Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Geng suka rambut 'longkang'

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOLUM | "Bakpe, bila orang Cina ke, orang India ke, buat silap faham fasal islam, dia kena minta maaf dengan geng ala-ala ayahanda? Geng-geng yang macam kuat sangat tu?

"Bila masa pulok kita lantik dia jadi wakil kita?’ tanya Mancis Rakyat kepada kami.

Mancis Rakyat adalah gelaran yang diberikan oleh penyair terkenal, Ali Adenan, kepada Madi. Selain itu Madi juga sering digelar sebagai liberal, sekular, penyokong LGBT, makan duit DAPig dan juga playboy.

Yang paling Madi suka ialah gelaran playboy itu, kerana menurut dia, "Kalu orang tak handsome macam aku boleh jadi playboy, apakah lagi harapan yang ada untuk Malaya ini?".

Madi memang kuat bercakap. Kalau duduk berkumpul dengan kawan-kawan, hanya suara dia saja yang paling kuat. Asal ada orang lain bercakap, dipotongnya.

Apa saja cerita, maka dia lebih tahu daripada siapa-siapa. Dia sukakan perhatian.

Biasanya kawan-kawan akan membiarkan Madi bercakap hingga letih sendiri. Masalahnya ialah, Madi memang lambat letih!

Kata orang, Madi itu jika tidak dibendung akan jadi seperti Stone, sahabat baik dia yang kini kerjanya mundar-mandir di bandar Kuantan sambil mencari orang untuk diajak bertumbuk.

Nampak saja gagah

Kami juga hairan apabila melihat kumpulan vigilante seakan-akan bebas berbuat apa saja. Seolah-oleh mereka menjadi wakil pihak berwajib.

Justeru sesiapa saja yang dianggap berbuat silap perlu meminta maaf kepada mereka.

Untuk pihak yang telah atau akan berbuat salah, kamu tidak perlu pergi berjumpa dengan mana-mana individu atau kumpulan dan meminta maaf kepada mereka.

Negara kita ada undang-undang. Nanti jika benar kamu disyaki melakukan jenayah, kamu akan ditangkap dan didakwa. Mahkamah akan menentukan apa hukuman yang layak kamu terima.

Kumpulan-kumpulan terbabit tidak lebih daripada sekumpulan individu yang laparkan perhatian. Kami harap kamu masih ingat kumpulan yang kononnya membantu mereka yang dikejar kerana berhutang dengan ceti haram sedikit masa dulu.

Diaorang ni wakil Batman ke? Atau dia rasa macam Denzel Washington dalam The Equalizer - boleh tangkap-tangkap orang.

"Apa topeng dia? Tanjak? Mana dia dapat superpower, anabolic steroids?" tambah Mancis Rakyat. Sesuailah dengan gelaran itu - dia memang tak ada kerja lain kecuali nak ‘membakar’ saja.

Gambar hiasan

Tidak dinafikan juga, budak-budak yang selalu tunjuk pendekar itu kadang-kadang tubuh mereka nampak gagah tak masuk akal. Rajin sungguh mereka membina anggota tubuh sendiri.

Tetapi ada kalanya mereka kelihatan lebih sintal berbanding tegap. Mahu menggaru belikat sendiri pun kadangkala mereka perlukan bantuan.  

Gamaknya kalau bergaduh memang payahlah rasanya untuk mereka bergerak lincah.

"Lepas tu, bila dah minta maaf dengan geng kolar tegak ni, orang jadi makin hormat dengan Islam dan Islam jadi lebih terjamin ke macam mana? Islam akan lebih maju ke guane?" dia membakar lagi.

Betul juga kata dia. Mengapa kita selalu rasa bahawa kita ini adalah manusia yang dipilih Tuhan untuk membela agama-Nya?

Sepatutnya kita periksa amalan kita sendiri sebelum mahu bangun dan mati syahid.

Tak vape, rokok seludup

Kadangkala yang menjahanamkan agama ialah kita sendiri. Dan kita takut suara berontak dan ranggi kita itu sebenarnya adalah untuk menutup segala macam rasuah, rempit dan juga rasis yang menjadi tunjang kehidupan masa kini.

Sebut pasal rasis, kami rasa kita ini terlalu kuat perkaumannya. Kita mahu semua orang menggunakan bahasa Melayu kerana kita kata ini negara Melayu.

Justeru semua orang perlu tunduk kepada bangsa yang satu ini.

Itulah, sebenarnya kita bukannya mahu orang ramai bersatu di bawah satu bahasa demi perpaduan, tapi demi “Melayu”.

Kemudian kita sentiasa memandang rendah orang luar terutama yang datang untuk bekerja sebagai buruh, misalnya.  Kita herdik budak-budak Bangladesh, Kemboja, Rohingya serta Indonesia kerana kita fikir taraf kita di atas mereka.

Kadang-kadang sedih juga melihat operasi membanteras pendatang asing apabila mereka dilakukan sedemikian rupa. Dimaki dan diherdik seperti langsung tidak ada hak. Sepertinya mereka bukan manusia.

Kita juga suka orang putih lebih daripada mana-mana orang hitam.

"Aku rasalah, ni aku random saja... bukan ada fakta atau kajian. Aku bahan ikut sedap hati je ni.

"Aku rasa, kan, budak-budak yang sibuk perjuangkan Islam tu, yang konon-konon sanggup mati syahid tu, mesti jenis yang pakai beg silang kat dada. Lepas tu kaki vape juga," katanya.

"Kalau tak, dia akan hisap rokok seludup. Jenis tak putus fikiran. Buat kerja tak berfaedah tapi nak jimat. Nak hisap rokok sangat tu."

Perlahan-lahan tangan kanan Madi meraba ke kocek seluar dan mengambil sebatang rokok Marlboro Light sebelum menyalakannya.

Bukan apa, saja nak menunjuk yang dia tak hisap rokok seluduplah tu. Dia memang poyo sikit. Tidak jarang dia cuba menunjuk pandai walaupun dia sebenarnya sekolah sehingga darjah enam saja.

"Kemudian apabila tak sibuk membela Islam, dia layan Mobile Legend. Dan satu lagi, dia mesti geng yang pada kereta dia ada sticker persatuan Myvi satu alam misalnya.

"Padahal cita-cita asal dia nak join persatuan kete Honda," kata dia lagi. Kali ini dia nampak agak serius. Mungkin dia sendiri juga sebenarnya mengimpikan sebuah kereta Honda.

"Honda ‘ketam’ tu lawo jugok yek,” kata Madi tiba-tiba. Benar telahan kami.

"Se lagi aku perati, geng tu suka sangat buat rambut longkang. Lepas tu letak minyak rambut sampai berkilat. Pakai baju lambang kuda beso kat dada kanan.

"Padahal kalau ko tanya satu game polo berapa chukka, terlopong mulut nak menjawab.

"Dia pegi mana ko tahu? Duduk mamak main game pakai wi-fi free. Nak pertahan Islam? Gi beli top-up dulu laaa," sambung dia sambil menghembus asap rokok.

Tidur lebih baik

Matanya memandang keliling. Bimbang didatangi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia agaknya. Untuk rekod, dia pernah dua kali disaman kerana merokok di tempat awam.

"Kalau dia rambut panjang pun bukan sebab dia rock tapi sebab dia tengok M Nasir berlakon jadi Hang Tuah hari tu.

“Lagu M Nasir yang dia tahu pun cuma Mantera Semerah Padi.

"Pejabat agama kena perati jugok tu. Takut esok-esok dia buat lagu tu jadi zikir dan ratib.... bukan boleh kira. Dia ingat tu lagu sufi padahal M Nasir buat cari makan je.

"Tapi, kan, aku harap satu je. Aku harap budak-budak yang konon kuat bela Islam tu kuat jugaklah sembahyang. Aku dengar ustaz kata, askar yang tawan Konstantinopel dulu tu, kalau tak bangun tahajud, jeneral perang dia tak bagi ikut.

"Jadi aku syor pada budak-budak tu, join dulu geng Subuh macam Jemaat tu. Lepas tu kalau dah lebih 40 hari tak missed ikut Alif Satar, bolehlah diaorang kalau nak start jadi Batman atau The Equalizer bagi pihak Islam.

"Kalau tak, padan layan ML dah laa banggg," kata Madi sambil bangun dan meninggalkan kami begitu saja.

Kami fikir semua perlu faham yang orang Islam mengambil serius hal agamanya.

Justeru mereka yang berada di luar agama ini seharusnya tidak ikut masuk campur kerana ia pasti akan menghasilkan perbalahan.

Wakil rakyat tidak Islam misalnya, janganlah disuruh bercakap fasal Islam.

Jika kita semua tahu dan menghormati tempat masing-masing, mungkin kita ada sedikit harapan yang kian tipis ini untuk tinggal bersama-sama dalam aman.

Agak belum terlewat untuk kami mengucapkan selamat berpuasa kepada semua.

Kami sudahi tulisan kali ini dengan satu pesan dari Gus Baha: "Jika waktu jaga masih maksiat, maka tidur adalah terlebih baik."


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan bekas peminat vape.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.