KOLUM | Perihal pengertian kafir
DALAM peribahasa Melayu, burung helang disandarkan dengan kecerdikan, sementara burung kikih dikaitkan dengan kebingungan: “Cerdik helang bingung si kikih, lamun murai terkecoh jua”. Peribahasa tersebut adalah satu antara banyak peribahasa yang memperihalkan kelakuan, tingkah laku dan akhlak.
Raja Ali Haji dalam Kitab Pengetahuan Bahasa menjelaskan kata bebal sebagai kafir. Beliau membahagikan beberapa jenis kafir; dan dua dari kekafiran yang sempat disebutkan adalah ‘kafir juhud’ iaitu menurut beliau kafir mungkir, dan 'kafir inad' iaitu kafir bantahan kerana sebab takbur dan sombongnya.
Adalah tidak syak lagi kata kafir itu terpakai untuk satu keadaan, fenomena atau gejala ‘tidak berakhlak’. Malahan, tidak bersalahan jika dikatakan bahawa orang yang tidak berakhlak itu adalah orang kafir. Ini juga bermakna akhlak menentukan seseorang itu kafir atau tidak. Kekafiran tidak tersangkut pada perbezaan keyakinan, kepercayaan atau akidah.
Di dalam novelku Perempuan nan Bercinta yang telah diharamkan oleh kerajaan, protagonis Dr Ali Taqi telah bertanya kepada pelajarnya, Hashemi: "Apakah erti keimanan?"
Serta merta, tanpa ragu karektor Hashemi menyahut, “Kepercayaan kepada Allah, Nabi, Kitab dan sebagainya...”
Justeru apakah kafir?
Watak Hashemi dalam novelku itu membalas: “Kehilangan iman itu sendiri”.
Protagonis novel menghuraikan bahawa kata kafir, yang masyhur digunakan untuk membezakan ketinggian seseorang muslim ketimbang bukan muslim, boleh ditemukan dalam al-Quran paling kurang 252 kali. Benar, Islam melarang manusia menjadi kafir, tetapi Islam tidak juga memaksa seseorang untuk beriman. Demikian hak manusia dipelihara, hak untuk beriman digalakkan tetapi hak menjadi kafir juga dihormati.
Walaupun demikian, apakah definisi kafir menurut al-Quran? Ini memandangkan al Quran menyebut berkali-kali pengertian kafir.
Pada ayat 6 surah al-Baqarah, Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya orang kafir ialah orang yang engkau beri peringatan atau tidak engkau beri peringatan, mereka tidak mempercayainya". Ini menunjukkan kata kafir itu dipadankan dengan kata sifat ‘pengkhianatan’. Lihat juga pada ayat 38 surah al-Hajj, kafir sekali lagi disandingkan dengan pengkhianatan.
Manakala pada ayat 32 surah Luqman, kata sifat ‘tidak setia’ dikaitkan dengan orang kafir. Hal lain kita melihat kata sifat ‘pendusta’ turut dihubungkan juga dengan kafir yakni pada surah al-Zumar ayat 3; sementara kata sifat ‘degil’ turut dihubungkan dengan kafir pada ayat surah Qaf ayat 24. Selain itu kerja maksiat juga pernah dihubungkan dengan kafir pada ayat 27 surah Nuh.
Kesimpulannya, Islam menghubungkan ‘orang kafir’ itu dengan perbuatan tercela sementara orang beriman pula ditandai dengan akhlak terpuji.
Aku berpandangan tingkatan akhlak adalah lebih mustahak berbanding soal ukuran keimanan yang difahami masyarakat dewasa ini. Pemerian di awal ini secara terang memaknakan bidalan Melayu yang disebut oleh tokoh pengkaji Melayu, almarhum Tenas Effendy bahawa "adat hidup orang beriman, tahu diri perangai pun sopan". Bidalan seterusnya yang menjelaskan gejala kurang sopan sebagai "apa tanda orang terkutuk, tak tahu diri tak ingat petunjuk, hati tamak bercampur kemaruk, kemana pergi aruk mengaruk".
Tidak terbantah lagi, aku mendapati yang kata keimanan dipakejkan bersama tingkah laku yang tinggi dan kesopanan. Keimanan tidak disangkutkan hanya dengan keislaman. Seseorang yang dalam sejarah hayatnya pernah mengucap dua kalimah syahadah boleh sahaja seorang kafir. Ia menjadi kafir apabila saat hilang keimanannya, dan ia menjadi kafir apabila ia ‘hilang akal’ dan ‘buruk pekerti’. Dalam erti kata lain, orang boleh menjadi kafir bila dia itu tidak berakhlak.
Aspek fikah dalam agama kita sangat berhubungan dengan akhlak. Sebagai contoh, aksi atau ibadah solat dihubungkan dengan usaha menegah kekejian dan kemungkaran pada ayat 45 surah al-‘Ankabut. Sementara ibadah puasa pula dihubungkan dengan menjadi orang bertakwa pada ayat 183 surah al-Baqarah, dan orang yang bertakwa itu pula dihubungkan dengan ayat "orang yang menginfakkan hartanya dalam suka dan duka, yang mampu menahan amarahnya, yang memaafkan orang lain dan berbuat baik" pada ayat 134 surah Ali ‘Imran.
Ibadah besar haji juga dihubungkan dengan akhlak, seperti yang difirmankan Allah pada ayat 197 surah al-Baqarah, maksudnya: "Barangsiapa yang melakukan kewajiban haji, maka hendaknya dia tidak berkata kotor, tidak melakukan kefasikan dan tidak bertengkar pada waktu haji".
Aktiviti dan ibadah zakat pula dilihat sebagai sia-sia jika tidak berakhlak pada ayat 264 surah al-Baqarah, iaitu ayat yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima, seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riyak kepada manusia, dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian".
Jelas, hubungan intim akhlak dan ibadah ini sangat diperipentingkan oleh agama Islam hatta dalam fikah sekalipun. Ini bererti akhlak dan fikah sangat berhubungan. Justeru hukum (yang terkandung dalam fikah) datang dengan falsafah untuk membentuk akhlak, bukan semata-mata untuk menjatuh hukuman buat manusia.
Sekarang bangkit kemusykilan, bukankah pengertian kafir itu dilekatkan kepada ‘orang bukan Islam’?
Tidak semestinya. Pengertian yang diberikan olehku di atas, dengan merujuk dalil al-Quran memaparkan kata kafir terlekat bukan sahaja kepada orang bukan Islam, tetapi juga kepada orang Islam.
Ayat-ayat suci al Quran di atas dengan sendirinya menjelaskan betapa akhlak yang baik mampu meningkatkan darjat manusia. Ini adalah kerana ketika Allah menciptakan iman, iman itu sendiri merintih berdoa: "Ya Allah kuatkan aku". Maka Allah menguatkannya dengan akhlak yang baik dan kebajikan. Kemudian, ketika Allah menciptakan kekufuran, kekufuran juga berdoa: "Ya Allah kuatkan aku". Maka Allah memperkuatkannya dengan kebakhilan dan akhlak yang buruk.
Di musim perayaan ini, jika anda menfitnah di media sosial, anda mungkin mendusta dan kata sifat dusta memang dikaitkan dengan orang kafir. Di jalan raya jika ada melempar keluar lampin pakai buang anak yang penuh tahi di bahu jalan ketika kemacetan lalu lintas dalam perjalan pulang ke KB, maka anda tidak berakhlak. Dan tidak berakhlak memang seperti ditunjuki di atas boleh mencetuskan gejala kekafiran.
Kekafiran anda tidak terungkap pada akidah atau kepercayaan. Jika anda tidak berakhlak di atas jalan raya, melakukan u-turn di tempat yang salah sembari semberono dan hilang santun, jika anda seorang pembuli jalanraya, jika anda seorang ‘kaki scam' tegar maka anda seorang kafir walaupun anda berserban berjubah, hatta berpurdah litup.
Kekafiran diungkap pada rendah atau tingginya akhlak, tidak semestinya terletak pada pernah atau tidak anda mengucap dua kalimah syahadah. Malah, dalam banyak keadaan yang tidak mengucap dua kalimah syahadah itulah yang bukan main berakhlak.
Peringatan ini adalah untuk anda, dan paling utama untuk diriku sendiri.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai