Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Mencari budaya pendidikan terbaik

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

KOLUM | Minggu ini bermulalah sesi persekolahan 2024/25. Kira-kira 20 tahun lalu saya diberitahu bahawa di Finland tidak ada sekolah berasrama penuh, sekolah premier atau sekolah elit.

Semua orang - sama ada yang berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah - menghantar anak ke sekolah paling hampir dengan kediaman masing-masing.

Pelajar-pelajar cemerlang dan sederhana turut pergi ke sekolah yang sama.

Ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan keadaan sekolah anak mereka akan menyuarakan pendapat melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Segala persoalan akademik turut dibincangkan untuk kebaikan anak-anak mereka.

PIBG menjadi penggerak kepada kemajuan sekolah di tempat masing-masing. Mereka bekerjasama dengan lembaga pengarah sekolah yang mempunyai pengaruh lebih besar daripada kementerian.

Bukan itu saja, ibu bapa yang berpendapatan tinggi akan menyalurkan sumbangan dana untuk memperbaiki keadaan infrastruktur sekolah anak mereka. Maka semua golongan di sesuatu kawasan tempat tinggal akan memperoleh manfaat daripada kehadiran keluarga yang berpendapatan tinggi itu.

Anak-anak juga memperoleh pendidikan seimbang - bukan saja di sekolah bahkan daripada keluarga kerana mereka tidak diasingkan untuk tinggal di asrama.

Satu lagi makluman yang saya terima ialah, di Finland guru-guru tidak memberi kerja rumah kepada pelajar. Semua pembelajaran akademik dilakukan dan diselesaikan di sekolah.

Sekolah jadi produk pelancongan

Pelajar pulang tanpa dibebankan dengan kerja sekolah. Mereka menikmati masa berkualiti dengan keluarga sama ada pada hujung minggu atau hari cuti.

Seperkara lagi yang menarik ialah, tidak ada amalan tusyen dan kelas tambahan di negara itu. Maknanya segala keperluan bagi pencapaian akademik diperoleh melalui sekolah sedia ada.

Saya tidak pasti sama ada maklumat itu benar atau tidak. Tetapi sistem pendidikan Finland sememangnya terkenal unggul di seluruh dunia dengan pencapaian cemerlangnya terutama dalam bidang sains, teknologi dan matematik (STEM).

Mereka mendahului AS, United Kingdom, malah Jepun.

Berbondong-bondong ahli pendidikan dari luar datang ke Finland untuk melihat sendiri sekolah-sekolah di sana.

Saya percaya kementerian pendidikan di negara itu sibuk melayan pelancong-pelancong pendidikan terbabit. Maka sekolah-sekolah nenjadi salah satu produk pelancongan bagi mereka yang meminati bidang pendidikan.

Ramai juga ahli pendidikan dari Malaysia yang turut melawat sekolah-sekolah di Finland.

Saya percaya sekarang tidak sukar untuk mengetahui keadaan pendidikan di Finland. Terdapat banyak maklumat mengenainya di Internet.

Buku-buku mengenai pendidikan Finland dalam bahasa Inggeris juga sudah banyak diterbitkan. Malah ada juga dalam bahasa Melayu yang ditulis seseorang yang pernah pergi ke sana dan meninjau sistem pendidikan mereka.

Kira-kira 10 tahun lalu ada saya dengar di radio, salah seorang daripada mereka diwawancara setelah pulang dari Finland. Sambil menceritakan aspek-aspek bagus dalam pendidikan di negara itu, dia mengakhiri wawancara tersebut dengan menyatakan, tidak semua yang dilakukan di sana sesuai untuk negara ini.

Setiap negara mempunyai realiti masyarakat yang berbeza dan masing-masing menuntut sistem pendidikan yang sesuai.

Saya tidaklah berhasrat untuk mengkaji sistem pendidikan Finland dan kemudian memperjuangkan cara mereka untuk dilaksanakan di Malaysia. Hal itu kerana saya bukan pakar pendidikan.

Lebuh raya tak jadi sesak

Tetapi saya dapat bayangkan bagaimanana sistem pendidikan Finland beroperasi jika benar-benar mereka tidak mempunyai sekolah berasrama penuh, sekolah premier atau sekolah elit.

Di setiap kampung atau pekan, pasti ada tadika atau institusi prasekolah, sekolah dan sekolah nenengah rendah.

Mungkin sekolah menengah tinggi, institusi prauniversiti, kolej teknikal dan vokasional serta kolej komuniti hanya ada di tenpat-tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Begitu pula universiti, mungkin terletak hanya di bandar-bandar.

Tetapi isunya ialah setiap orang menghantar anak ke tadika dan sekolah paling hanpir dengan rumah masing-masing. Kecuali mungkin bagi mereka yang memerlukan pendidikan istimewa seperti golongan OKU.

Maka para pelajar - tidak kira latar belakang mereka - membesar bukan saja dalam kalangan keluarga sendiri bahkan di tengah masyarakat setempat.

Mereka dapat melihat realiti masyarakat dan tidak terpencil dengan membesar di asrama-asrama. Lebuh raya juga tidak bertambah sesak apabila ibu bapa perlu menghantar anak masing-masing ke asrama yang mungkin merentas negeri setiap kali habis cuti sekolah.

Bukan saja sekolah, pelajar-pelajar juga pergi ke kolej dan universiti paling hampir dengan rumah masing-masing, kecuali jika tidak ada kursus yang sesuai untuk mereka.

Universiti yang sering dinamakan menurut tempat ia didirikan itu juga memperoleh manfaat daripada sokongan serta bantuan pihak yang berpendapatan tinggi di sesebuah kawasan.

Sumbangan itu bukan saja untuk dimanfaatkan oleh anak dan cucu masing-masing tetapi lahir daripada rasa kecintaan mereka mereka terhadap bandar dan daerah kediaman masing-masing.

Hal itu kerana universiti tempatan menjadi mercu tanda sesebuah bandar.

Saya pernah pergi melawat ke sekolah Finland dengan menaiki kereta api lama dulu, iaitu pada 1985 semasa membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke situ.

Ketika itu Finland belum lagi terkenal dengan kecemerlangan sistem pendidikannya.

Tetapi Finland sebagai negara Nordic seperti negara lain di rantau Scandinavia yang terdiri daripada Norway, Sweden, Denmark dan Iceland - memang sudah terkenal sebagai negara maju, berpendapatan tinggi dan berkebajikan sejak selepas Perang Dunia Kedua.

Pentingkan kebersihan, disiplin

Gagasan negara kebajikan (welfare state) diperkenalkan oleh parti-parti sosialis demokratik yang memerintah di situ adalah bersejarah dan sudah terkenal di seluruh dunia.

Pada awal 1980-an, Mahathir amat prihatin dengan keadaan pendidikan di negara ini dan berazam untuk merombaknya secara besar-besaran.

Dia melawat sekolah secara mengejut untuk mengetahui keadaan sebenar.

Saya pernah membuat liputan lawatan mengejut Mahathir di dua buah sekolah, masing-masing di Pudu dan Setapak, Kuala Lumpur. Guru besar dan pengetua sekolah berkenaan terkejut melihat beberapa pemberita muncul di sekolah mereka.

Tidak lama kemudian Mahathir datang tanpa sebarang acara sambutan. Dia terus mahu melihat bilik makmal dan kelas yang sedang mengajar mata pelajaran sains.

Dr Mahathir Mohamad

Semasa pentadbiran dia juga Anwar Ibrahim dilantik sebagai menteri pelajaran. Anwar kemudian menukar nama kementerian itu kepada kementerian pendidikan atas persetujuan Mahathir.

Sekolah bukan saja tempat belajar mata pelajaran tetapi juga tempat mendidik.

Selain Finland, negara yang terkenal mempunyai sistem pendidikan yang menjadi perhatian dunia ialah Jepun dan Singapura.

Dalam Internet, banyak video tular yang memaparkan bagaimana murid-murid di Jepun dididik untuk menjaga kebersihan, berdisiplin dan bersopan.

Pada 2005, melalui program rasmi, saya berpeluang mengunjungi sebuah sekolah rendah yang besar di Singapura. Kami diberi taklimat oleh guru besar dan guru-guru serta melawat bilik-bilik darjah.

Universiti sumbangan orang ramai

Melihat cogan-cogan kata pada dinding, pelajar di situ dididik supaya meningkatkan keupayaan masing-masing dan berdikari Mesejnya ialah jangan mengharapkan bantuan sesiapa kerana kejayaan terletak pada usaha sendiri.

Kami juga diberi taklimat di Kementerian Pelajaran Singapura mengenai pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran di sekolah termasuk sains dan matematik.

Seorang pegawai bahagian mata pelajaran bahasa Melayu turut melayan pertanyaan-pertanyaan kami.

Singapura dan Semenanjung Malaysia mempunyai permulaan sistem pendidikan serupa pada zaman kolonial.

Bagaimanapun tentulah Singapura sebagai pusat pentadbiran tanah jajahan British di Asia Tenggara merupakan bandar raya pelabuhan yang mempunyai banyak kemudahan pendidikan.

Universiti Malaya asalnya diwujudkan di Singapura.

Kini, beratus-ratus pelajar Malaysia di Johor Bahru melintasi tambak setiap hari untuk pergi ke sekolah di Singapura kerana ibu bapa mereka percaya sistem pendidikan di republik itu lebih baik.

Sementara tahap kedudukan Universiti Nasional Singapura (NUS) yang merupakan gabungan Universiti Singapura dan Universiti Nanyang merupakan univerditi terbaik Asia Tenggara.

Universiti Singapura itu ialah asalnya Universiti Malaya. Sementara Universiti Nanyang didirikan dengan dana sumbangan orang ramai.

Tentunya keadaan pendidikan di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan Singapura, Jepun dan Finland. Setiap negara mempunyai perbezaan sosial, ekonomi dan politik.

Sistem pendidikan negara mencerminkan keadaan masyarakat dan perubahan generasi. Saya tidak mahu ulas mengenai budaya dan sistem pendidikan negara ini.

Biarlah ahli-ahli pendidikan di negara ini, iaitu dalam kalangan birokrat dan akademik yang lebih arif memberikan pandangan.

Begitu juga, biarlah ahli-ahli politik yang mempunyai kuasa melakukan perubahan kepada budaya dan sistem pendidikan negara. Tetapi jika tiada perubahan dalam bidang pendidikan, maka tiadalah reformasi negara.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.