Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Dari kereta api ke Black Maria

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Beberapa hari sebelum saya menjadi penghuni lokap, poster perhimpunan Black 14 bagi memperingati genap setahun kezaliman terhadap Anwar Ibrahim ditampal di merata tempat.

Propaganda kerajaan cuba digerakkan untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada menyertai perhimpunan tersebut. Pun begitu, ajakan atau larangan itu sama-sama memberikan publisiti yang cukup meluas untuk orang ramai.

Memandangkan Ehsam hendak pergi dan dia tiada kawan, saya pun mengajak dia bersama. Mengikut maklumat dari Internet, para peserta himpunan akan menggunakan kereta api menuju ke Kuala Lumpur.

Kami pun memilih laluan itu. Logiknya kerana tidak akan ada roadblock dibuat di landasan kereta api. Ia berbeza daripada laluan jalan raya.

Beberapa jalan masuk ke Kuala Lumpur telah dibuat sekatan oleh polis untuk mengekang orang ramai daripada menyertai himpunan tersebut.

Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 11.45 pagi Sabtu menuju stesen Tapah Road. Ia agak lewat sebenarnya. Ia membuatkan saya yakin kami sudah ketinggalan.

Bagaimanapun pada hari itu kereta api sampai lewat setengah jam kerana ada masalah teknikal.

Suasana di stesen itu agak lenggang dan hanya ada beberapa orang sahaja yang menunggu bersama kami.

Sementara menunggu kereta api sampai, kami ke warung berhampiran untuk minum. Di situ saya terbaca tajuk besar akhbar mengenai amaran polis terhadap ‘perhimpunan haram‘ berkenaan.

Buka beg untuk diperiksa

Berita penangkapan beberapa pimpinan Pemuda PKR juga dimuatkan. Saya tidak ingin membuat andaian ketika itu. Jika semua taiko sudah kena tangkap, apakah perhimpunan itu akan tetap diteruskan?

Kami sampai di Kuala Lumpur kira-kira jam 3 petang. Kami meninjau-ninjau keadaan di sekitar sebelum makan tengahari di kantin stesen kereta api tersebut.

Selesai makan, kami bersantai seketika di kerusi awam di stesen kereta api. Sesudah terasa makanan turun ke perut, kami pun keluar bangunan dan meninjau-ninjau suasana dari jauh.

Saya nampak ramai anggota polis berpakaian preman dan membawa rotan di kawasan jalan masuk Masjid Negara. Anggota FRU berkawal sama. Keadaan di kawasan Masjid Negara kurang jelas kelihatan dari situ tetapi saya lihat ramai orang di sana.

Ehsam memasang pita video pada handycam yang dibawanya.

Belum pun sempat kami keluar dari kawasan stesen kereta api, tiba-tiba salah seorang anggota keselamatan mengarahkan Ehsam membuka beg yang dibawanya untuk diperiksa.

Dia terus memeriksa beg Ehsam walaupun kami sudah katakan tiada sebarang objek berbahaya dibawa. Kemudian polis mengarahkan kami beredar dari kawasan tersebut.

Kami terus berjalan ke arah Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur yang terletak beberapa ratus meter saja dari situ. Ada beberapa anggota polis bersama anjing berhampiran dengan bangunan tempat letak kereta.

Kami pun berpatah balik ke stesen kereta api. Di situ, kami di arah agar tidak berkumpul di bahagian luar bangunan. Arahan tersebut memaksa kami sekejap masuk sekejap keluar dari bangunan.

Apabila kedengaran suara azan bagi waktu Asar, orang ramai rasa teragak-agak untuk ke Masjid Negara kerana ramai anggota polis dan FRU berada di tengah jalan.

Salam tak bersambut

Saya memberanikan diri menuju ke tengah-tengah kelompok anggota polis berkenaan. Kami ditahan di tangga masuk oleh seorang anggota polis yang berpakaian seragam. Kami diperiksa buat kali ketiga.

Dia memeriksa beg Ehsam. Selepas berpuas hati, kami dibenarkan masuk ke dalam kawasan masjid.

Sebelum solat, saya berpesan kepada Ehsam agar sentiasa berada dalam kelompok para jurugambar. Ini untuk memastikan dia tidak berada di kawasan risiko yang menjadi fokus pihak polis. Ketika itu memang ramai wartawan dan jurugambar dari dalam dan luar negara.

Pelbagai jenis kamera mereka. Mereka sentiasa mencari sudut terbaik untuk merakamkan suasana bagi bahan berita.

Semasa di dalam masjid, saya Iihat ramai anggota polis yang berpakaian seragam dan juga berpakaian biasa serta berweskot. Mereka membawa rotan sebesar ibu jari dan sepanjang kira-kira satu meter.

Itulah kali pertama saya melihat anggota polis bersembahyang di dalam masjid sambil membawa rotan. Ia suatu pemandangan yang agak aneh sekali gus lucu.

Selesai solat mereka keluar dari masjid bersama jemaah lain seperti tiada apa-apa yang akan berlaku. Ada antara mereka ingin bersalaman dengan para jemaah lain tetapi salam mereka tidak disambut.

Gambar hiasan

Sesetengah jemaah kemudian bertakbir di dalam masjid. Terasa seperti bergegar masjid ketika itu.

Tidak lama kemudian, keadaan menjadi lebih gempar. Orang ramai lari bertempiaran kerana dikejar oleh polis yang berpakaian preman. Sekumpulan FRU pula mara ke arah kumpulan yang melaungkan “Reformasi!” berkali-kali sambil memukul cota pada perisai masing-masing.

Mereka melangkah dengan hentakan kaki yang serentak.

Bunyi tapak kasut yang dihentak bersama pukulan cota pada perisai anggota FRU itu menghasilkan kesan yang  agak menggerunkan. Sebahagian daripada mereka menuju ke stesen kereta api manakala selebihnya mengarah ke bulatan di hadapan Masjid Negara.

Kejap saja lori penuh

Saya berpatah balik untuk menuju ke arah Masjid Negara semula kerana berpendapat kawasan tersebut lebih selamat. Ehsam pula masih lagi berada bersama kelompok jurugambar yang sedang merakam situasi di bulatan.

Sedang Ehsam sibuk merakamkan suasana, seorang pegawai polis yang berpakaian seragam dan memegang alat pembesar suara datang dan cuba untuk merampas kamera tangannya.

Saya berada agak jauh dari dia ketika itu. Saya lihat ada sedikit perebutan di antara Ehsam dengan pegawai polis berkenaan.

Ketika keadaan kelam-kabut itulah saya masuk campur dan cuba memberi penjelasan kepada pegawai polis berkenaan. Namun dia tidak mengendahkannya.

Ketika itu dia dalam berkeadaan marah pada Ehsam. Akhirnya saya meminta agar Ehsam mengalah dan menyerahkan saja perakam tersebut.

Namun ia tidak berakhir di situ. Selepas perakam video itu bertukar tangan, pegawai yang bernama Bakri itu - berdasarkan tanda nama pada uniformnya - mengarahkan anggota polis menangkap kami.

Dua anggota keselamatan berpakaian preman kemudian menahan kami dan dibawa ke Black Maria.

Saya difahamkan kemudiannya bahawa pegawai polis berkenaan ialah Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

Ketika kami naik ke atas kenderaan berkenaan, sudah ada seorang lelaki Melayu. Kami bersalaman dan saling bertanya khabar. Beberapa minit saja lori itu penuh.

Ada antara mereka dalam keadaan cedera.

Kemudian pergelangan tangan kami dililit dengan gelang plastik yang ditulis nama dan nombor polis yang menangkap kami. Plastik itu saya lihat macam gelang plastik yang dipakaikan pada bayi yang baru lahir di hospital saja.

Tidak lama kemudian, lori kami bergerak meninggalkan Masjid Negara dengan diiringi bunyi siren. Baru beberapa jam sebelumnya kami menaiki kereta api.

Seolah-olah kereta api itu membawa kami dari Perak untuk dihantar memasuki Black Maria.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.