Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Malaysia berdiri atas keharmonian Melayu-Cina

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Isnin lalu, saya pulang ke Batu Pahat atas urusan keluarga. Bandar yang mana terletaknya kilang pengeluar stoking tertera kalimah Allah. Kilang itu pun sudah menghentikan operasi.

Batu Pahat adalah daerah di mana Datuk Onn Jaafar menjadi pegawai daerah (DO) pada tahun 1945 dan berjaya menghalang pergaduhan besar antara kaum di bandar Bintang Tiga dan Selempang Merah supaya membatalkan hasrat mereka untuk bertempur.

Bintang Tiga ialah Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA), sebuah sayap Parti Komunis Malaya (PKM). Nama Bintang Tiga itu merujuk pada tiga bintang merah yang ada pada topi pakaian seragam mereka. Ia melambangkan tiga kaum Melayu, Cina dan India. Tetapi kebanyakan anggotanya terdiri daripada kaum Cina.

Selempang Merah adalah kumpulan silat kebatinan yang dipimpin oleh Kiyai Salleh. Pakaian anggotanya adalah berwarna hitam dengan selempang merah. Mereka terkenal dengan fenomena “parang terbang”.

Selempang Merah ditubuhkan untuk melindungi orang Melayu daripada kekejaman Bintang Tiga semasa dan selepas pendudukan Jepun.

Dipercayai pengalaman Datuk Onn menjadi pentadbir Batu Pahat memberi sumbangan kepada pemikiran politiknya bahawa keharmonian hubungan antara Melayu dan Cina adalah asas kepada kewujudan Malaya merdeka yang aman dan makmur.

Ada dua kawasan perindustrian di Batu Pahat. Kawasan yang awal ialah di Tongkang Pechah, sebuah pekan menghala ke Lebuh Raya Utara Selatan (Plus).

Kawasan perindustrian ini terkenal dengan kilang-kilang biskut. Antaranya jenama Hup Seng. Kilang-kilang ini memberi pekerjaan pada orang tempatan. Ada sanak saudara saya pernah bekerja di situ.

Sementara kawasan perindustrian yang kemudian ialah di sekitar Batu Empat Jalan Kluang. Banyak kilang di sini dan antara yang terkenal ialah pembuat tekstil milik Berjaya. Kejayaan kumpulan ini bermula di Batu Pahat.

Tidak jauh dari bandar, ada simpang yang menghubungi Jalan Kluang dengan Jalan Bukit Pasir melalui Jalan Tan Swee Hoe.

Di kanan dan kiri jalan itu ialah Taman Bukit Pasir yang merupakan kawasan perumahan dan komersial. Selain bank-bank, di situ ada Aeon Big, McDonald's, Starbucks dan KFC.

Pada sekitar awal tahun 1970-an, saya berbasikal hampir setiap hari melalui Jalan Tan Swee Hoe, dari sekolah agama Bukit Soga untuk pulang ke Bukit Pasir. Pada masa itu, ia hanya jalan tanah merah berdebu. Di sebelah kiri ialah kawasan paya bakau yang besar. Di sebelah kanan ialah kawasan penanaman sayur dan penternakan ayam, itik, angsa dan babi. Ada kala lori babi melalui jalan itu ketika saya mengayuh basikal dengan debu-debu tanah merah berterbangan.

Tan Swee Hoe ialah seorang ahli perniagaan berjaya di Batu Pahat pada tahun 1930-an. Dia antara pengasas Ho Hong Bank yang kemudian bergabung dengan bank-bank lain untuk menjadi OCBC, iaitu Overseas Chinese Banking Corporation. Ho Hong Bank adalah bank pertama bukan British yang menawarkan pelbagai perkhidmatan pinjaman untuk perniagaan. Dengan adanya bank itu, peniaga Cina tidak perlulah bergantung semata-mata pada bank British.

Dia mempunyai sebuah rumah agam yang tersergam dengan taman besar di depannya, di kaki Bukit Soga menghadap Jalan Tan Swee Hoe. Rumah itu, yang kini tanpa bumbung dan berpuluh-puluh tahun tanpa penghuni, masih dapat dilihat oleh sesiapa yang melalui Jalan Kluang.

Batu Pahat ketika penjajahan Jepun

Tan Swee Hoe adalah juga ahli Majlis Negeri Johor dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat. Pertubuhan itu mempunyai bangunan warisan yang dijadikan ibu pejabatnya di Jalan Rahmat di tengah-tengah bandar Batu Pahat. Apablla diadakan perarakan Hari Kebangsaan setiap tahun, astaka orang kenamaan terletak di depan bangunan itu.

Di bangunan ini jugalah Datuk Onn mengadakan pertemuan dengan ketua Bintang Tiga, penghulu-penghulu mukim dan ketua masyarakat Cina untuk memperoleh persetujuan dan jaminan mereka supaya menghentikan tindakan serang-menyerang dan membalas dendam.

Bandar Batu Pahat kebanyakannya dihuni orang Cina yang berniaga. Merekalah menjayakan perniagaan bandar ini, yang didorong oleh usaha-usaha pertanian di sekitarnya seperti kopi, koko, sagu, getah dan kini kelapa sawit. Hampir semua usaha pertanian dilakukan oleh orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk daerah ini. Umumnya mereka dari keturunan orang yang datang dari Jawa, Sumatera, Sulawesi dan Kalimantan iaitu Banjarmasin.

Bandar Batu Pahat bermula apabila penghulu-penghulu seperti Rahmat Ragam dari Simpang Kanan dan Kitam Mohd Shah dari Simpang Kiri pada tahun 1892 mengadap Sultan Abu Bakar untuk memohon supaya dibina sebuah bandar untuk daerah itu.

Sultan Abu Bakar menitahkan Datuk Bentara Luar, Mohamad Salleh Perang yang pada tahun 1885 telah membina Bandar Maharani di Muar. Maka pada tahun 1894, dia merasmikan penubuhannya. Dengan menggunakan wang sendiri, cukai dan sokongan dana Orang Kaya Bagan, dia membina bandar itu. Setahun kemudian, Mohamad Salleh Perang dapat membina jalan-jalan, hospital, balai polis, mahkamah, bangunan pejabat dan rumah kediaman.

Bandar Penggaram adalah bandar terancang dan jalan-jalan dibuat lebar dan disusun berpetak-petak. Dengan kedudukan bandar yang baik itu, pelabur-pelabur Cina dari Singapura pun berminat. Mereka mengusahakan estet, kilang dan syarikat perdagangan di bandar itu.

Namun asas ekonomi bandar itu adalah para pekebun kecil yang terdapat di kampung-kampung di seluruh daerah. Hasil pertanian mereka diuruskan oleh peniaga-peniaga di bandar itu untuk eksport.

Apa yang ternyata, hubungan baik dan kerjasama Melayu dan Cina adalah teras kepada kemakmuran bandar dan daerah itu.

Semasa pendudukan Jepun, Bintang Tiga turut aktif di daerah itu. Mereka banyak menyerang, menculik dan membunuh orang Jepun dan kakitangan pentadbiran Jepun yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu. Selepas pengunduran Jepun, mereka keluar dan membunuh orang Melayu yang disyaki pernah bekerja untuk Jepun tanpa bukti dan perbicaraan. Serkap jarang oleh Bintang Tiga ini menimbulkan kemarahan dan kebencian orang Melayu bukan saja kepada komunis tetapi kepada orang Cina. Suasana ini menjadi trauma dan fobia kolektif masyarakat Melayu walaupun sudah berganti generasi.

Inilah bermulanya ketegangan kaum Melayu-Cina. Pada mulanya penghulu mukim berusaha mengatur pasukan mempertahankan orang Melayu tetapi gagal. Hanya apabila Kiyai Salleh dan Selempang Merah muncul, maka barulah buku bertemu ruas.

Pertempuran antara Bintang Tiga dengan Selempang Merah berlaku di banyak tempat, dari Parit Raja sampailah ke Parit Sulong hingga ke Tongkang Pechah.

Bintang Tiga yang mempunyai markas di Bukit Pasir berhimpun untuk menduduki bandar Batu Pahat dan bertempur dengan Selempang Merah di sana.

Ahli-ahli perniagaan Cina merayu pada Datuk Onn supaya menghalang pertempuran daripada berlaku. Jika tidak, banyak orang awam akan terkorban, harta benda akan hangus, bandar itu akan musnah dan ia tidak akan dapat dipulihkan.

Datuk Onn pun menaiki basikal pergi ke Bukit Pasir yang terletak lima kilometer dari bandar.

Sesampai di sana dia dibawa ke sebuah rumah yang dikawal ketat untuk berunding dengan ketua komunis itu. Mereka bersetuju tidak turun ke bandar dengan syarat Selempang Merah dihalang masuk ke bandar.

Dia pulang gembira kerana rundingan itu berjaya. Tetapi dia kemudian mendengar pula orang Melayu berkumpul di Bagan untuk memasuki bandar. Orang Melayu dari jauh sehingga Muar pun turut datang.

Datuk Onn pun bergegas ke Bagan. Dia memujuk Kiyai Salleh supaya batalkan hasrat mereka untuk masuk ke bandar bagi mengelak pertumpahan darah. Kiyai Salleh akur.

Namun begitu, pertempuran kecil terus berlaku antara Bintang Tiga dan Selempang Merah di luar bandar. Hinggalah Datuk Onn mengadakan pertemuan antara ketua komunis, semua penghulu mukim dan ketua masyarakat Cina di Dewan Perniagaan Cina itu.

Dia amat faham betapa perlunya orang Melayu dan Cina hidup secara aman dan harmoni untuk kebaikan ekonomi bersama. Pihak British pula amat memerlukan kejaayan ekonomi Malaya kerana satu perempat pendapatan mereka datang dari semenanjung ini.

British meletakkan syarat bahawa Malaya boleh merdeka jika Melayu, Cina dan India bekerjasama. Selepas berjaya menghalang Malayan Union dan memulihkan kedudukan Raja-raja Melayu, dia mencadangkan supaya Umno dibuka untuk semua kaum.

Walaupun dia gagal, Tunku Abdul Rahman kemudian menggunakan prinsip sama juga apabila mengajukan kerjasama pilihan raya Umno dan MCA yang membawa kepada penubuhan Perikatan.

Ketika Malaya mencapai kemerdekaan, ada pemerhati Barat meramalkan negara ini tidak akan berjaya kerana orang Melayu dan Cina tidak boleh bekerjasama. Tetapi ternyata ia berjaya dan terus membangun. Walaupun Singapura dikeluarkan atas sebab kaum juga, ia tidak menjejaskan hubungan kaum di Malaysia.

Hanya dengan peristiwa 13 Mei pada tahun 1969, negara dikejutkan yang hubungan antara Melayu dan Cina tidaklah sekuat yang disangka. Maka penubuhan Barisan Nasional dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah antara lain untuk mengukuhkan hubungan antara kaum.

Namun walaupun sudah berganti generasi, hubungan antara kaum tetap sesuatu yang sensitif. Kemudahan media sosial telah digunakan untuk memburukkan lagi keadaan hubungan kaum.

Sebarang hantaran di media sosial yang menyentuh sensitiviti hanya kerana untuk memuaskan keangkuhan sendiri adalah suatu yang tidak bertanggungjawab apabila ia akhirnya merosakkan hubungan kaum dan menjejaskan ekonomi.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.