Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Bila Amerika beri AS$61 bilion kepada Ukraine

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOLUM | Dewan Senat Amerika melakukan satu yang ganjil. Bersidang pada hari Sabtu 20 April 2024, khusus untuk meluluskan pakej bantuan 95 bilion dolar untuk Taiwan, Israel dan Ukraine.

Dana terbanyak – 61 bilion dolar untuk Ukraine menjadi isu yang hangat dibincangkan. Semenjak awal tahun lagi dana untuk Ukraine ini telah menjadi isu tertangguh. Cadangan awal telah ditolak oleh ahli Dewan dari Parti Republikan.

Ahli Republikan yang bermajoriti tipis dalam Dewan Senat hanya akan menyokong kelulusan dana ini jika ada disertakan dana untuk menjaga sempadan Mexico di selatan Amerika. Sempadan ini tanpa kawalan ketat dan kini amat mudah dibolosi oleh ribuan pendatang haram dari seluruh dunia.

Malah Parti Republikan menuduh Presiden Joe Biden sengaja membiarkan sempadan ini longgar dengan harapan pendatang haram ini akan direkrut untuk menjadi pengundi pada bulan November ini.

Ding dong tolak sorong pakej bantuan sebanyak 61 bilion dolar untuk Ukraine tertangguh beberapa kali.

Berkali–kali Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky merayu agar bantuan diluluskan. Malah menurut Zelensky jika Ukraine kalah, seluruh Eropah akan didominasi oleh Rusia.

Volodymyr Zelensky

Kenyataan yang berbau 'pau ancaman' ini ditujukan kepada Amerika dan ahli Nato.

Presiden Perancis Emmanuel Macron telah menerima dan menelan kata-kata Zelensky ini. Pada 26 Februari 2024, Macron telah membuat kenyataan yang menggemparkan Eropah - Perancis bersedia menghantar satu kontinjen soldadu ke Ukraine.

Kenyataan ini memeranjatkan Nato dan Amerika. Jika soldadu Perancis masuk ke Ukraine, bermakna perang berubah menjadi Nato memerangi Rusia. Ini kerana Perancis anggota Nato.

Dari awal lagi, Amerika secara terbuka berkata tidak mahu berperang dengan Rusia. Taktik Amerika hanya mahu menggunakan Ukraine untuk melumpuhkan Rusia dengan harapan Putin akan dijatuhkan oleh rakyat Rusia.

Harapan Amerika ini terbukti meleset. Pada 18 Mac 2024, Putin baru saja dipilih kali keenam untuk memimpin Rusia. Putin berkuasa semenjak 1999 dan masih popular dengan sokongan 87 peratus pengundi.

Sabtu lalu dana 61 bilion dolar lulus. Parti Republikan mengubah dasar.

Ini berita baik untuk Zelensky dan Ukraine. Dana dari Amerika ini ditambah pula oleh Perdana Menteri United Kingdom Rishi Sunak yang meluluskan pakej bantuan senjata 500 juta pound untuk Ukraine.

Persoalan timbul - apakah pakej bantuan ini akan membantu mengubah keadaan perang? Adakah Ukraine akan berjaya mengalahkan Rusia dengan pakej bantuan baru ini?

Bekas penasihat Pertahanan Presiden Donald Trump, Kolonel Douglas Macgregor dalam temu bual bersama portal Judge Freedom telah berkata, "...Ukraine akan kalah...malah Ukraine telah kalah...mustahil Ukraine dapat mengalahkan Rusia...dana 61 bilion dolar tidak mengubah apa-apa..."

Kenyataan Kolonel Macgregor ini mudah difahami. Sebelum perang penduduk Ukraine berjumlah 45 juta orang, hari ini tinggal 36.7 juta. Seramai enam juta warga Ukraine hilang tempat tinggal. Seramai lapan juta pula menjadi pelarian perang di Eropah.

Malah jika senjata baru dari dana 61 bilion dolar ini sampai, ia tidak akan mengubah keadaan.

Senjata sampai tapi tidak ada soldadu yang akan menggunakannya. Senapang dan peluru ada tapi tak ada askar untuk menembak.

Joe Biden

Kolonel Macgregor menunjukkan 400,000 soldadu Ukraine telah gugur. Seramai hampir 600 ribu cedera. Cedera dan tidak mungkin kembali menjadi soldadu.

Data ini dibuktikan apabila Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba membuat pengumuman. Kini semua warga Ukraine di luar negara yang hendak memperbaharui pasport wajib pulang ke Ukraine dulu.

Anak muda belasan tahun dan jantan berumur semuanya dicekau oleh polis untuk dipaksa menjadi soldadu. Malah anak gadis dan perempuan berumur juga kini direkrut untuk masuk berperang.

Hakikat yang hakiki ialah Ukraine telah kalah. Rusia telah menang. Perang yang telah melintasi dua tahun ini akan berterusan. Rusia hanya menunggu masa bila mana Ukraine akan angkat bendera putih.

Bila saja Amerika meluluskan dana 61 bilion dolar, Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov telah memberi amaran. Dia berkata negara-negara Eropah berniat terus untuk membantai Rusia. Ini akan membawa bencana besar.

Kata-kata ini dipasak oleh niat Macron untuk menghantar 1,000 soldadu ke Odessa. Apa peranan soldadu Perancis ini masih belum jelas. Bila akan sampai belum ditentukan.

Malah dari laporan intel hari ini soldadu dari Poland - juga anggota Nato – telah ada bersama di kancah perang secara gelap.

Mengikut portal Politico.com, hari ini soldadu Amerika juga berada di pentas perang. Mereka memberi nasihat, membantu logistik, memberi laporan intel dan memberi tunjuk ajar cara menggunakan senjata buatan Amerika.

Jika 1,000 soldadu dari Perancis sampai, ia tidak akan mengubah pentas perang Ukraine.

Mengikut pandangan bekas pegawai perisikan Kor Marin Amerika Syarikat, Scott Ritter, "... perang ini akan berakhir bila hanya tinggal seorang soldadu Ukraine..."

Vladimir Putin

Putin pada 8 Julai 2022 juga pernah berkata, "Russia ready to fight until the 'last Ukrainian is left standing". Kata-kata ini dikutip dari laman portal Business Insider.

Pakej baru ini ada menyenaraikan jenis senjata yang akan dibekalkan kepada Ukraine. Kali ini ada sejata peluru berpandu yang boleh menembus 190 batu. Ini senjata jenis jarak jauh yang baru. Senjata ini belum pernah sampai ke Ukraine.

Dasar Amerika membantu Ukraine ialah untuk pertahanan. Ertinya senjata digunakan untuk bertahan melawan Rusia di Ukraine. Justeru tidak ada peluru berpandu jarak jauh yang dibekal. Tapi kali ini ada senjata jarak jauh.

Apakah kini Amerika mahu Ukraine menyerang ke dalam kawasan Rusia?

Apakah kedatangan askar Perancis tanda permulaan?

Jika diteliti kenyataan Macron, jelas ia hanya melibatkan soldadu dari Eropah, bukan dari Nato. Ini taktik untuk memperlihatkan bahawa bukan Nato yang memerangi Rusia tapi negara Eropah mempertahankan diri.

Malah kenyataan Macron ini telah disambut dengan sokongan dari Finland. Canselor Jerman Olaf Scholz membuat kenyataan bahawa Jerman tidak akan menghantar sejata jarak jauh.

Majalah Foreign Affairs – yang berkait rapat dengan Pentagon – pada 22 April 2024 telah mengeluarkan artikel bertajuk "Europe - but not Nato - should send troops to Ukraine.

Majalah berkenaan dasar luar Amerika ini mahu Eropah bersedia dan jangan bergantung kepada Amerika. Ini kerana Amerika juga ada percaturan politik domestik.

Saranan dan cadangan dari Foreign Affairs ini amat jelas. Eropah wajib memerangi Rusia dan membantu Ukraine. Rusia tidak akan dibenarkan mengubah peta Ukraine dan Eropah.

Majalah suara Pentagon ini sedang menunjukkan dasar baru Amerika terhadap Ukraine. Amat jelas apa yang ditulis dalam majalah ini menunjukkan perang Ukraine ini belum nampak penghujung.

Seyogia diingatkan bahawa di belakang semua ini adalah industri senjata – military industrial complex.

Dana 61 bilion dolar itu bukan semuanya akan pergi ke Ukraine. Dana ini akan menetap di Amerika. Dana ini akan disalur ke kilang-kilang membuat senjata.

Wajib diakui perang adalah satu industri. Malah untuk Amerika industri utama ialah pengeluaran senjata. Tanpa perang ekonomi Amerika akan terhenti. Ekonomi Amerika bergantung dengan industri perang.

Syarikat senjata seperti Lockheed Martin, RTX Cooperation, Northrop Grumman, Boeing dan General Dynamic adalah syarikat gergasi pembuat senjata.

Syarikat-syarikat inilah yang menaja dan memberi dana kepada ahli Dewan Senat atau Dewan Kongres ketika berkempen mencari undi. Politik elektoral di Amerika memerlukan dana yang lumayan.

Justeru syarikat senjata datang memberi dana. Ini sama seperti taukeh judi terlibat dalam menaja parti politik di Malaysia.

Dana kempen adalah pelaburan. Selepas menang, ahli Dewan Senat akan mengundi untuk meluluskan belanjawan pertahanan. Inilah yang berlaku Sabtu lalu apabila 95 bilion dolar pakej bantuan senjata diluluskan untuk Israel, Taiwan dan Ukraine.

Perang Ukraine dan Perang Gaza akan diteruskan. Masih tidak kelihatan arus damai akan sampai. Ekonomi mengemudi politik. Untuk ekonomi berjalan perang wajib diteruskan.

Bulan November 2024 adalah pilihan raya presiden di Amerika. Trump akan melawan Biden. Kedua-dua bakal calon ini tidak akan berani mengeluarkan dasar untuk menghentikan perang.

Trump yang awalnya heboh dengan dana mengawal sempadan kini senyap tidak bersuara apabila Parti Demokrat meluluskan pakej bantuan untuk Ukraine tanpa dana untuk sempadan.

Malah Trump selaku pemimpin Parti Republikan yang paling berpengaruh tidak mengarahkan ahli-ahlinya untuk menolak pakej dana tersebut.

Pelobi industri senjata yang bermain di belakang tabir telah berjaya memasukkan kedua-dua bakal calon presiden Amerika ke dalam poket mereka.

Perang akan berterusan. Apa yang amat menakutkan kita semua hari ini apakah senjata nuklear akan digunakan. Amerika, Perancis, United Kingdom, Israel dan Rusia semuanya memiliki senjata nuklear.

Mungkinkah kesilapan boleh berlaku? Punat senjata nuklear tertekan secara tidak sengaja? Atau para presiden dan kepala negara tersilap beri arahan?


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.