Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Mengenang ibu mentuaku

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOLUM | Ibu mentuaku mengharapkan dia meninggal dunia di pondok Pasir Tumboh, Kelantan yang menjadi tempat dia menumpang sejak 1992. Mungkin kerana mahu bersemadi bersama arwah suaminya yang lebih awal dipanggila Maha Pencipta.

Ibu mentuaku sediakan lebih awal kain telekung dan kain kafannya sendiri sebelum meninggal dunia.

"Kain kafan apabila saya menjadi jenazah," tulisnya dengan tulisan Jawi pada sekeping kertas. Ditulis juga nama dan nombor telefon orang yang menguruskan jika tiba waktunya.

Disiapkan pula sejumlah wang bagi menguruskan jenazah dan disimpan dalam sampul di bawah tikar biliknya.

Namun ibu mentuaku menghembus nafas terakhirnya di Dungun, tempat dia dan arwah suaminya membesarkan sepuluh anak mereka.

Asar itu, ibu mentuaku minta mandi dan berwuduk. Selepas itu, dia kembali berbaring menghadap kiblat seperti rutinnya. Meski uzur, selain membaca al-Quran, dia membaca buku-buku agama serta berwirid.

Tidak lama kemudian, nafasnya mula perlahan dan ditarik dalam-dalam dari perutnya. Matanya sudah pejam. Mulutnya terkunci. Yang kami mampu lakukan hanya berdoa serta membaca al-Quran.

Kemudian Izrail menarik nafas terakhirnya kira-kira jam 8.20 malam. Tamatlah riwayat ibu mentua kami pada Ramadan empat tahun lalu.

Kerja di syarikat kolonial

Dia merupakan anak Haji Awang Kecik, kerani pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, dengan Hajjah Che Chik , seorang suri rumah sepenuh masa. Che Chik adalah anak hasil perkahwinan di antara Khatib Ahmad dengan Mariam Dato Balai Che Umat.

Khatib Ahmad seorang pedagang Bugis yang dilantik menjadi imam Masjid Putih oleh Sultan Zainal Abidin III (1881 – 1918).

Ibu kepada Mariam ialah Wan Kalthum iaitu anak kepada mufti pertama Terengganu, Sheikh Wan Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai Tok Syeikh Bukit Bayas yang berasal dari Patani.

Syeikh Bukit Bayas adalah antara ulama tersohor Terengganu pada kurun ke-19 dan pernah menjadi guru kepada Sultan Terengganu, Sultan Omar (1839 – 1876).

Ibu mentuaku berpindah dari Ladang ke Dungun sebelum Perang Dunia Kedua. Di Dungunlah tempat dia mencari rezeki dan meraih pahit manis kehidupan.

Bapa mentuaku pula berasal dari Cabang Tiga, Patani. Di Dungun dia bekerja sebagai kelasi dengan syarikat Steveco, Nibong. Syarikat Inggeris itu mengurus pengangkutan bijih besi di Bukit Besi ke Sura.

Sejak muda lagi bapa mentua bekerja sebagai sailorman dengan syarikat pengangkutan beras dan garam dari Patani ke Kuala Terengganu. Dari situlah dia bertemu jodoh.

Haji Muhamad, abang mak mentuaku bekerja kerani kerajaan di Dungun. Menjadi kerani pada zaman kolonial bukan calang-calang kerjaya buat orang tempatan.

Dari Haji Muhamad, bapa mentuaku mendapat kerja dengan syarikat kolonial. Haji Muhamad disediakan sebuah rumah besar oleh kerajaan. Di rumah besar itulah, bapa mentuaku menumpang tinggal sementara sebelum membuat keputusan untuk terus menetap di Dungun.

Awalnya mereka menyewa rumah di Teluk Lipat sebelum meneroka tanah seluas dua ekar dan membina rumah di Sura Gate. Di Teluk Lipat, sering juga bapa mentua ke laut mencandat sotong dan mencari ikan buat lauk.

Rumahnya kecil diperbuat daripada kayu dan buluh yang dibina secara gotong-royong bersama orang kampung.

Pada penghujung 1940-an kerajaan mengambil alih tanah mereka di Sura Gate untuk pembangunan. Kerajaan memberi ganti rugi dengan mengurniakan tanah lot di Kampong Molek.

Dari tanah tersebutlah mereka membina rumah yang agak lebih selesa dengan sedikit halaman. Rumah mereka berhadapan dengan landasan kereta api.

Setiap hari, kereta api akan melalui halaman rumah. Setiap kali ia melintas, pemandunya membalas lambaian orang kampung yang teruja dengan jentera moden itu.

Kagum teknologi kereta api

Pemandu kereta api membenarkan orang kampung menumpang gerabak tanpa sebarang bayaran. Ada yang turun di kampung Che Lijah dan ada yang berjalan-jalan ke Bukit Besi.

Kereta api itu juga digunakan untuk mengangkut hasil pertanian kampung ke pekan Dungun.

Jika orang kampung inginkan kayu untuk memasak, pemandu kereta api itu akan bermurah hati mencampakkan beberapa batang kayu kepada kanak-kanak yang mencari kayu kering sambil bermain bersama kawan mereka.

Lalu berlarian mereka mengutipnya keriangan. Begitulah cara syarikat Inggeris membuat kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Namun bagi orang tempatan itulah kemurahan dan kemuliaan syarikat kepada mereka. Balak dan bijih besi mentah diproses di Singapura atau di tempat lain.

Dungun adalah tempat kapal luar mengangkut khazanah Terengganu.

Di Dungun, longgokan tanah dan batuan merah yang mempunyai kandungan besi dilonggok secara terbuka. Semua jentera paling berteknologi pada masa itu berada di sini.

Kemajuan dan pembangunan memang wujud di depan mata mereka. Orang kampung tetap miskin. Namun kemiskinan itu bukannya penderitaan. Ada kebahagian di celah-celah kemiskinan itu. Itulah kepasrahan.

Setelah perlombongan ditutup pada 1971, mentuaku menyara kehidupan berkeluarga dengan menjual jeruk buah dari Dungun hingga ke Kuala Abang. Berbekal dengan motosikal, bapa mentua singgah dari satu kedai ke satu kedai menjual barang dagangannya.

Sambil itu menjual ais krim dan ais batu di rumah sampai lekat hujung nama anak-anaknya dengan ‘ais krim’. Begitulah orang Melayu merangsang bangsanya berniaga.

Di Dungun, mereka sentiasa ke surau Haji Bidin (Haji Zainal Abidin), surau Ustaz Omar Syukri, surau Ustaz Daud, surau Kubur dan di mana ada pengajian oleh guru-guru agama dan ceramah politik.

Kelibat mereka sudah dikenali oleh orang tempatan. Bagai belangkas ke hulu ke hilir mengaji di usia emas. Bermotor tanpa topi keledar.

Menyanyi, menari depan Tok Guru

Setelah kudrat berkurangan, mereka berhijrah ke Pondok Pasir Tumboh. Katanya mudah mengaji. Setiap kami ziarah mereka di Kota Bharu, pasti saya bawa mereka ke masjid Tok Guru Nik Aziz di Pulau Melaka dan kuliah Jumaat Tok Guru di Pejabat PAS Kota Bharu.

Pihak pondok Pasir Tumboh menyediakan peti pembesar suara ke rumah yang menyiarkan pengajian yang sedang berlangsung. Ketika uzur dan tidak berdaya ke masjid, ibu mentua tekun mendengar pengajian di biliknya. Itulah rutinnya.

Suatu hari kami balik kampung ke Kota Bharu kerana menghadiri Konsert Mawi, juara Akademi Fantasia di Padang Perdana, Kota Bharu. Selepas konsert tamat, baru saya dan keluarga ke rumah mentua di Pasir Tumboh.

Mereka belum tidur lagi. Mereka baru saja balik dari menghadiri konsert dengan menaiki motosikal berdua! Mereka pergi ke konsert tersebut sebab Tok Guru yang buat. Tok Guru hadir.

Tok Guru tentu ada hujahnya. Tiada pernah untuk mempersoalkannya. Tok Guru seorang ulama.

Malam berikutnya konsert Mawi bersama sifunya M Nasir berlangsung di Stadium Sultan Muhamad IV. Ramai yang memenuhi stadium itu. Kali ini kami pergi sekali.

Mawi

Tiada lagi pidato berapi tentang politik. Kami duduk bersama di kerusi umum sambil menikmati lagu Aduh Saliha, Kepadamu Kekasih, Lagu Jiwa Lagu Cinta, Gadis Melayu, Seroja dan banyak lagu yang tidak pernah ibu mentuaku tahu.

Mawi menari dan M Nasir menyanyi depan Tok Guru.

Ibu mentuaku sering bercerita mengenai perjuangan politiknya. Tentang kehebatan Khatijah Sidik, Asri Muda berpidato. Cerita pasal isteri Mustafa Ali, orang Dungun.

Sempat bercerita mengenai Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat yang menjadi ahli parlimen Dungun dua penggal pada tahun 70-an.

Pernah kami ziarah ke rumah pimpinan PAS itu di Jalan Berek Kastam. Rumah kayunya cukup sederhana walaupun pernah menjadi Setiausaha Kementerian Kewangan Malaysia.

Tanyalah pasal zaman PAS dulu-dulu. Pasti dia ghairah bercerita. Sayangnya, tidak sempat untuk dirakam memoirnya.

Apabila Tok Guru Nik Aziz wafat, ibu mentua melahirkan resahnya tentang kepimpinan parti yang mulai goyah. Tidak seperti semasa Tok Guru ada.

Ibu mentuaku merelakan kami beralih perjuangan dari PAS kepada Amanah.

Namun dia tetap di situ hinggalah detik nafasnya berakhir. Ramadan ini mengingatkannya yang telah pergi buat selama-lamanya. Al Fatihah.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.