Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Boikot kerja 'tak Islamik'

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOLUM | Sejak beberapa lama dulu kami suka berbuka puasa di masjid. Biasanya kami meronda-ronda, dan setelah 10 hari berpuasa ini kami berpeluang berbuka di empat buah masjid.

Selain masjid di tempat sendiri, kami sudah berbuka dan sembahyang tarawih di Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur, Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera, juga di Kuala Lumpur dan Masjid Tanjong Api di Kuantan.

Antara semua masjid tersebut, kami jatuh cinta pada Masjid Kampung Baru.

Masjid yang terkenal dengan bubur lambuk itu memang mempunyai sesuatu yang menarik, malah ia tidak boleh digambarkan secara jelas dengan kata-kata.

Jemaah yang hadir terdiri daripada pelbagai golongan. Mereka datang dari seluruh alam. Ada Melayu Malaya, dan juga Melayu Indonesia.

Ada Arab betul dan ada juga Arab campuran. Kemudian ada pelbagai bangsa lain yang tidak dapat kami kenal pasti.

Walaupun jemaah masjid itu nampak marhaen, jika kamu perhatikan betul-betul saf pertamanya itu, ia dikuasai oleh para jutawan.

Maksudnya, orang lama kawasan Kampung Baru. Biasanya mereka akan besembahyang di saf pertama.

Mereka yang datang nampak bersungguh mahu mengisi masa Ramadan ini dengan sebanyak mungkin ibadat, manakala pihak masjid pula sangat santai dalam menguruskan hal beramal.

Pucuk paku merah-merah

Sesuatu yang kami suka di masjid itu adalah kurangnya ‘arahan’ yang dikeluarkan oleh pihak masjid. Kelihatan seolah-olah semua orang - sama ada pihak masjid atau jemaah - tahu tugas masing-masing.

(Sebagai perbandingan, masjid di tempat kami perlukan banyak arahan yang disampaikan kepada jemaah. Dari berapa bungkus makanan yang boleh diambil, hingga kepada hal-hal tali yang direntang untuk mengawal orang yang datang.)

Selepas selesai berbuka semua orang membersihkan bekas makanan masing-masing dan bersegera untuk bersembahyang Maghrib.

Tarawih pula dijalankan secara terus tanpa diselang-seli dengan selawat. Segala macam zikir dijalankan apabila sudah selesai semua rakaat.  Mereka boleh berlama-lama dalam berselawat pada waktu itu.

Cuma dalam bab bubur lambuk, kami ini orang Pata Timo.  Pada kami bubur lambuk mesti ada pucuk paku dan isi ikan rebus.

Pucuk paku yang kami maksudkan ialah yang merah-merah itu, bukan yang hijau kamu buat masak lemak.

Gambar hiasan

Kalau setakat bubur kanji dengan ntah di mana sedapnya itu, kami tak pandang.

Dan Kampung Baru itu sendiri pada hemat kami tidak perlu dibangunkan. Ia cuma perlu dijadikan lebih bersih. Kampung itu perlu dikekalkan. Pedulilah sama ada mahu di-Unesco-kan ataupun tidak.

Masjid Al-Ikhwan masih seperti biasa. Masih kuat Isle-nya. Cuma mungkin kerana pilihan raya masih belum nampak bila, ceramah selingan cuma diadakan pada hujung minggu.

Tidak seperti dulu apabila ia diadakan setiap malam sepanjang Ramadan.

Tak lagi ke Starbucks

Kami akan selalu ke Masjid Tanjong Api apabila ke Kuantan, selain Masjid Tepian Putra di tengah-tengah bandar raya itu. Cuma apabila datang Ramadan, Masjid Tepian Putra agak sesak.

Kami gemarkan Masjid Tanjong Api kerana imam dan siaknya - Lokman dan Rosfadilah - merupakan sahabat lama kami. Dan juga kerana di situ kami mengenali hampir 90 peratus jemaahnya.

Tahun ini kami diperkenalkan oleh Johari - yang juga sahabat lama kami - kepada seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa yang rajin datang berbuka di masjid tersebut.

Syadad, jika tidak salah namanya, berasal dari Bangladesh.

Gambar hiasan

Setelah berada di negara ini selama 16 tahun, Syadad masih tidak boleh berbahasa Melayu.

Ia menjadi bukti yang bukan semua orang Bangladesh boleh berbahasa Melayu selepas tiga bulan di negara kita.

Dia mengajar usuluddin, dan dialah juga yang berkata bahawa amalan memboikot adalah tidak Islamik.

Hal itu kerana, kata Syadad, perbuatan boikot yang pertama dibuat orang dalam sejarah Islam dilakukan oleh orang bukan Islam kepada orang Muslim.

Walaupun turut tidak lagi minum Starbucks, Syadad tidak setuju dengan tindakan tersebut.

"It’s like you take RM10 or RM20 from a billionaire, makes no different to him," katanya.

Itu kata dia, dan dia seorang profesor. Tentu dia tahu apa yang dikatakannya.

Kami angguk saja sebab dia belanja Johari dan kami minum ais latte di Pantai Selamat.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, pemerhati dan pengembara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.