Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Khabar kecil dari parti kerdil

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Minggu lalu tiba-tiba keluar satu berita kecil yang datangnya dari sebuah parti kerdil.

Berita kecil yang dimaksudkan itu ialah pengumuman bahawa Dr Rohana Ariffin telah kembali menerajui Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan mengekalkan Ezam Mohd Nor sebagai timbalan presiden.

Lantikan beliau itu dibuat melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 2 Mac di Pelabuhan Klang. Bagaimanapun pengesahan dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) perlu diperoleh untuk EGM dan lantikan Rohana itu. 

Sebelum itu, pemimpin PRM melantik naib presidennya, Ahmad Jufliz Faizal menjadi presiden menggantikan Ariffin Salimin yang meninggal dunia pada Disember 2023.

Lantikan itu dibuat sedangkan timbalan presiden adalah Ezam Mohd Nor. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas di kalangan sebahagian ahlinya dan mendorong mereka mengadakan EGM ini untuk membatalkan pelantikan itu. 

Rohana Ariffin

Laporan ini adalah suatu berita kecil kerana PRM adalah parti politik kerdil walaupun ia mempunyai sejarah panjang tetapi yang tidak cemerlang. 

Pun begitu, parti-parti kecil mempunyai peranan tersendiri dalam amalan sistem demokrasi. Ia menampung suara sebahagian rakyat walaupun bilangannya kecil. Parti kecil merupakan bintang-bintang kecil dalam cakrawala politik yang didominasi oleh matahari, planet dan bulan.

Matahari adalah parti-parti besar yang mampu menguasai pemerintahan negara, sementara planet dan bulan adalah pelengkap gabungan. Ada masa bintang politik boleh menjadi besar, malah menjadi matahari sementara kebanyakannya hilang ditelan kegelapan angkasa.

PRM adalah salah sebuah parti yang sukar untuk hilang ditelan kegelapan nasibnya. 

Negara ini mempunyai banyak partai kecil dalam sepanjang sejarahnya. Dari Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar hinggalah kepada Parti Pejuang Tanah Air yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad, parti kecil tetap memberikan kemeriahan kepada politik negara. 

Minggu lalu juga setelah lama tidak kedengaran selepas pilihan raya umum, Berjasa melalui presidennya, Zamani Ibrahim mengeluarkan kenyataan-kenyataan mempersoalkan polisi-polisi kerajaan.

Berjasa atau nama penuhnya Barisan Jamaah Se-Malaysia pernah bersama Pejuang dalam Gabungan Tanah Air untuk menyertai PRU tahun 2022 dan mengalami kalah teruk. Pada tahun berikutnya, kedua-duanya memohon masuk Perikatan Nasional yang didominasi oleh PAS dan Bersatu.

Kemasukan Ezam

Turut kalah teruk pada PRU tahun lalu ialah PRM. Usahanya untuk memberi sedikit kesan kepada prestasinya ialah menerima masuk Ezam Mohd Noor bukan saja sebagai calonnya tetapi menjadi timbalan presiden. 

Tentulah banyak ahlinya yang sukar menerima Ezam kerana latar belakangnya tidak selaras dengan latar sejarah parti itu, yang kekirian atau disebut sebagai progresif. 

Ezam mula menyertai politik sebagai aktivis muda Umno yang menjadi penyokong Anwar Ibrahim pada tahun 1990-an. Apabila Anwar dipecat, Ezam adalah antara aktivis Umno yang kuat membela Anwar seperti mana Azmin Ali dan Ruslan Kassim. 

Ekoran itu,  Ezam menjadi ahli politik Parti Keadilan Nasional. Namun begitu, bebetapa tahun kemudian beliau kembali pada Umno. Keadaan itu tidak kekal lama. 

Akhirnya beliau keluar sekali lagi daripada Umno walaupun lebih banyak masa beliau lebih gemar menjadi aktivis bebas dengan memiliki NGO sendiri tetapi ada satu masa beliau menyertai Berjasa dengan memikirkan ia adalah platform yang sesuai. 

Ezam Mohd Noor

Tetapi rupa-rupanya ia tidak juga menjadi.

Dari sudut imaginasi “jikalau” atau what if, andai kata Ezam dan Azmin kekal dalam PKR,  sekarang ini mereka jadi menteri dalam kabinet Anwar. Banyak orang tentu tertanya-tanya sebab sebenar mengapakah keduanya meninggalkan Anwar dan PKR. 

Pada tahun lalu Ezam menyertai PRM dengan para pemimpinnya mengalu-alukannya hinggakan beliau dilantik sebagai timbalan presiden. Pada masa itu presidennya ialah Ariffin Salimon.

Tetapi ada sebahagian ahlinya tidak dapat menerimanya termasuklah Rohana yang ketika itu adalah ahli jawatankuasa pusat.

Pada awal gerakan Reformasi tentulah Ezam sebagai antara pemimpin Keadilan yang biasa bekerjasama dengan parti-parti anggota Barisan Alternatif ketika itu, iaitu PAS, DAP dan PRM. Pada masa itu Keadilan adalah sebuah parti kerdil, begitu juga PRM.

Tetapi PRM adalah parti tua yang mana pemimpin dan ahlinya sudah berganti generasi selama lebih tujuh dekad. Bukan itu saja, ia juga berubah dari segi ideologi dan strategi politik.

Parti Rakyat Malaya  bermula sebagai parti nasionalis kiri yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam pada tahun 1955. Nasionalisme kiri bermaksud fahaman nasionalisme yang disertakan dengan ideologi sosialis. 

Pengaruh Marhaenisme dari Indonesia

Setiap rantau dunia mempunyai versi nasionalisme kiri masing-masing umpamanya di Mesir, Syria dan India. Tetapi di Malaya, nasionalisme kirinya terpengaruh dengan gagasan Marhaenisme yang diasaskan oleh Sukarno, pejuang kemerdekaan Indonesia. 

Marhaenisme adalah sosialisme yang diwarnai oleh keadaan petani dan bukannya buruh seperti di negara-negara perindustrian. Turut berfahaman sama dengan PRM ialah Parti Rakyat Singapura dan Parti Rakyat Brunei. 

Seladang hutan yang dipanggil banteng adalah lambang golongan marhaen dan dijadikan logo PRM.

Boestamam juga menjadikan partinya itu sebagai lanjutan kepada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 yang terbubar pada tahun 1948 ekoran banyaknya pemimpin dan aktivitinya ditangkap apabila berlaku Darurat. 

PKMM pula dianggap sebagai lanjutan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang bergerak bawah tanah sebelum Perang Dunia Kedua. Ia memperjuangkan kemerdekaan ketika kebanyakan orang Melayu tidak termimpi hendak merdeka.

Dalam PRU tahun 1959, PRM bergabung dengan Parti Buruh Malaya dan Parti Konvensyen Kebangsaan (NCP) dalam Socialist Front atau Barisan Sosialis dengan Boestamam memenangi kawasan Setapak. 

Kini ia dipecahkan menjadi Batu, Kepong dan sebahagian daripada Titiwangsa. Masa itu istilah “barisan” belum digunakan dalam bahasa Melayu. Jadi istilah yang digunakan ialah Front Sosialis bagi nama pakatan itu.

Front Sosialis mengalami krisis mengenai soal bahasa kebangsaan. Gabungan itu dibubarkan. Selepas PRU 1964, Parti Buruh pula mengalami krisis. Banyak pemimpin dan ahlinya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)dan parti itu terbubar. 

Maka sebahagian ahlinya menyertai Gerakan, DAP dan PRM. Parti Konvensyen juga dibubarkan dengan ada ahlinya yang menyertai PRM.

Tetapi menjelang PRU 1969, PRM sendiri mengalami krisis ideologi dan kepemimpinan. Kassim Ahmad yang berpegang pada fahaman sosialisme saintifik dan mencabar kepimpinan Boestamam. 

Sosialisme saintifik adalah fahaman yang dirumus menurut kaedah sains sosial, dalam erti kata lain, ia adalah satu tafsiran Marxisme. Dalam pemilihan parti, Kassim mengalahkan Boestamam. 

Beliau tidak dapat menerima petubahan ideologi ini lalu keluar parti bersama pengikut-pengikutnya untuk menubuhkan Parti Marhaen. Namun beliau kembali ke PRM di hujung hayatnya ketika anaknya, Rustam A Sani menjadi timbalan presiden.

Kassim Ahmad masukkan sosialisme saintifik 

Kassim memasukkan sosialisme saintifik ke dalam perlembagaan dan ditukar nama parti kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) sekali gus menjadi pewaris Front Sosialis yang nama penuhnya ialah Front Sosialis Rakyat Malaya. 

Ketika saya mewawancara Kassim pada tahun 1983, beliau sudah mula cenderung terhadap Islam. Akhirnya beliau meninggalkan PSRM dan menyertai Umno kerana menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Dato Kampu Radjo menggantikan Kassim. Beliau adalah bekas aktivis Umno dan mengikuti bekas menteri pertanian, Aziz Ishak untuk menubuhkan Parti Konvensyen. Apabila parti itu bubar, beliau menyertai PSRM.

Selepas beliau meninggal dunia. Dr Husin Ali pula memimpin PSRM. Bawah kepimpinan beliau PSRM turut serta pakatan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) pimpinan PAS menjelang PRU 1986. Turut serta pakatan itu ialah Parti Demokratik Sepakat (SDP), parti pecahan DAP dan parti Nasionalis Malaysia (Nasma) yang dianggotai bekas ahli Umno.

Pada tahun 1989, ekoran kejatuhan Soviet Union dan merosotnya populariti sosialisme. PSRM menggugurkan ideologi itu daripada perlembagaannya dan kembali sebagai PRM saja. Salah seorang aktivisnya, Dr Nasir Hashim nembantah. Beliau keluar parti dan menubuhkan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Semasa PRU 1990, PRM berpakat dengan Semangat 46, DAP, Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Gagasan Rakyat yang dalam gabungan besar turut berpakat dengan Angkatan Perpaduan Ummah yang dianggotai oleh PAS, Berjasa, Hamim dan Kimma. 

Apabila berlaku gerakan Reformasi, ada cadangan supaya Anwar dan penyokong-penyokongnya menggunakan PRM sebagai platform untuk bergerak. Namun mereka berjaya juga menubuhkan parti sendiri iaitu Keadilan. Maka PRM bersama Keadilan, PAS dan DAP berpakat dalam Barisan Alternatif untuk PRU 1999.

Keadilan dan PRM kemudian bergabung untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat dengan Dr Syed Hudin Ali menjadi timbalan presiden dan Rustam A Sani sebagai ketua penerangan. Tetapi beberapa tahun kemudian, sekumpulan bekas ahli PRM dalam PKR yang diketuai Hassan Karim keluar parti dan berusaha menghidupkan semula PRM.

Hassan mengetuai PRM yang dihidupkan semula apabila cadangannya supaya PRM menyertai Pakatan Rakyat ditolak, beliau keluar PRM dan menyertai semula PKR. Maka kepimpinan PRM jatuh pada Dr Rohana Ariffin.

Namun begitu, pada tahun 2015, Rohana meletak jawatan sebagai presiden dan digantikan dengan Ariffin Salimin diikuti dengan Hashim Sharludin. Menjelang PRU 2018, seorang bekas ahli politik DAP, Janice Lee menyertai PRM dan dilantik sebagai timbalan presiden. Suatu penjenamaan semula berlaku dengan logo PRM dijadikan maskot mesra untuk kawasan beliau bertanding.

Gambar pemimpin lama diturunkan

Saya diberitahu bahawa di pejabat PRM, gambar-gambar pemimpin lama telah diturunkan. PRM hendak dijadikan sebagai parti biasa dan tidak ada kaitan dengan sebarang ideologi yang lepas.

Ada satu ketika seorang aktivis muda baharu PRM yang mengadakan majlis perbincangan awam mengenai sosialisme dan Islam, beliau ditegur dan diingatkan bahawa PRM bukan parti sosialis.  

“Kalau hendak parti sosialis, masuk PSM,” kata pemimpin yang menegurnya. 

Pada tahun lalu, di majlis perbincangan awam di Toko Buku Rajyat, Rohana menggambarkan bahawa beliau mahu mengembalikan PRM sebagai sebuah parti berhaluan kiri. 

Namun dalam mesyuarat agung tahun lalu itu, ahli-ahli  memilih barisan kepimpinan yang mahu mengekalkan PRM sebagai parti biasa. Apa yang sudah berlalu hanyalah sejarah dan sosialisme sudah tidak relevan. 

Maka PRM berpecah kepada dua kumpulan. Parti kecil bertambah kecil. Buat masa ini Rohana dapat menerajui PRM melalui EGM yang belum disahkan itu. Tetapi walaupun kecil, PRM terus hidup. 

Sosialisme juga berubah mengikut keadaan. Ia kini hanya dikenali sebagai fahaman kiri kerana istilah sosialisme sudah buruk dan ditakuti oleh orang ramai. Namun, pertimbangan akhirnya ialah pada kehendak generasi baharu kerana ini adalah dunia mereka.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.