Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Di sebalik isu ubi kayu

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Sebelum Ramadan berakhir dan umat Islam beraya, timbul isu bahawa kononnya kerajaan mahukan rakyat makan ubi kayu untuk menggantikan beras. Seronok penentang-penentang kerajaan dan penyokong-penyokong pembangkang menggunakan media sosial untuk memainkan isu ini.

Ia dimainkan hingga lari daripada apa yang sebenarnya diperkatakan oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul selepas lawatannya ke Program Jualan Madani di Bandar Perdana, Sungai Petani, Kedah.

Begitulah suasana politik negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang kebebasan bersuara dijamin. Ditambah pula teknologi maklumat berbentuk media sosial yang memberi kelebihan kepada penbangkang. Lebih mudah untuk menyerang kerajaan berbanding pihak kerajaan yang mempertahankan diri.

Program Jualan Madani dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui agensi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Ia merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan keselesaan hidup rakyat. 

Kebaikan usaha itu tidak timbul tetapi sebaliknya ia menjadi bahan kritikan dengan memberi gambaran bahawa kerajaan gagal dalam usahanya untuk menjamin makanan kepada rakyat. Sebab itulah speaker Dewan Rakyat menganjurkan makan ubi kayu.

Daripada media sosial, orang ramai memang cenderung untuk melihat kata-kata dan perbuatan secara negatif. Apa yang positif ditenggelamkan. Apabila Johari bercakap saja mengenai ubi kayu, maka apa yang dilihat adalah perkara negatif. Sedangkan apa yang Johari kata itu adalah sesuatu yang masuk akal. 

Johari Abdul

Beliau bukanlah menyarankan supaya ubi kayu menggantikan beras untuk makanan ruji, apa yang dikatakan ialah ubi kayu boleh dijadikan makanan tambahan, untuk sumber karbohidrat. 

Ini memandangkan bekalan beras semakin berkurangan di dunia. Faktanya pengeluaran beras dunia tidak akan cukup pada masa akan datang. Bilangan manusia semakin bertambah dan perubahan iklim pula menekan penanaman padi.

Katakanlah Johari hanya diam dan tidak menjawab pertanyaan pemberita, maka isu ini tidak timbul. Atau kerajaan tidak mengadakan program ini, maka semua perkara ini tidak muncul. 

Saya rasa kerajaan melakukan program itu sebagai melaksanakan tanggungjawabnya. Begitu juga dengan kenyataan Johari yang datang dari pertimbangan dan pemikirannya berasaskan maklumat yang diperoleh. Ia merupakan suatu idea wajar bagi menghadapi suasana yang mencabar.

Kerana Johari pemimpin PKR

Tetapi serangan para penyokong pembangkang adalah kerana Johari merupakan pemimpin PKR. Sementara Mahfuz Omar, pengerusi LPP adalah dari parti Amanah. Maka kedua-duanya merupakan pemimpin Pakatan Harapan yang wajar dijadikan sasaran. 

Apa yang dilakukan oleh pemimpin PH sentiasa diperhatikan oleh penyokong pembangkang terutama aktivis siber mereka. Apa saja yang boleh dijadikan isu untuk memburukkan kerajaan Madani akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Sepanjang Ramadan, bersilih ganti isu dimainkan untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan. Pada awal Ramadan, isu kalimah Allah pada stoking dimainkan hingga menunjukkan seolah-olah kerajaan lemah, tidak mempertahankan kesucian Islam dan tunduk pada orang bukan Islam. 

Kemudian timbul isu perkataan ‘kafir’ yang dikaitkan dengan kenyataan Menteri Pelajaran, Fadhlina Sidek, juga seorang pemimpin PKR. 

Fadhlina Sidek

Di medan ekonomi, kritikan-kritikan terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli amat kuat, turut dikaitkan dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana beliau adalah juga menteri kewangan.

Maka serangan politik terhadap Johari boleh dilihat dalam konteks ini. Beliau dari negeri Kedah, yang menteri besarnya, Sanusi Md Nor sentiasa menjadi sasaran aktivis siber PH. Tetapi Perikatan Nasional khususnya PAS dengan kuat menguasai Kedah. Dalam pilihan raya tahun 2018, beliau pernah dicadangkan untuk menjadi menteri besar Kedah ekoran kemenangan PH.

Tetapi kini PH sukar untuk menawan hati rakyat Kedah. Mahfuz yang popular dahulu turut kecundang.

PN lebih berminat untuk menguasai kerajaan persekutuan. Walaupun pilihan raya akan datang masih jauh, mungkin PN berasa tidak perlu tunggu sampai habis penggal. Bagi mereka kerajaan boleh ditumbangkan pada bila-bila masa. Oleh kerana mereka pernah melakukan Langkah Sheraton hingga menumbangkan kerajaan PH tanpa menunggu pilihan raya umum, maka kejayaan itu boleh jadi suatu “ketagihan kuasa”.

Sebelum Ramadan, PN ada mengadakan konvensyen. Tentulah perkara penting yang dibincangkan adalah bagaimana hendak mengambil kuasa khususnya bagi pilihan raya akan datang. Itu adalah perkara normal bagi parti-parti politik. 

Apa yang tidak normal adalah kenyataan pihaknya mengenai keperluan mendapat undi bukan Melayu. Kedudukan ini merupakan suatu anjakan kepada sikap mereka sebelum ini, iaitu hendak menjadi kerajaan Melayu.

Perubahan demografi 

Sememangnya dalam PN ada parti bukan Melayu iaitu Gerakan. Tetapi sehingga ini ia tidak mendatangkan kesan untuk melawan DAP, MCA dan MIC yang berada dalam kerajaan Madani. Tetapi naratif asas PN melalui parti-parti utamanya, Bersatu dan PAS adalah untuk menubuhkan kerajaan dominan Melayu. 

Itulah juga sebab yang dikatakan mengapa  Bersatu meninggalkan PH dan menjatuhkan kerajaan pada tabun 2020. Mereka berpakat dengan PAS dan Umno untuk menubuhkan kerajaan Melayu tanpa DAP.

Tetapi semua ahli politik Malaysia tahu bahawa walaupun perubahan demografi negara ini semakin mengukuhkan kedudukan  orang Melayu, tetapi undi Cina dan India tetap penting. Lebih-lebih lagi apabila orang Cina merupakan kaum yang paling cergas dalam aktiviti ekonomi.

Tambahan pula, akan ada saja orang Melayu sendiri yang menolak kerajaan dominan satu kaum. Mereka sentiasa akan tetap berpendapat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum. Sifatnya itu membuatkan negara ini progresif serta tidak menjadi ekstrem.

Sebab itu walaupun majoriti orang Melayu tidak mengundi parti-parti dalam kerajaan Madani tetapi majoriti rakyat Malaysia berbilang kaum secara gabungan menyokong parti-parti yang menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Apa yang diambil kira ialah rakyat Malaysia secara keseluruhan dan  bukannya rakyat Melayu saja. Maka legitimasi demokratik kerajaan Madani adalah tetap sah. 

Baru-baru ini Bersatu mengumumkan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaannya. Perubahan ini membolehkan parti itu memecat ahli parlimennya yang menyokong Anwar dan memaksakan rentetan pilihan raya kecil.

Kawasan-kawasan parlimen yang boleh jadi akan berlaku rentetan PRK itu ialah Bukit Gantang, Gua Musang, Tanjong Karang, Jelu, Kuala Kangsar dan Labuan.

Walaupun PN boleh menang semula kawasan-kawasan itu tetapi ia tidak menjejaskan kedudukan Anwar sebagai perdana menteri. Tetapi ia adalah untuk menunjukkan bahawa rakyat menolak kerajaan Madani lebih-lebih lagi kalau undi yang mereka perolehi bertambah. Ini boleh berlaku apabila ada pengundi BN yang beralih arah kerana tidak menyokong tindakan Umno bekerjasama dengan DAP. 

Begitu juga mungkin ada penyokong PH beralih arah kerana kecewa dengan prestasi kerajaan Madani yang tidak melaksanakan Reformasi sepenuhnya. Ataupun pengundi umum yang termakan dengan kempen bersifat perkauman dan keagamaan.

Tekanan seumpama ini pernah dikenakan terhadap kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad dahulu apabila Umno bekerjasama dengan PAS bawah gagasan Muafakat Nasional memenangi beberapa siri PRK yang akhirnya turut mempengaruhi PKR dan Bersatu dalam PH. PKR pecah dan Bersatu keluar PH yang membawa kepada Langkah Sheraton.

Mentaliti terkepung campur perasaan rendah diri 

Walaupun langkah-langkah menjatuhkan kerajaan melalui kaedah luar daripada pilihan raya mempunyai ruang dari segi undang-undang dan perlembagaan, ia tidak menepati semangat demokrasi.

Dalam sistem demokrasi berparlimen, pilihan raya umum ditetapkan untuk satu jangka lima tahun supaya negara menjadi stabil dan kerajaan berkesempatan untuk melaksanakan program-program mereka.

Maknanya, menjatuhkan kerajaan atau memberi tekanan supaya kerajaan dapat dijatuhkan adalah tidak menepati semangat demokrasi tetapi juga tidak memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Sememangnya sebagai pembangkang, PN tidak bolehlah diharapkan menyokong kerajaan dan dasar-dasarnya. Tetapi sistem demokrasi menetapkan bahawa pihak pembangkang wajar menjadi suatu jentera bagi semak imbang yang bertanggungjawab memberikan kritikan supaya kerajaan tidak terlepas pandang terhadap perkara-perkara yang menjadi kepentingan negara dan rakyat.

Namun begitu, apa yang membimbangkan pada waktu sekarang adalah suatu fenomena yang tidak sihat membabitkan soal sensitiviti  agama dan kaum. Pihak pembangkang mungkin gembira dengan isu ini, maka mereka turut mengambil kesempatan terhadap isu-isu ini. Tetapi ia sebenarnya melangkah keupayaan PN sendiri. Fenomena itu akan menjalar di luar kawalan mana-mana parti politik.

Fenomena adalah campuran daripada siege mentality atau mentaliti terkepung, sebahagian besar orang Melayu terancam. Mereka berasa orang Melayu terancam dan diancam oleh kaum bukan Melayu dari pelbagai aspek kehidupan: agama, politik, ekonomi dan sosial. Sensitiviti mereka tinggi dan apa saja perkembangan, sama ada kecil atau besar ditafsirkan sebagai mencabar dan mengancam orang Melayu. 

Mentaliti terkepung ini dicampur pula dengan perasaan rendah diri (inferiority complex) yang menjejaskan keyakinan diri untuk menghadapi fakta dan realiti hingga cenderung untuk mereka-reka atau menerima pseudo sejarah yang boleh meningkatkan gambaran keagungan bangsa zaman silam. 

Dengan sikap ini mereka dapat berasa tinggi diri secara kolektif, sedangkan perkara itu tidak perlu pun.


ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.