Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Hamas tidak dapat dikalahkan

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Perang Palestin melawan Zionis Israel di Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023 telah melintasi hari ke-150. Projek dan niat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk memusnahkan Hamas gagal meleset.

Jumlah angka kematian dari laporan Jabatan Kesihatan Palestin pada 5 Mac telah melintasi 30,631 orang. Yang cedera 72,043 orang. Ini jumlah  mayat yang telah ditemui. Masih ada mayat hilang  yang terkambus dalam runtuhan bangunan.

Yang gugur dan tewas majoriti adalah kanak-kanak, wanita dan warga emas termasuk orang sakit.

Dalam kancah perang gerila yang susah untuk dibunuh ialah gerila. Ini kerana gerila paling berwaspada terhadap senjata dan bom musuh.

Isnin 26 Februari 2024, yang dihebohkan oleh Presiden Biden, kononnya akan berlaku gencatan senjata. Berlalu satu minggu, satu kepala kucing pun tidak kelihatan. Amin.

Heboh-heboh tentang gencatan senjata, hanya heboh. Wakil Hamas dari Qatar sudah sampai ke Kaherah. Tuan Rumah ialah Mesir. Wakil Israel tidak muncul.

Biden yang akan berhadapan dengan Trump untuk pemilihan Presiden Amerika November ini kelihatan gelabah. Biden mahu gencatan senjata berlaku. Ini molek untuk imej, optik  dan propaganda pemilihan presiden.

Timbalan Presiden Kamala Harris melakukan satu perkara yang belum pernah terjadi di Amerika: mengkritik keras Israel.

Israel dikritik kerana melarang bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza yang menjemput kebuluran. Kamala Harris juga mahu gencatan senjata serta merta dilakukan.

Apa sudah  terjadi. Kenapa pentadbiran Biden mula berani menyelar dan mengkritik Zionis Israel.

Semenjak subuh Sabtu 7 Oktober 2023 – politik dunia telah berubah. Pandangan warga dunia terhadap negara  yang dipanggil Israel telah berubah.

Akhbar The Guardian dari London pada 24 Januari telah melaporkan 1 dari 3 warga Amerika menganggap Israel sedang melakukan genosid ke atas warga  Palestin.

Pada 16 Disember 2023 akhbar New York Post melaporkan majoriti anak muda Amerika yang berumur 18 ke 29 tahun mahu Israel dihapuskan. Ini berdasarkan pungutan suara dari The Economist/YouGov.

Maklumat dari TikTok 

Kenapa ini berlaku? Jawabnya amat mudah. Generasi muda mendapat maklumat terkini dari media sosial seperti TikTok – pantas dan tuntas. Manakala generasi sebelum ini mendapat maklumat dari buku dan media jenis lama.

Justeru pada 8 November 2023  akhbar The New York Times melaporkan seorang Senator Josh Hawley dari Missouri mahu Amerika mengharamkan TikTok yang dianggap anti-Israel.

Media sosial telah membawa perubahan politik terhadap Israel. Perubahan ini berlaku dengan amat jelas. Bila Gaza dibom, bila hospital dibom, bila sekolah dibom, bila masjid dan gereja dibom – semua ini membantu berubahnya pandangan dunia terhadap Israel.

Gambar, imej dan babak-babak  yang berlaku di Gaza sampai dengan serta-merta ke telefon bimbit. Maklumat segar tanpa disunting di hadapan mata. Imej dan  gambar di Tiktok mempengaruhi hati dan naluri  sesiapa yang menuntun.

Hanya yang tidak berhati perut saja yang tidak terganggu jiwa bila melihat anak-anak menghulur mangkuk meminta makanan. Hanya yang berhati Zionis saja tidak melelehkan air mata  melihat ibu mencium anak yang cedera berdarah.

Media sosial sedang mengubah dunia. Kata-kata kasar lucah dan rasis dari Menteri Dalam Negeri Israel Itamar Ben-Gvir dalam Hebrew kini diterjemahkan oleh Lebai Google dengan tuntas.

Media sosial menelanjangi Zionis Israel. Bulu ari dan kurap Israel semua sedang dilihat dunia. Amin.

Apa yang berlaku di Gaza kini diakui dunia sebagai genosid – pembunuhan beramai-ramai. Kita tidak perlu menunggu keputusan Mahkamah Antarabangsa dari Belanda untuk menerima hakikat bahawa Zionis Israel adalah penjenayah yang berniat untuk menghapuskan warga Palestin di Gaza.

Sejarah merakam bagaimana kaum Yahudi telah dibunuh beramai-ramai dalam Perang Dunia Kedua oleh Nazi-Hitler. Genosid Hitler ini dikenali dengan nama Holocaust. Ini berlaku lebih dari 70 tahun dahulu.

Kini mangsa Holocaust sedang menjalankan program Holocaust. Ini seperti kata intelektual Palestin Edward Said:

“You cannot continue to victimize someone else just because you yourself were a victim once—there has to be a limit.”

(Bani Yahudi  tidak boleh terus menjadikan  orang lain mangsa  hanya kerana Bani Yahudi  sendiri pernah menjadi mangsa —perlu ada hadnya.)

Jaja Holocaust 

Holocaust ini dijaja dan dijadikan umpan untuk mengugut warga Eropah untuk merasa bersalah atas pembunuhan enam juta Bani Yahudi oleh Nazi-Hitler.

Apa yang berlaku sekarang Holocaust sebagai umpan telah tidak lagi mujarab untuk  ditelan oleh generasi muda. Generasi TikTok tidak ambil pot tentang apa yang berlaku lebih dari 70 tahun dahulu. Apa yang mereka lihat ialah kehancuran dan kemusnahan Gaza.

Apa yang ditulis ini bukan propaganda anti-Israel.

Majalah The Economist  melaporkan pungutan suara dari 1,500 warga Amerika, hampir setengah yang berumur 18-29 tahun tidak lagi terpengaruh dengan naratif Holocaust.  

Satu lagi perkara yang sedang berlaku ialah kempen boikot NGO BDS – Boycott Disvestment and Sanctions (Boikot, Pencairan dan Sekatan).

BDS ialah gerakan tanpa kekerasan yang dipimpin Palestin yang mempromosikan boikot, pelupusan dan sekatan ekonomi terhadap Israel.

Kempen global ini amat berjaya. Malah syarikat popular seperti McDonald's dan Starbucks  kehilangan berjuta-juta dolar hasil dari kempen BDS.

Malah kita lihat sendiri bagaimana McDonald's Malaysia gelabah dan mengumumkan bahawa syarikat ini milik orang Islam. Kah, kah, kah. Untuk membuktikan Keislaman McDonald's,   jaringan BDS di Malaysia telah disaman.

Anak semua bangsa di Malaysia memboikot McDonald's kerana mereka terlihat gambar makanan segera ini dihantar berkotak-kotak untuk habuan soldadu Israel yang sedang membunuh warga Gaza.

Ini peranan media sosial.

Paling terkini ialah tuan pemilik Starbucks, yang telah diboikot oleh pengguna Melayu-Islam, menerangkan bahawa pekerja syarikat ini terdiri dari anak muda Melayu-Islam.

Sama ada  kenyataan tuan empunya Starbucks ini  menjadi viagra untuk menaikkan kembali nafsu pengguna Melayu-Islam belum lagi ada kepastian.

Apa yang pasti selagi Gaza dibedil , selagi Palestin dijajah, selagi itu jaringan BDS global dan BDS Malaysia akan terus menjalankan kempen boikot.

Percubaan Zionis Israel untuk memusnahkan Hamas telah membuka pentas perang yang baru. Kali ini Houthi dari Yaman telah  menyusun strategi untuk menjadikan Laut Merah medan tempur.

Serangan soldadu berselipar

Bayangkan negara termiskin dalam dunia ini telah menggunakan drone untuk menembak kapal-kapal yang ada hubungan dengan Israel.

Bayangkan soldadu Yaman yang hanya berselipar ini telah berjaya memusnahkan beberapa buah kapal musuh di Laut Merah. Langkah Yaman ini telah menjemput serangan balas dari Amerika dan Inggeris.

Kesan serangan dari Houthi ini bukan berapa buah kapal Amerika tenggelam. Ada dampak yang lebih mendalam. Ini serangan ekonomi ke atas Israel.

Laluan Laut Merah ini amat penting untuk menghubung  Eropah dengan Asia. Di tengah perjalanan ada pelabuhan Eilat milik Israel.

Pada 21 Disember 2023 agensi berita Reuters telah melaporkan 85% aktiviti perkapalan di pelabuhan ini terhapus. Semenjak Yaman  menembak kapal menggunakan peluru berpandu pelabuhan Eilat jadi lengang.

Semenjak serangan Yaman di Laut Merah bermula Israel telah kehilangan tiga bilion dolar pendapatan dari pelabuhan Eilat. Ini  6 peratus dari GDP negara. Dalam masa 10 tahun perang ini akan merugikan Israel sebanyak 400 bilion dolar.  

Zionis tidak berdiam diri.

Lembaga dan NGO pro-Israel semakin ganas menjalankan kempen untuk mempertahankan Israel. Kempen Zionis ini memperlihatkan bagaimana  siswa di kampus-kampus di Amerika dikawal dari menjalankan gerakan yang dilihat bersimpati dengan Palestin.

Presiden Universiti Havard Claudine Gay meletak jawatan. Dia dikatakan melakukan plagiat. Tapi sebab sebenarnya ialah tekanan dari kumpulan pro-Zionis kerana Claudine  membenarkan kebebasan bersuara dalam kampus. Pelajar di Havard bebas menyatakan pandangan mereka terhadap isu Palestin.

Apa yang berlaku di Havard menjadikan lebih ramai warga benci dan menyampah melihat kerja dan kelakuan pelobi Zionis ini.

Perang dan serangan diteruskan. Ramadan akan sampai. Pengeboman diteruskan. Gencatan senjata hanya cakap-cakap.

Setiap hari angka kematian bertambah, kebuluran merebak, kanak-kanak  makin ramai mati. Yang selamat terencat akal kerana kurang zat makanan.

Perang bukan main konda kondi. Perang membunuh. Jika tidak membunuh kita akan dibunuh.  Justeru perang juga membawa krisis mental. Bukan saja untuk warga Gaza tapi masalah mental juga sedang dihadapi oleh soldadu Israel.

Jika kuasa Amerika runtuh…

Agensi berita Anadolu pada 28 Februari 2024 melaporkan lebih dari 30 ribu soldadu sedang menghadapi masalah mental. Anak-anak muda – bujang dan dara sunti - yang  dikenakan  khidmat negara dipaksa masuk ke kancah perang. Ini menimbulkan sindrom sakit otak pascaperang makin meluas. Amin.

Projek hapuskan Hamas ini jelas telah gagal. Hamas masih  berupaya menyusun dan mengatur serangan balas. Malah projek Netanyahu ini telah mengubah pandangan dunia terhadap Zionis Israel.

Optik dan pandangan dunia semakin menyebelahi kebenaran dan keadilan. Warga dunia makin sedar apa itu Zionis Israel.

Optik dan pandangan dunia ini juga memperlihatkan bagaimana warga dunia melihat Amerika dan Eropah. Kuasa imperialis Amerika penyokong kuat Israel juga dalam krisis. Amerika sedang berhadapan dengan krisis ekonomi, politik dan sosial yang maha hebat.

Apa akan jadi jika kuasa Amerika runtuh? Apakah Israel dapat diselamatkan ? Sila tunggu minggu hadapan. Amin. 


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.