KOLUM | Senja di makam bapa
KOLUM | Sudah menjadi tradisi masyarakat kita untuk menziarahi pusara atau makam ahli keluarga pada hari raya. Sesetengahnya datang membersihkan sebelum tiba hari raya.
Ia semua mengikut kesesuaian waktu masing-masing. Tambahan tradisi begini bukan kewajipan dalam beragama tetapi sekadar mengenang mereka yang tiada semasa hari mulia.
Arwah bapa bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lampam, Teluk Intan. Sudah hampir dua dekad berlalu. Dia meninggal dunia asbab penyakit kanser usus yang ditanggungnya beberapa tahun sebelum itu.
Makamnya bersebelahan dengan makam datuk, Kiai Haji Mansur Taib. Datuk saya meninggal dunia pada 1963, ketika saya belum dilahirkan. Namun cerita tentang datuk sering dikongsikan oleh arwah bapa.
Itulah cara arwah bapa mewariskan semangat zaman untuk anak-anaknya menghadapi cabaran. Cerita datuk meneroka dan memugar tanah hingga boleh dijadikan sawah, menjadi perantau dan berdagang di tanah asing.
Mereka merantau dari Sumatera, Banjarmasin dan Pulau Jawa berbekalkan tulang empat kerat untuk memulakan penghidupan di tanah baru.
Cerita pahit maung mereka mendaulatkan tanah pusaka lenyap sedikit demi sedikit. Sejarah tidak lagi dimiliki si pemenang atau sang penguasa. Mereka yang menang 100 kali pun - jika malas menulis - maka sejarahnya akan pupus.
Ironinya, apabila terasa dicabar oleh bangsa lain, kita mulalah berteriak, bahawa "Ini tanah pusaka kami!" sambil mengacung penumbuk menikam.
Bergenang air mata
Namun berani sekadar di kandang media sosial. Bagai menyalak ke bukit. Hanya sejarah amuk, kebebalan dan latah sahaja yang kekal diingat.
Ketika bapa membawa anak-anaknya menziarahi makam datuk, dia sering berpesan bahawa apabila dia meninggal, biarlah disemadikan di sebelah pusara itu.
Sebagai anak, kami sempurnakan hasratnya. Begitu juga kepok dan nisan, kami tempah di tempat yang bapa cadangkan sendiri. Semua itu dipesannya kepada kami sewaktu dia sihat.
Pergi ke makam bapa mengingatkan momen yang pernah kami alami bersama. Tentang cita-cita, kata bicara dan keluarganya. Bergenang juga air mata apabila dikenangkan.
Seperti lelaki lain, arwah bapa ditaklifkan sebagai seorang bapa, suami dan pemimpin keluarga. Ini adalah mengenai lelaki. Setelah seorang lelaki berakad memiliki seorang wanita secara sah, maknanya dia bersedia untuk menjadi seperti Adam mengharungi dunia baru yang jauh daripada keindahan dan nikmat syurga.
Sedari kecil, kami adik beradik lelaki sering menziarahi kubur datuk. Kami bersihkan sebelum bapa memimpin bacaan tahlil serta berdoa. Meski kami adik beradik tidak mempunyai sedetik pengalaman hidup bersama datuk, kami dapat rasai akrabnya hubungan bapa dengan datuk.
Bapa punya tanah sawah seluas tiga ekar. Setengah ekar daripadanya diwakaf untuk masjid dan madrasah tempat orang kampung mengenal Tuhan dan menulis membaca.
Pendidikan orang kampung pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua hanya sekadar di sekolah rendah dan kemudian disambung di pondok-pondok yang didirikan oleh tuan-tuan guru.
Tiada sijil, jauh untuk disebut diploma atau ijazah pada tahun-tahun 1950-an hingga 1960-an. Itu zaman bapa remaja, dewasa dan berumahtangga. Setelah mempunyai anak-anak, bapa bercita-cita untuk mereka mempunyai pendidikan yang lebih baik.
Ramai berkongsi pengalaman
Seperti juga orang kampung lain, bapa bersawah demi menyara dan membesarkan keluarga. Meski tidak mempunyai pendidikan tinggi seperti pada hari ini, sangat tinggi semangat dan tekad mereka.
Mereka mendirikan sendiri sekolah dan madrasah buat anak-anak kampung. Mereka bangunkan dan imarahkan masjid tanpa peruntukan atau janji menteri. Mereka berderau (gotong-royong) tanpa menunggu subsidi dan bantuan dari agensi kerajaan.
Mereka kini menjadi penghuni tanah perkuburan itu.
Itulah tanah perkuburan bersemadinya para peneroka awal tanah bendang Sungai Manik pada 1930-an dan 1940-an. Tiada siapa pun ingin menjejaki sejarah mereka. Kebanyakan batu nisan lama hilang catatan. Yang tinggal hanya pohon kemboja, nisan usang dan rumput kering.
Mengapa hati kita cepat hiba mengenang sesuatu yang tiada dan yang berlalu?
Apakah itu tanda penyesalan kerana tidak cukup berjasa atau kurang puas berkhidmat dengan mereka sewaktu ada? Atau sememangnya, itu adalah kerinduan yang alamiah.
Apakah dengan menitip pesan atau menulis ini akan terubat rasa gundah?
Iklan-iklan raya memang kebanyakannya menjurus untuk menyentuh titik yang sama.
Memahami lelah seorang bapa
Apakah kita mempunyai pengalaman yang sama? Sama ada cerita yang dilakonkan Jalil Hamid, Beto dan lain-lain menjadikan hari raya adalah detik mengenang sesuatu yang hilang.
Menziarahi makam bapa pada waktu senja seperti melabuhkan jadual beraya pada 1 Syawal. Kami bacakan sepotong al-Fatihah, Yasin dan bertahlil sebelum memanjatkan doa buat arwah bapa dan datuk.
Kami pergi meninggalkan makam bapa. Terdengar sayup seakan-seakan Usman Awang membacakan puisinya, Ke Makam Bonda:
Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan.
Meski Usman menulis tentang "bonda", hakikatnya "bapa" adalah pelengkap kehidupan "bonda".
Dendangan lagu ibu dan bapa seperti yang dinyanyikan oleh P Ramlee, S Jibeng, Sharifah Aini, dan Sudirman sentiasa mempunyai sentuhan jiwa yang kita semua dapat rasai bersama.
Jerih perit seorang bapa membesarkan anak dan seisi keluarganya disimpan di sebalik senyumnya.
Sakit pahit yang dilalui, saki baki kudrat yang ada sedaya upaya diusahakan. Hanya anak sejati yang dapat memahami erti denyut nafas lelah seorang bapa.
Maafkan anakmu, bapa.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai