lain akan selamanya kita hadapi selama kita sibuk menjadi penyokong partai politik secara membabi buta.

Agaknya, babi buta pun lebih baik akhlaknya daripada kita yang bodoh sombong ini.

Pembantai yang sedang berlaku di Palestin sana belum nampak akan segera berakhir.

Utamakan pengikut saja

Tindakan Thich Quang Duc membakar dirinya pada 1963 sebagai protes atas kekejaman Vietnam Utara terhadap penganut Buddha tidak segera menghentikan keganasan.

Selepas 60 tahun, Aaron Bushnell, pula melakukan perkara yang sama untuk membantah kebiadaban Zionis kepada negara dan penduduk Palestin.

Ia dijadikan sebagai simbol perjuangan oleh pihak yang waras, namun kematian Bushnell hanya dianggap sebagai nota kaki oleh pihak lain, dan pembunuhan di Palestin masih berterusan.

Sikap penzalim yang sengaja membunuh orang awam yang sedang menunggu bantuan adalah satu contoh bagaimana tidak ada nilainya nyawa manusia di mata mereka.

Tentera yang sudah diprogram untuk hanya tahu membenci dan membunuh itu pula tidak ada rasa bersalah melakukannya.

Semua itu adalah hasil perjuangan yang kononnya berlandaskan agama. Gentile - menurut mereka - tarafnya lebih rendah daripada binatang. Selain bebas dibunuh, kita ini juga adalah budak suruhan mereka.

Menganggap diri lebih utama berbanding orang lain akan sentiasa memungkinkan natijah ketidakadilan.

Orang politik akan mendahulukan pengikutnya sambil mengandaikan siapa saja yang tidak bersama mereka sebagai musuh.

Pengikut mereka pula sangat bersetuju dengan apa pun yang dikatakan oleh pemimpin masing-masing.

Politik hari ini adalah sejahat-jahat pemujaan.

Mawla dari Maghribi itu mungkin jelas tindakannya namun kesesatan dalam menjadi pengikut partai politik juga harus dibenteras.

Empat tahun tak lama

Sangat perlu dijelaskan kepada semua bahawa partai politik cuma sebuah perkumpulan untuk menang pilihan raya.

Setelah menang maka menjadi tugas mereka untuk memakmurkan daerah yang mereka perintah itu.

Jadikan semua penduduknya duduk dalam aman dan tidak saling mengadu domba.

Jika mereka gagal, maka nanti kita tukar kepada yang lain, dan begitulah seterusnya. Empat tahun bukan lama mana. Bersabarlah dalam menentukan siapa pemimpin kita.

Kita tidak seharusnya menjadi budak suruhan partai politik. Kita perlu menjadi lebih kuat daripada sekadar pengikut, dan buktikan kepada pemimpin partai apa sekali pun bahawa mereka itu bekerja untuk kita, bukan sebalik.

Jika tidak kita akan jadi seperti tentera yang tidak mempunyai perasaan belas dan membunuh apa saja yang lalu di depan mata hanya kerana pemimpin mereka mengatakan bahawa itu adalah perjuangan suci.

 Semoga Tuhan merahmati Palestin, dan juga kita semua.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pencinta tupai.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.