Skip to main
Logo Malaysiakini

KOLUM | Hamas ubah politik dunia

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Pada Subuh Sabtu 7 Oktober, gerila Briged Al-Qassam menyerang Israel. Tembok dan pagar pemisah diceroboh. Pertempuran berlaku. Dilapor lebih 1,200 warga Israel mati terbunuh. Lebih 200 dibawa pulang ke Gaza untuk jadi tebusan.

Pelbagai naratif muncul. Ada pemerhati politik anggap ini perancangan Netanyahu yang mahu perang bermula agar Hamas dapat dihapuskan. Naratif ini disokong oleh berita-berita kegagalan soldadu Israel menjaga sempadan.

Bukan saja soldadu Israel lewat sampai untuk menghalang Al-Qassam, malah sistem elektronik pengawal sempadan gagal berfungsi. Ada sistem elektronik pemantau tercanggih rosak. Ada pegawai dan soldadu bertugas tidak berada di tempat kerja.

Justeru teori konspirasi–kerja orang dalam–merebak. Hamas dipancing untuk menyerang. Perang dirancang untuk selesaikan masalah Hamas.

Teori ini diperkukuhkan setelah berperang lebih lima bulan, kepala risikan Israel meletakkan jawatan.

Aharon Haliva meletak jawatan pada 22 April 2024. Amin.

Walau apa pun teori, apa pun konspirasi, hakikatnya Hamas telah mengubah politik Timur Tengah. Hamas mengubah politik Eropah. Hamas mengubah politik Islam. Hamas mengubah politik Amerika.

Hamas mengubah politik dunia.

Ketika tulisan ini digarap lebih dari 50 buah kampus di Amerika sedang bergolak. Pelajar dan siswa bangun berdemo menyatakan sokongan kepada perjuangan adil Palestin.

Siswa dan pelajar mogok meninggalkan kuliah. Mereka berkhemah dan menuntut universiti membatalkan apa saja perjanjian dengan kerajaan Israel. Mereka menuntut Presiden Biden berhenti menghantar dana dan senjata kepada Israel.  

Pelajar dan siswa Amerika mahu perang ditamatkan. Gencatan senjata serta merta. Israel didakwa di Mahkamah Dunia kerana melakukan genosid.

Suasana kampus politik siswa  di Amerika ini mengembalikan kepada suasana politik zaman 60-an.

Tahun 60-an kampus Amerika bergolak. Pertama, dengan wujudnya kesedaran kulit hitam yang melawan penindasan. Di zaman ini muncul Black Panther – gerakan anak muda kulit hitam yang menuntut hak mereka.

Suasana ini ditambah rancak dan ditabur minyak oleh  Perang Vietnam. Anak- anak muda yang cukup umur akan dipaksa menjalani khidmat negara. Ini wajib untuk lelaki dewasa atas 18 tahun.

Anak muda hitam dan putih akan dihantar berperang ke Vietnam. Anak muda yang enggan mendaftar lari meninggalkan Amerika.

Ranum untuk revolusi

Mereka yang berani terus bangun melawan. Mereka membakar surat panggilan khidmat negara. Mereka dimasukkan  ke penjara kerana enggan jadi soldadu Perang Vietnam.

Dalam masa yang sama muncul gerakan radikal Black Panther - organisasi untuk anak muda berkulit hitam.  Nama aktivis seperti Bobby Seal, Huey P Newton , Angela Davis  dan  Stokely Carmicheal menjadi rujukan perjuangan kulit hitam di Amerika.

Untuk kulit putih nama seperti Tom Hayden muncul  memimpin SDS (Student for Democratic Society).

Ketika ini Amerika ranum untuk revolusi.

Gerakan radikal garis kiri  merebak luas. Pada hemat saya tahun 2024 ini dunia melihat suasana politik radikal datang  kembali.

Semua bermula di Universiti Columbia. Para pelajar telah mengambil langkah radikal meninggalkan kuliah. Mereka berkhemah dan menjalani kuliah sendiri dengan mendengar tentang sejarah Palestin, Apartheid di Afrika Selatan dan Vietnam.

Ketika saya menulis ini beratus-ratus pelajar ditahan. Mereka dituduh ganas, membuat onar dan membahayakan universiti. Polis dengan cota membelantan pelajar, menangkap dan meruntuhkan khemah mereka.

Tapi lagi dilawan lagi protes merebak.  Perjuangan siswa dan pelajar ini makin mengampuh. Politik jalan raya kini sedang membakar kampus Amerika.

Satu perkara yang wajib didakwatmerahkan. Kalau tahun 60-an dulu gerakan pelajar bermula di Universiti California Los Angles (UCLA ). Kali ini ia bermula di universiti elit di Columbia dan merebak ke Yale dan Havard.

Universiti elit ini adalah sarang akedemia pro-Zionis dan pro-Israel. Universiti yang memiliki hubungan intim dari segi  kerjasama penyelidikan dan juga pelaburan.

Pelaburan dan penyelidikan inilah yang para pelajar mahu di putuskan. Hentikan  melabur dalam syarikat  yang ada pertalian dengan Israel. Hentikan penyelidikan dalam hal teknologi senjata atau senjata  biologi dengan  Israel.

Seperti gerakan pelajar antiperang Vietnam dulu, gerakan menyokong Palestin dan anti-Israel hari ini cukup popular di kalangan siswa dan anak muda.

Di Paris, agensi berita AP  pada 30 April melaporkan: 

“French police removed dozens of students from the Sorbonne university after pro-Palestinian protesters occupied the main courtyard of the elite institution in Paris.”

(Polis Perancis mengeluarkan berpuluh-puluh pelajar dari universiti Sorbonne selepas penunjuk perasaan pro-Palestin menduduki halaman utama institusi elit itu di Paris.)

Protes pelajar universiti elit

Universiti Sorbonne terletak dalam kota Paris. Selain dari universiti elit, ia memiliki sejarah  gerakan pelajar yang maha hebat.

Revolusi pelajar The Almost Revolution tahun 1968 bersarang di Sorbonne. Presiden Charles de Gaulle (1890-1970)  hampir dijatuhkan oleh gerakan pelajar yang bermula dari perkara kecil – hal dewan makan -  hingga membawa kepada antiperang Vietnam.

Tahun 2024  bila siswa di Sorbonne kembali bersuara maka akan gegak gempita seluruh Perancis.

Menyeberang ke Selat Inggeris para pelajar di UK telah sama turun ke jalan raya. Mengikut laporan akhbar The Independent, pada 1 Mei 2024, pelajar menyertai protes dan perkhemahan pro-Palestin di universiti di UK berikutan demonstrasi ganas di kampus di AS.

Demonstrasi berlaku di beberapa universiti termasuk Sheffield, Bristol, Leeds dan Newcastle, dan lain-lain dijangka menyertai mereka.

Protes itu berlaku berikutan pertempuran ganas di kampus Universiti California antara penunjuk perasaan pro-Palestin dan sekumpulan penunjuk perasaan pro-Israel. Ini berlaku beberapa jam selepas polis menyerbu Universiti Columbia dan menahan berpuluh-puluh pelajar.

Apa yang jelas, gerakan ini sedang merebak ke seluruh dunia. Kita juga membaca berita bahawa kampus di Australia, Jerman dan Jepun bergolak sama.

Hakikatnya  suasana politik antiperang Vietnam kembali menjana idealisme anak muda. Perang Vietnam kini diganti oleh Perang Gaza.

Apakah akan ada apa-apa perubahan hasil dari protes ini?

Di Amerika Presiden Nixon (1913-1994) menang kali kedua untuk menjadi  presiden ke-37 pada tahun 1974.  Nixon berkempen dalam gelombang antiperang Vietnam.

Persoalan timbul, apakah Presiden Biden akan menang untuk kali kedua ketika berkempen dalam gelombang anti Israel, antiperang Gaza dan pro-Palestin ?

Nixon dengan licik menggunakan Perang Vietnam dan keselamatan Amerika sebagai  isi kempen.

Ombak demo pelajar ini pasti mempengaruhi suasana pemilihan presiden dalam bulan November ini. Biden sedar isu Gaza sedang membakar politik domestik Amerika.  

Tindak tanduk Netanyahu tidak disenangi oleh pengundi Amerika. Justeru Biden sedang meniti  di atas pisau yang tajam.  Biden tidak berupaya untuk tidak memberi dana dan senjata pada Israel. Dalam masa yang sama ombak anti Israel sedang mengampuh.

Ketika saya menggarap tulisan ini, Donald Trump masih belum bersuara dalam hal gerakan pelajar ini. Apa pandangan bakal calon presiden ini? Apakah Trump akan mengutuk siswa dan pelajar yang berdemo atau mengambil jalan selamat mengambil jalan tidak bersuara?  

Apabila Columbia, Yale dan Havard menjadi pencetus gerakan anti-Israel, ini bermakna satu perubahan hakiki telah berlaku di Amerika.

Sokong Palestin bukan kesalahan, tapi kewajipan

Universiti elit ini banyak mendapat wakaf dari orang kaya Yahudi. Apa akan terjadi jika dana dari wakaf ini dihentikan. Malah dilaporkan ada beberapa tenaga akademik dan pensyarah  juga ikut terlibat sama berdemo dan ditangkap.

Suara para akademik lantang menerangkan  menyokong Palestin bukan anti-Semitik. Antiperang Gaza bukan satu jenayah. Menyokong Palestin tidak salah tapi menjadi satu kewajipan.

Apa yang menarik, setia kawan yang padu antara pelajar Yahudi yang turut sama berdemo menentang Israel.  Ini fenomena baru, setia kawan dan  solidariti antara pelajar Yahudi dengan pelajar Arab Palestin.

Pada ketika ini dunia sedang menunggu satu lagi perkembangan yang masih belum muncul secara ampuh. Dalam gerakan antiperang Vietnam tahun 60-an, kita terbaca Jane Fonda dari Hollywood menjadi Hanoi Jane yang berkempen antiperang.

Jane Fonda dianggap sebagai pembelot kerana berucap dalam Radio Hanoi–radio Vietnam–menyeru soldadu Amerika untuk tidak memerangi Vietnam.

Kita juga mendengar Joan Baez dan Bob Dylan menyumbang suara dalam konsert  antiperang. Kita  terbaca John Lennon (1940-1980) membuat lagu-lagu antiperang.

Hari ini seniman dan pelakon Hollywood seperti Susan Serandon bersuara. Rogers Water dari kugiran Pink Floyd telah bersuara.

Tapi  keterlibatan  pemuzik, seniman dan pelakon masih belum mengampuh seperti di zaman antiperang Vietnam.

Kalau dalam gerakan antiperang Vietnam kita terbaca  arwah Jean Paul Sartre (1905-1980)  turun sama berdemo di kota Paris.

Dari Amerika kita juga terbaca  tulisan dan ucapan Noam Chomsky – intelektual publik –  yang juga sosok  Yahudi - menghasut pelajar untuk turun berdemo.

Kali ini kita dengar suara dan komentar Norman Finkelstein – intelektual publik yang tersohor. Sosok ilmuwan ini adalah pakar Gaza.  Seorang Yahudi dari keluarga yang menjadi mangsa genosid Hitler di Jerman.

Hakikatnya suara pemikir, intelektual publik dan para akademik masih belum mencukupi. Amin.

Walau apa pun hakikatnya serangan Hamas pada subuh Sabtu 7 Oktober telah mengubah politik Amerika dan politik dunia.

Bagaimana dengan politik Arab Islam? Apa perubahan yang dibawa Hamas?  Sila tunggu minggu depan. Amin. 


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!