Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Sebuah rumah di Kg Perdamaian

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOLUM | Ini bukan sangat cerita tentang rumah tetapi kisah di sebalik rumah yang terletak di Yala, Thailand.

Ia adalah rumah kayu yang kebetulan pintu dan tingkap rumahnya ditutup. Kami hanya berdiri di luar. Di sekeliling rumah itu ada pelbagai tumbuhan dan tanaman liar menghijau.

Di belakang, ada tanah bukit yang ditanam pokok getah.

Pemilik rumah itu pernah tinggal di kampung kami - di Parit 18 B Sungai Lampam. Kampung kami itu menjadi tempat tinggalnya selepas lombong-lombong di Tronoh, Perak ditutup kerana perang.

Ketika saya menjejaki rumahnya di kampung kami, tiada apa-apa kesan yang tinggal.

Di Sungai Lampam, dia menjadi tukang gunting rambut bagi menyara kehidupan. Di rumahnya itulah dia kemudian ditangkap penjajah Inggeris di bawah Akta Darurat 1948.

Peristiwa penangkapan tersebut disaksikan oleh orang kampung yang turut keluar beramai-ramai.

Dia di lokap di Balai Polis Telok Anson sebelum dipindahkan ke Penjara Taiping dan kemudian di Melaka.

Dia melepaskan diri dari Pusat Tahanan Tanjung Beruas, Melaka pada 1950 dengan pertolongan penduduk tempatan. Dari situ, Rashid Maidin memulakan hidup sebagai gerila.

Keluar dari hutan

Dia menjadi orang yang dikehendaki oleh penjajah dan diburu berpuluh-puluh tahun. Bahkan dia menjadi pelarian di tanah airnya sendiri.

Kembali muncul di khalayak umum dalam rundingan Baling yang gagal pada 1955.

Dalam rakaman jurugambar, dia berdiri segak di sebelah Chin Peng.

Pada 1989 di Hatyai, perjanjian damai termeteri dan dirakamkan gambarnya yang segak bertali leher dan berkot di sebelah Chin Peng.

Itulah sosok yang dikehendaki oleh pihak keselamatan Inggeris dan Malaysia.

Rumah asal Rashid di Yala

Rundingan perdamaian pada kali itu menemui titik persetujuan bersama dan mereka mematrikan janji.

Kemudian Rashid bersama pengikutnya keluar dari hutan untuk memulakan episod baru dalam kehidupan.

Selama lebih 40 tahun hidup sebagai buruan dan terlibat dalam perang gerila akhirnya damai yang diimpikan datang dengan selepas ribuan kepayahan dan pengorbanan dilakukan.

Setelah melalui proses dokumentasi dan birokrasi pentadbiran pelbagai pihak, akhirnya mereka keluar dari hutan.

Mereka juga diberikan beberapa kemudahan asas untuk memulakan hidup baru. Antaranya tanah, rumah dan sedikit wang sebagai permulaan.

Pagi itu, saya ke Kampung Chulabhorn Patana 11, Patani. Jaraknya lebih kurang satu jam perjalanan menaiki kereta dari Yala. Kampung itu adalah petempatan khas yang disediakan oleh Thailand kepada bekas-bekas gerila komunis selepas perjanjian damai dibuat.

Sering jadi tumpuan tetamu

Kunjungan itu adalah misi mencari kejernihan dan pencerahan dalam sejarah yang kelam dan terpendam.

Kedatangan kami disambut oleh abang Adam, penghulu kampung tersebut. Kami dijamu makan tengah hari di salah sebuah rumah bekas anggota gerila Rejimen 10. Kemudian kami ke rumah Rashid yang tidak jauh dari situ.

Rumah di tepi bukit ini hanya sempat didiami oleh pemiliknya lebih kurang 15 tahun dia meninggal dunia pada 2006. Rumah itu pada asasnya sama dengan rumah-rumah lain di perkampungan yang mempunyai 60 buah rumah.

Para penduduknya bergotong-royong membina rumah mereka sehingga semua memiliki sebuah rumah untuk memulakan hidup baru.

Kerajaan Thailand menyediakan bahan seperti kayu, bata-bata dan simen. Kemudian sedikit demi sedikit diluaskan untuk memudahkan dia menerima tetamu.

Kini rumah Rashid dijaga oleh orang yang diberikan tanggungjawab menguruskan tanahnya seluas lima ekar yang ditanam getah, buah-buahan dan pelbagai jenis tanaman kampung.

Semasa dia masih sihat, rumah itu tidak pernah sunyi. Setiap hujung minggu ada saja rombongan datang sama ada dengan kereta atau bas.

Mereka datang bersilaturahim dan menyambung bicara tertangguh dan membuat penyelidikan kepada sejarah yang tenggelam.

Setelah kesihatan Rashid tidak mengizinkan, dia tinggal bersama anaknya yang dibesarkan oleh keluarga angkat di Narathiwat.

Anak itu adalah hasil perkongsian hidup Rashid dengan salah seorang anggota gerila.  Di rumah anaknya itulah Rashid menghembus nafas terakhir.

Pernah hilang tanpa berita

Berada di situ setidak-tidak dapat menyelami lagi apa yang tersirat dalam naskhah Keluarga Gerilya dari tangan Pramoedya, Sandera Arena Wati, Tulang-Tulang Berserakan Usman Awang dan lain-lain lagi.

Di kampung itu, ada sebuah surau yang dibina secara gotong-royong oleh bekas anggota gerila.  Surau yang boleh memuatkan kira-kira 60 jemaah diimarahkan oleh mereka yang dikatakan menganut fahaman komunis.

Bagaimana komunis juga bersolat? Sedang sewaktu saya solat bersama, kiblat, takbir, rukuk dan sujud sama seperti yang kita lakukan.

Banyak kontradiksi yang ditemukan di situ berbanding apa yang ditanam dalam fikrah kita selama ini.

Satu lagi kontradiksi ialah soal perkahwinan. Jika ada pasangan yang berlainan agama dan salah seorangnya Islam, maka yang bukan Islam kena masuk Islam sebelum berkahwin.

Apa keperluan agama jika tidak percaya kepada agama? Benarkah mereka memusnahkan agama mereka sendiri?

Empat puluh tahun lalu Rashid terpaksa tinggalkan isteri, anak dan keluarganya di kampung. Dia hilang tanpa berita ketika dia terus menjadi buruan.

Ikrar setia kepada raja

Dia sempat memberikan anaknya nama Sudirman. Ia nama yang diambil bersempena nama jeneral rakyat Indonesia sewaktu mengetuai revolusi menentang Belanda.

Dalam meneruskan kehidupannya, Rashid berkahwin dengan wanita Cina yang menjadi salah seorang anggota gerila. Wanita itu memeluk Islam sebelum bernikah.

Perkahwinan keduanya dengan Selamah itu dikurniakan seorang anak perempuan bernama Kamariah.

Seperti anggota gerila yang lain, anak itu juga dipelihara oleh penduduk tempatan yang bersimpati dengan perjuangan mereka.  

Hanya selepas perdamaian, mereka bebas bertemu sebagai ahli keluarga tetapi hakikatnya mereka sudah kehilangan hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang hakiki.

Dalam memoir beberapa bekas gerila itu, mereka menyatakan bahawa itu semua adalah demi perjuangan.

Satu langkah yang sememangnya sukar dimengertikan jika hanya bergantung sumber sebelah pihak sahaja.

Dalam terma perdamaian itu, mereka menerima perlembagaan negara serta memberikan kesetiaan kepada raja dan pemerintah. Ada yang menyebut semua itu taktik komunis untuk mengaburi mata.

Kepimpinan utama mereka juga mengerjakan haji atas pembiayaan pihak Malaysia, selain diberikan kesempatan menjadi tetamu serta menghadap Sultan Azlan Shah.

Banyak persoalan timbul dalam perjalanan itu. Siapa yang ingin menjawabnya?

Betapa antara kita menjadi bahan pelecehan, tohmahan dan fitnah yang saling memusnahkan potensi bangsa yang bermaruah dan maju.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.